Monday, August 8, 2016

Benarkah ada pemimpin Pas terima RM90 juta?

JEJEMPUT PETANG

[kemaskini] Mungkin hari ini ada yang terkejut besar dengan pendedahan web Sarawak Report mendakwa pemimpin parti agama (Pas) mendapat RM90 juta daripada wang 1MDB. Yang terkejut bukan sahaja orang ramai, tetapi pemimpin Pas juga terjungkit ekor. Barang kali ada yang sampai terjatuh serban dan terselak jubah?

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) membuat kenyataan segera untuk menyaman laman sesawang berkenaan. Beliau menganggap laporan itu fitnah dan berniat jahat serta boleh "mendawaskan" laporan-laporan hebatnya sebelum ini.

Tindakan saman itu menggambarkan apa yang didakwa Sarawak Report itu sebagai palsu. Sama ada laporan itu palsu atau tidak, ia tidak dapat diterima dengan tuntas. Tegasnya setakat hari ini, laporan itu sesuatu yang menarik dan memberi impak baharu kepada Pas. Laporan itu masih valid.

Tindakan Tuan Ibrahim itu nampaknya gapuh sedikit. Beliau sepatutnya tidak membuat kenyataan balas tanpa membuat penyelidikan. Gara-gara itu menyebabkan kenyataan itu boleh makan tuan. Tindakan timbalan presiden Pas itu juga boleh membangkitkan keinginan web berkenaan untuk lebih ghairah lagi termasuk sedia mendedahkan nama pemimpin parti berkenaan yang mendapat habuan itu.

Saya tidak fikir web berkenaan tidak terfikir dengan apa-apa tindakan daripada Pas sehingga membawanya ke mahkamah.

Apa pun orang ramai boleh membuat berbagai-bagai spekulasi dengan laporan berkenaan. Mereka yang percaya bahawa pemimpin Pas bertaraf maksum atau setengah wali, akan memaki hamu dan menyumpah seranah web berkenaan. Mereka akan menuduh berita itu adalah fitnah dan jahat. Jangan-jangan idea atau sumber diambil portal berkenaan daripada DAP? Mungkin ada yang akan menjual cerita demikian.

Sebaliknya mereka yang mengenali hati budi dan karektor pemimpin Pas, tahu bahawa bukan semua pemimpin Pas bertaraf wali atau maksum, akan mula membuat siasatan berhubung perkara ini. Pepatah berbunyi jangan sangka orang berkopiah semuanya baik, menyebabkan mereka akan konfius terhadap Pas dengan laporan itu. Game yang dimainkan oleh web berkenaan baru bermula.

Pendeknya laporan itu memberi satu dimensi baharu terhadap Pas oleh orang ramai. Bahawa Pas juga terlibat dalam menerima wang dana yang telah menimbulkan kontroversi itu. Intergriti Pas jatuh merudum.

Jika dahulu, zaman Pas dipimpin oleh para ulama segonti, yang "muhid" dengan Allah, yang berjuang pakai kapcai dan basikal atau paling-paling ada Toyota K20 atau van C20  mungkin laporan atau berita sebegitu mudah dibuang begitu sahaja. Ia nyata fitnah. Tetapi hari ini yang memimpin Pas adalah mereka yang kedudukan dan gaya hidupnya tidak jauh beza dengan pemimpin Umno. Apa yang pemimpin Umno ada mereka juga memilikinya.

Misalnya, kalau pemimpin Umno naik jet mereka juga naik jet. Kalau pemimpin Umno ada motor besar, pemimpin Pas juga ada motor besar. Kalau pemimpin Umno ada motokar lebih daripada tiga dengan nombor plat satu angka atau dua angka, mereka juga ada kereta lebih daripada tiga dan bernombor plat dua angka yang harga tandernya mencecah puluhan ribu. Soal bini dan betina usah ceritalah. Saya pun nak juga berbini lebih daripada tiga, tetapi akan daya...

Mengenai laporan Sarawak Report itu, bagi saya ia bukan sesuatu yang memelikkan kalau ianya benar. Beberapa minggu sebelum ini saya sudah mendapat maklumat serupa, kononnya pemimpin Pas sudah menerima wang daripada Najib. Jumlah yang disebut tidak sebanyak itu, ianya kurang RM60 juta.

Mulanya saya tidak percaya dengan maklumat itu dan menganggapnya sebagai gurauan sahaja. Tetapi setelah menyedari saya sukar untuk menerimanya, orang berkenaan (yang datang ke rumah) bercerita lebih lanjut dan serius lagi menyakinkan saya. Dia memberi tahu sumber yang diperolehinya tentang itu. Dan atas kapasitinya yang saya percaya sebagai seorang baik, cerita itu termakan oleh minda saya. Pun begitu saya tidak sedia menghebuhkan dalam media sosial kecuali bercerita kepada seorang dua rakan rapat sambil menanti ianya pecah.

Jadi apabila hari ini Sarawak Report melaporkan hal itu, menyebabkan berita yang sudah saya cuba nak ignore itu datang kembali. Apa lagi apabila dipadankan dengan keadaan dan karektor pemimpin Pas yang saya sebut tadi ia tidak mudah saya menolaknya.

Yang sedikit saya ralat ialah angkanya, ia terlalu banyak. Kalau setakat ratusan ribu atau cecahan jutaan ringgit ia tidak anih lagi. Dalam pengetahuan saya sendiri ada beberapa orang pemimpin Pas menerima ratusan ribu dalam bentuk apa dinamakan wang jihad atau wang untuk parti. Kalau nak tahu sila hubungi atau berjumpa dengan saya, tanpa dibayar apa-apa pun hatta secawan tea. Free. Makanya tidak pelik kalau pemimpin parti itu juga menyamar menjadi syaitan yang makan wang.

Takdirlah laporan itu benar, jumlah RM90 juta itu bukan nilai yang banyak pun. Najib Razak mempunyai wang RM2.6 billion itu wang yang diperolehi secara percuma dari Raja Arab. Tidak salah dan tidak mustahil kalau Najib bahagi-bahagikan kepada pemimpin Pas atas nama kebajikan dan Islam. Shahrir Samad dan Ahmad Maslan dapat juga bahagiannya.

Apabila dilihat kepada sikap pemimin Pas yang agak liat untuk menyerang Najib mengenai skandal 1MDB sebaliknya membela Najib bermati-matian menunjukkan ada merit (kecenderongan dan kesahihan) mengenai laporan itu. Mungkin wang yang mereka terima sebagai wang tumbuk rusuk.

Disimpulkan buat sementara mengenai isu atau laporan Sarawak Report ini, kita berharap mahkamah dapat membantu Pas menyelesaikan tuduh yang dianggap fitnah oleh Tuan Ibrahim Tuan Man itu. Tuduhan itu sangat berat dan mengaibkan Pas. Apa lagi orang sudah kenal pemimpin utamanya bertaraf ulama dunia. Adalah malu dengan apa yang berlaku.

Atau pun boleh jadi juga Tuan Ibrahim tidak tahu menahu apa yang diterima oleh pemimpin lain. Prihal wang berkenaan yang diterima tidak dimaklumkan kepadanya? Adakah kemungkinan ini? Hanya Tuan Ibrahim sahaja boleh menjawabnya. Manalah tahu Tuan Ibrahim juga mengilas "anak rimau" dalam kilasnya?

Tidak mengapa, sabar semua, kita tunggu proses undang-undang dan pengadilan di mahkamah. Dan saya tetap yakin laporan Sarawak Report akan bertanggungjawab terhadap apa yang dilaporkan itu. Seperti mana ia bertanggungjawab terhadap pendedahan skandal 1MDB dulu, begitulah juga dengan terjahan terhahadp parti agama itu.

Dan adalah baik bagi Pas sementara mahkamah membuat keputusan, anjurkan solat Hajat bagi mengelak atau pun menghapuskan fitnah berkenaan. Berdoa dan bermunajaklah. Suka atau tidak benar atau tidak, berita berkenaan akan jadi isu dan diviralkan dalam media sosial menatijahkan buruknya sifat dan perangai pemimpin Pas. Fitnah itu satu petakala buat Pas. [wm.kl.5:42 pm 08/08/16]

No comments: