Saturday, September 10, 2016

Tengku Razaleigh tarik balik keputusan untuk bersara

STOP PRES

Menurut laporan Bernama, Tengku Razaleigh Hamzah (foto) menarik balik hasratnya untuk berihat dalam politik dengan tidak bertanding dalam Piraum akan datang. Tengku Razaleigh membuat kenyataan di Gua Musang semalam semasa ucapan penangguhan persidangan mesyuarat agung Umno bahagian Gua Musang yang dipimpinnya.

Alasan penarikan balik hasrat yang diumumkan itu, katanya dibuat kerana Umno bahagian mendesak agar beliau terus menjadi wakil rakyat dan memimpin Umno bahagian Gua Musang serta bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Penarikan balik hasrat itu menimbulkan spekulasi apakah ahli Parlimen Gua Musang itu akan ikut berada dalam persada politik untuk menggulingkan Najib Razak demi menyelamatkan negara?

Apakah keputusan baharu itu ada hubungkait dengan senario politik negara kini khasnya ekoran pertemuan mengejutkan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim di mahkamah tinggi beberapa hari lalu?

Tengku Razaleigh sebelum ini beberapa kali menyatakan perasaan tidak senangnya terhadap cara Najib menguruskan negara sehinggakan mencadangkan agar diadakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Beliau menzahirkan kebimbangan negara akan bermasalah kalau corak dan stail Najib memimpin negara.

Dua isu yang selalu disebut Tengku Razaleigh sebagai contoh pentadbiran Najib dipertikai ialah GST dan 1MDB.

Insya-Allah saya akan cuba mendapat komennya berhubung perkara ini dalam masa terdekat. [wm.kl 8:31 pm 10/09/16]

No comments: