Thursday, August 18, 2022

Perbezaan Najib dengan Anwar Ibrahim

SESUDAH SUBUH


Anwar dikeliling penyokong
di mahkamah.
MALAM tadi saya dengar seorang pengulas politik yang juga pendokong Umno membebel dan menzahirkan rasa kesal dengan sikap orang Umno khasnya peringkat pemimpin bertaraf menteri kabinet dan juga ketua-ketua bahagian yang bersikap pasif dan tidak menumpahkan simpati kepada Najib Razak yang sedang menghadapi dugaan kini.

Pengulas berkenaan kesal dengan sikap dan perangai orang Umno yang bersikap seperti kacang lupakan kulit. Yang memuja dan mencium tangan ketika seseorang itu berkuasa dan berkedudukan dan akan menjauhi bila kuasa dan kedudukannya lenyap.

Najib dikeliling pegawai SPRM.
Lantas beliau membandingkan perangai dan komitmen orang Umno dengan orang PKR. Orang PKR katanya dari semua peringkat memberi simpati dan menzahirkan solidariti kepada Anwar Ibrahim ketika presiden parti itu berhadapan dengan musibah dihadapkan ke mahkamah dan dipenjarakan. Katanya penyokong Anwar dan ahli Keadilan akan turun beramai-ramai berhimpun dan memberi moral support kepada Anwar setiap kali Anwar hadir di mahkamah.
Sebalik, katanya keadaan itu tidak berlaku untuk Najib Razak. Seolah-olah orang Umno tidak ada perasaan langsung.

Kesian pula saya mendengar keluhan dan kekesalannya.
Barangkali baru pengulas berkenaan tahu akan hati budi orang Umno. Begitulah jadinya kalau penyokong itu dijinakkan dengan kebendaan, wang ringgit bukannya dengan nilai perjuangan sejati.

Apabila ditaburkan benda mereka akan dekat dan mesra. Sebab itu mereka sanggup menunggu Najib semasa jadi PM dari pagi sampai ke petang. Tetapi bila kebendaan sudah tiada dan pemimpin hilang kuasa, mereka akan menjauh. Perjuangan menggunakan duit sebagai modal, cash is king tidak akan ke mana-mana pun. Perjuangan bermodalkan demikian adalah bathil.

Berbeza dengan penyokong Anwar dan perjuangan Keadilan, mereka diasak dengan idealisme dan kebanyakan mereka berjuang atas prinsip dan idealisme parti sebab itu mereka rela berkorban masa, wang ringgit dan sanggup menggadai masa depan. Mereka tidak pernah mengharapkan imbuhan dan balasan. Sebab itu tatkala Keadilan menjadi sebahagian kerajaan mereka hanya memerhati dari jauh tanpa sedikit kesalan dan keterkilanan pun.

Seperkara lagi, jika hendak dibandingkan Najib dengan Anwar, ia berbeza. Walaupun mereka sama-sama dihadap ke mahkamah, tuduhannya berbeza. Najib dituduh kerana menyelewengkan dana SRC International, manakala Anwar difitnah. Di sini nampak Anwar dizalim dan dikhianati, tetapi Najib beliau sendiri yang mencari penyakit. Najib dituduh berdasarkan kebendaan manakala Anwar dituduh berasaskan prinsip.

Perbezaan itu menjadikan penerima orang ramai kepada mereka juga berbeza.

Justeru bagi saya tidak salah kalau orang Umno memandang sepi dan tidak begitu bersimpati dengan apa dihadapi Najib, kerana perbezaan keadaan dan suasana itu. Usahlah bersedih duhai sang pengulas dan pendokong Umno. [wm.kl. 8:32 am 18/08/2022]

No comments: