Thursday, January 19, 2017

Manan seorang kawan yang setia

BELASUNGKAWA

Jenazah diusung untuk disembahyangkan.
Perlaluan Manan Osman (Dato') di atas maya ini berakhir jam 7:14 minit petang semalam dalam usia kira-kira dua bulan lagi untuk cecah usia 82 tahun. Allahyarham meninggal seorang balu dan tiga anak serta lapan cucu. Manan seorang politik berasal dariTerengganu.

Dalam sepanjang kerjaya politiknya beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dua penggal tahun 1978 atas tikit BN dan tahun 1990 atas tikit Parti Semangat 46.

Pernah dilantik menjadi Menteri Perusahaan Utama dan Menteri Pertanian.  Allahyarham sempat menjadi menteri di bawah dua perdana menteri, Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad. Sebelum menjadi menteri, Allahyarham menjadi timbalan menteri.


Pejabatan beliau dikedua kementerian itu menunjukkan Allahyarham seorang yang tidak kurang hebat dan kekanannya dalam kabinet. Menerusi jawatan-jawatan itu juga banyak jasa dan budinya dicurahkan kepada rakyat.

Kelihatan Tengku Razaleigh siap untuk solat jenazah.
Dalam dunia politik Allahyarham disenangi semua orang, baik kawan dan lawan dan tidak mempunyai musuh kerana perwatakan dan sifat sedarhananya. Allahyarham baik dengan sesiapa sahaja dan tidak pernah dituturkan menjadikan jawatan dan kedudukan untuk berasa dia perlu dihormati.

Beliau boleh berkawan dengan sesiapa sahaja. Hidupnya juga sangat humble, dan tidak banyak bercakap dan seorang yang kuat dan tekun bekerja.
Tengku Razaleigh dikerumuni mereka yang hadir.

Bila mengenangkan dunia politik yang rencam, Allahyarham bolehlah dianggap seorang setia kawan dan mempunyai prinsip hidup (berpolitik) yang ampuh. Ini dibuktikan dengan persahabatannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Mukhriz turut sama hadir.
"Tiada dah kawan baik ambo, Ti," begitulah kata Tengku Razaleigh sebegitu bersua dengan saya semasa hadir untuk solat jenazah Allahyarham di masjid Damansara sekejap tadi. Kata-kata Tengku Razaleigh itu menjelaskan bahawa Allahyarham benar-benar kawan rapat dan baik dengan Tengku Razaleigh.

Setia kawan Allahyarham dengan Tengku Razaleigh teruji panjang dan gelora politik yang melanda dan dirempuh Tengku Razaleigh tidak meluntur nilai persahabatannya.

Sewaktu Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 apabila Umno diharamkan, Allahyarham besamanya dan menjadi penggerak utama. Allahyarham memimpin Semangat46 Terengganu di samping menjadi pimimpin pusat.

Kesanggupan Allahyarham untuk meninggal jawatan menteri bagi bersama Tengku Razaleigh memimpin parti baharu itu membuktikan bukan sahaja kesetiaan dalam persahabatan, tetapi ia mempertahankan prinsipnya. Seperti mana Tengku Razaleigh menubuhkan S46 sebagai menjadi alternatif kepada Umno yang sudah hilang perjuangan asal, begitu jugalah Allahyarham. Selepas pembubaran S46 Allahyarham tidak lagi aktif dalam politik.

Mungkin atas kesetiaan dan keutuhan prinsip itulah, menyebabkan Tengku Razaleigh sebegitu bersua dengan saya bersunggut demikian. Kehilangan Allahyarham itu sangat terasa kepadanya dan juga rakan-rakan yang lain. Walaupun Tengku Razaleigh hari ini tidak ada apa-apa kuasa dan kedudukan, Allahyarham tetap berkawan sehingga ke akhir hayat, itulah menyebabkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan peribadi buat ahli Parlimen Gua Musang itu.

Saya mulai mengenali beliau akhir tahun 1970an lagi. Pertama kali berjabat salam dengannya ialah sewaktu beliau hadir merasmikan Khemah Kerja Umno Bahagian Rantau Panjang. Pada malamnya berlangsung peraduan pidato. Saya ikut sama menyertainya sebagai salah seorang peserta mewakili Belia 4B cawangan Gual Periok.

Terserempak dengan Sabda S, kawan lama
juga kawan Allahyarham.
Dalam pertandingan itu saya mendapat nombor tiga dan menerima hadiah daripadanya. Apabila saya berjumpa dengannya dalam satu kongres S46 saya menceritakan kisah itu sambil mengembalikan ingatan peristiwa itu kepadanya, dan beliau mengingatinya. Sejak itulah saya lebih mengenali dengannya dan sering pula berjumpa apabila ada apa-apa majlis Tengku Razaleigh baik di luar atau di rumahnya.

Semasa saya memimpin akhbar tabloid Mingguan Islam dan Siasah beberapa kali saya menemu ramah Allahyarham untuk mengulas isu semasa politik dan juga pergolakan politik di Terengganu khusnya. Dalam mendapat ulasan dan pandangannya, Allahyarham tidak mengkritik peribadi mana-mana tokoh sebaliknya bercakap secara umum berdasarkan fakta.

Kali terakhir berjumpa dengannya semasa kematian isteri Tengku Razaleigh Cik Puan Noor. Sebelum itu bertemu di majlis perjumpaan hari raya anjuran bekas-bekas pemimpin dan ahli S46 di rumah Tengku Razaleigh di Ampang pada tahun lepas. Selepas majlis itu saya, tidak atau jarang lagi bersua dengannya kerana Allahyarham jarang menghadiri apa-apa pertemuan.

Dan berita yang terbaca dalam media sosial semalam mengkhabarkan pemergiannya sungguh mengejutkan sekali. Pertemuan di rumah Tengku Razaleigh sewaktu kematian Cik Puan Nor adalah pertemuan "live" yang terakhir.

Sewaktu solat jenazah tadi ramai kekawan Allahyarham terutama bekas pemimpin Semangat 46 hadir. Pastilah Tengku Razaleigh sejak semalam lagi telah hadir menziarahi jenazahnya. Semasa jenazah dikafan tadi, Tengku masih menjenguk dan merenung wajah sahabatnya untuk kali terakhir. Tengku juga mengiringi jenazah hingga ke kubur.

Beberapa rakan dan sahabat Allahyarham yang lain juga kelihatan. Antaranya Mazlan Harun, anak kepada Harun Idris yang menjadi rakan karib Allahyarham juga. Terlihat sama tadi dua anak Dr Mahathir Mukhriz dan Mokzani,  mungkin mereksa mewakili bapaknya, Dr Mahathir Mohamad. Ada sama Sabda S bekas wartawan Utusan yang juga rakan saya ada sama. Al Fatihah. [wm.kl.1:10 pm 19/01/16]

No comments: