Tuesday, August 2, 2022

Buku: Gerakan Reformasi Dua Dekad, rakam sejarah dan denai perjuangan reformasi

ULASAN BUKU

Buku yang merakam sejarah
reformasi.
GENERASI Malaysia yang lahir selepas tahun 1998, yang cenderung dalam politik negara tidak akan mengetahui perjalanan politik negara secara peribadi, khususnya era reformasi yang sudah pun melangkah dekad kedua.

Mungkin sebahagian daripada mereka ketika api reformasi mula melepuh, mereka masih berada dalam rahim ibu masing-masing. Ibu dan bapa mereka yang mengambil bahagian dalam siri-siri tunjuk perasaan, melaungkan slogan Reformasi, membawa sama mereka ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Dataran Merdeka dan menjelajah ke pelusuk negara dalam kandungan.
Lantaran mereka berada dalam tembuni bunda, mereka tidak merasai kehangatan dan kehebatan reformasi. Jauh sekali untuk merasai pedih semburan gas pemedih mata atau pun pacuran water cannon.

Juga tidak merasa kesakitan pukulan belantan dan tumbukan anggota topi merah (FRU). Tidak juga pernah melihat bagaimana darah merecik di jalan-jalan raya akibat melawan regim diktator. Tidak juga menyaksikan ratusan para demostran reformis ditahan dalam lokap dipukul kemudian ada yang didakwa dengan pelbagai kesalahan di mahkamah.

Yang merasanya ialah kedua orang tua mereka atau sanak saudara lain yang prihatin dengan gerakan reformasi untuk mewujudkan sebuah negara yang bersih daripada amalan KKN (Korupsi, Kronisme dan Nepotisme) dan memastikan sang diktator tidak berada disinggahsana penguasaan selama-lamanya.

Namun tidak mengapa, mereka masih berpeluang untuk menyemak balik detik-detik awal reformasi hingga ke hari ini yang sudah dua dekad. Semuanya berkat ada orang yang rajin mencatat segala peristiwa dan bantuan peralatan IT yang canggih dewasa ini.

Goggle sahaja dalam internet akan ditemui seberapa banyak yang diingini untuk mengetahui peristiwa atau perjalanan perjuangan reformasi. Bagi generasi baharu sangat perlu mengetahui sejarah reformasi dan perjuangannya agar tidak mudah dikelirukan oleh tukang-tukang sihir politik yang berkepentingan. Kebenaran dan ketepatan perjuangan reformasi perlu diketahui dengan betul bukan yang diselit dengan ilusi atau pun prejudis pihak berlawanan dengannya. Sejarah tidak dapat disembunyikan, kerana ia adalah seperti attar atau bangkai.

Buku.

Dr Bam Al Haj
Salah satu dokumen mengenai perjuangan reformasi dan sang tokohnya, Anwar Ibrahim dapat disemak dan dicungkil daripada sebuah buku berjudul GERAKAN REFORMASI DUA DEKAD - Rakaman dan Analisa Ringkas Perjuangan Reformasi 1998 – 2018, terbitan Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) 2021, cetakan pertama 2022.

Buku ini ditulis oleh seorang reformis Dr Baharuddin Ali Masrom al Haj (Dr Bam Al-Haj). Dr Bam seorang penganalisa politik yang pakar neuromarketing strategist dan training consultans yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kebetulan beliau juga salah seorang watak yang bergelumang dalam reformasi dan oknum yang berada dalam gelodak api reformasi dihari pertama lagi dan orang hampir dengan Anwar Ibrahim.

Buku ini sangat penting menjadi dokumen untuk mengenali segala peristiwa dan tragedi reformasi dari mula hingga ke hari ini. Ia merakam beberapa peristiwa penting dan moment indah dan perit sejak awal, kepada perwujudan gerakan dan kebangkitan rakyat sehinggalah kepada penubuhan wadah politik Parti keadilan Nasional (Rakyat) yang menjadi gelanggang para reformis.

Hadir dalam buku setebal 357 muka surat ini, pengenalan tawarikh sosok Anwar sebagai seorang perjuang serta bagaimana retak mula putera Ceruk Tokun itu melangkah ranjau dan onak perjuangan demi rakyat.

Buku ini menarik dan sangat merujakan ia menjadi cermin besar negara dalam merakam peritistiwa perjuangan reformasi yang menjadi sebuah tugu perjuangan rakyat marhean nusa ini. Ia dicatat secara kronologi dengan mendalam penuh cermat. Walaupun ada segmen dan episod penting di celah-celah bab dalam buku itu tidak tercatat kesemuanya, tetapi kerangka besar sebuah perjuangan reformasi tampak dalam buku ini.

Buku ini mengandungi 17 bab. Antara bab yang penting untuk dihayati dan menjadi pasak buku ini ialah; Bab 1: Anwar Ibrahim dan Perjuangan Membela Rakyat, bab 2: Kenapa Anwar masuk Politik, bab 3: Peristiwa 2 September 1998 – Pemecatan Anwar Ibrahim, bab 4: Bermulanya Gerakan Reformasi; Tindakan Balas Terhadap Pemecatan Anwar Ibrahim, dan bab 7: Penubuhan Adil dan Parti Baharu.

Buku ini juga mendapat sanjungan Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah dan Aminuddin Harun MB Negeri Sembilan. Sementara Presiden Rapat Mustafa Kamil Ayub dan penganalisa politik Dr Mohamad Agus Yusoff memberi kata pengantar.

Saya menyarankan kepada anak muda, generasi pasca reformasi serta mereka yang berasakan tidak pernah lengkap pengetahuan tentang perjuangan reformasi, menghadam buku ini demi mengenali jerih perih mereka yang berjuang dalam refromasi.

Selain mendedahkan kerakusan sang diktator demokrasi Mahathir Mohamad yang tidak pernah puas untuk melahap kekuasaan, buku ini juga mendedahkan kegigihan dan kepasrahan pejuang rakyat (reformis) Anwar Ibrahim yang juga tidak pernah surrender untuk membela rakyat dan negara.

Syabas kepada Dr Bam al-Haj (HC) menulis dan menerbitkan buku ini dan menambahkan khazanah dokumen mengenai perjuangan reformasi dan Anwar Ibrahim. [wm.kl.9:52 pm 02/08/2022].

No comments: