ANALISA
Jalan terbaik berundur secara terhormat. |
Beliau tidak perlu berkeras untuk meneruskan tanggungjawab yang sudah terhukum tidak wajib lagi itu. Tempoh yang diberikan selama 15 bulan untuknya menunjukkan bakat dan kebolehan sebagai pemimpin nombor satu negara sudah pun cukup. Ia bukan sesuatu yang perlu dimain-mainkan. Kuasa dan kerajaan bukan "toys".
Mahiaddin sudah relatif gagal kalau pun belum total. Pertama gagal untuk menyakinkan rakyat bahawa langkahnya mengambil kerajaan tempoh hari sebagai betul dan benar serta menepati semangat demokrasi berparlimen. Langkah itu bercanggah dengan aspirasi rakyat yang menjunjung tinggi demokrasi. Setiap hari beliau disumpah seranah dengan tindakannya itu.
Beliau memberi alasan beliau terpaksa melakukan tindakan itu, (kudeta) menjatuhkan kerajaan PH. Namun beliau tidak membentang apakah pelan (keterpaksaan) untuk beliau lakukan itu sampai kini. Sabdanya diawal mengambil alih kerajaan, "saya terpaksa lakukan untuk menyelamatkan keadaan." Menyelamatkan keadaan apa, sedangkan keadaan (negara) kini tidak selamat lagi. Gara-gara itu orang boleh menuduh Mahiaddin bohong dan tipu.
Apakah beliau mempunyai keajaiban hati, sudah menghidu negara akan ditimpa pandemik maka beliau terpaksa mengambil alih kerajaan dan yakin dengan pendekatannya berhasil. Begitukah? Dan berhasilkah Mahiaddin menangani pandemik? Jawabnya tidak. Kedudukan negara kini tercorok dalam senarai negara-negara di dunia yang dibaham pandemik Covid memalukan.
Lanjutan kegagalannya itu menyebabkan bergema laungan agar beliau meletak jawatan. Laungan itu berkemundang dari ibu kota ke segenap daerah dan pelusuk jajahan. Ia bergema dari segenap lantai dan lapisan hidup berbagai masyarakat. Semua orang bersepsi negara akan kembali pulih dengan peletakan jawatannya sahaja. Kononnya solusi terbaik bagi menangani pandemik dengan Mahiaddin berundur? Itulah yang menjadi stigma dan menyendak benak umum kini.
Kerana itu didesak agar sidang parlimen diadakan. Desakan itu adalah simbolik penolakan kepadanya setelah Mahiaddin tidak memberi tanda-tanda dia sedia berundur. Keperluan membuka parlimen bukan untuk memastikan semak dan imbang berlaku seperti digemercingkan, tetapi untuk melihat beliau jatuh. Kerana kedegilan Mahiaddin untuk tidak mahu berundur maka proses menerusi parlimen perlu diambil.
Begitu juga kibaran bendera Putih dan Hitam menuju ke arah itu. Ia adalah manifestasi kepada tuntutan lebih menyeluruh agar ahli Parlimen Pagoh meletak jawatan secepat mungkin. Parlimen perlu bersidang secepat mungkin membawa konotasi Mahiaddin perlu meletak jawatan "sebangat" yang boleh.
Campurtangan Agong.
Selepas melihat kedegilan Mahiaddin untuk meletak jawatan secara terhormat hilang dan terus bermain dengan kuasa, hanya parlimen diharapkan menepisnya dari kuasa itu.
Walaupun Mahiaddin dan kuncu-kuncunya, mulanya bersikeras untuk tidak memanggil sidang parlimen, namun ternyata tidak dapat melampau kuasa dan titah Agong. Sempat timbul polemik soal siapa lebih berkuasa dan berhak untuk memanggil parlimen bersidang, sehingga polemik itu mendedahkan belang kecenderungan (merit) masing-masing. Polemik itu bukan apa, melainkan untuk mempertahankan Mahiaddin oleh mereka "berperut besar."
Mahiaddin tahu dan arif membaca naratif hidupnya. Beliau tidak dangkal sangat. Wujud rasa bimbang dan gerum dalam jiwanya kalau parlimen bersidang, ia boleh menggugat kedudukannya. Membuka pintu parlimen persis membuka lubang besar untuk menerjunkan dan menimbusnya.
Mahiaddin arif dan makrifat dengan segala itu. Walaupun ada jaminan daripada pembangkang mereka tidak akan membawa undi tidak percaya, dan sidang khas untuk bahas Covid, tetapi ia tidak dipercayai Mahiaddin. Sebagai seorang pencuri, Mahiaddin sudah mengerti segala itu gerak geri mecurigakan itu. Bak kata orang "terpancak sahaja langkah, keris pun sampai."
Kini semua orang ramai menanti parlimen dibuka. Setengahnya optimis apabila parlimen buka maka berakhirlah kekuasaan Mahiaddian. Atas keyakinan dipupuk oleh pembangkang kalau parlimen bersidang maka Mahiaddin akan jatuh, menyebabkan rakyat terdodoi keasyikan menunggunya. Sudah ada yang menanti dengan tangan terbuka untuk bertepuk dan bersorak.
Tidak semudah dijangka.
Sebenarnya bukan semudah itu. Plot ceritanya bukan seperti dalam skrip sebuah movie yang sudah diketahui endingnya. Tidak bermakna apabila parlimen dibuka secara automatik Mahiaddin akan tumbang dan kerajaannya akan berkecai. Atau akan ada usul undi tidak percaya nanti.
Persoalan yang perlu dinilai disini, apakah akan berlaku proses seperti diharapkan. Persidangan parlimen ada peraturan-peraturan khasnya. Parlimen bukan sidang di atas gerai bawah pokok atau seperti persidangan atau kongres parti yang boleh dilempar kerusi dan meja.
Untuk menolak Mahiaddin perlu dilakukan melalui mesyuarat yang mempunyai peraturan-peraturannya tersendiri. Peraturan mesyuarat parlimen sesuatu yang wajib dipatuhi jika tidak ia tidak sah. Lazimnya perlu ada satu usul khas untuk tujuan itu. Usul itu akan ditentukan oleh Speaker yang bertanggung-jawab penuh terhadap perjalanan dan urusan sidang.
Kalau Speaker tidak memberi lampu hijau usul itu tidak akan dikemukakan dan ia tidak boleh dibahas untuk diluluskan.
Di sini saya tidak nampak persidangan khas parlimen itu akan menatijah apa yang diharapkan itu.
Ada teori lain mengatakan Mahiaddin akan jatuh apabila sokongan kepadanya sudah berkurangan. Proses mengabsahkan kedudukan Mahiaddin itu perlu juga dilakukan dalam parlimen. Perlu ada perkara-perkara yang memerlukan undian atau suara ahli parlimen diambil baru boleh ditentukan bagi menentukan keabsahan itu. Apakah pada persidangan nanti akan ada perkara yang memerlukan pengundian?
Sekali lagi Speaker Azhar Azizan Harun yang sudah diasah tajam taring kuasanya oleh Mahiaddin akan menentukan dan menyusun agar ia tidak berlaku hal-hal sebegitu. Kalau setakat ahli parlimen meninggalkan dewan (work-out) ia tidak menjatuhkan Mahiaddin sebagai perdana menteri. Tindakan itu boleh meriuh randahkan sahaja sidang.
Itu soal-soal teknikal perlu difahami dan perlu berlaku sebelum mahu menduga Mahaiddin akan jatuh dengan adanya sidang dewan. Dalam pada itu asasnya yang perlu diperhitungkan, apakah Mahiaddin kini sudah hilang suara majoriti seperti diperakui sebelum ini sampai Agong memberi perkenan melantiknya sebagai PM dahulu? Pembangkang dan juga sesetengah ahli parlimen lain membangkitkan soal keabsahan sokongan atau jumlah yang menyokong Mahiaddin kini.
Isu nombor dan jumlah sokongan masih tergantung sampai kini. Pembangkang mendakwa mereka mempunyai sokongan melebihi daripada apa Mahiaddin miliki. Kononnya jumlah sokongan Mahiaddin sudah susut. Namun tidak ada pengesahan terhadap dakwaan itu. Rakyat tidak pernah ditunjuk sokongan berupa SD itu secara nyata dan fizikal.
Apa yang berlaku hanya dakwa dakwi sahaja. Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sudah tiga kali mengadakan sidang akhbar mendakwa sudah dapat cukup sokongan, tetapi sekali pun tidak didedahkan kepada umum SD itu, entah atas maslahat apa tidak dibuat begitu atau ia hanya gimik bohong.
Di sini saya hendak perturunkan angka-angka atau jumlah kerusi nisbah antara kerajaan dan pembangkang, biar jelas dan sama-sama boleh di buat penilaian dan pentafsiran dengan tuntas dan logik.
Jumlah ini dicerakin daripada kedudukan kerusi terkini mengikut senarai atau carta disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada carta ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan masih mempunyai majoriti dengan 2 kerusi. Kerajaan (Mahiaddin) ada 115 kerusi, manakala pembangkang pula 105 kerusi.
Catra kedudukan kerusi. |
Dengan penarikan itu menyebabkan jumlah 115 kerusi kerajaan sudah berkurangan menjadi 112 kerusi. Kalau pun angka kerajaan sudah berkurangan, tetapi masih majoriti dengan keduduan 110 kerusi berbanding 105 milik pembangkang.
Ini kerana tidak ada keabsahan yang menarik sokongan itu menyokong mereka. Dakwaan yang kedengaran kini mereka sudah memberi SD kepada pembangkang, tetapi tidak pernah ditunjuk. Rewelnya hari Nazri Aziz pula sudah "terbalik pais" menyokong Mahiaddin dengan bersandarkan kepada usaha untuk mengangkat Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri?
Bukan automatik.
Dan tidak secara automatik juga berlaku penarikan diri beberapa MP Umno, dengan mudah Mahiaddin akan jatuh dan pembangkang boleh bentuk kerajaan. Apakah kesemua 105 pembangkang itu solid molid? Pembangkang sendiri masih bercakaran sesama sendiri mencari formula dan teori bagaimana untuk bersatu. Misalnya ada pihak yang tidak sedia memberi sokongan kalau Anwar dipilih jadi perdana menteri dan masih yang ada mahukan Mahathir Mohamad jadi PM. Itu yang bersungguh membentuk grand coalition adalah mereka yang tidak mahukan Anwar.
Kalau itulah duduk perkaranya, apa guna kalau pembangkang berjaya menggeserkan Mahiaddin, tetapi isu soal perdana menteri tidak berkesudahan. Ia tidak membawa apa-apa erti. Walhasil kejayaan itu seperti pemancing dapat, ikan tetapi tidak boleh dimasak sebab tidak cukup alat rempah ratus gula dan garam serta api. Jawabnya nanti pembangkang hanya dapat ikan tetapi tidak dapat masak. Apa sanggup makan ikan mentah, mau jadi kucing pula? Hehe.
Dari firasat saya pula, bukan sahaja pembangkang tidak akan mendapat jumlah yang dikehendaki itu, tetapi ia tidak mendapat sokongan padu pun sesama mereka. Akan berlaku "congik cakdong" dalam hal ini. Katalah sekurang-kurang 10 MP Umno akan memberi sokongan kepada pembangkang atas maslahat nak jatuhkan Mahiaddin, ia tidak bermakna pembangkang akan dapat bentuk kerajaan kerana isu-isu dan percakaran tadi belum muktamad. Isu atau hubungan antara Mahathir dengan Anwar tetap menjadi hambatan dalam soal ini. Justeru yang menyelamatkan kedudukan Mahiaddin bukan sahaja Zahid, tetapi Mahathir dan Anwar juga. Sebab itu ada teori mengatakan Mahiaddin diselamatkan oleh Mahathir.
Apakah Mahathir akan sedia memberi sokongan kepada Anwar bersama empat orang MPnya.? Apa jadi kalau beliau pula menarik diri untuk berpihak kepada Mahiaddin? Kalau itu berlaku, ia tidak mustahil akan turut diikuti sama oleh Warisan yang mempunyai 8 kerusi. Shafie Apdal dilihat lebih loyalist kepada Mahathir berbanding orang lain. Dalam dunia politik segala-galanya boleh terjadi. Yang sudah terjadi sebelum ini adalah cermin jernih yang baik untuk dijadikan penilik.
Kalau Warisan dan Mahathir and the geng, berpaling tadah, tidak bermakna dan membawa apa-apa erti lah 10 orang MP Umno yang meninggalkan Mahiaddin tadi. Ia akan jadi "wal hasil balik asal, wal asal balik hasil" jugalah.
Menyimpulkan ini saya tidak yakin Mahiaddin akan terpelanting dalam dewan menerusi undi tidak percaya. Dua kemungkinan sahaja untuk melihat Mahiaddin berundur, pertama beliau meletak jawatan secara suka rela, kedua beliau dinasihat berhenti oleh Yang di-Pertuan Agong. Apapun sebaik-baik untuk melempar Mahiaddin buatlah dalam Piraum ke-15 kelak. Wallahu'alam. [wm.kl.12:40 pm 04/07/2021]
Glossori.
bangat = cepat.
No comments:
Post a Comment