Friday, August 5, 2016

Pintu Ajal Belum Terbuka (4)

4.TERIMA KASIH TONSIL

SAYA tidak pasti apakah semasa kecil saya menghidap radang tonsil? Mungkin berlaku, sebab ghalibnya tonsil adalah penyakit yang sering dialami kanak-kanak. Tetapi yang pasti, keadaanya tidak separah hari ini, menghidap tonsil setelah usia setengah abad sesuatu yang memelikkan dan mencabar.

Pada usia kanak-kanak atau remaja kita mempunyai daya pertahanan diri (antibodi) yang gagah. Jadi kalau sesekali dihinggapi tonsil atau apa-apa penyakit lain demam selesema, batuk dan sebagainya ia berlalu begitu sahaja. Tonsil menurut kajian perubatannya bukan penyakit yang kronik walaupun ada tahap yang membahayakan.

Di zaman kecil, zaman dunia perubatan belum canggih, ubat-ubatan untuk tonsil ada di sekeliling rumah sahaja. Mungkin orang tua hanya memberikan makan atau minum air pelbagai pucuk kayu yang bertindak menjadi herba penawar. Daun-daun samak, mengkudu, kunyit, mempelas, sireh, celagi, kandis dan sebagainya, dipercayai menjadi ubat mujarab untuk sesuatu penyakit. Boleh jadi juga waktu itu kanak-kanak hatta saya menghidap tonsil diberi segala itu kemudian surut.

Daripada istilah perubatan tonsil adalah sejenis tisu limfoid yang terletak dalam tekak berhampiran dengan anak tekak. Ia merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan badan. Tisu limfoid ini terdiri daripada sejenis sel dipanggil limfosit. Fungisnya untuk bertindak melawan penyakit. Bolehlah dikatakan penawar (sel) semula jadi yang disediakan Tuhan untuk hamba-Nya.

Sekiranya kita menyedari kewujudannya dan dengan segala fungsi hebat yang disediakan, ia menginsafkan kita, bahawa Tuhan mencipta manusia itu dengan lengkap dan ideal. Jika kita menghayati itu maka tahap keimanan dan ketakwaan kepada-Nya pun akan makin menebal.

Tiga jenis tonsil

Penemuan dalam aspek perubatan ada tiga jenis tonsil yang berada dalam rongga mulut.
1. Adenoids - tonsil yang terletak di bahagian belakang hidung.
2. Lingual tonsils - yang terletak di belakang lidah.
3. Palatina tonsils - yang terletak di tetak.

Tonsil yang ketiga inilah yang wujud atau hadir kepada diri saya, dan menyebabkan saya berterima kasih kepadanya. Pelik dan anih juga kenapa saya berterima kasih kepada tonsil, walhal ia satu penyakit? Dan selalunya penyakit itu merbahaya dan diusaha mengelakkannya.

Kebaikan awal bagi saya apabila menghidap penyakit ini, saya mengetahui banyak ilmu mengenai tonsil ini. Saya memperolehi ilmu baharu dan seakan berada dalam sekolah perubatan pula. Ini termasuklah mengetahui secara saintifik macam mana tonsil boleh wujud dan kaedah-kaedah pencegahannya serta implikasi buruknya.

Dan satu pengalaman baharu untuk saya dalam menghadapi tribulasai kehidupan juga ditemui dengan kehadiran penyakit ini.

Antara sebab berlaku tonsil ialah kerana jangkitan virus atau bakteria di dalam tekak. Jangkitan bakteria seperti streptococcus menyebabkan tonsil bengkak dan bernanah. Begitu juga dengan jangkitan virus seperti epstein barr virus, adenvirus atau measles boleh juga menyebabkan berlaku pembengkakan. Jalan penyelesaian yang paling kemuncak ialah dengan membedah dan membuangnya.

Adapun gejala atau implikasi kerana tonsil ini, ada beberapa kesan yang tidak menyenangkan dan ini menyebabkan seseorang yang mengalaminya rasa terganggu. Kesan-kesan lazim ialah, sakit tekak, tidak boleh menelan atau perit semasa menelan air atau minum. Demam yang ada kalanya ke tahap panas yang tinggi. Kepala juga sakit-sakit yang membawa kepada hilang suara. Bengkak pada leher, mulut berbau busuk dan berdengkur waktu malam.

Aninhnya gejala itu semua tidak ada kepada saya bagi menandakan wujud "YBhg" Tonsil, melainkan berdengkur. Dengkuran saya semasa tidur memang kuat dan ia boleh menganggu teman lain. Isteri tidak pernah merasa terganggu, buktinya kalau beliau terganggu pasti bila diajak untuk tidur bersama dia akan menolak. Ada masanya dia yang mahu bermanja-manjaan dengan saya, dan sudah pasti dengkuran saya tidak menjadi masalah bahkan mungkin merupakan satu irama mengasyik dan menghiburkannya?

Kehadiran  tonsil yang keramat ini saya tidak pun diserang demam. Kepala juga tidak pening-pening. Apa lagi tekak tidak merasa sakit. Tidak berlaku kebengkakan atau benjolan di mana-mana bahagian leher saya. Disebabkan tiada gejala itu maka saya tidak pernah menganggap saya sedang "bertonsil", atau diserang tonsil. Lantas sedikit gangguan ditekak itu saya anggap biasa lantas membiarkan ia berlalu beberapa hari bahkan berminggu. Kesibukan dan keseronokan bermain dengan kata-kata, melayani rakan facebook, twitter dan berblog menjadi saya mangli dengan ketidakselesaan itu, dan pada masa itu memberi kesempatan untuk ia membesar.

Sikap "lerel" sebegini sebenarnya tidak bagus. Mungkin kerana sikap "lerel" ini akhirnya ia membawa padah dan petaka menakutkan.

Mulai menyedari Tonsil

Saya mula mengetahui saya bertonsil ialah apabila suatu hari selepas makan tengah hari di sebuah restoran, saya rasa ada sesuatu terlekat di tekak saya. Ia persis seperti terlekat tulang ikan atau daun ulaman. Bagaimana pun tidak pedih tetapi semacam tersumbat. Saya cuba menolaknya dengan menelan air liur dan juga nasi keras. Selepas dicuba beberapa kali tidak berjaya. Pada mulanya saya abaikan begitu sahaja sebab ia tidak menghalang makan dan minum saya. Disebabkan tidak ada implikasi itu maka saya tidak menganggapnya tonsil yang serius.

Keadaan itu menyebabkan saya mengabaikannya, sikap ini memberi peluang ia membesar. Sehinggalah apabila kehadirannya benar-benar menganggu baharu saya membuat pemeriksaan lisan. Saya membuka mulut ke cermin dalam kereta. Ketika itu saya nampak di ruang anak tekak ada ketulan yang bekak dan berwarna merah kemerahan. Baharu saya perasaan dan tahu kenapa tekak saya semacam terselit sesuatu.

Selepas beberapa hari juga baru saya menemui doktor. Doktor mendapati ianya tonsil. Tanpa berintraksi lebih lama doktor klinik swasta yang menjadi penal saya sejak tahun 1985 mengesahkan sebagai tonsil dan antibiotik diberikan sebanyak 10 biji. Doktor berkenaan selamba dan konfiden, katanya apabila saya menghabiskan antibiotik itu tonsil akan surut dan kecut.

Selepas habis 10 biji antibiotik ditelan tidak ada apa-apa perubahan. Tonsil itu tetap tidak mahu mengecut bahkan dirasakan semakin membesar. Sekali lagi saya mengambil antibiotik dengan bersangka mungkin dosenya tidak mencukupi. Kebetulan juga saya hendak ke luar negeri, jadi harus ada bekalan ubat-ubatan itu.

Selepas habis menelan 20 butir antibiotik, tonsil itu tidak juga surut atau menunjukkan tanda-tanda mengurang. Antibiotik yang diambil di klinik kesihatan Kerajaan juga tidak memberi kesan. Kebimbangan sudah mula mengetik hati. Hampir setiap hari saya mengangga mulut depan cermin. Ia nampak makin jelas dan membesar. Warnanya dari merah kemerahan sudah bertukar menjadi jingga (purple). Yang anihnya ia tidak sedikit pun menganggu makan dan minum saya. Kesan lain seperti demam dan apa-apa juga tidak ada. Pelik.

Dalam pada itu saya mulai bertanya kawan yang ada pengalaman mengenai penyakit berkenaan. Kebimbangan mula menerjah diri. Kepedulian kepada diri sudah diambil berat.

Seorang anak buah yang mengalami tonsil memberi tahu, ia tidak serius dan siptom biasa sahaja. Setelah memakan antibiotik tidak hilang, dia menjalani pembedahan rengkas, membuang nanah. Beberapa hari kemudian semuanya pulih. Manakala seorang lagi kawan yang pernah melakukan pembedahan tonsil memceritakan, ia tidak membimbangkan. Tonsil gejala yang mudah ditangani. Cuma apabila ia melibatkan pembedahan membuang tonsil menyebabkan tidak dapat makan beberapa minggu dan suara juga hilang. Selepas dua bulan semua kembali normal.

Menurutnya juga tonsil ada dua jenis, satu yang biasa, yang dihidapinya, satu lagi yang kritikal boleh membawa kepada kenser. Kenser?

Mendapat maklumat itu menjadikan saya tidak begitu risau dan menghadapinya seperti biasa. Hinggalah sekembali daripada Seri Lanka, (....)  apabila saya merasakan bengkak itu makin menganggu dan kebetulan asakan isteri agar menemui pakar ENT (telingat, hidung dan tekak) baharu saya bertindak. Tonsil itu rupanya sudah membesar menyebabkan selepas makan ia mengembang dan menyebabkan tekak tidak selesa. Ia juga mengembang apabila saya banyak bercakap kerana dipoliti air liur. Tekak juga sudah berasa sebal.

Jumpa pakar ENT

Sesudah tiga minggu mengambil antibiotik tetapi tonsil itu tidak juga mahu surut akhirnya saya menemui pakar. Bertemu pakar ini juga atas suruhan dan desakan isteri. Sebelum ini saya buat endah tidak endah sahaja. Isteri saya tahu perangai dan sifat saya. Saya bukan seorang yang anti kepada perubatan moden, tetapi saya lebih suka menghadapi dengan cara bersendirian. Kalau sakit sikit-sikit saya tidak akan ke klinik dan melayan sendirian sahaja. Dan kalau doktor beri ubat tahan sakit pun saya tidak akan makan. Saya membuat dose sendiri untuk diri saya.

Saya mengalami gaout yang tegar. Sudah lebih 20 tahun sehinggakan saya menganggap saya adalah Presiden Gaout Malaysia. Gaout menyerang saya hampir setiap bulan dan sudah ke peringkat parah sampai tidak boleh berjalan. Tahap urin asid dalam badan saya tinggi mencecah lebih 10 mmol/L. Satu masa saya mengambil suntikan ubat tahan sakit setiap bulan. Tetapi lama kelamaan jemu dan cemuh, akhirnya ada kalanya saya menahan gout begitu sahaja tanpa berjumpa doktor atau menelan ubat yang sama.

Saya juga mengambil  petua dan berpegang kepada prinsip; sakit tahu mari tahulah ia balik. Mulanya sikap ini juga saya hendak lakukan terhadap tonsil, melayan sendiri.

Pengalaman lain, saya juga mempunyai batu karang yang "berdempetan" dengan buah pinggan (kidney). Doktor menasihati saya supaya menjalani pembedahan. Tiga orang pakar di hospital berlainan berpendapat sama, saya perlu bedah untuk mengelakkan timbul implikasi kepada buah pinggan. Pakar membuat dugaan berdasarkan ilmunya kalau tiga tahun dibiarkan menyebabkan buah pinggang saya akan musnah.

Namun saya enggan dan berikhtiar cara lain dengan memakan herba dan ubat-ubatan. Apa sahaja yang ditunjuki saya cuba. Alhamdulilah akhirnya kesakitan berkala pinggang saya bahana batu karang itu tidak ada lagi. Hingga kini sudah lebih 33 tahun. Pengalaman itu menjadi petua besar buat diri saya dalam menghadapi sakit mengikut kaedah dan teori saya sendiri.

Penjagaan kesihatan diri sendiri saya akui ia agak longgar. Ini berbeza dengan penjagaan kereta. Kalau kereta pantang berbunyi sikit saya akan ke pusat servis dan membetulkan apa yang berbunyi. Saya tidak boleh dengar sesuatu yang luar biasa dalam kereta. Begitu juga kalau kereta tercalar, bumper terguris saya tidak boleh melihatnya, sakit hati, terus pergi baiki. Sikap ini kadang kala menjadi sungutan isteri, katanya kalau untuk kereta sanggup keluar wang, tetapi liat untuk membeli ubat dan suplimen. Saya menyedari akan kepedulian saya yang pelik kepada vehicle saya ini.

Selain sikap itu saya juga ada perangai tidak boleh sabar.
Sebelum berjumpa dengan doktor pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota, Setapak saya terlebih dahulu ke sebuah klinik pakar ENT di Jalan Ipoh. Disebabkan masalah parking, saya pulang dan tidak berjumpa pakar pada hari itu. Gara-gara itu untuk mendapat rawatan tertangguh beberapa hari. Selepas itu bila isteri mengasak lagi baharu berjumpa pakar ENT di sebuah hospital swasta di Danau Kota.

Ternyata bertemu dengan doktor pakar berbeza dengan berjumpa doktor biasa. Mungkin juga kerana bayaran dan fee yang dikenakan. Peralatan di klinik doktor pakar lengkap dan ia specialis mengenai sesuatu penyakit. Dengan peralatan yang ada serta ilmu yang dipelajarinya dapat dikesan dengan mudah sesuatu penyakit itu. Kalau kena bayar mahal sedikit pun berbaloi. Mengenai ini menyebabkan saya termagu dan berfikir macam manalah bagi orang yang tidak berduit. Mereka tidak akan mendapat rawatan yang terbaik untuk diri mereka. Justeru saya sering berjanaka, kalau tidak ada wang jangan sakit.

Pemeriksaan doktor pakar ENT di klinik swasta itu memberi kesan baik kepada saya. Berbaloi membayar lebih. Saya berpuas hati dengan perawatan dan pemeriksaan yang dijalankan. Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, pemeriksaan rengkas sahaja tetapi sudah dapat membuat solusi. Mulut saya diperiksa dan menemui tonsil. Tidak perlu ubat-ubatan terus menasihati agar operate untuk membuangnya.

Kaedah pemeriksaannya, doktor merasa bahagian bawah dagu saya. Ditanya apakah ada apa-apa butir di bawah ketiak, paha dan mana-mana bahagian tubuh yang mempunyai kelonjar utama membengkak. Tidak ada.

Selepas periksa saya dikonsultasi dengan penuh sopan dan berhemah. Terlebih dahulu doktor berkenaan bertanya saya apakah ada mengambil insuran atau tidak. Pertanyaan itu sebenarnya mengilankan saya. Saya berfikir apakah apabila ada insuran baharu saya dilayan, walhal saya ke hospital itu sudah pun bersiap sedia dengan jumlah bayaran yang dikenakan.

Tiada life insuran

Saya semacam tercabar. Dalam hidup saya dan keluarga tidak pernah mengambil apa-apa insuran kecuali insuran rumah dan kereta. Life insuran sama sekali tidak pernah diambil. Saya ada falsafah tersendiri mengenai life insuran ini. Kalau mengambilnya bermakna kita bersedia untuk menghadapi masalah. Saya menyerahkan seluruhnya nyawa saya dan keluarga kepada Rabuljalil. Mungkin pegangan saya tidak betul dan satu keputusan yang salah. Apabila doktor berkenaan bertanya insuran, ia sangat-sangat mengilankan saya, kerana ia menunjukkan dia kurang berminat untuk merawat saya?

Namun penerangan dan keikhlasan doktor itu menenangkan saya. Dia mencadangkan saya mendapat rawatan di general Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana katanya sayang kepada wang. Pembedahan untuk membuang tonsil itu menurutnya memakan biaya sekitar RM13,000 hingga RM15,000. Kalau ada insuran ia boleh dituntut kepada syarikat insuran. Beliau memberi jaminan proses rawatan untuk saya dipercepatkan. Dia mengeluarkan sekeping surat sokongan (rujukan) untuk saya bawa berjumpa dengan doktor pakar ENT di HKL yang berkebetulan doktor pakar itu adalah seniornya. Dokter berkenaan menghubungi pakar berkenaan di hadapan saya juga memberi tahu ada "patient" yang perlu disegerakan rawatan.

Semasa berjumpa dengan dokor pakar ENT HKL, Dr Zurinah masih belum dapat mengesahkan apa yang berlaku kepada saya sebenarnya. Ia masih dalam pemeriksaan lanjut. Bagaimana pun firasat saya dapat mengagak apa yang bakal terjadi. Apabila Dr Zurinah mengatakan ada satu "node" di bahagian leher saya, saya sudah dapat mengagak sesuatu. Ini semua kerana pengalaman yang saya lalui. Tiba-tiba sahaja kejadian yang menimpa arwah kawan saya, Mustapa Yaakub (2001) menerawang ke dalam diri saya. Mustapa kawan semasa sama-sama belajar di Sumatera Utara, Indonesia meninggal dunia akibat penyakit sama menimpa saya dalam usia belum capai setengah abad.

Saya melalui dan mencerapi apa yang dialami Mustapa. Mulanya keadaan tubuhnya susut dan berat badan turun mendadak. Dia juga mengalami batuk-batuk tanpa henti-henti beberapa minggu dengan diselangi lengguh di bahagian belakang, sukar untuk tidur. Mulanya beliau kira itu sakit biasa, menyebabkan lambat untuk menemui doktor pakar cuma berulang alik ke klinik biasa. Selepas diasak, bahkan saya sendiri bersama Azima Ahmad (teman pejabatnya) membawanya ke hospital baharu segala-galanya diketahui. Mustapa disahkan menghidap kenser Lymphoma pada tahap empat. Selepas dua bulan tersandar di hosptal beliau akhirnya pergi menemui Rabb-nya.

Terfikir, apakah simptom dan tanda-tanda yang dihadapi Mustapa itu, ada persamaan dengan apa yang saya alami? Susut berat badan dan ada node? Gemulah Mustapa juga ada node di bahagian bawah tengkuknya. Doktor mengambil contoh node berkenaan dan buat bioksi. Dari siatulah diketahui beliau menghidapi Lymphoma.

Mula saat itu bayangan dan kenyataan itu bermain dalam kepala. Ia seakan memberi satu tekanan perasaan yang hebat. Apa yang berlaku dalam bilik doktor itu menyebabkan saya terhimbau jauh dari situ. Mula berfikir sesuatu mengenai diri yang harus saya hadapi selepas ini dengan penuh ketabahan dan berani. Namun  jauh dalam hati masih ada doa-doa agar ia jangan berlaku apa yang dibayangkan.

Rawatan dan kosultasi oleh doktor pakar di HKL juga rengkas. Beliau mengarahkan saya memberi darah untuk pemeriksaan dan buat oppoitment untuk menjalani CT Scan.  Darah terus diambil pada hari itu juga tetapi CT Scan perlu menunggu sebulan (10 Disember 2015). Terlalu lama.  Semasa konsultasi oleh Dr Zurinah bersama dua anak buahnya yang sedang menyiapkan Master untuk menjadi pakar, gambaran yang tidak menyenangkan sudah ternampak daripada body language mereka.

Salah seorang doktor muda itu begitu serius memeriksa tonsil saya, ia seakan-akan satu benda baharu. Apabila beliau menyebut "ia berwarna purple tidak merah seperti selalu", saya mula merasakan bahawa tonsil saya pelik dan lain dari biasa.

Doktor berkenaan turut merasa di bahagian dagu saya mencari sesuatu node, kemudian bertanya apakah saya demam, berpeluh waktu malam, ataupun ada bengkak di celah paha, ketiak dan mana-mana bahagian. Sudah saya rasa dan raba semua itu tidak ada, tetapi simptom berpeluh waktu malam itu memang ada. Dengan menghisab semua itu dan membaca body language para doktor yang membuat pemeriksaan, saya dapat mengangak sesuatu yang buruk akan berlaku.

Wangsa Melawati,
16/3/16

No comments: