Friday, July 23, 2021

Apa akan berlaku di parlimen 26 Julai nanti?

SUSUPAN PAGI

SIDANG khas parlimen selama enam hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos nanti dinanti dan
ditunggu dengan penuh suspen. Semua orang tidak sabar untuk melihat apa yang berlaku di parlimen pada tarikh itu. Mungkin akan "berlember" (kucar bara) berantakan nanti, kalau pun tidak sampai melayang kerusi meja seperti di parlimen Korea dan Jepun.

Kerana bimbang berlaku "kucar bara" dan berantakan itulah maka pihak pengurusan Parlimen menetapkan kehadiran hanya 80 orang sahaja, yang selebihnya 140 mengikuti sidang parlimen secara dalam talian.

 Sampai ke saat ini ahli-ahli parlimen mendesak agar kehadiran penuh dibenarkan dan persidangan itu berjalan seperti normalnya. Pihak kerajaan memberi alasan Covid sebagai alasan untuk tidak membenarkan kehadiran penuh. Manakala pihak pembangkang pula melihat keterbatasan itu sebagai tidak logik dan suatu muslihat. 

Mereka berhujah kalau solat Aidiladha di masjid boleh dihadiri 300 orang kenapa tidak dengan parlimen? Fakta atau kenyataan inilah yang dijadikan alasan dan tuntutan oleh pihak pembangkang.

Kita faham kenapa pembangkang menuntut kehadiran penuh, ia bagi memudahkan untuk mereka melakukan apa-apa motion nanti. Mungkin juga apabila berlaku kehadiran penuh dapat disaksikan situasi sebenar kedudukan sokongan kepada kerajaan dan pembangkang di parlimen.

Sidang parlimen khas secara hibrid itu juga disifatkan pembangkang sebagai mempersendakan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu parlimen dibuka bagi membolehkan perbincangan, perbahasan diadakan untuk mengatasi masalah rakyat yang berdepan dengan pandemik. 

Apabila ia diadakan sidang, maknanya sidang itu tidak untuk melaksanakan fungsi parlimen seperti diharapkan itu tetapi lebih kepada mengambil hati kehendak Agong yang telah menitah agar diadakan sidang. Kerana itu bagi pembangkang sidang itu tidak memberi apa-apa erti melainkan untuk mendengar penjelasan di pihak kerajaan semata-mata.

Lantaran itu pihak PH telah memberi kata dua kepada Yang diPertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan adik Idris Harun Peguam Negara, dengan peraturan itu. PH dalam satu kenyataan mendesak agar Azhar mengubah ketetapan itu, dan jika tidak adik Idris itu dianggap sebagai membelakang aspirasi Yang di-Pertuan Agong diminta berundur sebagai Speaker. 

Bagi PH peraturan itu sebagai tidak menghormati titah Agong dan Raja-Raja Melayu dan mencabuli kesucian parlimen sebagai dewan legislatif. 

Parti Perjuang yang baru diluluskan dan baru dibawa keluar dari inkubator juga memberi kata dua akan memulaukan sidang itu jika hanya setakat untuk mendengar taklimat dan penerangan daripada kerajaan. 

Hal itu ditegaskan oleh presidennya OT96 - Mahathir Mohamad. Tetapi pengakuan dan kata janji OT96 ini bukan boleh dipegang buku (dipercayai) sangat.

Ahli parlimen Umno juga ikut sama memprotes berhubung sidang itu dilaksanakan dan setengahnya mendesak agar diadakan kehadiran penuh dan dibenarkan perbahasan dan soal jawab. 

Semua orang dapat baca apakah yang tersirat disebalik menghadkan kehadiran itu. Ia dibuat bukan kerana Covid tetapi kerana kepentingan kuasa. Masakan parlimen sebuah institusi tertinggi tidak dapat dilengkapi dengan alat keselamatan untuk mengatasi Covid? 

Maksud sidang khas sebegitu seperti mana juga proklamasi darurat bukan untuk mengatasi Covid tetapi mempertahankan kuasa dan kedudukan Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri. 

Yang jelas dan nyata darurat tidak memberi kesan apa-apa kepada pandemik. Ironisnya sebaik diadakan darurat kes kian bertambah pula.

Kerana sidang parlimen 26 Julai ini dianggap sidang ganjil dan cacat dan sudah mendapat tentangan berbagai pihak maka yang menjadi perhatian dan mendebarkan. 

Beberapa kemungkinan.

Ada beberapa kemungkinan yang boleh terjadi pada 26 Julai ini. Awalnya mungkin akan ada bantahan daripada pembangkang, yang membahas dan mempertikaikan apakah sidang itu masak atau tidak. Mereka akan terus mendesak diadakan kehadiran penuh, jika tidak tangguhkan. Dalam memutuskan inilah menjadikan sidang itu kecuh. 

Kekecuhan itu boleh membawa kepada pengundian, atau pun Speaker Azhar adik Idris akan menggunakan kuasanya sebagai Speaker untuk meneruskan juga seperti mana direncanakan hatta kalau kesemua ahli parlimen pembangkang yang berada di dewan keluar atau pun yang diluar memutuskan konteks dalam talian.

Atau boleh jadi persidangan seperti ditetapkan itu berjalan seperti biasa untuk menghormati parlimen dan menghormati Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan agar parlimen dibuka. Maksudnya ahli parlimen bersabar untuk bertindak disidang lain.

Atau pun peraturan sidang khas itu diubah dengan membenarkan ahli parlimen menyoal dan membahas perkara-perkara yang disenaraikan untuk diselesaikan dalam sidang khas itu.  Rasanya kalau perbahasan dibenarkan ia tidak membawa kepada implikasi sehingga membabitkan pengundian. Jadi kalau setakat itu Azhar adik Idris Harun, tidak perlu bersikeras sangat.

Kesimpulannya, sidang khas itu tidak memberi apa-apa faedah dan manfaat kalau apa dibentangkan hanya didengari dan tidak boleh mengubah fakta yang telah tersedia. Sebab itu awal-awal saya berpendapat sidang khas itu tidak memberi faedah apa-apa pun. 

Ia merugikan masa, memenatkan badan, cuma yang labanya ahli parlimen dapat elaun persidangan. Mereka juga yang untung dan kita rakyat yang "terlengak", rugi.

Melainkan ada keberanian dan nekad dalam kalangan ahli Parlimen mungkin ada sesuatu di luar dugaan akan terjadi pada 26 Julai itu?  [wm.kl. 9:49 am 22/07/2021]

No comments: