Monday, August 15, 2022

Panggilan terjah daripada seorang kawan

SUSUPAN PAGI

Bentuk kapal LCS yang dikatakan dalam 
proses pembinaan.
 LEWAT tengah malam tadi (semalam 14/8/22) seorang penganalisa politik veteran yang cukup
pengalaman menghubungi saya. Saat itu mata saya sudah keluyuan. Tetapi melihat pemanggilnya seorang yang saya hormati, saya nyalakan semula lampu dan terus ngomong dengannya. 

Sudah lama dia tidak membuat panggilan terjah kepada saya. Selalunya bila ada panggilan terjah begitu adalah perkara penting hendak disampaikan ataupun dibincang. Pada hujung perbualan itu, dia mengharap dalam waktu terdekat saya dapat minum atau mengopi bersamanya. 

Sebagai seorang penganalisa politik yang rajin, memberi percerahan setiap hari, isu dibincangkan dalam percakapan semalam tentulah hal ehwal politik. Ia berkisar kepada perkara pokok mengenai skandal LCS (kapal tempur pesisir yang tidak boleh diharap bertempur kerana tidak siap) itu. 

Menurutnya dia ada maklumat lanjut mengenai hal ehwal pembinaan kapal tersebut, tetapi tidak mahu diungkap bagi mengelak berpolemik dengan sesetengah pihak. Kenapa? Inilah cerita yang hendak disampaikan kepada saya. 

Saya dapat mengesan kenapa beliau menghubungi saya, bercerita sedikit sebanyak mengenai kapal LCS itu, bertujuan untuk memberi pencerahan dan maklumat kepada saya. Kebetulan dalam isu LCS ini, saya tidak begitu tahu apa lagi pakar dalam bidang ini. Tetapi minda saya mengatakan tiga orang pemimpin besar, semuanya daripada Umno perlu bertanggungjawab.

Mereka ialah Zahid Hamidi yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan, Najib Razak yang sebagai perdana menteri, kemudian Hishammuddin Hussein yang juga sebagai menteri pertahanan. Mustahil projek pertahanan negara menelan belanja berbillion ringgit (lebih RM9 billion) tidak diketahui oleh perdana menteri dan Menhan? 

Adapun Najib cuba mengaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad, kononnya bekas PM itu juga ikut sama terbabit. Ada benarnya juga kerana peruntukan untuk pertahanan dan keselamatan adalah peruntukan paling besar dalam negara ini berbanding dengan lain-lain peruntukan (kementerian). 

Sudah pasti bagi pemimpin yang lapar, tamak, dan rakus tidak senang duduk melihat peruntukan sebanyakan itu, mesti mahu dan berusaha untuk mengakaunya. Sesuatu yang terhidang di hadapan mata tidak akan dilepaskan begitu sahaja. Ada peluang kena "sakau".

Dalam skandal LCS ini, sekali lagi, nama Anwar Ibrahim tidak berjaya ditarik sama. Anwar sekali lagi terselamat daripada di"polot"kan dengan najis rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Kalau ada peluang dan ruang untuk menarik sama nama Anwar pasti ia sudah dilakukan. Mungkin orang yang duduk di luar negara menabur batu dari kejauhan, akan memainkan peranannya dengan merekayasakan untuk mengaitkan sama Anwar. 

Saya dengar dan hanya akur sahaja kepada penjelasan kawan saya itu. Saya hormat dan percaya akan pengetahuan dan "kepakaran" dalam aspek itu kerana beliau ada sedikit pengetahuan mengenainya, setidak-tidak mengetahui urusan perjalanan pembinaan kapal kerana beliau pernah berkhidmat dengan syarikat perkapalan diera Mahathir. 

Cuma yang agak musykilkan saya sedikit sahaja, dia terlalu membela dan menyanjungi Zahid Hamidi dan Najib Razak sehingga mengkesampingkan isu sebenar di sebalik skandal itu. Yang dipersoalkan bukan kapal tidak wujud, tetapi kenapa harus lewat dan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan. Itu yang beliau perlu jelaskan bukan cuba melindungi Najib dan Zahid dari isu berkenaan secara taksub. 

Sebenarnya skandal LCS itu tidak menarik minat saya. Walaupun ada penyelewengan dan siasatan SPRM sudah dibuat, dan PAC telah mendedahkan duduk perkaranya, ia bukan suatu solusi yang melegakan rakyat. Mereka yang bijak menghalusinya tetap tidak berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian projek itu. Dan kenapa saya tidak berminat serta menaruh keyakinan skandal itu akan dilodeh dan diambil tindakan berpandukan kepada tindak-tindakan dan kes ditangani SPRM sebelum ini.

Apa lagi dalam skandal sebesar itu yang sudah pasti dilakukan dengan penuh terancang dan "saintifik" sudah pasti ia bukan perkara senang untuk diuraikan. Menurut Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Malaysia Azam Baki, kes itu sudah disiasat sejak lapan tahun lalu, ternyata belum tuntas sampai ke sini. Kenapa? Dimana tenggendalanya siasatan dan tindakan itu. Situasi inilah meragukan orang-orang seperti saya.  

Dalam satu kenyataanya, sudah ada individu dipertimbangkan untuk didakwa, tetapi masih belum jadi kenyataan. Kenapa dipertimbangkan bukan diambil tindakan. Apa yang mendorong maka ia dipertimbangkan. 

Bukan saya sengaja nak bandingkan cara kerajaan Malaysia dengan Indonesia menguruskan jenayah dan bertindak keatas penyelewengan dilakukan oknum aparat. Tetapi yang nyatanya Malaysia sangat berbeza dalam hal ini dengan Indonesia. Sangat naif. Negara itu lebih tegas dan terbuka dalam menguruskan sesuatu perkara bersabit dengan jenayah.

Ambil sahaja kes terbaharu pembunuhan anggota polis Bringdir Jeneral Yoshua Hutabara yang hebuh dan hangat kini. Tidak sampai sebulan kasus itu sudah hampir diselesaikan, pelakunya sudah pun ditangkap. Walhal pelakunya bukan calang-calang anggota polri berstatus dua bintang. Walaupun ia membabitkan anggota polis, dimana peristiwa itu menjejaskan imej negara, tetapi ia tidak disembunyikan. Presiden Joko Widodo sendiri lima kali membuat arahan agar kasus pembunuhan berencana itu diselesaikan dengan transparent dan tegas.

Media massa pula melaporkan kasus itu 24 jam tanpa henti. Dipanggil panel dari berbagai disiplin ilmu memperkatakan mengenai tragedi itu. Media diberi kebebasan tidak ada taranya. Keadaan ini jauh berbeza daripada Malaysia yang masih mengekang dan menghadkan kebebasan media massa. Di negara ini kalau boleh kes-kes berprofile tinggi perlu disembunyikan.  

Hal begitu tidak wujud dan berlaku di Malaysia. Kerana itu, kepercayaan saya kepada SPRM dan pihak-pihak penguatkuasa lain dalam negara ini berada ditahap rendah pencapaian dan kecemerlangan berbanding dengan negara seperti Indonesia, Thailand, apa lagi dengan negara-negara Barat yang lebih awal tamadun.

Contohnya dua kes besar yang menggemparkan negara di mata dunia sebelum ini gagal diuraikan dengan penuh profesional dan menyakinkan. Kes itu adalah kes pembunuhan warga negara Mongolia Altantuya Shaariibbu. Walaupun pelaku kes itu sudah dihukum, tetapi motif pembunuhan modeling itu tidak terungkap sampai kini. Apakah dunia mempercayai sesuatu kejadian (pembunuhan) itu tanpa motif?  

Kedua ialah skandal 1MDB yang menyebabkan negara kerugian berbillion ringgit. Manusia bertanggungjawab disebalik skandal itu Low Taek Jho (Jho Low), masih bebas menikmati hasil curiannya sampai kini. Dia bukan warga asing seperti Altantuya tetapi warga negara Malaysia. 

Biarlah, kita tinggalkan kelemahan dan kegagalan itu semua sebagai satu bukti kelemahan kita dalam menguruskannya. Berbalik kepada panggilan terjah kawan saya tadi, perkara diungkapnya ada baik juga untuk direnungkan dan difikirkan, apakah munasabah dan perlu diberi perhatian. Insya-Allah saya akan sambung dalam catatan seterusnya nanti. [wm.kl. 10:43 am 15/08/2022]

No comments: