Hasrat Dr Mahathir Mohamad agar berlaku satu lawan satu antara parti oposisi dengan parti kerajaan (UBN) dalam Piraum akan datang adalah sesuatu yang pratikal tetapi sukar untuk menjadi kenyataan. Beliau yakin kalau wujud situasi itu UBN akan kalah.
Rasanya ramai yang setuju dengan analisa Dr Mahathir itu. UBN hanya boleh dijatuhkan apabila oposisi bersatu dan menghadapi UBN secara satu lawan satu. Hakikat ini telah terbukti dalam dua Piraum lalu dengan kewujudan Barisan Alternatif (2008) dan Pakatan Rakyat (2013) yang mampu menafikan kuasa 2/3 UBN di Parlimen.
Bukan itu sahaja persepakatan itu juga menyebabkan lima buah negeri yang dikuasai UBN sebelum ini jatuh ke tangan oposisi. Negeri-negeri itu ialah Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah disamping mengekalkan Kelantan.
Hujah Dr Mahathir tanpa wujud kesatuan oposisi UBN tidak akan tumbang dan Najib Razak tidak akan tersingkir. Tanpa penyingkiran UBN dan Najib ertinya negara terus-terusan dalam keadaan sakit dan perjuangan bertahun untuk selamatkan negara sia-sia sahaja.
Sejajar dengan cadangan Dr Mahathir itu pemimpin hakiki AMANAH Kelantan, Husam Musa menggesa agar parti oposisi yang telah bersetuju untuk bergabung memulakan langkah ke arah pengemasan pakatan berkenaan. Menurut Husam parti-parti yang sudah menunjukkan mahu kerjasama tidak perlu menunggu mana-mana parti lain yang juga berminat untuk berkolaborosi melawan UBN tetapi masih menghitung hari.
Sehingga ini empat buah parti yang sudah menunjukkan keinginan dan hasrat untuk bergabung bagi menghadapi UBN secara satu lawan satu. Parti-partiu itu ialah Demokrat Action Party (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pati Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu ditubuhkan.
Kepimpinan parti itu masing-masing sudah memasang nawaitu dan menzahirkan aksi ke arah itu dengan memulakan gerakan mengadakan majlis ceramah dan penerangan bersama dari masa ke semasa. Sambutan dan fokas rakyat kepada parti berkenaan memberangsangkan. Situasi ini menyebabkan tidak ada sebab lagi kalau kerjasama itu difikirkan.
Betul gesaan dan ajakan dibuat Husam. Parti oposisi yang sudah memasang tekad dan menunjukkan persefahaman itu tidak perlu lewat dalam bertindak. Masa berjalan begitu cepat di mana Piraum boleh diumumkan bila-bila masa sahaja. Kalau ia lambat boleh mendatang masalah.
Empat parti itu perlu berikat dahulu membentuk tunggak seperti mana Umno - MCA dan MIC menjadi tunggak kepada BN. Sekiranya ada parti-parti lain mengubah pemikiran dan ingin sertai sama mereka boleh bergabung kemudian.
Dipercayai masih ada beberapa buah parti kecil di Sabah dan Sarawak yang sedia berkolaborasi dengan empat buah parti itu yang kini memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai wadah atau jenama baharu menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang sudah hancur.
Parti pimpinan bekas Naib Presiden Umno Shafei Afdal, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang baharu ditubuhkan juga boleh jadi akan ikut berikat sama dengan Pakatan Harapan.
Dalam masa sama para pemimpin oposisi kecuali DAP juga masih berharap supaya parti agama (Pas) ikut sama dalam pakatan itu. Jika Pas bersama PH harapan untuk menumbangkan UBN makin jelas. Usaha masih dilakukan oleh pemimpin PKR dan Bersatu untuk memujuk Pas agar bersama mereka. Walaupun ketika ini Pas menunjukan sikap "gelenyer"nya untuk bersama Umno tetapi keadaanya masih kabur dan tidak mustahil Pas akan membuat u-turn disaat akhir. Pemimpin utama Pas terkenal dengan berklu klik.
Pas kini semacam hilang akal. Sesetengah pemimpin terutamanya presiden dan Majlis Syura Ulama (MSU) ingin menjalinkan kerjasaama dengan Umno, tetapi pemimpin dan ahli bawahan menafikan tuduhan yang Pas ingin "bersenyawa" dengan Umno.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim dan dua orang naib presidennya menunjukkan sikap jengkil dengan hajat untuk bersama Umno. Kenyataan-kenyataan mereka tampak kontradik dan lebih bersifat terbuka dan waspada. Sehinggalah Pas mengambil konsensus mutkamad mengenai kedudukannya sama ada bersama Umno atau tidak bermakna pintu untuk Pas memasuki Pakatan Harapan masih terbuka.
Apa yang perlu digerakkan oleh empat parti menjadi tunggak PH itu ialah mengambil beberapa langkah utama sesegera mungkin. Antaranya ialah membentuk makensima dan menyusun strategi bersama termasuk kelengkapan logistik. PH juga sudah boleh menyusun manifesto atau tawaran-tawaran baharu dan perubahan yang mereka akan lakukan sekira berkuasa.
Tiap-tiap parti boleh mengemukakan pandangan dan idea masing-masing berlandaskan konsep dan prinsip perjuangan parti masing-masing untuk dibincnang dan diseleraskan sesuai dengan aspirasi rakyat kontemporari. Perkara ini tidak boleh dilambatkan memandang saat pembubaran Parlimen tidak menentu dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.
Apabila bercakap mengenai sejauh mana keberhasilan pakatan ini banyak pihak mengsyorkan supaya parti PH bertanding menggunakan satu simbol sahaja. Sekiranya pertandingan menggunakan satu logo sahaja ia lebih menyakinkan. Tetapi masalahnya untuk menggunakan satu simbol ini ada masalah.
Memang cadangan itu adalah terbaik. Tetapi apa yang perlu difahami ia bukan mudah untuk dipraktikan. Benar seperti mana disuarakan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Khoo Ham, pihak RoS tidak akan meluluskan satu logo khas untuk digunakan oleh oposisi dalam pilihan raya. Usaha ini katanya sudah pun dilakukan semasa Pakatan Rakyat dahulu tetapi sampai sudah permohonan untuk parti komponen PR bertanding menggunakan satu logo tidak diluluskan.
Logo tidak menjadi masalah
Sebenarnya soal logo ini tidak menimbulkan masalah. Oposisi tidak perlu menjadikan perkara ini sebagai asas dan kebimbangan untuk mereka tidak mengejatkan usaha awal untuk bersatu. Parti-parti PH masih boleh bertanding menggunakan logo sendiri. Apa yang penting mereka harus ikhlas dan sekata sama-sama mempromosikan simbol atau logo di antara satu sama lain.
Misalnya penceramah dan pemain media sosial DAP perlu ikut sama berkempen dan menjual simbol parti Amanah, (obor) Keadilan (mata) dan Bersatu (bunga raya). Mereka jangan hanya memikirkan logo mereka (roket) sahaja. Obor, mata, bunga raya dan roket hendak diletakkan dalam satu bekas dan satu kolom.
Begitu juga dengan parti-parti lain perlu sama menjaja logo DAP itu. Untuk memudahkan ini, mungkin keempat-empat logo itu perlu dicetak di atas bekas atau wadah yang sama, di pasang di pejabat parti masing-masig. Dibuat papan tanda besar yang mempunyai keempat-empat logo berkenaan. Ia juga perlu dicetak dan dibahagikan kepada semua pendokong parti berkenaan. Biar menyerlah keikhlasan dan kejujuran dalam bersama.
Dalam kedudukan apa jua biarlah logo itu wujud bersama. Tertampal di podium atas pentas. Berkibar di atas pokok menunajah awan. Di lekat di cermin kereta dan sebagainya. Apabila ia dilaksanakan begini rakyat akan menerima logo ini sebagai logo PH. Kempen juga kepada rakyat agar menolak lambang dacing yang menjadi simbol BN dalam keadaan apa sekalipun. Sekiranya Pas tertakdir bersama dacing, maka bulan purnamanya itu perlu sama dibuang.
Kalau cadangan ini dapat direalisasikan masalah banyak logo itu tidak akan berbangkit dan menjadi isu besar. Dalam kertas undi nanti akan ada hanya dua lambang sahaja, simbol-simbol PH dengan simbol Dacing. Mana-mana simbol lain anggaplah ia tidak sah dan tidak perlu dilayan.
Ia tidak sukar untuk dikenali kerana pengundi hari ini sudah matang dan celit maklumat. Lainlah kalau masih berlaku kempen secara berasingan antara parti-parti PH menyebabkan rakyat akan terkeliru dan beranggapan parti-parti itu masih bersifat nafsu nafsi.
Mungkin perkara ini dapat diputuskan dalam konvensyen Pakatan Harapan yang melibatkan keempat-empat parti berkenaan, atau pun ia akan dikonsensuskan oleh majlis presiden setelah kedudukan Bersatu disahkan sebagai parti bersama PH seperti mana DAP, PKR dan Amanah. [wm.kl.5:00 pm 20/10/16]
No comments:
Post a Comment