Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali (Minali) mengambil masa lebih 2 jam membentang Bajet Selangor untuk tahun 2017. Bajet 2017 adalah bajet berimbang di antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Sebanyak RM3.45 billion diperuntukan untuk bajet tahun depan. Ia merupakan bajet terbesar dan mencatat di negeri itu.
Azmin membentang bajet terbesar Selangor. |
Kelebihan peruntukan pembangunan ini menunjukkan kerajaan Selangor mengambil berat soal kepentingan rakyat suatu tindakan bijak perlu dipuji kerana ia jauh lebih baik daripada peruntukan pembangunan kerajaan Pusat seperti dibentang Najib Razak di mana hanya 18% peruntukan pembangunan berbanding di Selangor 25%.
Sepanjang lebih dua jam Minali berucap dipenuhi angka-angka dan pengumuman berbagai-bagai bentuk insentif, skim atau faedah untuk rakyat. Minali mencari dan membongkar segala permasalahan rakyat kemudian ditimbus dan diperbaikinya. Sedap dan ralik mendengarnya. Ucapan bajet Selangor penuh angka berbeza dengan bajet Kelantan semasa perbahasannya penuh dengan cemuhan, sindiran dan lagak hendak tunjuk pandai, atau pun tunjuk bulu betis siapa lebih panjang?
Dua jam lebih semacam setengah jam sahaja. Meskipun insentif yang diumumkan itu tidak masuk langsung ke kantong saya (sebab bukan rakyat Selangor), tetapi sekurang-kurang seronok melihat bagaimana keperihatian dan kepedulian sebuah kerajaan yang dicernakan demi kepentingan rakyat. Golongan marhaen yang tertekan dengan gelora ekonomi kini dibela sepenuhnya. Pemimpin yang sedar dan insaf rakyat beginilah yang didambakan.
Sedap mendengar bajet daripada kerajaan negeri yang kaya raya. Semua orang memberi tumpuan dan perhatian. Menerusi facebook seramai 6,000 netizan mengikuti bajet berkenaan. Ini menunjukkan Selangor dan kepimpinan Minali diberi tumpuan. Ahli pembangkang juga tidak kedengaran menjerit atau mengejek-ejek Minali di sepanjang membentang perbelanjaannya. Mungkin mereka juga terkejut kera mendengarnya sambil tersipu malu kerana ia jauh lebih hebat dari bajet Perdana Menteri.
Mereka hanya baharu berkokok dan bersuara di luar sebagai merai media massa yang ingin mengutip pandangan dan kritikan mereka bagi mensensasikan berita di hari esok.
Banyak faedah yang dikutip rakyat Selangor dari bajet itu tadi. Dalam bajet sebelum ini rakyat sudah dapat melihat perbezaanya dengan bajet di zaman UBN memerintah, namun bajet 2017 yakni bajet ke tiga Minali menambahkan lagi kelabaan mereka.
Hanya ada dua perkara yang mahu disebutkan di sini menjadi lambang kepada keprihatian dan keinsafan kerajaan Selangor kepada kepentingan rakyatnya. Pertama ialah skim insuran dibawah skim "Peduli Sihat" dan skim bantuan untuk pelajar anak-anak Selangor dikenali Peduli Siswa. Dua skim ini menjelaskan kesungguhan kerajaan Selangor dalam bidang kesejahteraan dan memperkasakan pendidikan.
Sebanyak RM250 juta setahun diperuntukan menerusi skim Peduli Sihat ini. Skim ini memperkenalkan insuran kesihatan kepada rakyat yang berpendapatan dibawah RM3,000 atau golongan P40. Seramai 250,000 dari 3 juta rakyat Selangor berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan mendapat manfaat ini. Setiap keluaraga diperuntukan RM500 dimana dapat membiayai lima anggota keluarga. Mereka akan diberikan kad insuran - Medical Card mendapat rawatan di 1,000 pusat kesihatan di seluruh Selangor.
Skim kedua ialah Peduli Siswa. Dalam masa kerajaan Persekutuan memotong peruntukan untuk IPTA, sebaliknya Selangor mengorak langkah berani dan prihatin menyediakan peruntukan untuk membantu siswa di negeri berkenaan. Sebanyak RM10 juta diperuntukan bagi bantuan pendidikan kepada anak-anak Selangor di IPTA yang menghadapi masalah kewangan. Peruntukan atau skim ini bagi menambah peruntukan atau sikim pendidikan yang sudah sedia ada.
Selain dua skim itu berbagai insentif lain disediakan menerusi bajet berkenaan. Bajet Minali konprehensi dan memberi kepentingan kepada semua entiti dan lapisan masyarakat. Ada beberapa entiti atau pihak yang tidak dipedulikan selama ini turut menerima tempias dalam bajet bersejarah itu. Misalnya bantuan untuk golongan Sikh, bantuan prasarana sekolah Tamil dan Cina di samping memberi fokus khusus kepada pengembangan pendidikan agama Islam terhadap sekolah tahfiz dan sebagainya.
Selain itu golongan yang tidak dilupa dalam bajet itu termasuklah bekas pesara tentera yang tidak berpencan. Golongan wanita juga turut sama mendapat perhatian khas dengan perwujudan institiut pembedayakan kaum wanita. Seperti dikatakan di sini saya tidak bermaksud untuk menurunkan setiap apa yang diucap dan dirancangkan Minali.
Disamping pembangunan manusia bajet 2017 tidak melupai kepentingan kelestarian Selangor sebagai sebuah negeri contoh yang kekal sebagai negeri yang maju dan bersih. Beberapa peruntukan membina prasarana, membersih sungai, pembinaan jalan jajaran kemuduhan pengakutan dan sebagainya turut sama diberi perhatian. Perkhidmatan bas percuma di kawasan luar bandar di Selangor juga ditingkat dengan menambahkan peruntukan daripada RM10 juta tahun lepas kepada RM20 juta tahu depan.
Dari bajet itu mencerminkan bahawa Selangor masih unggul sebagai negeri Gedung Ekonomi Negara. Betapa tidak hari ini Selangor mempunyai rezab sebanyak RM3.62 billion. Negeri-negeri lain harus melihat dan belajar daripada keupayaan Selangor terutamnya kemampuan (kreativiti) MBnya mentadbir dan mengurus Selangor serta kepintaran menjana iktisadnya.
Kehebatan Selangor itu bukan sahaja ia bernasib baik kerana berada di pinggir Kuala Lumpur di mana limpahan pembangunan Kuala Lumpur banyak mempengaruhinya. Sebalik yang penting kemajuan Selangor kerana ia dipacu oleh seorang pemimpin berketrampilan dan berwawasan khasnya yang mengamalkan pentadbiran yang telus, berhemat serta bertanggungjawab.Walaupun negeri kaya tetapi kalau ia ditadbirkan pemimpin yang mengamalkan budaya korup negeri tetap juga kencut dan rakyat hanya bisa menelan air liur.
Bajet itu sendiri mencerminkan kemampuan Minali sebagai MB yang bertindak menjadi CEO kepada Selangor. Umpama sebuah syarikat maka ditangan CEOlah penentu apakah sebuah syarikat itu berdaya maju atau pun tidak. Keterujaan kita kepadanya ialah apabila masih mampu membentangkan bajet terbesar walaupun ekonomi negara diselubungi kesuraman muasir ini. Ini satu keberanian dan keberanian itu tentulah berdasarkan keyakinan dan iltizam yang kuat.
Pencapaian Selangor dan kemajuan kerajaan didokong bersama oleh Keadilan (PKR), Pas dan DAP itu sudah tentu dicurigai oleh pembangkang UBN. Umno khususnya geram dan marah dengan keutuhan kerajaan Selangor. Kesetiaan rakyat mendokong kerajaan Selangor tanpa sedia memakan taburan racun disebar UBN menunjukkan rakyat dapat menilai di antara intan dan kaca, di antara Minali dengan Noh Omar. Keampuhan rakyat inilah menjadi UBN bingung dan hilang akal.
Melihat kepada kehebatan dan kesejahtraan Selangor di bawah dokongan tiga parti inilah maka ia perlu dipertahankan. Di hujung ucapan bajet itu Minali membangkitkan soal peri pentingnya perpaduan dierat dan diperkemaskan. Kekayaan diagihkan dengan penuh keadilan dan sama rata. Perpaduan yang dimaksudkan tentulah antara pendokong kerajaan Selangor hari ini. Dan bajet itu mencerminkan akan keprihatinan Minali kepada semua golongan rakyat.
Kebersamaan dan persefahaman antara ketiga-tiga entiti politik itu (Keadilan, Pas dan DAP) adalah satu anugerah kepada rakyat Selangor. Kepaduan itulah juga menjamin Selangor kekal di tangan Pakatan Rakyat atau apa dinamakan kini Pakatan Harapan itu. Justeru sekiranya waktu ini ada niat serius pihak-pihak yang berpadu dalam pakatan itu ingin bertindak sendiri dalam Piraum akan datang kerana yakin akan mendapat kemenangan lebih besat ia hendaknya dinilai dan disemak kembali. Kiralah untung dan labanya. Harapan sebegitu tidak lebih daripada sebuah ilusi seperti mengharap air di tengah padang pasir.
Perpecahan perpaduan itu akan merelaikan kerajaan yang ada kini. Bukan itu juga ia boleh dianggap sebagai satu sikap tidak menghormati dan menganiayai rakyat Selangor yang sudah kesekian lama serit dan pedih di bawah UBN. Perbalahan entiti itu sebagai tidak menghargai sanjungan rakyat kepada mereka. Perpecahan antara entiti berkenaan juga suatu pengkhianatan.
Umum yakin dan percaya kerajaan yang dipimpinan Minali kini akan terus teguh maju dan berjaya selagi ketiga-tiga entiti politik itu mengekalkan iltizam awal mereka, kekal menghadapi UBN secara satu lawan satu. Apa lagi dengan hadirnya rakan baharu bernama AMANAH ia akan mengejapkan lagi kedudukan. Amanah akan mengejapkan amanah rakyat.
Syabas kepada Minali atas pembentangan bajet berjiwa rakyat yang berani menongkas arus atas sebuah keyakinan Selangor memimpin kerajaan menjadi model untuk sebagai mengganti semua saki baki pemerintahan dikuasai UBN. Piraum akan datang bukan sahaja negeri-negeri tertentu masih dikuasai UBN akan bertukar tangan, tetapi Malaysia jua bakal mempunyai tuan baharu. [wm.kl.4:45 pm 31/10/16]
No comments:
Post a Comment