Sunday, February 17, 2019

Pendedahan Dr Mahathir mengenai pengakuan Hadi cermin perpecahan dalam Pas?

ULASAN PETANG

PERKEMBANGAN politik Pas selepas SPRM menunjukkan taring dengan mulai menyiasat isu pemberian dan pengambilan wang RM90 juta daripada pemimpin Umno kepada pemimpin Pas menarik. Perkembangan itu juga menggoda hati serta membuka dimensi baharu politik negara khasnya dalam Pas.

Sejak dua orang pemimpin dan bekas pemimpin Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Nasharuddin Mat Isa dipanggil oleh SPRM untuk berkenalan dengan pegawai penyiasatan dan meninjau pejabat SPRM, suasana dalam Pas seakan sedikit bergolak. Semacam ada angin berhembus yang bergerak mengoncang kestabilan Pas selama ini.
Siasatan itu menyebabkan ada pemimpin tertentu Pas dalam keadaan ketar lutut dan kurang lena tidur. Air yang diminum terasa plastik dan nasi yang dimakan semacam hampas tebu. Kenapa?

Walaupun mereka itu belum dijemput secara rasmi untuk datang ke ibu pejabat SPRM, tetapi ada yang berangan-angan sendiri kemungkinan mereka akan dipanggil sama. Kenapa? Mungkin ia ekoran nama mereka sudah disenaraikan oleh Abduh sebagai orang boleh dikaitkan dengan wang RM90 juta.

Kenyataan daripada SPRM ekoran memanggil dua pemimpin Pas itu, siasatan berkaitan itu RM90 juta akan berkisar kepada kekayaan melampau, seperti memiliki kenderaan, banglow ataupun membeli plat dengan harga mahal. Begitulah maklumat sumber SPRM dipetik.

Jadi sesiapa pemimpin Pas yang terbabit dengan hal itu pasti tidak nyenyak tidur. Terutamanya mereka yang disebut nama terlibat dalam mengambil atau menguruskan wang daripada Umno pasti gelisah.

Siasatan itu juga mengorbitkan suasana baharu hubungan Presiden Pas Abdul Hadi Awang dengan Dr Mahathir. Mahathir bersama Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan MB Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tiba-tiba diam-diam berjumpa dengan Dr Mahathir Jumaat lalu.

Perjumpaan itu tidak pun dimaklumkan kepada ahli bawahan mungkin juga termasuk pemimpin Pas lainnya. Ia terdedah apabila gambar Hadi bersalaman dengan Mahathir ditularkan oleh media massa yang bersumberkan Pejabat PM. Ertinya Dr Mahathir sengaja mendedahkan pertemuan itu. Jika pertemuan itu rasmi sudah tentu ia akan termuat dalam media massa milik orang Pas.

Paling mengejutkan lagi apabila Dr Mahathir mendedahkan Hadi semasa kunjungan itu memberi pengakuan kepada Pengerusi PH itu  yang Pas tidak akan sokong BN di pilihan raya kecil Semenyih. Perubahan sikap Pas ini mengejutkan dan ia kontras dengan apa yang berlaku di Cameron Highlands. Pas hanya memberi alasan pilihan raya di Semenyih berbeza dengan Cameron Highlands.

Ada yang mengira Dr Mahathir berseloroh dan cuba mengenakan Hadi dengan kenyataan itu. Ada juga yang terang-terang menuduh Dr Mahathir berbohong atau jahat memerangkap Hadi. Tetapi sampai kini presiden Pas itu masih membisu, tidak menjelas atau menafikan apa yang Dr Mahathir katakan. Keterkejutan hal itu bukan sahaja dikalangan ahli Pas tetapi pemimpin Pas juga.

Sebelum ini beberapa orang pemimpin Pas dengan tegas mengatakan parti itu akan menyokong calon BN di Semenyih. Antara yang bercakap timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man. Ternyata pendirian Pas itu tegak sampai saat akhir. Semasa penamaan calon, masih ada pemimpin Pas hadir berdoa dan berselawat mengiring calon BN ke pusat penamaan calon.

Pemimpin Pas menyifatkan pendedahan Mahahir itu bersifat politik. Dalam masa sama mereka menafikan apa yang Mahathir ucapkan itu. Bagi mereka ia tidak tersaul dek akal. Mengenai sikap Hadi itu seperti didedahkan Mahathir ini nampaknya pemimpin Pas berbelah bagi dan berbeza pendapat.

Setengah pula menolak mentah-mentah kenyataan Dr Mahathir itu. Bagi pemerhati pula kenyataan Dr Mahathir itu berasas apabila beliau mengatakan pengakuan Hadi itu bertulis dan ditanda tangani oleh Takiyuddin Hassan. Dr Mahathir mengulangi dua kali dakwaan itu. Pengulangan itu menjadikan pemimpin Pas tertanya-tanya, benar atau tidak.

Apakah cerita dan perkembangan baru Pas, khususnya yang dibawa oleh Hadi dan Takiyuddi itu tidak dimaklumkan kepada pemimpin Pas lain? Bahawa kunjungan mereka bertiga itu bersifat rahsia? Ia tidak mengambil pandangan pemimpin lain. Rasanya tidak, kalau diberi tahu tentu tidak ada yang bergelepar.

Sekiranya Dr Mahathir tidak bohong, apa yang dapat disimpulkan disini, ia menjelaskan Pas dalam keadaan tidak "semakan". Ada pertelingkahan dalaman parti agama itu. Boleh jadi ketatapan diambil Hadi itu bersifat peribadi beliau bersama Takyuddin dan Samsuri sahaja. Orang-orang seperti Tuan Ibrahim, Idris Ahmad, atau Mohd Amar Nik Abdullah tidak pun diberi tahu dan mereka boleh digoring macam bilis kemudiannya.

Mungkin ia atas idea peribadi tiga pemimpin itu yang dibuat atas sebab-sebab atau motif tertentu. Boleh jadi ia juga macam pembohongan Abduh dalam isu audionya, ia dibuat atas maslahat politik Pas yang menggunakan teori bohong syarie.

Gejala dan perkembangan ini jika tidak dihurai segera ia memberi tanggapan sebagai tanda-tanda Pas kini seperti tidak sependapat. Ada dua mahzab dalam Pas waktu ini yang berbeza tindakan dan sikap. Perbezaan ini berlaku apabila SPRM mulai bertindak ke atas laporan isu RM90 juta.  Satu mazhab yang mahu tunduk kepada Dr Mahathir manakala satu lagi mazhab yang masih skeptikal dengan Dr Mahathir. Begitukah?

Kesimpulan akhirnya perkembangan ini membahayakan Pas. Makanya Abdul Hadi diminta membuat penjelasan segera mengenai dakwaan Dr Mahathir itu. Dan sekiranya ia benar, tetapi penyokong Pas masih berselawat dengan BN ia akan memalukan Abdul Hadi. Penglibatan penyokong Pas itu boleh membatalkan "perjanjian" dia dengan Mahathir. Dan bila janji batal adalah implikasinya.

Lebih jauh dari itu ia menterjemahkan Hadi sudah tidak diakur oleh penyokongnya lagi. Apakah perkembangan ini bakal membawa Hadi berundur daripada Pas? [wm.kl.2.52pm 17/02/19] 

No comments: