Saturday, September 17, 2016

Pertempuran pertama Pas dengan Amanah di Kelantan

PERISTIWA

Suasana di Dataran Stadium.
Malam tadi berlangsung dua majlis politik serentak di Kelantan. Kewafatan Dr Haron Din di Colifornia Amerika Syarikat pagi semalam tampaknya tidak menjadi penghalang kepada penerusan majlis yang sudah disusun atur sejak lama itu. Kejamkah politik? Dalam kamus politik tiada erti simpati, sedih dan dukalara?

Mungkin majlis parti lain boleh diteruskan, tetapi tidak bagi parti Haron Din, parti agama (Pas), sebab Allahyarham adalah Mursyidul Am pemimpin tertinggi dan paling berkuasa dalam parti berkenaan. Adalah baik kalau ia dibatalkan atau diubah maksud majlis itu kepada majlis doa dan tahlil untuk Allahyarham. Berkabun barangkali tidak perlu kerana ia bida'ah?

Sebahagian orang ramai di Salor.
Dua majlis yang dimaksudkan ialah pengistyharan perdana penyertaan beberapa individu dan tokoh dari pelbagai bidang profesional ke dalam parti Amanah Negara (Amanah).

Serentak itu juga perasmian (beri nama) kepada pejabat Adun Amanah di Salor dengan nama Wisma Tokguru. Manakala satu lagi majlis Munajat dan solat Hajat sebagai menyokong "penotisan" semula Rang Undangt-Undang Persendirian (RUU) 355 di parlimen dijangka akan dibawa pada sidang Oktober nanti

Kenapa disebut penotisan semula sebab penotisan pertama sebelum ini ia tidak sempat dibaca dan dibahas, maka mengikut peraturan dewan ia perlu dinotiskan semula kemudian akan berjalan mengikut peraturan Dewan. Sesuatu notis atau usul persendirian perlu dilengsaikan pada dalam tempoh sesuatu sessi sidang yang ditetapkan dan tidak boleh dibawa ke sessi sidang seterusnya. Jika ia hendak dibawa maka perlukan notis baharu.

Kedua-dua majlis itu; pengistyharan perdana dan munajat perdana seharusnya disatukan, tidak perlu pun ia terpisah kerana pihak menganjur kedua-dua majlis itu asal mulanya adalah dari saf perjuangan sama dan terdidik dalam madrasah siasah yang serupa dan juga dari guru yang sama.

Mengikut siaran langsung serentak.
Tetapi kerana takdir Allah taala dan manusia mempunyai pandangan tersendiri maka ia terpisah dan jadi kontrodik dari segi semangatnya. Lebih malang lagi ia saling serang menyerang di antara satu sama lain. Perilaku ini menyebabkan orang ramai keliru dan confus. Ada yang mula melipat "surat politik" diam-diam.

Amanah adalah serpihan daripada Pas manakala Pas adalah parti induknya. Sebahagian besar pemimpin dan pendokong Amanah asalnya pemimpin tertinggi Pas. Bayangkan kalau Amanah tidak wujud dan Pas padu macam dahulu, majlis di Salor itu tidak diadakan dan majlis munajat itu akan lebih meriah dan padat dengan hadirin. Majlis munajat diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV dan majlis pengistyharan perdana di Salor yang jaraknya tidak sampai 10km.

Di era Tokguru Nik Aziz masih ada dan memimpin Pas, selalu majlis parti itu diadakan di situ. Ia dipenuhi dengan orang ramai. Jumlah kehadirannya tidak pernah kurang 5,000 dan pernah mencecah hingga 60,000. Himpunan perdana Pas di situlah bagi menujukkan kekuatan, strength. Justeru jumlah yang hadir harus melebih 10,000 ke atas. Apabila kehadirannya kurang 5,000 ia dianggap sebagai gagal.

Mulanya saya bercadang untuk pulang ke Kelantan bagi menyaksikan majlis berkenaan. Majlis yang menjadi pilihan saya tentulah di Salor. Majlis itu lebih bermakna kerana untuk melihat sejauh mana aura Amanah di Kelantan yang baharu menerima suntikan semangat apabila bekas Naib Presiden Pas Husam Musa menyertainya. Juga mahu melihat sejauh mana Amanah yang dikatakan hanya disertai Husam berseorangan berlaku?

Malang kerana kecepekan disebabkan baharu balik dari melaksanakan korban di Bangkok, kebetulan pula ada majlis perkahwinan anak kawan di Ampang pagi ini saya batalkan niat untuk pulang.

Majlis di Salor semalam adalah pertama kali setelah Husam menjadi pemimpin de facto (hakiki) bagi Amanah Kelantan apabila Cikgu Abdul Rahim Abdullah selaku Pengerusi melepaskan jawatan itu kepada Husam secara sukarela dan penuh keinsafan. Jadi penting bagi saya dan pemerhati politik untuk melihat dari dekat sentuhan pertama anak didik Nik Aziz dan adik dalam politik Cikgu Rahim itu. Apakah ia suatu retorik atau realiti yang boleh menyebabkan Pas menjadi demam tidak kebah hingga ke waktu Duha?

Jam 7:30 malam saya telah mula mendapat info keadaan di dataran stadium. Beberapa keping gambar juga dikirimkan kepada saya. Dari maklumat "wakil" saya, jumlah yang hadir tidak seperti sebelum ini. Dingin, beliau menjangkakan tidak sampai 2,000 kehadiran. Saya pula bersangka baik kedinginan itu mungkin ahli dan penyokong Pas masih berdukacita atas pemergian murabbi mereka.

Hingga jam 8:30 malam saya mendapat laporan sekali lagi, kali ini angkanya sudah berubah. "Full house, Tokti" tulis wakil saya menerusi Whatsaap dengan perkiraan rambang lebih kurang 3,000 orang berselerak di dataran stadium. Jumlah itu masih jauh dengan majlis seunpama itu sebelum ini.

Manakala laporan awal di Salor pula saya terima jam 8:45 malam. Di dada buku masih belum ada laporan atau status yang diangkat. Melihat beberapa keping gambar yang dikirimkan, ternyata majlis di Salor kehadiran pada masa itu kurang separuh kehadiran di stadium. Sekali lagi menyebabkan saya berteka teki sendiri, apakah majlis di Salor itu lembab kerana bersimpati dengan Haron Din.

Bagaimana jam 9:30 malam saat majlis hendak bermula, keadaannya sudah berubah. Dari gambar-gambar yang dikirimkan menunjukkan suasana di persekitaran bangunan di Salor itu sudah dipenuhi orang ramai. Pemandangan dari dalam juga padat. Ratusan buah kereta dan motosikal juga "berjujutan" di jalanan.

Seorang kawan yang berkomunikasi dengan SMS melaporkan keadaan di Salor mencatat, "Abeti jumlahnya melebih daripada di stadium," tulisanya. Sebelum ini beliau menulis, "jumlah lebih kurang sama sahaja", sekitar 2,500. Beliau tidak memberi angka kasar, tetapi melihat kepada suasana itu ia berkapasiti lebih 3,000. Saya sendiri mencongakkan majlis di Salor paling ramai pun sekitar 2,000 sahaja. Saya mengira tentu majlis di dataran stadium lebih menarik perhatian kerana ada jamuan? Adakah jamuan, tetapi kerahan pasti sekali?

Pun begitu jumlah itu sudah memadai dan mencukupi bagi Amanah sebagai sebuah parti yang baharu berusia setahun dibanding dengan Pas sudah berusia 64 tahun. Apa lagi Husam sendiri belum sampai sebulan menyertai parti berkenaan dan masih pun belum membuat sentuhan keramatnya.

Laporan-laporan bersilang ganti masuk kepada saya dari Salor dan stadium seolah-olah saya berada di pusat penyiaran pula, mengkoordinasikan maklumat. Keadaan itu menjadikan saya kalut sendirian dan menyesal kerana tidak pulang. Nasib baiklah kedua majlis itu dipancar secara live menerusi streamyx. Cuma kelemahan internet di kediaman saya atau kerana terlalu ramai yang akses menyebabkan ia agak sukar untuk diakses cepat.

Kedua-dua siran langsung itu baharu saya dapat lihat jam 9:45 malam setelah majlis di stadium sudah bermula lebih setengah jam. Para jemaah sudah selesai mendirikan solat Isyak dan hajat.

Alhamdulilah dan inilah zaman langit terbuka. Kemudahan IT dan kebijaksanaan manusia kita dapat mengikut kedua-dua majlis itu dari jauh serentak. Bukan itu sahaja apa-apa kejadian dan peristiwa kita akan menerimanya dalam kadar segera. Keterbukaan dan kecepatannya juga menyebabkan, manusia tidak dapat menyembunyikan apa-apa yang berlaku di sekitar dirinya.

Kita sekarang berada di era CCTV yang mampu mengapai dimensi 360 darjah. Justeru kalau ada sesiapa atau mana-mana wakil rakyat melangsung perkahwinan tengah malam dengan menculik Kadhi untuk menyiapkan surat nikah pun ia akan diketahui umum.

Saya membuka tiga gadget serentak untuk mengikuti siaran langsung itu. Satau mengakses program di stadium dan satu lagi di Salor. Satu gadget lagi sebagai standby. Dalam kesal bergantungan di hati kerana kenapa perlu ada dua majlis seperti itu, tetapi rasa seronoknya tetap ada kerana berkesempatan untuk membuat penilaian serentak perkembangan yang berlaku. Saya rasa bukan sahaja saya menyaksi kedua-dua sekaligus tetapi netizen lain juga.

Mengikut kedua-dua majlis itu menerusi internet seolah-olah di Kelantan kini sudah berlangsung pilihan raya. Dua buah parti sedang berhadapan di antara satu sama lain, menyampaikan hujah-hujah masing-masing untuk meraih sokongan rakyat. Dalam masa sama mereka juga tidak terkecuali memperkecil-kecilkan di antara satu sama lain. Lagaknya seperti pentas ceramah mereka berhadapan di antara satu sama lain dalam jarak yang dekat. Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa membahagi telinga dan mata; sebelah kanan kepada majlis di Salor dan kiri ke stadium.

Di stadium yang berucap ketika itu Takiyuddin Hassan Setiausaha Agung Pas. Beliau cuba menjelaskan kepentingan kenapa RUU 355 dibawa ke mahkamah. Beliau mempertikaikan kepada ahli Parlimen beragama Islam khasnya yang berasal daripada Pas kini sertai Amanah yang enggan menyokong RUU 355 itu. Takiyuddin menghasut rakyat di dalam kawasan wakil-wakil rakyat berkenaan, di Tumpat, Kuala Krai, Sepang, Shah Alam, Kota Raja, Kuala Terengganu, dan lain-lainnya supaya mendesak dan bertanya wakil rakyat berkenaan kenapa mereka tidak mahu menyokong RUU 355. Takiyuddin telah memberi masej agar mereka ditentang.

Di Salor pula yang berucap ketika itu ialah bekas Senator Rusli Ibrahim. Beliau sedang menjelaskan kedudukan tanah dan bangunan kepunyannya yang telah ditohmah sebagai tanah milik Pas. Rusli mengesahkan bahawa tanah tempat berdiri bangunan yang menjadi pertikaikan itu adalah hak mutlaknya. Beliau beli dengan harga RM5,800 ketika itu daripa Minah binti Musa.

Rusli meluahkan kemarahan kepada Exco Agama Kelantan bernama Nasaruddin Daud yang memfitnah tanah itu adalah bukan "hak tok atau bapak" Rusli yang empunya, sebaliknya asal tanah itu hak Kerajaan yang diluluskan untuk tujuan tertentu. Tuduhan itu dianggap sebagai satu fitnah dan Rusli terkilan atas apa yang berlaku. Kata Rusli sebagai seorang exco agama sepatutnya tidak melakukan fitnah, malang itu yang berlaku.

Beliau menempelak Nasaruddin menimbulkan isu tanah itu sebagai tidak tahu dan jahil hal ehawal tanah. "Dia jahil hal tanah tidak payah berkeceklah.." palu Rusli. Kejahilan itu juga menyebabkan beliau meminta Ahmad Yakob supaya memecat mana-mana Exco yang tidak dapat berkhidmat dengan baik, alias bodoh. "Kalau boleh ajar Ahmad Yakob pecatlah mana-mana exco bodoh," kata Rusli tanpa menyebut nama Nasaruddin.

Di stadium pula Nasaruddin yang sedang berucap selepas Takiyuddin menghuraikan mengenai kepentingan dan kewajiban hukum Hudud sebagai perintah daripada Allah. Kononnya kerajaan Kelantan sudah membuat persiapan yang rapi sejak lama dulu termasuk mengadakan lawatan ke beberapa buah negeri untuk mendapat ulasan dan respons mengenai Hudud di Kelantan. Langkah kerajaan itu katanya membuktikan bukan tergesa-gesa.

Ceritanya (termasuk bual sekali), semasa beliau ke Aceh bertemu dengan para sarjana di sana, mereka teruja dengan langkah kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud. Lantaran itu beliau menzahirkan rasa hairan kepada orang Islam di Malaysia yang ditujukan wakil rakyat Amanah, menolak RUU 355. "Pelik kalau orang Islam menolak Hudud.."

Benarlah kata Rusli bahawa exco agama Kelantan ini tidak memahami isu yang dibangkitkan. Tepat kalau beliau diejekkan sebagai exco "Nikah Kahwin" kerana cuba membawa hujah yang diluar konteks yang dipertikaikan oleh sesetengah oang Islam termasuk cerdekiawan mengenai langkah Pas hendak laksanakan Hduud dengan meminda Akta 355 tanpa diberikan kefahaman umum yang boleh menimbulkan imlikasi politik.

Apakah dia tidak faham yang berlaku bukan wakil rakyat Amanah tolak Hudud tetapi mempertikaikan teknikal yang dibawa oleh Pas itu? Sikap Pas membelakang wakil rakyat Islam lain dalam penerangan mengenai RUU 355 kemudian meminta agar menyokong, itulah yang dipersoalkan.

Kalau Rusli kata "orang ini" tidak membaca benar dan tepat sekali macam ditetak dengan golok.

Nasaruddin ceramah berapi-api itu juga masih beretorik dan tidak habis lagaknya menjadi ustaz dan guru agama tingkatan empat menjelaskan tafsiran mengenai Hudud. Cara dia memperihalkan Hudud seolah-olah pendengar semuanya jahil dan cetetk ilmu. Begitu juga kaedaan hukuman dan alat untuk merotan pesalah jenayah syariah, Hudud.

Minda jumud

Malam tadi dia masih bercerita perihal tangkai kurma yang dibuang buah, kemudian diberkas sebanyak 100 ranting untuk dijadikan alat memukul pesalah mengikut hukum Hudud. Cerita ini adalah cerita dalam kitab lapuk yang tidak pernah diterjemahkan ke dalam realiti hari ini. Inilah dikatakan pandangan jumud exco ini yang membawa agama berundur ke belakang. Tiada pembaharuan dalam minda exco ini. Sikap dan pendirian begini kontras dengan Islam itu sendiri adalah agama yang progresif.

Berhubung penjelasan beliau itu saya hendak soal secara bodoh. Apakah sekiranya Akta 355 berjaya di Dewan dan kerajaan Kelantan boleh melaksanakan Hudud alat yang akan digunakan untuk sebat pesalah masih mahu mengguna ranting buah tamar? Apakah cukup ranting buah tamar yang terdapat di bulatan di tengah-tengah bandar Kota Bharu itu? Apakah exco itu tidak bercadang untuk membuka ladang tamar sebagai persiapan ke arah itu. Sambil itu sebelum buka ladang tamar boleh pohon tanah kerajaan yang ada balak?

Ketika Nasauddin terus beretorik dengan Hudud dan menganggap mereka yang tidak setuju degan RUU 355 tidak Islamik, di Salor, Che Ibrahim Mohamed pengerusi majlis mengumumkan kemasukan tokoh-tokoh, akademik, profesional, korporat bekas pegawai tadbir ke dalam Amanah dan juga penyerahan borang penyertaan Amanah dari setiap kawasan. Untuk malam tadi sahaja sebanyak 1,500 keping borang keahlian diserahkan. Borang itu diterima Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Apa yang boleh dirumuskan disini perbezaan sangat jelas di antara dua majlis itu. Di stadium pemimpin Pas masih mahu beretorik dengan politik sempitnya yang menggunakan agama sebagai modal politik. Di Salor menyerlahkan ketinggian daya fikir dan politik jauh Amanah, khasnya Husam Musa. Semalam Husam menyebut beberapa tawaran yang bakal dibuat oleh Amanah kepada rakyat Kelantan dalam persiapan parti itu mengambil alih kekuasaan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Penubuhan beberapa sayap atau serambi penggerak dalam parti itu merupakan ketinggian dan kebolehan Husam merangka strategi pembangunan sosial ekonomi menjelaskan macam mana beliau mahu menjadikan Amanah sebuah parti yang progresif, peduli dan medium harapan rakyat. Husam tidak beretorik tetapi ideanya realistik. Tawaran-tawaran atau rangka kerja yang digarapkan lebih menyakin dan menarik minat dan menyentuh hati generasi muda.

Sementara pembentangan RUU 355 selain daripada memenuhi tuntutan syariat, tetapi tidak membawa kepada perubahan sosial ekonomi rakyat. Kalau berlaku itu benar (ia dapat mengurangkan kadar jenayah), tetapi nasib generasi, orang miskin tidak bergajak dari kedudukan hari ini. Idea dalam pembangunan ekonomi, meningkat taraf hidup, fokus kepada pengangguran, memperluaskan amal kebajikan dan lain lebih diperlukan daripada memperjuangkan perundangan yang tidak mudah untuk dilaksanakan, dan boleh ditangguhkan.

Bukan tidak baik usaha Pas itu, baik, tetapi tindakan itu seolah-olah menyediakan bakul untuk menandah buah sedangkan pokok, bahkan benih pokok usahkan ditanam dibeli pun belum lagi. Inilah yang dimaksudkan dengan retorik. Pemimpin Pas mengambil sikap sapu mulut dulu baru bersin. Heheh.. Demikian kalau berilusi lebih banyak daripada berfikir. Husam, atau Amanah kurang berilusi tetapi lebih banyak berfikir rasional. Itu bezanya.

Terlalu awal untuk saya membuat kesimpulan mengenai masa depan Amanah dan kesan kepada Pas di Kelantan pada pilhan raya akan datang berpandukan kepada dua majlis semalam. Namun mendengar khabar daripada sambutan majlis semalan, dimana di Salor ramai penyertaan anak-anak muda Amanah telah menjadi harapan baharu untuk menjadi pengurus kepada negeri Kelantan. Beberapa idea dan cadangan dikemukakan Husam menjelaskan Amanah lebih bertanggungjawab, ada blue print berbanding dengan Pas yang sudah menjadi Kerajaan selama 26 tahun tetapi kini kekaburan fokusnya.

Apapun bagi saya majlis seperti semalam, pertentangan sangat mendukaciatakan. Alangkah baiknya kalau kedua pihak diberikan taufik dan hidayah untuk memikir semula apa yang berlaku. Sekiranya orang-orang yang ego, sombong dan agah seperti Nasaruddin Daud itu diberikan kuasa menentukan masa depan Pas, sudah pasti dia lebih rela melihat Kelantan terlepas daripada mengakui hakikat kelemahan dirinya. Pepatah yang berbunyi, sesuatu perkara itu akan rosak dan musnah kalau ia diberikan kepada bukan ahlinya.

Dalam konteks ini saya mengira orang seperti Nasaruddin adalah bukan ahlinya. Sikap dan pembawaannya kini tidak ubah seperti kera mendapat bunga dimana keadaan ini lebih parah daripada kera terkena belacan.  [wm.kl.3:50 pm 17/09/16]

No comments: