PEREBUTAN TANAH (Bhg4)
Hendak sambung cerita perebutan tanah di pinggir Lebuh Raya Rantau Panjang - Pasir Mas, antara tiga orang pemimpin parti agama (Pas). Ceritanya makin menarik dan berbagai versi mengenai kisah tanah berkenaan. Yang jelasnya, tanah itu kini sedang dibangunkan dengan projek perumahan mampu milik dikendalikan oleh syarikat perumahan 1 Malaysia (PR1MA).
Latar belakang mengenai tanah berkenaan rasanya sudah sedia maklum, cuma untuk mengesahkan mana satu versi yang benar. Saya mendapat maklumat dari berbagai-bagai pihak dan membuat analisa mengenainya. Terbaharu versi daripada salah seorang yang terlibat dengan "skandal" itu. Individu berkenaan menelefon saya sendiri pada19 Ogos jam 3:38 minit petang dan membuat penjelasan dari sudut matanya untuk membela dirinya.
Katanya; "kalau setakat Husam sahaja bercakap fasal tanah berkenaan saya tidak ambil kisah, tetapi bila anta (MSO) tulis dalam blog saya kena bagi penjelasan sedikit untuk tidak mengelirukan pembaca, tulisan anta ada wibawa," katanya. "Dan enta kena tulis hak yang sebenar," ujarnya lagi. Saya memang menanti "kedatangan" individu atau mana-mana individu terlibat dalam perebutan tanah berkenaan sekurang-kurangnya saya dapat cerita sebenar di sebalik perebutan itu.
Dalam kes seumpama ini (yang boleh menjejaskan kredibiliti parti dianggotai individu bekenaan (Pas) dan menjadi persoalan rakyat), versi-versi berbeza daripada pihak mana yang kita perolehi. Tiga pihak yang menjadi sorotan dalam isu itu secara langsung ialah Abdul Fatah Haron, Mustapa Ali dan Abdul Halim Abdul Rahman. Untuk pengetahuan Abdul Halim dan Abdul Fatah pernah berkolaborasi dalam apa disebut Hikayat Tiga Abdul awal tahun 1990an dulu bagi menyingkirkan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai MB Kelantan.
Individu yang menghubungi saya itu menjelaskan apa yang kononnya benar, sekaligus memberi pencerahan terhadap apa yang dilaporkan. Individu itu terpanggil untuk menghubungi saya kerana dalam catatan sebelum ini memberi gambaran dalam kasus itu dia diburukkan oleh pihak lain. Saya sedia dan sangat berbesar hati atas kerjasamanya kerana itulah yang saya harapkan.
Beliau telah menjelaskan latar belakang kasus (kes) tanah berkenaan. Dalam penjelasannya ada perbezaan dengan cerita yang diketahui sebelum ini. Misalnya nilai tanah itu yang dibayar kepada pihak bank bernilai RM1 juta, bukan RM180,000 seperti mana didakwa oleh seorang hartahanah yang juga bekas wakil rakyat Pas Kelantan.
Menurutnya memang pada mulanya tanah itu "diperega" (nilai) RM100,000 sahaja. Bagai mana pun selepas pihaknya membayar, tuan asal tanah itu tidak berpuas hati menyebabkan dibuat penilaian semula. Hasilnya ditambah sebanyak RM900 ribu menjadikan jumlah RM1 juta.
(Dari versi terbaharu harga itu dinaikan kerana tawaran pertama dibuat tidak mengikut prosuder yang betul, di mana lelongan itu tidak melalui bahagian tander pejabat penilaian kerajaan atau penilai bertauliah. Jadi apabila ia dibuat penilaan oleh Pejabat Penilaian Kerajaan (bertauliah), itulah nilai tanah itu tambah menjadi RM1 juta).
Gara-gara itu, menurut individu berkenaan, pembeli itu, Abdul Halim, Mustapa Ali dan Wan Othman, terpaksa mencari duit tambahan RM900 ribu. Untuk dapatkan duit ini menimbulkan masalah kerana masing-masing ketika itu, kata individu berkenaan orang Pas semua "sesak" (tidak ada pitis). Bagaimana pun kerana "sayang" kalau tanah itu terlepas, mereka (pembeli tanah itu) berusaha mendapatkan wang RM900 ribu.
Kata individu berkenaan Abdul Halim menjual kilang batu batanya di Bukit Panau, dia sendiri menjual tanah untuk mengenapkan RM900 ribu? Betulkah kerana isu kilang bata Abdul Halim itu telah menjadi isu kontroversi yang menyebabkan ia diselamatkan agar tidak memberi impak kepada kedudukannya sebagai wakil rakyat dan juga TMB?
Tidak diberitakan pula Allahyarham Wan Othman menjual apa? Mungkin dia mengeluarkan wang simpanannya sendiri kerana Wan Othman dikenali sebagai orang berada.
Dalam versi individu berkenaan tidak timbul cerita wang atau pembelian tanah itu menggunakan wang parti? Apabila saya tekan tanya apakah parti tidak terlibat mengeluarkan wang seperti mana menurut satu perawi, individu berkenaan mulanya berkata "tidak", kemudian menjawab semula dengan mengatakan adalah sikit-sikit.
Sekali lagi diulangi di sini sekiranya pembelian itu tidak melibatkan wang parti, terutamanya wang Harakah, elok kalau para pembeli tanah berkenaan membuat pengistyharan bahawa pembelian tanah itu bernilai RM1 juta menggunakan wang masing-masing. Seperti mana disebut sebelum ini penjelasan penting bagi tidak mengeliru dan menimbulkan syak wasangka di kalangan orang ramai yang pembelian tanah itu menggunakan wang parti tetapi akhirnya dimiliki oleh individu.
Bagi saya timbul sedikit kepelikan kalau benar tanah itu dibayar dengan wang sendiri, kenapa selepas sebahagian tanah itu, (kira-kira 200 ekar) dijual kepada Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC) kenapa sedikit wang diberikan kepada parti. Menurut individu berkenaan sebanyak RM500 ribu diberikan kepada Pas Kelantan, wang itu diberikan terus kepada Nik Abdul Aziz sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan. Apakah pemberian wang RM500 ribu itu kerana pembelian tanah itu menggunakan wang parti?
Apakah pemberian itu menandakan begitu baik dan zuhudnya pemimpin Pas?
Sementara dari versi lain pula berpendapat dan mengesahkan memang wang penjualan tanah berkenaan diberikan kepada Pas untuk perbelanjaan pilihan raya untuk tahun 2008? Menurut sumber berkenaan yang pernah berkhidmat di Ibu Pejabat Pas Kota Bharu, sebahagian tanah itu dijual untuk buat belanja pilihan raya pada tahun berkenaan?
Mengenai kedudukan Abdul Fatah Haron berkaitan tanah itu, individu berkenaan menjelaskan Fatah tidak terlibat mengeluarkan wang walaupun satu sen pun. Kerja Fatah katanya hanya menguruskan pembelian tanah berkenaan dan termasuk urusan-urusan lain.
Individu itu menjelaskan demikian apabila ditimbulkan persoalan kenapa Abdul Fatah membuat injuksi ke atas tanah berkenaan? Apakah dia mempunyai lokus standi? Jelasnya lagi, Fatah tidak pun berhak mendapat apa-apa, sebaliknya orang yang lebih berhak untuk mempersoalkan mengenai tanah berkenaaan ialah orang bernama Muhammad Ibrahim. "Pak Mat inilah yang layak mempertikaikannya?" katanya. Siapa dia Muhammad Ibrahim ini? Tunggu nanti kita akan cuba menemuinya.
Individu berkenaan menempelak Abdul Fatah dalam hal tanah berkenaan tidak lebih dan tidak kurang sebagai broker sahaja. Dan bila ditanya apa jadi dengan injuksi dibuat Fatah itu, individu berkenaan berkata ia akan dijawab dan "afidavit" balasan sedang diproses. Bersambung. [wm.kl. 8:15 am 05/09/16]
No comments:
Post a Comment