Sunday, May 23, 2021

Solidariti untuk lawan Covid

ULASAN AHAD

SEGENAP sudut nampaknya kita sedang berhadap dengan suasana cukup tidak kondusif dalam menghadapi Covid -19. Kita semacam hilang formula dan belum ketemu petua ampuh untuk berhadapan dengannya. 

Jumlah kes harian terus meningkat, jumlah kematian juga bertambah. Sejak 20 Mei hingga ke hari ini kes tercatat 4,000 ke atas. Semalam saja kes baru sebanyak 6,320 dengan jumlah kematian 50.
 Bukan sahaja kes baru bertambah dan kematian menumpuk, prasarana dan peralatan lain juga turut mengalami masalah. Misalnya kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk Covid-19 di Lembah Klang telah mencecah 113 peratus. Hospital medan juga sedang diusahakan.

Menurut rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua hari lepas pada 21 Mei 2021, secara keseluruhannya penggunaan katil ICU untuk pesakit wabak itu kini mencapai 91 peratus. Ia telah meningkat sebanyak 22 peratus dalam tempoh 24 jam. Pandemik ini secara tidak langsung menafikan hak pesakit lain untuk mendapat kemudahan hospital apabila ward diubah suaikan untuk ditempatkan pesakit Covid. 

Ini menunjukkan bahawa Covid malapetaka membawa krisis kehidupan.  

Itu tidak dikira lagi keruntuhan nilai semangat para frontliner yang sudah keletihan dan boring berhadapan dengan kerja rutin sama yang begitu lama. Mereka (frontliner) bukan enjin atau robot yang boleh digerak dengan alat kawal jauh, tetapi mereka memiliki perasaan dan jiwa. Betapa pun mereka berpegang kepada sumpah perkhidmatan, tetapi harus sedar mereka adalah manusia yang juga sama-sama kena mendepani Covid. Mereka ada dua tugas menyelamatkan orang dan diri sendiri. 

Justeru kita tidak boleh main-main lagi dalam menghadapi Covid. Tidak boleh dianggap ia bencana semula jadi yang harus diterima dengan redha buta. Teori Pak Pandir tidak boleh diterima dalam masalah dan subjek ini dengan menganggap negara lain juga terkena Covid bukan sahaja negara kita, maka kita kena pasrah.  Teori itu tidak terpakai. Apa lagi menganggap ia takdir Allah yang tidak boleh dihindarkan. Membandingkan keadaan negara kita dengan negara lebih parah, bukan satu hal yang objektif. 

Kita perlu serius menekuni menghadapi dan menerimanya sebagai bencana negara yang terburuk di abad ini. Kita kena berSOLIDARITI menghadapinya. Bayangkan dengan jumlah kematian mencecah lebih 2,199 dengan jumlah kes keseluruhan 505,115.  Keadaan hari ini kes-kes sedang naik mencanak bukan menurun. Belum ada tanda positif pandemik ini akan beransur pulih. Mereka yang telah divaksin pun tidak terjamin seratus peratus akan terselamat daripada Covid.

Covid tidak kenal ideologi.

Menginsafi itu janganlah berpolitik dengannya, menjadikan pandemik ini sebagai modal politik murahan untuk mendapat atau mengekalkan kuasa. Covid tidak pernah mengenal ideologi, warna parti politik serta tidak tahu apakah kerajaan hari ini kerajaan tebuk atap atau cungkil lambung. Covid tidak tahu apakah perbuatan kudeta tempoh hari khianat atau suatu penyelamatan yang tidak pernah dihuraikan maksudnya.

Seharusnya kita semua memikirkan demikian dan mengambil sikap seperti Coronavirus itu juga tidak mengenali erti disebaliknya apa yang terjadi. Kita kena berSOLIDARITI menghadapinya. 

Bukan masanya lagi untuk kita mencincang Mahiaddin Md Yassin selumat-lumatnya. Serangan, kritikan, sindiran kepadanya tidak akan mengubah keadaan. Mahiaddin sebahagian dirinya sudah menjadi patung, atau beku. Mengata menesta beliau bukan penawar untuk mengurangkan Covid, sebalik boleh menambahkan Covid buatnya. Apa terjadi gara-gara kita harus tanggung bersama. 

Beliau tidak akan respons kepada apa yang diperlakukan. Muhaiddin telah mempersiapkan dirinya untuk ditembak dan dilumur nesta sebaik beliau mengkhianati kerajaanya dulu. Beliau sendiri sudah lemas dalam lautan kekesalan atas apa yang berlaku. Menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian akan lewat kurang gunanya.   

Dengan perkembangan yang ada sekarang semua orang perlu berpartisipasi, dan berjaga-jaga. Kalau langkah berjaga-jaga dengan pantas tidak diambil dengan penglibatan semua pihak, keadaan parah ini akan menjelma menjadi medan perang untuk kita semua. 

Lebih parah dari Palestin.

Keadaan negara dan nasib rakyat mungkin akan jadi lebih dahsyat daripada Palestin yang baru berperang kerana diserang regim Zionis Israel. Angka kematian akan bertambah lebih besar daripada berlaku di Palestin apabila kemudahan di hospital terhad dan meruncing serta apabila para frontliner sudah keletihan.

Jika itu berlaku negara kita akan bernasib malang. Malaysia tidak akan mendapat simpati seperti diterima Palestin. Tidak ada negara atau individu atau NGO akan mengumpul derma untuk negara kita.  Justeru negara kita seratus peratus dibawah jagaan dan tanggungjawab kita sendiri.

Pandangan empati.

Disini saya ingin melontarkan sedikit pandangan sebagai empati dan tanggungjawab kepada masalah yang kita hadapi kini. Mungkin ia sampah tetapi minta fikirlah akan maksudnya. Kalau apa yang saya lontarkan ini diambil kira dan diterima mungkin masalah yang besar kini menjadi ringan sedikit. Ia untuk menghilang terus tidak mungkin, tetapi kita mungkin dapat meringankan dari sudut emosi dan perasaan.  Kata orang yang berat sama-sama dipikul yang ringan sama-sama dijinjing. 

Selain daripada setiap kita perlu sedar tugas, tanggungjawab dan amanah, tetapi ada hal lain yang perlu dilakukan. Kita tidak nafi setiap rakyat perlu bertanggungjawab menjaga diri sendiri dan patuh kepada SOP. Rakyat jangan berdegil dan kreatif untuk keluar daripada SOP sehingga membawa petaka sampai maut. 

Kita tidak mahu dengar cerita macam mana jemaah mencari Tuhan di surau secara sembunyi-sembunyi untuk melanggar SOP sampai sembunyikan selipar dan solat dalam gelap bagi mengelak dikesan, akhirnya mereka disahkan dan mati kerana Covid. Ada beberapa kejadian kaki surau ini degil berakhir dengan kematian yang boleh dielak.  Harap-harap mereka digolongkan dalam syahid.  

Pada saya pencari Tuhan seperti itu kurang bijaksana, dan tidak pernah mengerti dimana Tuhan berada sebenarnya. Tuhan pun tidak pernah menyuruh mencariNya dalam keadaan yang boleh memudaratkan si pencari. 

Apa yang saya hendak perkatakan, selain daripada tindakan kendiri masing-masing, ada hal lain yang perlu dilihat oleh kerajaan khasnya kenapa kita menghadapi seperti kesulitan dan kekacauan dalam menghadapi Covid ini. Kita sebenarnya tidak sepakat dalam menangani pandemik ini. Tindakan, gerakan dan sokongan diberi secara terpisah. Kita telah mengabaikan apa yang disuruh oleh Tuhan supaya bersatu menghadapi musuh. 

Justeru saya mengemukakan cadangan ini bagi dipertimbangkan;

Kerajaan tidak boleh berbangga dengan usaha sepihaknya sahaja. Ia perlu bersedia bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan pihak swasta dan juga parti pembangkang. Kerajaan tidak boleh menggunakan sepenuhnya kemudahan dan kepakaran yang ada, sebaliknya harus dikongsi dengan pihak swasta sama. Pandangan pihak swasta hendaklah diambil kira dan didengari. 

Laporan, kajian, unjuran, langkah dan tindakan yang perlu dibuat, dicadangkan oleh pihak swasta hendak didengar dan diguna sama. Segala pandangan dari luar saya kira bukan semua hampas atau tidak relevent dengan cara diambil kerajaan (KKM) dan MKN hari ini.  

Begitu juga dengan peranan pihak pembangkang kerajaan perlu mengambil kira sama. Pembangkang dilihat mempunyai idea dan pemikiran sendiri dalam hal ini, ada kalangan mereka berpengalaman dan pakar. Nah ambil dan adukan idea itu bersama idea dan langkah dibuat kerajaan. Partisipasi pembangkang disaat kritikal ini sangat diperlukan. 

Salah satu kaedah untuk mencapai maksudnya, kerajaan perlu mengundang dan meletak sama wakil-wakil pembakang (wakil rakyat atau pemimpin parti) dalam jawatan kuasa atau badan-badan tertentu yang dibentuk khas untuk membendung Covid. Jangan pisah dan jarakkan antara usaha pembangkang dengan usaha kerajaan, apa lagi menganggap pandangan dan idea pembangkang itu kerana hendak bangkang sahaja. Terlebih prejudis juga salah dan tidak baik. 

Kerajaan perlu lebih terbuka dan insaf mengenai hal ini. 

Noor Hisham perlu lebih terbuka.
Demikian juga dipihak KKM sendiri. KKM tidak boleh meletakkan kepercayaan dan kepakaran kepada
jabatan itu sahaja, tetapi perlu menerima pandangan diluar juga. Dr Noor Hisham Abdullah memang seorang genius tetapi masih ramai genius lain diluar sana yang boleh bergabung dan dimanfaatkan ilmu mereka. Carilah teknikal atau mekanisme melakukan ini untuk tidak menampakkan KKM sudah tidak mampu mengatasi Covid. 

Dalam hubungan ini media massa arus perdana boleh memainkan peranan ini untuk memperlihatkan ada persepakatan antara pihak kerajaan, swasta dan pembangkang dalam menangani Covid. Media arus perdana perlu berperanan menyatu dan menunjukkan kebersamaan dalam hal ini. Mereka perlu berfungsi secara professinolisme. Salah satu cara, media arus perdana seperti RTM, TV3, Astro Awani dan sebagainya boleh mengundang tokoh-tokoh pembangkang, swasta untuk bercakap mengenai Covid menerusi saluran masing-masing. 

Lebih indah lagi mereka "atukkan" (padankan) tokoh pembangkang, swasta dengan kerajaan diapa-apa siaran atau program biar mereka bercakap mengenai Covid dan akan dinilai dan didengar oleh masyarakat. Peranan media massa memupuk persefahaman demi Covid adalah penting. 

Tindakan lebih profesionalis diperlukan. Media arus perdana jangan hanya memberi ruang kepada pihak kerajaan atau pihak ada kausa sahaja. Sedikit pelek dengan cara sikap media massa arus perdana negara ini,  mereka hanya memberi ruang kepada pihak ada kuasa, tetapi mengenepikan pihak tidak ada kuasa, sehinggalah yang hilang kuasa itu berkuasa kembali baru diberikan ruang. Itulah prinsip media cabuk. 

Media harus perdana Malaysia perlu mencontohi bagaimana media massa dunia berperanan. Tidak perlu pergi jauh jengok sahaja beberapa saluran televisyen di negara tetangga kita, Indonesia. Mereka nampak lebih profesional, bebas dan menghayati prinsip kebebasan bersuara dan benar-benar praktik semangat kewartawanan.

Selain itu terfikir juga kepada saya kenapa rakyat seperti degil dan liat serta serba tidak kena melihat langkah dan peraturan dibuat kerajaan. Gambaran keresahan dan penolakan ini terpantul dalam media sosial. Apa yang ditulis dalam media sosial itu adalah realiti. 

Saya mengira antara faktor rakyat jadi demikian kerana mereka hilang kepercayaan kepada kerajaan yang memerintah hari ini. Mereka tidak hormat kepada kerajaan apabila cara pembentukkan diluar prinsip demokrasi sebenarnya. Jadi walaupun seribu kali benar para pemimpin menteri, timbalan menteri bercakap, menyeru, mereka liat untuk mempercayai. Pakailah serban atau kopiah berwarna warni rakyat tidak mudah untuk akur dan patuh kepada apa yang mereka cakap. Tindakan kudeta menjadi satu phobia kepada rakyat hilang kepercayaan.

Masalah ini perlu diselesaikan secara psikologi dengan cara menyakinkan mereka kepada usaha kerajaan. Caranya ialah dengan memberi atau menggunapakai sama tokoh-tokoh mereka (pembangkang) berpartisipasi dalam setiap program untuk membendung Covid. Undanglah ketua-ketua parti pembangkang atau tokoh berwibawa dalam PH untuk tampil memberi pandangan dan seruan di televisyen. 

Sementara apabila diberi peluang atau saluran bercakap, sang pembangkan itu jangan mengambil kesempatan untuk membelasah kerajaan membuta tuli.

Tegasnya, penentangan Covid tidak boleh dilakukan secara terpisah, kepuakan sebaliknya perlu penglibatan, kerjasama intim semua pihak. Kita perlu berSOLIDARITI menentangnya. Ancaman Covid sama dengan ancaman dadah ia tidak mudah berakhir kalau kita bergerak secara terpisah. [wm.kl.9:30 am 23/05/2021]

No comments: