Wednesday, September 21, 2016

Yang perlu bukan pilihan raya awal tetapi mantapkan Pakatan Harapan

SESUDAH SUBUH

Saranan Lim Kit Siang supaya DUN Selangor dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya awal diadakan tidak berapa pratikal. Kit Siang membuat cadangan itu susulan kajian pindaan sempadan pilihan raya yang baharu dikemukakan SPR minggu lepas.

Mohamed Azmin Ali
Lim Kit Siang
Walaupun kebimbangan Kit Siang kepada kajian itu boleh menjejaskan peluang PH untuk mempertahan Selangor dalam pilihan raya akan datang tetapi cadangan itu bukan sesuatu yang perlu dilakukan dan diberi keutamaan.

Bagi pembaca politik matang tahu cadangan Kit Siang itu sebagai usikan kepada Mohamed Azmin Ali (Minali) sebagai balasan sikap Timbalan Presiden PKR itu yang menolak cadangan agar Pulau Pinang mengadakan pilihan raya segera ekoran pendakwaan Lim Guan Eng atas tuduhan kerana rasuah.


Pilihan raya di Pulau Pinang bagi DAP perlu untuk memberi tekanan dan mesej kepada kerajaan BN bahawa rakyat Pulau Pinang menyokong kerajaan DAP itu.

Saya melihat itu sahaja sebab dan alasan kenapa Kit Siang membuat cadangan itu ianya hendak membalas sikap Minali dan mahu mengusik-usik MB Selangor itu.

Justeru wajar kalau MB Selangor Mohamed Azmin Ali tidak akur dengan cadangan itu dan menolaknya. Bagi Minali mengadakan pilihan raya segera adalah menolak mandat rakyat yang masih bersisa selama dua tahun.  Itu alasan Minali untuk menjustifikasi tindakannya tetapi duduk perkara sebenar ialah beliau memahami apa dilakukan Guan Eng itu sebagai mengusiknya sahaja.

Kajian pindaan sempadan pilihan raya itu tidak memberi kesan besar pun kepada PH sekiranya parti-parti gabungannya benar-benar bersatu dan ikhlas menghadapi pilihan raya akan datang. Perpecahan undi yang cenderung kepada PH boleh diatasi dengan perpaduan dan kerja kuat PH. Pindahlah pengundi ke kawasan mana sekali pun sekiranya mereka yakin dengan pentadbiran, pengurusan, integriti dan kemantapan hubungan dalam PH, pengundi akan berpihak kepada mereka.

Mengenai persempadanan semula ini pihak PH tidak perlu takut kepada bayang-bayang sendiri. Pengundi sekarang ini ramai yang celik daripada yang dungu, sedia untuk menerima imbuhan atau pun janji manis BN begitu sahaja. Pengundi muda lebih bersikap terbuka dan profesinoal. Sebab itu satu langkah menambah undi PH ialah dengan mendaftar orang muda sebagai pengundi.

Isu-isu yang membelenggu rakyat kini seperti GST, skandal 1MDB, pengangguran, masalah sosial, kerakusan pemerintah menggunakan akta dan undang-undang untuk mempertahankan diri, pendatang asing dan lain-lain sangat menyusuk hati rakyat. Tunggu lagi isu-isu ini perlu dimainkan PH secara serius dan bijaksana.

Lantaran itu saya tidak nampak masa depan PH terjejas dengan pindaan itu. Kedudukan PH khususnya di Selangor lebih terjejas dan bermasalah kalau parti-parti menguasai Selangor kini, PKR, DAP dan Pas gagal bersatu dan berpadu. Sehingga kini belum ada konsensus jelas mengenai perkara ini. Pas walaupun kesemua 13 orang Adunya menandatangani deklarasi persetujuan untuk berhadapan satu lawan satu dengan Umno, tetapi konsensus itu belum direstui puncuk pimpinannya di Marang.

Majlis Syura Ulama (MSU) yang baharu kehilangan pengerusinya masih belum membuat fatwa dan ketatapan ke atas apa yang dikonsensuskan Adun-Adun di Selangor itu. Dan saya tidak nampak pengganti Haron Din berani mengambil pendirian atas kapasitinya sebagai Mursyidul Am tanpa menolak kepada individu lain terlebih dahulu. Lagi pun beliau sudah banyak termakan budi dengan Umno?

Menyedari hal itu maka apa yang perlu dilakukan PH ialah mencari formula untuk memperkemaskan penyatuan dalam kalangan mereka. Apa yang lebih penting bagi Kit Siang atau Azmin kena selesaikan masalah dengan Pas. Mereka kena pastikan awal-awal apakah Pas akan bersama PH atau sebaliknya. Kedudukan Pas di Seangor kini dua wajah sebagai antogonis dan protagonis.

Desas desus mengatakan PKR ada pakatan sulit dengan Pas untuk pilihan raya akan datang juga perlu dijelaskan segera. Ia tidak boleh dibiarkan menjadi isu secara senyap kerana ia akan bertindak seperti api dalam sekan. Desas desus itu yang kini hanya adalah kudis gatal boleh bertukar jadi barah kalau dibiarkan tanpa rawatan awal.

Desas desus ini khabarnya belum disedari DAP kerana belum ada apa-apa ulasan daripada pihak parti itu. Apa yang berlaku DAP hanya melihat kemungkinan Pas akan berkerjasama dengan Umno pada pilihan raya akan datang, tetapi bukan berkerjasama dengan PKR atas semangat Melayu dan Islam. Atau pun spekulasi yang dibuat oleh akhbar Cina kononnya Pas akan berpakat dengan Umno itu adalah sebagai sindiran kepada perbincangan PKR dengan Pas?

Di sini bukan niat hendak menimbulkan sesuatu yang boleh mengocakkan hubungan dan kepaduan dalam PH yang ada hari ini. Tetapi teori atau formula ini sama ada PKR bersama Pas, atau Pas bersama Umno melawan PH hendaklah dituntasi segera. Yang penting pihak Majlis Presiden PH kena cepat membuat kesimpulan.

Bila bercakap fasal Selangor hari ini apa apa dibimbangi nanti PH akan berpecah sekali lagi menjelang Piraum akan datang. Ada potensi untuk PKR dan Pas bergabung menentang BN di Selangor tanpa DAP, manakala DAP pula akan bergabung dengan Amanah sebagai sebuah entiti, yang boleh memwujudkan pertandingan tiga penjuru.

Kalau ini berlaku ia memberi keadaan kondusif kepada BN maka kemungkinan kerajaan PH Selangor akan hancur lebur.

Semua pihak kena bijaksana untuk mengelakkan kemungkinan-kemungkinan ini daripada berlaku. Sekali lagi ditegaskan penyelesaian di Selangor untuk mengekalkan kerajaan yang ada kini bukan dengan cara mengadakan pilihan raya segera. Kalau pun diadakan pilihan raya segera tetapi PH berpecah belah ia tetap mendatangkan masalah, dan Umno akan merampas Selangor. Kehilangan Selangor menyebabkan PH kehilangan zat politik yang lazat. [wm.kl.5:55 am 21/09/16]

No comments: