Saturday, August 13, 2016
Syukur misi kemanusiaan, kebajikan dapat diteruskan
KENYATAAN
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Apabila saya jatuh sakit pada akhir tahun lepas, terfikir kepada saya, apakah segala kegiatan saya akan terhenti? Salah satu kegiatan yang paling diingati ialah menggerakkan misi kemanusiaan dan berkebajikan di kalangan penjengok blog saya dan juga rakan-rakan Facebook.
Sedar atau tidak media sosial menjadi wasilah (instrumen) untuk saya berkolaborasi dengan anda sekalian melakukan misi atau kegiatan itu.
Setiap kali saya menggerakkan misi ini, ia tidak pernah mengecewakan. Para penjengok memberi sokongan dan dokongan padu mengikut kemampuan masing-masing. Paling saya sukai sumbangan dan komitmen itu dibuat dengan seikhlas hati.
Barang kali tidak manis kalau saya menyebut satu persatu apa yang telah kita capai bersama melalui misi ini. Solidariti kita menerusi alam maya ini dalam menggerakkan misi kemanusiaan atau pun mengeratkan tali silaturahim amat baik dan mengharukan saya. Paling sangat mengesankan ialah semasa saya sakit, semua memberi kepedulian yang amat tinggi. Jazakalah.
Misi kemanusiaan dan kebajikan ini bermula sejak lebih sedekad lalu. Mungkin ada kalangan kita tidak sedar bagaimana kita semua ikut berpartisipasi membantu sesama manusia, baik mereka yang ditimpa kemalangan malapetaka ataupun kemelaratan hidup.
Tidak manis kalau disebutkan di sini satu persatu kerana ia boleh dianggap riak. Tetapi, kita khasnya saya tidak boleh menolak hakikat yang misi dan komitmen kita semua memberi natijah yang baik dan bermakna. Kita berjaya membentuk ukhwan Islamiah tanpa mengenal wajah antara satu sama lain. Ia ada suatu perhubungan unik sebenarnya.
Paling merujakan juga kita bukan terbentuk menerusi sebuah badan atau organisasi kebajikan yang dibentuk sedemikian rupa. Kita terbentuk dengan sendiri atas rasa kemanusiaan dan keinsafan yang tinggi dan mendalam serta saling mempercayai antara satu sama lain.
Pun begitu kita melangkah sama kencang dan sama jauh dengan mereka, organisasi yang besar dan berpelembagaan. Misalnya, misi kemanusiaan yang terbentuk secara automatik menerusi blog ini ikut sama berpartisipasi terhadap mangsa tsunami di Aceh tahun 2004 dan gempa bumi di Jawa Barat. Saya ke sana membawa bantuan dan sumbangan bukan sahaja semasa berlaku tsunami, tetapi bersambungan pada hampir setiap tahun tahun-tahun berikutnya.
Apa yang menjadi tumpuan kebajikan di sana ialah terhadap anak-anak yatim yang berada di pasentran atau pondok atau pun madrasah. Setiap menjelang Ramadhan dan tiba hari raya korban saya akan berusaha untuk menyedekahkan seekor dua lembu atau kambing bagi dijalankan korban.
Penglibatan kita bukan setakat di Nusantara sahaja, misi kita ini menjangkau hingga ke Palestin. Tahun 2012 semasa saya ke sana sempat menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Pelestin yang melarat. Semua itu bukan wang saya bersendirian melainkan perkongsian dengan anda sekalian dan individu-individu yang prihatin yang disalurkan menerusi tabung blog ini. Saya hanyalah perantaraan sahaja.
Sewaktu banjir melanda Kelantan akhir tahun 2014, misi kemanusiaan blog ini juga turut menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana itu. Sekurang-kurang dua treler beras dan berbagai keperluan dan makanan serta pakaian dikirimkan kepada mangsa banjir. Seperti saya kata, sumbangan kita laksana hanya sebutir beras dalam sebuah bendang sahaja, tetapi walaupun begitu ia memberi erti besar bahawa kita juga terpanggil dan mempunyai saham berkebajikan.
Tidak terlupa juga saya nukilkan di sini ialah mengenai sumbangan penjengok blog ini kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membina lebuh raya di negeri itu. Mungkin tidak percaya kalau saya sebutkan sejumlah RM29,000 telah berjaya dikumpul untuk projek itu, dan cheqnya diserahkan kepada Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Al Fatihah sekali).
Dan sekali lagi misi penuh suci ini akan diteruskan lagi. Sempena Aidi Adha ini saya bercadang untuk melaksanakan Korban di sebuah perkampungan Melayu terletak di pinggir Kota Bangkok. Pintu hati terbuka untuk melakukan korban di sini tatkala saya melawat ke perkampungan itu tahun lepas. Kehidupan kira-kira 4,000 penduduk jauh ketinggalan berbanding dengan rakyat asal, bangsa Thai. Dan apa yang menarik perhatian saya ialah nasib kira-kira 30 anak yatim piatu yang tabah menjalani kehidupan secara ala kadar sahaja.
Doakan semoga niat saya ini termakhbul. Sehubungan itu saya mengalu-alukan mana-mana kawan dan penjengok yang ingin sama melakukan Korban atau memberi sumbangan untuk kebajikan ini. Rakan yang ingin ikut serta Berkorban atau menyumbang boleh hubungi atau Whatsaap saya di nombor 019 2336996 Atas segalanya terima kasih. [wm.kl.8:07 pm 13/08/16]
Labels:
KENYATAAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment