Monday, November 22, 2021

BN jangan ghairah, dosa Najib belum terampun

SUSUPAN MALAM

EKORAN kemenangan bergaya BN dalam Pirane Melaka sekaligus mengejutkan pemerhati politik, ada
ura-ura dan gesaan supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan dalam waktu terdekat. 

Ismail Sabri Yaakob selaku perdana menteri oknum bertanggungjawab untuk menasihatkan kepada Yang diPertuan Agong bagi membubarkan parlimen sudah diberi tahu mengenai hasrat itu. 

Hal ini dilaporkan telah oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hassan sendiri. Menurut perkiraan Mohamad Hassan waktu ini BN ada feel good factor untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 itu. Semuanya berpandukan kepada keputusan Pirane Melaka semalam, dimana BN mendapat 21 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Bagaimana pun pendapat Mohamad itu bercanggah (disanggah) oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat sebagai oknum yang berpandangan rasional dan tenang dalam Umno, yang mengingatkan agar Umno tidak mudah untuk menjadikan Pirane Melaka itu sebagai kayu ukur untuk mengatakan kekuatan BN sebenarnya dan berkira-kira untuk bergerak secara solo.

Kata Khairy Umno harus mengkaji dan meneliti apakah parti itu patut untuk bergerak secara solo. Bagi Khairy beliau masih tidak percaya kepada kekuatan yang ada kepada Umno hari ini untuk bergerak secara berdendiri tanpa berpakat dengan mana-mana pihak apa lagi jika hanya berpandukan kepada Pirane Melaka tersebut. 

Memahami pandangan Khairy itu, menjelaskan beliau tidak menjadikan kemenangan BN di Melaka itu sebagai representasi buat BN untuk menghadapi pilihan raya umum nanti ini, kerana pilihan raya itu hanya membabitkan 65 peratus pengundi sahaja di mana ada 35 peratus lagi yang tidak turun dan dipastikan sokongan mereka.

Dengan peratus keluar mengundi rendah, Khairy berpendapat bukan satu indikator atau kesimpulan mudah dibuat bahawa BN boleh membuat keputusan untuk bergerak secara solo. Lantaran itu beliau mengingatkan BN supaya berhati-hati.

Ramai pemerhati sependapat dengan Khairy itu. Kemenangan BN di Pirane Melaka itu kerana faktor besarnya, disebabkan peratus keluar mengundi rendah. Hakikat ini diakui oleh pihak PH juga. Sekiranya peratus keluar mengundi tinggi mungkin kedudukan berubah. 

Apabila diambil perkiraan dibuat oleh Lim Kit Siang ia munasabah dan ada logikalnya. Dalam perkiraan Kit Siang, perbezaan atau kekurangan undi yang diperolehi BN dengan PH hanya sekitar 8,773 undi sahaja, dimana menurut peratus undi, BN memperolehi 38.39 peratus sementara PH memperolehi 36.65 peratus sahaja, bezanya 1.74 peratus sahaja. Selebihnya diperolehi PN dan calon babas.

Perangkaan itu relatif sangat rendah dan bukan angkubah yang mewah. Sekiranya apa diperkatakan Khairy itu benar, jikalau peratus keluar mengundi tinggi, kemungkinan BN tidak menang sebergaya seperti semalam sehingga mendapat 2/3.

Perlu diingat, terdapat 12 kerusi yang BN menang dengan majoriti bawah pada 1,000, tujuh kerusi menentang PH dan lima kerusi menentang PN. Majoriti itu adalah marginal. Dengan perangkaan itu ia bukan satu keadaan yang selesa bagi BN jauh lagi untuk mencatatkan BN memiliki feel good factor dengan keputusan Pirane Melaka itu.

Di dalam pilihan raya umum nanti, situasi dan kondisinya jauh berbeza. Sekiranya BN mengharap kepada peratus keluar mengundi rendah untuk memastikan mereka akan menang, ia silap. Kerana dalam pilihan raya umum pengundi akan bersikap lebih bertanggungjawab kepada kewajiban mereka. Mungkin suasana ketika itu nanti tidak menakutkan seperti sepanjang Pirane Melaka itu yang ditakuti dengan Covid. Dan apa perlu diperkirakan apakah kalau peratus keluar mengundi tinggi ia akan berpihak kepada BN?

Seandainya mengambil kira pandangan dan peringatan Khairy itu, ia tidak menjamin kebaikan untuk BN. Khairy sudah tentu ada perkiraan dan matematik politik masih belum yakin dengan pemulihan semangat dalam Umno keseluruhannya. 

Bukan itu sahaja, dalam Piraum ke-15 nanti suasana jauh berbeza dengan Pirane Melaka itu. Boleh jadi perlawanan bukan lagi tidak penjuru lagi seperti di Melaka itu, sebaliknya hanya dua penjuru sahaja. Gabungan ketiga mungkin tiada apabila berlaku konsensus atau pendekatan politik baru kelak. 

BN perlu berfikir dan mengambil kira, PN yang beriya-iya untuk membunuh BN khasnya Umno tidak akan kekal dengan strategi menentang BN tiga penjuru seperti berlaku di Melaka itu apabila mereka menyedari strategi itu menguntungkan UBN. Nafsu dendam Mahiaddin Yassin sangat tinggi untuk tidak melihat Umno dan BN wujud di bumi Malaysia ini.

Semalam pun dalam reaksi segera kepada saranan agar beliau bubar Bersatu dan kembali kepada Umno, beliau menegaskan tidak akan berbuat demikian dan kekal dengan partinya dan PN, kerana Bersatu memperjuangkan soal integriti dan tadbir urusan lebih baik. 

Perlu juga diketahui Mahiaddin menubuhkan Bersatu adalah kerana mahu menegakkan prinsip dan melawan Umno yang tidak berintegriti. 

Ertinya selagi dalam Umno itu ada Najib Razak dan orang-orang sepertinya, Mahiaddin tidak akan membubarkan Bersatu apa lagi untuk kembali kepada Umno. Sementelahan pula, apabila pilihan raya umum itu diadakan dengan tujuan BN ingin mendapat kuasa, ia menambahkan kemarahan dan membuakkan dendamnya kepada BN kerana dalam sifat makrifatnya kalau BN menang, Najib akan diampunkan. Pengampunan bagi Najib sesuatu yang mengecewakannya?

Hari ini dosa Najib masih belum terampun sepenuhnya, lantaran itu ia sama sekali tidak memungkin untuk Mahiaddin bersama Umno atau BN. Sekiranya dia kembali bersama Umno bermakna prinsip dan integriti yang dipertahankan selama ini lebur dan akan diejek. Apa lagi kalau beliau mendapat keyakinan daripada Pas untuk kekal bersamanya dalam Perikatan Nasional (PN), beliau akan terus mengenderai PN dalam pilihan raya akan datang. Timbalan presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man pula telah memberi jaminan parti itu tidak mengkaji kedudukannya dalam PN. 

Ertinya untuk berpatah balik kepada BN bagi Mahiaddin sama sekali tidak. Jika ini berlaku feel good factor seperti  mana disebut oleh Mohamad Hassan itu tidak mudah memberi laba kepada BN, sekiranya dalam Piraum ke-15 nanti BN akan berlaku perlawanan tiga penjuru kerana situasi dan kondisinya lain. 

Dan suatu perkara perlu difikir dan dihitung sebaik mungkin oleh BN, pastikan apakah dalam Piraum ke-15 nanti akan berlaku pertandingan tiga penjuru seperti di Melaka itu? Dengan dinamika politik mana tahu dalam pilihan raya itu nanti, Bersatu atau PN akan menemui titik persamaan untuk bergabung? Barang diingat antara PN dan PH memiliki semangat sama untuk menentang kemungkaran dan mewujudkan pentadbiran yang baik. 

Jika ini berlaku, sudah pasti pencapaian cemerlang di Melaka itu tidak relevan lagi untuk dijadikan kayu pengukur, lantas apa disarankan Khairy itu perlu diperhalusi, jangan mengambil tindakan gopoh.  

Juteru, BN khasnya Umno jangan tergesa-gesa untuk mendesak Ismail Sabri mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat dan sebaik-baiknya tunggulah sehingga Julai tahun depan seperti mana yang telah dipersetujui dalam MoU. Sementara menanti Piraum ke-15 Umno sebaiknya berbulan madu dengan kemenangan di Melaka itu sepuas-puasnya sambil mengemaskan kedudukan partinya di seluruh negara. [wm.kl. 8:33 pm 21/11/2021]

No comments: