Saturday, October 22, 2016

Melihat Malaysia dari bumi negara lain

CATATAN DARI HANGZHUO

Berada di negara orang kemudian memaling ke negara sendiri melihat dari semua aspek baik dalam politik, ekonomi, agama, budaya dan kerencaman hidup masyarakat memberi bayak pengajaran dan cetusan ilham buat kita semua.

Bersama Ustaz Zul di sebuah restoran Arab.
Benar dan tepatlah maksud sebuah hadith yang menganjurkan supaya kita banyak berjalan, bermusafir sambil (melakukan hirjah) kerana dengannya dapat kita mengenali erti hidup dan kehidupan lebih luas lagi.

Dengan menuruti sunnah itu juga kita dapat membuat perbandingan atau mahasabah diri bagi membina hidup dan kehidupan sejati menurut fitrah kita dizahirkan.


Berjalan kemudian mengambil iktibar apa yang dilihat, ditemui atau sampai kepada kita ia sebagai sebuah kertebukaan "tempurung hidup" yang meyerukupi kita selama ini.

Apabila kita berjalan, mengembara dan berhijrah kita akan bebas dari belenggu kegelapan dan kejumudan yang mentradisi itu. Kita juga mengenali bahawa kita sebenar masih jauh ketinggalan, lemah dan ada keupayaan untuk mempertingkatkan daya hidup bersosial. Penemuan-penemuan baharu akan merangsangkan kita.

Jumaat lepas sebaik selesai Najib Razak membentangkan Bajet 2017 keesokannya saya terbang ke sini meninggalkan keserabutan politik dan segala macam bentuk peperangan siasah dalam negara yang makin tidak bermoral dan "samrawit".

Lebih menyedihkan parti agama sendiri juga sudah bertukar menjadi parti berfahaman dan berkonsep liberalisme. Parti itu bukan sahaja hilang identiti sehingga orang tidak mengecaminya lagi tetapi laku dan gelagat pemimpinnya jelek sekali. Pendekatan, uslub baharu (sebenarnya lapok) yang diambil begitu kontradik dengan sikap sebelum ini menjadi orang "gila" memikirkannya.

Semasa di lapangan terbang saya sempat mencatat ulasan Bajet 2017 Najib dengan menyifatkan bajet itu tidak ubah sebagai habuk yang menyumat telinga rakyat. Bajet menjadi tahi telinga liat dan "laet" kerana pengumuman, penjelasan, jaminan dan unjuran-unjuran yang dibuat Najib dalam bajet itu tidak lebih daripada pengulangan subjek dan angka-angka lama yang berbersifat retorik semata-mata.

Najib masih terus mengulik pembohongannya untuk menunjukkan negara dibawah pentadbirannya masih stabil dan maju sedangkan hakikat bukan begitu. Negara benar-benar berada di tubir kehancuran. Sehari ke sehari Malaysia terus sakit dan seksa.

Selalunya rakyat Malaysia yang berkunjung ke negeri ini untuk mencari peluang-peluang perniagaan baharu atau memperluaskan bidang perniagaan. Kebergantungan kita kepada negara bertamdun lama seperti China ini sangat kuat dan luas. Sekali lagi saya mengingati kepada maksud hadith berbunyi; tuntutlah ilmu (berdagang) hingga ke negeri China.

Menyebut China maka teringatlah kita kepada Saad Abi Waqaf sehabat Nabi yang menjadi utusan membawa Islam ke benua ini. Semangat Saad Abi Waqaf inilah mendorong pedagang Islam datang ke sini.

Bagaimana pun saya datang ke sini dengan misi dan visi berbeza. Saya datang ke sini adalah atas kemurahan sdr Zulkifli Yaacob (Ustaz Zul) yang menumpangi saya. Hubungan saya dengannya lebih kepada hubungan abang dengan adik. Saya mengenali dan memantau politiknya apabila beliau menjadi Adun Guchil dahulu.

Beliau datang ke sini hampir setiap bulan dalam misi dagang. Justeru pantang saya dipelawa untuk menjejaki bumi ini terus sahaja saya menyanggupi. Kebetulan juga saya kini sedang menyiapkan buku baharu jadi elok kalau penutup buku ini saya catat di sini.

Zulkifli adalah bekas Adun Guchil (1999 - 2004) dan juga bekas ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan. Beliau kini seakan sudah menyepikan diri dari politik memberi fokus kepada perdagangan dan membawa jemaah umrah dan Haji.

Hari ini Ustaz Zul sudah boleh dianggap sebagai pedagang asal Kelantan yang mempunyai hubungan kental dengan China, khasnya di sini Yiwu dan Hangzhou. Tidak keterlaluan kalau saya menggelarkanya sebagai "duta dagang Malaysia ke Hangzhuo".

Zul, saya dan Azran bakal usahawan muda Kelantan.
Tidak menjadi masalah kalau beliau menyisihkan dari dari dunia politik. Matlamat hidup dalam bidang apa sahaja adalah untuk melakukan kebajikan dan berbakti kepada manusia dan menyelesaikan fardhu kifayah.

Hablumninas perlu diseiringkan dengan Hablumnilah. Sesungguhnya perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara bukan sahaja menerusi saluran politik. Perjuangan menerusi skop perdagangan lebih luas.

Kalau berjuang menerusi politik mereka yang bertaraf Adun hanya dapat melaksanakan kebajikan di kawasanya sahaja dimana penglibatan manusianya sangat terbatas. Sebaliknya kalau perjuangan ditempa menerusi perdagangan ia luas dan melata. Apa lagi kalau membantu dan membimbing jemaah menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan umrah atau Haji. Tunggu lagi perdagangan dan kebajikan itu haruslah mengikut prinsip dan dasar perniagaan Rasulullah s.a.w.

Mungkin kerana menyedari akan kepentingan serta keluasan skop untuk berbuat kebajikan (berjuang) menerusi dunia dagang atau membimbing jemaah ke Makkah lah maka Ustaz Zul lebih menumpukan kepada dunia dagang dari politik.

Dunia perniagaan penuh cabaran tetapi mengasyikan. Dalam perniagaan ia bukan sahaja perlu kepada keramahan tetapi ia menuntut kebijaksanaan juga. Dan lebih penting ialah kerahmatan. Kebijaksanaan ini sangat penting dalam konteks kita berniaga apa lagi di peringkat antarabangsa. Bekas wakil rakyat ini ada kelebihan dan ketrampilan tersendiri dalam hal ini. Kelicinan dan kesempurnaan mengerjakan umarah bersama rombongan dipimpinanya (group BYB) Ramadhan lalu membuktikan akan kebolehan ini.

Kepada sesiapa berminat untuk mencuba dunia dagang di China ini saya percaya Ustaz Zul sedia membantunya memberi tunjuk ajar dan nasihat. Apa yang perlu diingatkan untuk berdagang di China bukan sesenang yang difahami ia memerlukan beberapa ilmu asas yang mantap dan banyak onak dan durinya.

Mungkin saya akan menceritakan perihal ini dalam catatan lain.

Menyiapkan buku

Seperti saya nyatakan diawal tadi kedatangan saya ke sini untuk mendapat sesuatu yang baharu mengambil posisi dimensi dan baharu dari sini untuk saya melihat negara kita Malaysia dengan membandingkan apa yang ada di sini.

Penting bagi saya untuk membuat penilaian terhadap apa yang berlaku dalam negara dengan apa yang berlaku di negara-negara lain lebih-lebih lagi negara China yang usia tamadunnya jauh lebih lama berbanding dengan negara kita. China adalah negara mengalami proses ketamadunan paling awal didunia bersama Arab (Persia) dan Eropah. Negara ini sudah mengalamai evolusi dan tamadun sejak ratusan abad lampau.

Kegiatan penukaran wang bebas dan terbuka.
Dalam usaha untuk mengetahui kehebatan bangsa China ini saya tercari-cari apakah faktor yang meletakkan China ditahap begitu tinggi. Salah satu yang dapat saya rasai ialah betapa masyarakat Tionghua ini mempunyai akhlak dan disiplin yang tinggi. Ketinggian akhlak inilah merupakan aset utama kepada kejayaan bangsa ini yang ditempa.

Selama ini kita keliru bila disebut dengan komunis atau pemerintahan Komunitang. Dasar menutup pintu kepada dunia luar menyebabkan kita skeptikal dengan kemajuannya. Kita merasakan ia tidak adil dan sebuah pemerintahan yang menjadikan rakyat sebagai hamba untuk kesenangan bangsawan. Mungkin dasar dan elemen itulah yang menempa kejayaan kepada bangsa ini hingga ke tahap hari ini.

Apa yang hendak dibahaskan bila bercakap mengenai kejayaan ini, bukan idealogi komunisnya tetapi perihal bagaimana bangsa itu berjaya meletakkan bangsanya sebagai pemancu ekonomi dunia. China sejak dari dulu dianggap sebagai Singa Asia dalam sektor ekonomi. Hari ini penguasaan China dalam perdagangan, ekonomi sudah hampir seiringan dengan bangsa Eropah dan Jepun. Kalau dasar tertutup dan menjadikan rakyat sebagai hamba tadi satu kelemahan China, mana mungkin negara ini maju?

Ternyata keutamaan kepada akhlak (disiplin yang tinggi) menjadikan China maju dan berjaya. Boleh jadi juga rakyat China berdisiplin hasil daripada dasar pemerintah Komintang itu. Dasar tertutup yang diamalkan selama ini telah menjadikan bangsa itu tidak ada masa untuk menjenguk ke luar selain dari membina bangsa dan negara mengikut acuan idealisme Komunitang. Rakyat China berkerja sehari suntuk untuk membangun negaranya menerusi sistem kominis sehingga masa untuk berwasilah dengan Tuhan dihalang.

Mencerita mengenai ketinggian akhlak di kalangan rakyat China ini saya bandingkan dengan apa yang berlaku di negara kita yang mudah untuk kita fahami dan membezakannya. Ironisnya ia sungguh berbeza walhal negara kita lebih mirip kepada sistem Islam yang dikenali dengan agama yang pemngikutnya ditekankan dengan akhlak dan berperangai baik.

Saya tidak mahu menyelidik jauh dari itu mengenai piski, sosiologi, budaya dan sebagainya, tetapi cukup dengan menyatakan apa yang berlaku di hadapan mata saya. Dalam pengamatan saya rakyat China satu bangsa yang menghormati dan mesra dengan pengunjung. Ini dapat dirasakan sebaik kaki kita memijak lapangan terbangnya kita sudah dapat merasai akan keutamaan akhlak dan disiplin tinggi mereka ini. Naluri kita tidak merasakan negara ini sebagai sebuah negara "babarian" yang kita faham daripada konotasi perkataan komunis itu.

Semasa kita melalui pemeriksaan pengesahan dokumen Imigresen kita dilayan dengan baik. Walaupun pemeriksaan itu agak teliti dan mendalam namun kemesraan di kalangan pegawai begitu menyenangkan. Kita diberikan isyarat selamat tiba ke negara mereka dengan senyuman yang memuaskan. Senyuman yang diberikan membunuh rasa bimbang dan takut kita kepada ketelitian mereka menyemak dokumen diri kita.

Kemesraan dan rasa hormat itu bukan sahaja dipintu masuk itu tetapi ia juga dapat dilihat di plaza tol. Kakitangan pemunggut tol akan melemparkan senyuman kemudian memberi isyarat supaya kita berlalu dengan membuka telapak tangan dan menggerakkannya mempersilakan kita berlalu dengan selamat. Saya perhatikan isyarat itu bukan sahaja kepada kenderaan yang membawa orang asing tetapi semua kenderaan. Hal sebegini jarang dapat dilihat di plaza tol di negara kita.

Begitu juga dengan suasana atas jalan raya tidak kelam kabut. Jalan raya yang luas dan bersih kiri kanan terpampang pemandangan indah alam semula jadi, bukit dan hutan belantara terpelihara menjadikan kita seolah-olah berada dalam sebuah lukisan kanvas besar dan panjang.

Jarang kenderaan membunyikan hon seperti di kota-kota lain Bangkok, Manila atau Jakarta. Pemandu kenderaan baik teksi atau pengangutan awan menghormati pejalan kaki. Mereka akan memperlahan kenderaan atau cepat-cepat memesongkan ke arah lorong lain untuk memberi laluan kepada pejalan kaki. Pejalan kaki atau kenderaan kecil diberikan keutamaan.

Selain itu apa yang mungkin sukar untuk dipercayakan di sini ialah mengenai keamana dan keadaan keselamatanya. Sekali lagi dengan menganggap pemerintahan komunis sebagai babarian kita tidak percaya apa yang berlaku. Jenayah seperti merompak, mencuri dan ragut mungkin berada dalam tahap paling minimum. Ini diukur dengan kewujudan kegiatan penukaran wang (money changer) yang dibuka dengan begitu bebas sekali tanpa kawalan sekuriti yang ketat.

Di Jalan Chaou-Zhou North tempat saya menginap kegiatan ini dilakukan secara terbuka dan bebas. Pengurup wang cukup duduk di atas sebuah kerusi dan ada meja kecil untuk berurusan dengan pelangan. Tidak perlu kepada bilik kebal atau pagar berjeriji seperti di negeri lain di mana pengurup wang berada dalam pagar berjeriji. Wang juga tidak dimasukkan ke dalam peti besi berkunci tetapi diletakkan dalam beg yang digalas di badan.

Senario ini menjelaskan bahawa jenayah di sini terkawal. Bukan sahaja ia setakat apa dilihat tetapi hati dan perasaan kita tidak berasa takut dan cemas berada di sini. Apakah kerana undang-undang komunis yang tegas dan keras diterapkan selama ini membentuk rakyatnya jadi berdisplin dan takut untuk melakukan jenayah? Seperti mana kita ketahui undang-undang di negara ini sangat keras.

Terfikir saya kalaulah itu penyebabkannya maka adalah benar pendapat sesetengah ahli agama politik mengatakan hukum Hudud mampu membentuk manusia menjadi baik dan mengurangkan kadar jenayah jika ia dilaksanakan?

Mungkin kerana kekerasan hukum berkenaan yang membolehkan tindakan potong tangan, sebat, rejam dan sebagainya menjadi manusia takut dan lebih berdisiplin seterusnya menjadikan hukum itu sesuatu yang berkesan? Nantilah disambung dalam catatan seterusnya sepulang nanti saya bercerita mengenai beberapa keistimewa lain mengenai China khas di Yiwu dan Hangzhou ini. [yiwu, china. 3:30 pm 23/10/16]

No comments: