Monday, October 31, 2016

Siapa singa kesukaan Pak Habib?

BORAK SORE 

Kami kerap berjumpa bincang isu politik negara. 
Dua tiga hari lepas saya minum petang dengan Syed Hussein Al-Attas (Pak Habib) penulis buku politik Malaysia yang tidak asing lagi. Antara rakan penulis yang masih kekal berhubung dan berjumpa dengan saya ialah Pak Habib. Walaupun kekerapan kami berjumpa bukan seperti dahulu, hampir setiap hari atau minggu, tetapi tradisi merai dan bertanya khabar antara kami masih berterusan.

Kalau tidak saya menghubunginya, beliau yang akan menghubungi saya. Kalau bukan untuk bertemu cukup sekadar bertanya khabar diri dan keluarga sihat atau tidak. Jika kebetulan di rumahnya di  Wadi Hussein di Janda Baik ada dibuat apa-apa kenduri Pak Habib tidak pernah lupa mengundang kami anak beranak.


Dan bila kami ada masa senggang kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual hal ehwal semasa dan politik. Topi yang tidak lekang dalam perbualan kami ialah mengenai penulisan buku politik. Topik inilah menghiasi perjumpaan dan perbualan kami sejak lebih 30 tahun lalu. Kebetulan pula dalam Kelab Penulis Politik Malaysia (KPPM), beliau presiden dan saya setiausaha. Hubungan tugas dan tanggungjawab ini mengakrabkan kami.

Kelab ini pun hanya tinggal kami berdua sahaja yang masih berhubung serta menghidupnya. Mereka yang lain mungkin sudah melupai kelab ini.

Pak Habib adalah penulis yang istiqamah. Rasanya beliau pemegang rekod penulis buku politik yang istiqamah. Dalam usia sudah lebih 70 tahun beliau masih produktif. Saya sendiri yang lebih muda darinya juga angkat tangan kepada kerajinannya. Pak Habib mula menulis tahun awal tahun 1960an lagi tatkala saya masih dibangku sekolah. Beliau adalah raja buku politik Malaysia.

Pada pertemuan itu juga Pak Habib membawa buku baharunya untuk saya dan isteri. Setiap kali beliau terbitkan buku baharu beliau tidak akan lupa membawa untuk saya satu naskah dan isteri satu naskah. "Ini untuk ustaz dan ini untuk mek, (isteri saya), jangan bergaduh masing-masing ada satu seorang," begitulah tutur Pak Habib setiap kali menyerahkan buku baharunya kepada saya. Hampir semua judul buku Pak Habib ada dua naskah dalam perpustakaan mini saya.

Buku baharu Pak Habib ke 71 ini berjudul 'Legenda", mengisahkan tokoh-tokoh lagenda negara dalam semua aspek. Ia merupakan sebuah tribute beliau kepada sang tokoh berkenaan. Ia merupakan sebuah kumpulan tulisan Pak Habib dan juga tulisan rakan-rakan penulis lain berkaitan tokoh legenda itu yang isi masih relevan dengan perkembangan hari ini.

Mengenai penulisan dan penerbitan buku oleh Pak Habib yang pantas ini tidak terkejar oleh saya dan juga penulis buku politik lain. Bahkan setengah dari rakan seprofesyen kami sudah pun menutup pena dan laptop. Nama-nama seperti Yahya Ismail, Kamal Ahmir Kamal Hijaz, Azizan Ahmad, Zabidi Saidi, Termizi Mohd Jam sudah lama tidak muncul dengan buku-buku baharu masing-masing.

Tampaknya yang masih meneruskan perjuangan ini hanya Pak Habib dan saya. Setidak-tidaknya saya menerbitkan sebuah setahun. Rakan saya Ahmad Lutfi Othman yang uzur sejak beberapa tahun lepas juga sudah tidak produktif. Masalah kesihatan menyebabkan rakan saya ini seakan pencen dalam penulisan dan penerbitan buku. Namun pertengahan tahun ini terbit juga buku beliau berjudul "Lorong Sunyi Media Bebas" - 2016.

Ada penulis baharu yang juga merupakan rakan saya Shahbudin Husin yang tiba-tiba aktif menulis buku politik. Ini pun berlaku selepas beliau tidak aktif dalam politik. Beberapa buah buku juga diterbitkan memenuhi rak buku politik sepanjang dua atau tiga tahun lepas. Bagaimana pun sejak sebuah bukunya berhadapan dengan saman, Shahbudin seakan terganjat.

Menulis buku politik sebenarnya sangat mencabar sebab itulah tidak ramai yang terlibat dengannya bukan seperti penulisan novel yang ada penerbit untuk menerbitnya. Berbeza dengan buku politik yang akan diterbit secara sendiri oleh penulis.

Manakala kenapa penghasilan buku-buku politik sejak 10 tahun ini berkurangan jika dibandingkan dengan kerancakannya sebelum ini ada beberapa faktor antaranya kerana kesan ledakan media sosial atau internet yang seakan merampas kehebatan dunia pembukuan atau pun surat khabar. Bukan buku sahaja yang pasarannya lemah tetapi surat khabar arus perdana juga ikut terkesan.

Namun penomena itu tidak menjadi masalah dan halangan kepada Pak Habib atau mereka yang menjadikan penulisan bukan untuk mengejar komersial semata-mata tetapi sebagai wadah perjuangan. Sebab itu bagi kami atau mereka yang masih terus menulis dan menghasilkan buku tidak terganggu dengan situasi itu. Ledakan dunia internet bukan penghalang utama. Walaupun orang lebih mudah untuk mendapat maklumat daripada internet, tetapi buku tetap masih dibaca dan diperlukan kerana ia mempunyai keunikan tersendiri.

Bagi saya sendiri dan Pak Habib penulisan bukan sahaja setakat untuk mendapat rezeki daripadanya, paling penting ia menjadi wadah kesenimbungan kepada perjuangan diri. Mata pena kami membawa aspirasi dan cita-cita perjuangan. Apabila kita menerapkan perjuangan dalam penulisan maka ia tidak akan dapat diberhentikan. Ertinya penulisan akan berterusan selagi kudrat dan iradat masih ada. Aliran tinta jiwa akan terhenti apabila kami sudah tidak mampu untuk memegang pena atau menyentuh skrin laptop.

Justeru kami tidak peduli dan berkecil hati kepada apa cercaan terhadap hasil penulisan kami dan bersedia mengharungi dugaanya. Ada juga yang mencerca atau meremehkan buku-buku yang kami kononnya tidak berkualiti kerana dihasilkan tanpa rujukan, petikan dari sarjana, tidak ada nota kaki sebagainya. Lantas menyarankan kami menulis dengan membuat kajian dan penyelidikan.

Teguran dan kritikan itu bagus, baik saya atau Pak Habib menerimanya dengan senang. Tetapi perlu dijelaskan bahawa buku kami adalah buku picisan yang tidak memenuhi kriteria sebuah buku ilmiah sepeti dikehendaki itu. Ini kami akui dan ini hakikat. Buku-buku picisan politik ada kelas tersendiri.

Buku kami tidak seperti buku-buku tulisan para sarjana dan berwajah akademik dan mengikut standard dan piwaian buku international. Buku-buku kami mempunyai gaya dan bentuk persembahan tersendiri. Yang lebih penting ia adalah peminat dan pembaca tersendiri. Adalah dangkal juga kalau ada orang mengatakan buku kami sampah dan tidak memberi manfaat dan kesan langsung. Tuduhan seumpama itu dikira agak melampau dan mengilankan kami.

Sebagai buku politik ia banyak membahas isu-isu politik, gaya dan persembahan juga mengikut rentak dan angin politik. Kami menulis mengikut gaya orang politik. Bagaimana orang politik licit bermain dengan kata-kata, licit menipu rakyat, mengata orang secara terbuka, bergasak sesama sendiri sehingga membelakangkan etik politik maka begitu juga kami menggunakan laras sama, atau membuat kritikan sepadan dengan telatah dan kerenah mereka.

Orang politik berterus terang, berani dan ada kalanya mereka bertindak diluar batas tatasusila, nah maka begitu juga dengan buku-buku politik mengikut jejak dan cara permainan sama. Kritikan kami terbuka dan bertanggungjawab langkah dan tindakan ini menyebabkan kami sering diheret ke mahkamah atau pun disiasat polis. Berbeza dengan buku-buku ilmiah tidak akan berhadapan dengan kemungkinan ini semua, kalau ada pun sangat jarang.

Kami tidak melihat dari sudut akademik dan mengambil berat mengenai ciri-cirinya. Apa yang penting ialah kami dapat menerapkan idea, pandangan dan hujah dalam buku kami mengenai sesuatu isu berdasar keyakinan dan dari penilaian kami. Misalnya kami menjadikan buku sebagai pengislah kepada perkembangan politik tanah air. Membuat ramalan dan andaian mengenai sesutu isu yang timbul. Cara ini adalah sebagai panduan menghadapi kemungkinan bakal berlaku. Selain itu juga kami menulis membentangkan dan mencorakkan kepimpinan yang perlu dilengkapi oleh sesebuah parti politik.

Untuk menghasilkan buku politik ilmiah serta mematuhi rukun-rukun sebuah buku yang baik maka kami serahkan kepada para sarjana untuk menulisnya. Puluhan malahan ribuan sarjana dihasil dalam negara ini mereka boleh memainkan peranan berkenaan. Satu perkara lagi penulis buku politik mengejar masa kerana ia menelusuri isu-isu yang berlaku. Jika ditulis secara akademik ia mengambil masa lama ini menyebabkan buku tidak akan laku kerana isunya sudah basi.

Kepada mereka yang mencintai dan merindui buku ilmiah kita berharap ia dapat dipenuhi oleh para sarjana dan golongan akademik. Negara kita mengeluarkan ratusan bahkan ribuan sarjana pada setiap tahun, merekalah yang harus memikul tanggungjawab menulis buku yang ilmiah yang lengkap dengan kajiannya, ada rujukan dan nota kaki sekali. Kita sama-sama bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing.

Berbalik kepada perbulan degan Pak Habib sore itu, mauduk yang menarik dan menjadi perhatian kami sebagai penulis ialah mengenai masalah yang berlaku dalam negara ketika ini. Isu utamanya ialah Najib Razak. Mencari dan menduga bagaimanakah kesudahan Najib yang kini diserang kiri kanan atas dan bawah gara-gara skandal mengelilinginya namun dia masih teguh.

Di sini saya tidak mahu mengangkat kisan Najib itu kerana ia sudah dan sedang saya ulas dalam buku baharu dari sudut pandangan dan aliran tinta merah saya. InsyaAllah buku itu akan menemui anda sekalian bulan depan. Apa yang hendak diperkatakan di sini mengenai siapa dia selepas Najib kelak. Suka atau tidak benci atau muak Najib akan turun juga suatu hari. Buah di pokok tidak perlu dijolok atau pun dihungguk ia akan gugur juga bila ia sudah masak. Perhatian dan tumpuan kini ialah siapa selepas Najib.

Dalam perbualan petang itu kami hanya melihat dari dalam Umno. Maksudnya siapakah pengganti Najib daripada dari parti Umno. Kemungkinan-kemungkinan luar biasa lain yang memang menjadi harapan kami tidak bincang dan perkatakan. Hari ini dalam Umno selepas ketiadaan Muhyiddin Yassin orang atau tokoh yang menjadi idaman ramai ialah Zahid Hamidi.

Pak Habib menggunakan istilah atau mengambil pepatah Cina tidak boleh ada dua harimau di atas satu bukit. Beliau merujuk kepada Zahid dan Hishamuddin Hussein dari Umno. Pak Habib melihat itulah dua tokoh dan saya menyetujuinya. Pertarungan di atas bukit bernama Umno kini adalah antara Zahid dan Hashmuddin. Siapa akan menang dan siapa akan kalah, saya dan Pak Habib ada penilaian masing-masing yang mungkin berbeza. Penilian inilah sebahagian bab yang saya muatkan dalam buku yang sedang giat saya kerjakan sekarang ini.

Dan Pak Habib menerusi buku baharu Lengenda itu nampak seakan dia menyukai singa bernama Zahid? Saya pula akan cuba "kadaskan" pendapat Pak Habib yang merupakan sang legend dalam penulisan buku politik tanah air itu. Apakah saya juga ada singa sendiri? [setiawan. prk. 4:00 30/10/16] * tanpa edit

No comments: