Monday, August 22, 2016

Hanya rakyat yang boleh tangkap Najib Razak

MINDA TUA

Hanya rakyat boleh tangkap Najib.
Sesiapa pun tidak akan membantah mana-mana pihak untuk menyelamatkan khazanah dan maruah negara. Tindakan atau gerakan untuk mengguling pemimpin yang korup yang bukan sahaja menjatuhkan imej negara tetapi kerugian buat rakyat perlu disokong. Tidak perlu berkompromi dengan mana-mana penyangak wang negara.

Bagaimana pun dalam usaha dan tindakan itu wajarlah ia dianalisa apakah tindakan dan usaha itu rasional, memberi kesan baik atau tidak.

Demo yang dinamakan Tangkap MO1, yang dirancang akan diadakan 27 Ogos, Sabtu ini bagi saya tidak begitu memberi kesan kepada natijah yang hendak dicapaikan. Demo itu seperti mana kata pihak pengajuran, Gabungan Tangkap MO1, ialah untuk mengajak rakyat memberi tekanan agar penjawat jawatan nombor satu negara ditangkap.



Terus terang orang dimaksudkan itu ialah Najib Razak. Sebab dan analasan kenapa Najib perlu "ditangkap" ialah kerana beliau dikaitkan dengan skandal 1MDB dan skandal-skandal "anak" (subsidiri) yang lain yang merugikan negara berskala besar.

Saya kata demo itu tidak berkesan dan satu tindakan membuang masa sahaja kerana siapalah yang hendak tangkap Najib? Kalau tekanan itu meminta pihak berkuasa menangkap dan menghukum Perdana Menteri itu serta mengheret orang-orang terlibat, ia sudah tidak memberi apa-apa kesan lagi. Tindakan dan gesaan itu hanya sia-sia sahaja. Keringat yang mercik kerana berdemo tidak akan berbaloi pun. Najib tidak akan terusik walaupun setengah tapak dari kedudukannya kini.

Semua pihak berwajib yang mempunyai kuasa untuk bertindak ke atas Najib sudah pun cuba berbuat seperti yang diharapkan itu. SPRM sudah pun menyiasat kes berkenaan, tetapi apa hasilnya? Tindakan SPRM tidak pun ke mana, sebalik orang-orang yang dilihat bekerja keras siang dan malam untuk menyelamatkan khazanah negara dan meletakan negara di martabat terbaik dipecat atau meletak jawatan.

Begitu juga dengan PDRM, telah cuba untuk menyiasat kes berkenaan, tetapi ia berakhir begitu sahaja. Tidak ada mana-mana pegawai tinggi polis termasuk ketuanya yang setia akur kepada sumpah dan janjinya. Kuasa orang di atas, lebih tinggi dan menghalang mereka daripada bertindak lebih bermakna dari itu. Kertas sumpah mereka hanya tergumpal dalam poket seluar sahaja.

Begitu juga dengan PAC, yang membuat laporan audit berhubung isu 1MDB, juga terpaksa menutup laporannya. Ironis lagi laporan yang boleh digunakan untuk dijadikan bukti ke atas penglibatan Najib dan orang-orang tertentu dalam skandal 1MDB digasetkan sebagai Rahsia Rasmi Kerajaaan (OSA). Pelik dan anih. PAC hanya melacat dalam bilik air sahaja. (Maaf kasar sikit).

Demikian juga dengan Bank Negara Malaysia (BNM), terdahulu bekas Gebenur BN Zetti Akhtar Aziz telah membuat kenyataan bahawa berlaku traksasi wang yang banyak tanpa mengikut prosuder perbankan. Erti BNM telah memberi laluan untuk terus menyiasat skandal berkenaan. Tetapi apa jadi akhirnya, kenyataan BNM itu tutup begitu sahaja. Ia dibersihkan oleh penjawat Gebenur baharu bank berkenaan.

Kesemua penutupan pintu ke atas penyiasatan yang memungkinakn berkaku penangkapan kemudian pendakwaan terhadap pesalah dan pelaku skandal berkenaan ditutup dengan rasmi oleh Peguam Negara, yang mengumumkan Najib tidak terlibat. Walhal, saya ulangi walhal sebelum ini bekas Peguam Negara telah pun menyiapkan kertas pertuduhan untuk mendakwa Najib?

Demikian juga dengan Raja-Raja Melayu yang diharap menjadi payung kepada rakyat dan rakyat mahu menggunakan keramat dan daulatnya sebagai tali hayat terakhir untuk menyelamat negara, juga tidak membuahkan hasil. Kedudukan Raja-Raja di bawa Perlembagaan menjadikan Raja hanya boleh bertitah tetapi titahnya tidak dipedulikan. Majlis Raja-Raja pernah menitah agar siasatan ke atas 1MDB diselesaikan segera? Bahasa Raja bahasa beradat apabila baginda bertitah demikian, bermakna itu merupakan arahan keras daripada Majlis Raja-Raja. Tetapi apa kesudahannya..?

Titah itu diambil sebagai formaliti sahaja, tetapi tindakan jauh dan berani daripada itu oleh pihak pelaksana undang-undang disekat oleh kuasa yang mengatasi kuasa Raja-Raja. Akhirnya Raja-Raja mendiamkan diri dengan mengatakan, baginda tidak boleh campur urusan pentadbiran, apa lagi kalau ada elemen politik. Maka bersemayamlah raja-raja dikerusinya mungkin dalam rasa dukacita.

Jadi, apa diharap kepada demo tangkap MO1 itu? Kerja atau aspirasi gabungan #Tangkap MO1 harus diterjemahkan dengan lebih luas lagi. Gesaan agar tangkap Najib itu tidak akan dilakukan oleh Polis, Askar, SPRM, atau Raja-raja sekalipun. Rela sementelahlah bukan sahaja aparat itu tidak ada kuasa, elaun mereka pun hanya RM4.50 sahaja bagi sejam.

Hanya satu sahaja yang boleh tangkap Najib ialah rakyat yang telah mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Masa dan waktu terbaik untuk tangkap Najib ialah dalam Piraum (pilihan raya umum) akan datang.
Makanya adalah lebih afdal kalau anak-anak muda yang bergabung dalam #Tangkap MO1 itu mengerakkan daftar mengundi dikalangan anak-anak muda. Gerakan kempen dan jelaskan kepada mereka kepentingan undi yang mereka miliki. Dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi undi akan bertindak menjadi polis, penyiasat dan pendakwa terhadap orang-orang disyaki melakukan kesalahan dan dosa persis Najib itu.

Adalah diharap gabungan Tangkap MO1, akan memulakan membentuk "Polis", "Pendakwa" dan "mahkamah Rakyat" dengan menggerakkan daftar mengundi. Jadikanlah Piraum ke-14 nanti sebagai mahsyar untuk menghisab Najib Razak yang dibenci itu. Kalau hanya berdemo, tunjuk perasaan, meloncak dan melaung di atas pentas ceramah sampai putus urat semereh kerja itu tidak akan sampai ke mana, ia umpama menanam angin yang akan menunai badai sahaja.

Sebenarnya usaha dan ikhitar untuk menumbangkan Najib dan kerajaanya sudah memuncak tetapi kerana tidak kena teknik dan strateginya ia sia-sia jua.

Anak-anak muda perlu berfikir lebih praktikal lagi, politik harus digerak secara rasional bukan mengikut trend atau plagiat aksi dari mana-mana kumpulan yang mungkin tidak serasi dengan bangsa kita. Hidup bukan mencari publiti tetapi memakna apa yang diperjuangkan. Pemuda harus berkuaaliti, seperti mana 10 pemuda yang pernah diminta oleh Sukarno untuk menakluk Indonesia. Ayuh. [wm.kl.1:47 pm 22/081/16]

No comments: