Tuesday, November 2, 2021

Tiga penjuru dalam Pirane Melaka?

ULASAN

LIMA hari sahaja lagi akan berlangsung penamaan calon bagi pilihan raya negeri (Pirane) Melaka, 8 November, manakala 20 November hari mengundi. Pirane itu merupakan pilihan raya Melaka yang ke-15. Ia diadakan ekoran DUN Melaka dibubarkan apabila kerajaan negeri dipimpin BN yang dicuri daripada PH tumbang setelah empat Adun menarik sokongan. 

Beberapa hari sebelum ini sebaik Dun Melaka diisytiharkan terbubar, parti-parti politik utama sibuk membuat persiapan dan mencatur untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Walaupun pembubaran itu dicabar kerana keabsahannya dipertikaikan, tampaknya ia berbekas dan sudah pasti pilihan raya akan dilangsungkan.  

Umumnya ada tiga kelompok atau komponen terbesar yang sibuk dan akan pasti mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut. PH, BN dan PN. PH sudah pasti ghairah untuk menghadapi pilihan raya itu kerana sebab-sebab khusus yang dirasakan mencabarnya. 

Dendam marah PH kerana kerajaan mereka yang dibentuk selepas Piraum ke-14 dirampas oleh UBN berikutan tumbangnya kerajaan PH di peringkat persekutuan. Peristiwa itu meninggalkan kesan marah kepada PH menyebabkan mereka berkobar-kobar untuk menghadapi Pirane itu.

Rasa marah itu ditambah lagi apabila PH gagal untuk merampas balik kerajaan UBN-Bersatu itu walaupun sudah mendapat sokongan dari 4 Adun termasuk dua daripada Umno dan seorang daripada bekas DAP dan Bersatu. Malangnya walaupun PH cukup sokongan, tetapi Yang diPertuan Melaka Mohd. Ali Rustam bertindak membubarkan DUN Melaka atas nasihat Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri. 

UBN pula tentu lebih berdebar-debar dan cemas untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Mereka tentu rasa ralat dan cemas kerana baharu kehilangan kerajaan. Kejadian itu memberi kesan dan phobia kepada komponen itu yang kini dilihat terdesak dengan pelbagai masalah. Apa lagi parti yang mereka ajak untuk bersama dan  sudah pun berjanji untuk bersekutu, iaitu Pas memungkir janji.

Pas yang sebelum ini menyatakan kerjasama dengan Umno kononya atas dasar perpaduan ummah, demi untuk maslahat agama dan bangsa tidak bersama dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya itu sebaliknya memilih Bersatu yang mereka wujudkan Perikatan Nasional (PN). 

Pas dalam kenyataan dikeluarkan oleh presidennya Abdul Hadi Awang menegaskan yang parti itu akan bertanding menggunakan simbol PN bukan Dacing (BN) dalam Pirane itu nanti. Kenyataan itu menamatkan satu episod yang ditunggu-tunggu kesudahannya. 

Kenyataan itu menjadikan UBN kecewa dan tambah mengusarkan untuk menghadapi pilihan raya Melaka itu. Angan-angan Umno untuk menumpang Pas bagi menpadat sokongan Melayu berkecai kerana atas tindakan "ikan keli dalam besen" parti agama itu. 

Sebenarnya bagi pemerhati politik yang mengenali Pas tidak pelik dan rasa aneh dengan tindakan Pas itu, mengapa mereka lebih mempercayai Bersatu daripada Umno. Pas khususnya presidennya seorang yang tidak istiqamah dalam membuat sesuatu keputusan walaupun ujarnya parti itu tetap istiqamah dengan dasar Islamnya?

Buat sementara perhitungan dan rancangan Umno untuk bersama Pas sudah boleh dianggap selesai. Khalaf, melainkan ada usaha secara senyap untuk menyakinkan Bersatu agar berkolaborasi dengan BN bagi memastikan Melaka tidak terlepas kepada PH. Masih belum mustahil jika Umno dan Bersatu ada kesedaran dan melihat PH bahaya mereka boleh "kerabat" semula. Pas akan ikut sahaja apa diputuskan Bersatu, macam si buta yang mengikut penariknya. 

Seandainya dengan pendirian Pas itu menjadikan Bersatu bersedia untuk tidak mendengar pujukkan Umno, maka sudah pasti ketiga-tiga parti itu akan berlawan sesama sendiri, PN (Bersatu dan Pas) satu pihak manakala BN (Umno, MiC dan Mca) satu pihak. Ini memberi gambaran akan berlaku pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya itu, BN, PN dan PH. 

Seandainya berlaku pertandingan tiga penjuru yang dilihat mempunyai potensi besar untuk menguasi Dun Melaka antara BN dan PH. Sementara PN sangat tipis memandangkan kedua parti membentuk komponen itu tidak meluas di Melaka. Melaka bukan seperti Kelantan atau Terengganu untuk Pas, sementara Bersatu pula sebagai serpihan baru kepada Umno tidak sekuat Amanah yang juga serpihan daripada Pas. 

Berbeza dengan PH waktu ini. Dalam BN dan PN bermasalah mencari titik temu dan formula untuk bersama, mereka sudah pun kemas sepakat untuk menghadapi pilihan raya berkenaan. Pembahagian kerusi antara tiga parti sudah pun selesai. Keadilan akan bertanding di 11 kerusi sementara DAP 8 dan Amanah 9 kerusi.

Kalaupun sedikit bermasalah berhubung kedudukan empat Adun yang menarik sokongan yang dikatakan akan bersama PH dan ikut diletakan sebagai calon. Cadangan itu dibantah menyebabkan ia menimbulkan sedikit masalah. Bagaimana pun perkembangan terakhir memberi gambaran tidak semua daripada empat Adun itu akan diterima bertanding dibawah payung PH. 

Hanya dua sahaja diberitakan akan diberi laluan dengan bertanding dibawah lambang PH. Kedua mereka daripada Umno, bekas ketua menteri Idris Haron (Sg Udang) dan Nor Azman Hassan (Pantai Kundor). Idris mungkin menyertai PH bersama Amanah manakala Noor Azman bersama Keadilan.

Ada pihak yang membantah dengan tindakan itu. Seorang pemimpin Keadilan yang tidak aktif menyalahkan penerimaan kepada Adun yang lompat itu kepada Mohamad Sabu atau khasnya Amanah. DAP juga menyatakan bantahan mereka daripada menerima Adun berkenaan. Bagaimana pun akhirnya DAP akhirnya menyerahkan kepada kebijaksanaan dan Amanah dan Keadilan untuk menerima kedua-dua bekas Adun itu.

Berbalik kepada perkembangan BN dan PN, apabila Pas sudah memutuskan untuk bersama PN, Umno tampaknya tidak dapat tidak akan bertanding di semua 28 kerusi seperti mana disebut presidennya sebelum ini. Langkah Pas memilih Bersatu memaksa BN bertanding disemua kerusi. 

Umno dikatakan hasrat untuk bertanding disemua kerusi majoriti Melayu sebanyak 21 kerusi. Tetapi dengan langkah terbaru Pas itu menyebabkan Umno akan bertanding di semua kerusi, kecuali dua yang akan diserahkan kepada MiC dan McA.

Dua hari lepas terdengar kononnya persetujuan antara Umno, Bersatu dan Pas telah dicapai untuk sepakat dalam pilihan raya itu. Pembahagian kerusi telah dibuat dimana Umno bertanding di 23 kerusi sementara selebihnya dibahagikan antara Bersatu dengan Pas. Masing-masing parti bertanding atas lambang sendiri. Tetapi persetujuan itu ditolak apabila Bersatu membuat perhitungan baru. 

Bagaimana pun senario yang tergambar kini masih belum muktamad secara tuntas. Apa yang disebutkan itu berlaku sekiranya kenyataan terbaru Abdul Hadi itu kekal dan tidak goyah. Namun perlu berwaspada dan berhati-hati khasnya kepada PH, apa yang disuarakan Abdul Hadi ataupun pihak BN dan PH ia boleh berubah keadaan dan semuanya akan dapat disahkan selepas hari pernamaan calon. 

Boleh jadi parti-parti politik yang bertanding itu tidak menunjukkan semangat kebersamaan bagi menghadapi antara satu sama lain, tetapi ia boleh berubah selepas selesai penamaan calon dan setelah kempen berjalan beberapa hari ini. 

Sesuatu yang mengejutkan boleh berlaku, tiba-tiba sahaja ada yang menarik diri kemudian menyatakan sokongan kepada pihak-pihak tertentu. Dan boleh jadi juga pelan dikemukakan Umno yang dikatakan telah dipersetujukan itu dihidup kembali. 

Politik sesuatu yang tidak dapat dijangkakan. [wm.kl.12:30 pm 02/11/2021]

No comments: