SURAT TERBUKA KEPADA MAHIADDIN MD YASSIN.
YAB Tan Sri Mahiaddin Md Yassin,
Pejabat Perdana Menteri,
Putrajaya, Kuala Lumpur.
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
APA khabar Tan Sri, saya mendoakan Tan Sri sihat-sihat sahaja dan terus mendapat hidayah daripada Allah SWT. Dipelihara dan diselamatkan Allah didunia dan akhirat. Surat terbuka ini merupakan surat terlanjang saya kedua untuk Tan Sri, selepas surat pertama saya tempoh hari yang saya hantar dan siarkan melalui blog ini tanggal 15 Oktober 2020. Surat itu ada juga saya muatkan dalam buku saya berjudul KEMENANGAN DIKHIANATI terbitan November 2020.
Saya tidak pasti apakah Tan Sri baca atau tidak surat berkenaan? Antara lain menerusi surat itu saya minta Tan Sri berundur daripada menjadi perdana menteri dengan alasan dan sebab-sebab yang dijelaskan. Saya jujur berharap demikian kerana sudah dapat mengagak Tan Sri akan berhadapan dengan pelbagai masalah kalau terus memegang jawatan perdana menteri. Saya menyarankan demikian memandang Tan Sri sudah dibalun kaw-kaw oleh banyak pihak, jadi sebagai jalan keluar untuk Tan Sri, dan tidak memburukkan imej Tan Sri perlu berundur.
Saya membuat cadangan itu bukan bencikan Tan Sri melain sayang kepada Tan Sri seperti mana kata saya, Tan Sri salah seorang tokoh atau politician yang saya hormati di negara ini. Sebelum terjadi rampasan kuasa (25 Februari 2020) penerimaan saya terhadap Tan Sri sebagai seorang pemimpin sangat tinggi. Dalam mata saya Tan Sri berbeza dengan pemimpin lain berdasarkan perwatakan dan latar belakang keluarga berpendidikan agama. Tetapi setelah berlaku kudeta dan Tan Sri menduduki kerusi panas (PM), persepsi saya turut berubah.
Bagaimana pun saranan dan cadangan saya tersebut tidak dipedulikan oleh Tan Sri. Tiada petunjuk Tan Sri untuk berundur. Tan Sri saya lihat bahkan semakin ghairah dengan jawatan itu dan tidak takut menghadapi apa-apa masalah mendatang. Saya tahu Tan Sri ikhlas untuk membela Melayu dan negara dengan jawatan itu, tetapi kesan daripada itu tidak begitu menyenangkan. Tampaknya keberadaan Tan Sri dijawatan itu tidak banyak menyelesaikan masalah, bahkan tambah merumitkan keadaan.
Alasan Tan Sri mengambil alih kerajaan dan memusnahkan kerajaan PH kononnya hendak selamatkan KEADAAN masih belum dijelas sampai kini. Saya dan orang lain juga ternanti-nanti. Sebaliknya keadaan negara semakin teruk jadinya setelah Tan Sri menjabat jawatan PM yang sudah memasuki tahun pertama bulan kedua.
Nasib Tan Sri kurang baik. Sebaik Tan Sri mengangkat sumpah jadi PM negara ditimpa bencana Covid-19, sehingga proklamasi darurat perlu diadakan. Dan pandemik Coronavius juga walaupun proklamasi darurat diperkenankan seakan tidak mahu reda, seolah-olah ia memberi isyarat makrifat kepada Tan Sri. Apakah itu suatu hukum karma ke atas Tan Sri, walahu'alam.
Kini sudah setahun dua bulan Tan Sri memimpin kerajaan PN. Macam-macam orang tohmahkan kepada Tan Sri. Tagline #KerajaanGagal, nampak begitu popular dan dijaja oleh rakyat. Negara juga ditimpa berbagai bencana dan insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Terbaharu ialah perlanggaran dua buah LRT dalam terowong sehingga Pengerusi Prasarana Sdn Bhd dipecat.
Paling ketara dan ini mendukacita, kes Covid di negara kita naik mencanak setiap hari. Daripada awalanya dua angka, menjadi tiga angka dan kini sudah cecah empat angka. Semasa saya tulis surat ini kes Covid negara kita hari ini sudah mencecah 8,290 kes menjadi keseluruhan kes 549, 544 dengan kematian keseluruhannya 2,552. Keadaan Covid negara kita lebih buruk daripada India dan terkebelakang daripada negara jiran. Saya percaya dan yakin Tan Sri anak beranak memantau setiap saat keadaan ini, dan dada Tan Sri tentu tidak pernah berhenti berdebar dan "bergerunyuk" mengenangkan Covid.
Masalah Covid sudah jadi bencana buat negara ini. Semua orang resah gelisah menghadapinya. Berbagai cadangan dan formula dikemukakan untuk mengatasinya bagi meringankan beban Tan Sri. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan soal proses vaksinasi yang lembab. Sehubungan itu beliau meminta kerajaan menyerahkan "data granular" kepadanya untuk sama-sama memantau dan membuat unjuran kes lebih tepat.
Pihak Umno juga membuat cadangan dalam hubungan sama. Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azalina Othman Said meminta parlimen dibuka. Begitu juga dengan Naib Presiden Umno Datuk Mohamed Khaled Nordin. YB Lim Kit Siang juga memberi pandangan ke atas untuk menyelamatkan negara. Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga memberi idea bernasnya dengan mencadangkan agar lockdown diadakan secara bersasaran di sempadan negeri. Cuma kalaupun yang tidak bersuara apa-apa memberi cadangan hanya daripada parti agama se Malaysia.
Teguran dan pandangan itu menjelaskan keresahan mereka yang ikhlas ingin berkongsi membantu Tan Sri meringankan beban. Malangnya Tan Sri menepis segala cadangan dan pendapat itu. Sikap degil Tan Sri ini menjadikan Tan Sri akan dimusuhi ramai.
Berkenaan apa dilontarkan kepada Tan Sri saya yakin Tan Sri mengambil maklum setiap apa yang orang kata dan lemparkan kepada Tan Sri. Dalam wawancara khas dengan RTM 23 Mei lalu, Tan Sri mengakui ramai orang marah kepada Tan Sri, dan Tan Sri sedia menghadapinya. Malahan Tan Sri bersedia menghadapi apa sahaja demi rakyat dan negara.
Tan Sri secara jujur saya nyatakan apabila saya menulis surat seperti ini merayu agar Tan Sri berundur bukan bermakna saya benci dan tidak sukakan Tan Sri. Tetapi saya kesian kepada Tan Sri yang sudah jelas tidak mampu untuk menstabilkan negara. Tiga aspek yang nyata, POLITIK, KESIHATAN/KESELAMATAN dan EKONOMI seakan sudah tidak terkawal dan terjangka lagi. Justeru sebagai menyelamatkan diri dan jalan alternatif terus dikecam, elok Tan Sri berundur. Resign.
Tan Sri kena sedar dan insaf bahawa keadaan politik negara dibawah Tan Sri tidak akan stabil sehinggalah Parlimen dibubarkan. Kedudukan Tan Sri hari ini bukan seperti telor di hujung tanduk lagi, tetapi sudah jatuh dan tergolek ke bawah. Cuma telor itu retak dan belum terbelah. Namun telor itu sudah buruk, busuk dan tidak berguna lagi, Tan Sri.
Tan Sri gagal mendamaikan keadaan POLITIK menyebabkan Tan Sri terus diserang dan dilanyak. Pihak pembangkang serta sebahagian kerajaan tidak henti menyerang Tan Sri. Bukan saja golongan oposisi tetapi entiti lain juga meragu keupayaan dan cara Tan Sri menghadapi masalah. Tan Sri sudah jadi macam Harimau tua yang kurus yang dikejar dan diusik oleh haiwan predator lain. Selama mana Tan Sri hendak mempertahankan diri, berlari, berlindung dalam keadaan diri sudah tidak bermaya sedangkan musuh semakin galak. Tan Sri akan keletihan.
Begitu juga dengan keadaan EKONOMI negara tidak akan pulih dalam jangka masa terdekat, hinggalah dua tiga tahun lagi pun. Pendapatan negara kian merosot dan menguncup. Apbila Tan Sri tidak bersedia melakukan lockdown, ia adalah indikator kantung duit negara sudah kering. Pengangguran juga akan bertambah dan nasib rakyat B40 terus tertekan. Masalah sosial dan jenayah juga melambak. Walaupun angka-angka pencapaian dan ujuran dibuat oleh para menteri, tetapi ia semua adalah palsu dan tipu. Ia adalah propaganda dan umpan untuk menyakin dan melenakan rakyat sahaja. Tan Sri amat arif mengenai manipulasi dan taktik wayang gambar pacak ini. Dan rakyat pula tidak mudah percaya serta mengubah sikap menjadi positif untuk negara dengan angka-angka dimanipulasi itu.
Dan paling mencemaskan Tan Sri ialah KESELAMATAN dan NYAWA rakyat. Unjuran dan ramalan yang dibuat oleh pihak KKM, bahawa pandemik akan meluas dan angkanya boleh sampai ke 10,000 kes sehari sesuatu menakut dan menggerunkan. Mulanya kita mengambil ringan dan dipoliticize dengan unjuran dibuat itu, tetapi hari ini ia sudah hampir tiba. Realiti sudah sampai ke hadapan kini. Dimana-mana kita nampak gamitan tangan maut Covid.
Tan Sri rakyat tahu, sebagai manusia biasa Tan Sri tidak memiliki lampu ajaib dan diberikan mukjizat untuk menyelesaikan masalah negara seperti dimiliki para Nabi dan Rasul. Sebab itu Tan Sri menempelak pewacara dalam siaran khas, "apakah saya mampu jaga 30 juta rakyat?". Pertanyaan itu menunjukkan Tan Sri emosi dan resah. Dan orang semua tahu Tan Sri tidak dapat memberi jaminan bahawa Covid akan terhenti. Tan Sri bukan ubat dan penawar atau menjadi syarat Covid akan berhenti kalau Tan Sri berundur. Tidak. Tetapi ada manfaatnya kalau Tan Sri berundur. Setidak-tidaknya dengan berundurnya Tan Sri rakyat mempunyai semangat dan keyakinan baru untuk mengatasi masalah negara dengan berketuakan orang baru. Rakyat akan merasa lega dan kurang tension kalau Tan Sri berundur.
Di sini saya tidak obses (melulu) mahu diserahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi mahukan perdana menteri tidak lagi Tan Sri. Apapun sebaik-baiknya kalau Tan Sri serahkan kepadanya. Apabila berlaku pertukaran, rakyat akan berasakan mereka mendapat semangat baru untuk berhadapan dengan Covid dan masalah sampingan lain, ekonomi dan keselamatan rakyat. Perdana Menteri baru tentu mempunyai jalan dan akal penyelesaian berbeza dengan Tan Sri. Yang penting PM itu nanti mendapat sokongan rakyat.
Tan Sri saya tahu sukar untuk Tan Sri berundur secara terhormat dan terus menyerahkan diri kepada takdir. Anologi saya kepada orang politik dan kuasa, "seperti lelaki yang berada atas perut wanita. Lelaki tidak akan turun selagi ia tidak puas." (Maaf Tan Sri, obscenity sikit). Tan Sri mungkin merasa malu untuk meletakkan jawatan sebagai mengambil tanggungjawab. Sebenarnya Tan Sri tidak patut berasa malu atau terhina untuk berbuat demikian. Bahkan saya yakin ramai yang gembira dan menyanjungi Tan Sri meletak jawatan daripada Tan Sri jatuh secara paksa. Tan Sri jangan degil. Beradulah sementara angin belum kencang bertiup.
Sebagai seorang hamba yang dinamakan "Mahiaddin" (penyelamat agama) Tan Sri mengaku kelemahan dan nasib yang menimpa Tan Sri kini. Bertindaklah selaras dengan maksud dan erti nama Tan Sri itu. Kelemahan dan kelembaban kerajaan yang menjadikan kerajaan PN GAGAL, bukan sahaja kerana ulah dan perangai Tan Sri seorang, tetapi ia disumbang oleh para menteri lain. Mereka (para menteri) juga seakan tidak dapat berbuat apa-apa dan menjadi lemah apabila Tan Sri sendiri lemah. Setengahnya macam Pak Kadok atau Pandir.
Sekali lagi saya dengan ikhlas memohon Tan Sri ambillah langkah berani dan bijak dalam situasi hari ini, dengan MELETAK JAWATAN. Usah berdegil atau terus mahu menegakkan benang yang sudah kebasahan, kerana ia meletihkan dan natijah memburukan diri dan imej Tan Sri sahaja. Benang basah sukar ditegangkan semula apabila dalam hujan. Ambil contoh dan iktibar daripada kejadian dan tindakan bekas-bekas PM sebelum ini.
Apa dilakukan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi boleh dicontohi. Pak Lah apabila beliau tahu kelemahannya, dikecam dan dimaki (termasuk oleh Tan Sri sendiri) akhirnya beliau mengambil keputusan meletak jawatan. Apakah Pak Lah selepas itu menjadi hina dan tidak dihormati rakyat? Tidak, bahkan Pak Lah dihormati rakyat dan rakyat menganggapnya beliau seorang pemimpin yang soleh, dan tahu serta bijak mengetahui tarikh dan detik beliau berundur. Beliau mengambil keputusan berat itu demi survive partinya.
Jangan hendaknya jadi seperti Seri Datuk Najib Razak, yang berundur apabila partinya tewas dalam pilihan raya. Dan jangan juga jadi seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhenti secara taktikal yang memberi peluang kepada Tan Sri menjadi perdana menteri. Berundurlah seperti Allahyarham Tun Hussein Onn yang dilihat bermaruah dan bertanggungjawab. Allahyarham perdana menteri ke tiga itu mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan selaku presiden Umno apabila menyedari ada kritikan terhadap kepimpinannya sebagai presiden Umno.
Allahyarham Hussein tidak dan belum kalah sebagai presiden Umno, tetapi meninggalkan jawatan dan juga jawatan PM apabila ia ditentang dalam perhimpunan agung Umno untuk jawatan presiden. Cara Hussein Onn sangat bermaruah dan bertanggungjawab jauh sekali dilihat sebagai gilakan kuasa. Tan Sri berhentilah sebagai seorang imam yang tulus dan ikhlas apabila ia terbatal syarat sebagai imam, dia membatalkan sembahyang dan diserahkan kepada makmum lain yang layak menjadi imam. Imam yang baik tidak akan mengsia-siakan jemaahnya.
Akhirnya saya pohon maaf atas surat ini kepada Tan Sri. Percayalah saya tidak benci dan dengki dengan Tan Sri, saya tidak memperolehi apa-apa ganjaran daripadanya pun, melainkan memberi sedikit pandangan kalau-kalau hendak didengar demi negara tercinta ini. Tan Sri jangan lupa makan ubat.
Sekian wassalam.
Yang benar,
MOHD SAYUTI OMAR (MSO).
Penulis Kerdil di Pinggir Kota,
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment