Sunday, December 23, 2018

Jalan Raja Azlan Shah jadi Lembah Pakistan

RENCANA KHAS

Suasana kaki lima di restoran Pakistan di Jalan Ipoh.
MULANYA kewujudan restoran Pakistan terletak di bangunan lama di Jalan Sultan Azlan Shah (dahulu dikenali Jalan Ipoh) berhampiran Chow Kit, tidak dipeduli oleh orang ramai malahan ada yang beranggapan ia sebagai restoran yang semacam menanti masa untuk tutup sahaja.


Ini kerana ia kelihatan lenggang, dan tidak salah kalau ada menyangka ia restoran terbiar. Apa lagi restoran itu terletak di bangunan rumah kedai usang, dan setengahnya menjadi rumah hantu ditambah pula dengan suasana yang suram temaram.

Melihat keadaan rumah kedai itu kemungkinan ia pernah dijadikan sarang atau habitat penagih dadah.

Antara pelbagai nasi masakan Pakistan disediakan.
Ia juga seakan tempat asing apabila kebanyakan yang menyinggahi di restoran itu majoriti masyarakat Pakistan. Muka-muka yang bersantai di kerusi atau memasuki ke restoran itu semua berwajah Pakistan. Apa lagi bahasa pertuturan yang diminan juga bahasa Urdu.

Jika tidak silap awalnya hanya ada dua buah restoran Pakistan sahaja di situ. Satu terletak di sebelah kiri jalan menghala ke Chow Kit, dan satu lagi terletak di sebelah kanan jalan. Kedudukan kedua restoran tersebut seakan bertentangan.

Memandangkan ianya dikunjungi komuniti Pakistan yang ada di negara ini khasnya di Kuala Lumpur, menjadikan kawasan itu semacam medan atau pusat pertemuan mereka.

Suasana dan aroma masakan Pakistan yang menyucuk ke dalam lubang hidung setiap yang lalu di situ menjadikan ia persis berada di luar di Kerachi atau pun Lahore, Pakistan.

Bagaimana pun suasana keterasingan itu kini mula berubah apabila dari hanya dua buah buah restoran kini tumbuh pula beberapa yang lain. Pertambahan itu menjadikan kawasan itu mulai dikenali dan menjadi destinasi bukan sahaja komuniti Pakistan tetapi masyarakat Malaysia juga mampir untuk santai dan makan minum di situ. Tanpa disedari restoran Pakistan di situ menjadi antara restoran pilihan terbaharu penduduk tempatan.

Sesekali juga kelihatan ahli politik ikut sama bersantai atau makan minum disitu. Kebanyakan dahulu mereka sebagai ahli politik pembangkang, kini setengahnya ada yang sudah menjadi menteri dan timbalan menteri. Kehadiran mereka disaksikan sampai waktu ini.Bolehlah dikatakan merekalah yang turut popularkan restoran itu.

Roti dan cepatai asli Pakistan.
Kini terdapat sembilan (9) buah restoran Pakistan terletak di kiri kanan sepanjang jalan berkenaan. Restoran tersebut; Azru, Ras Blouch, Pak Punjak, Mehran, Pakistan, Makarim, Pakeza, Lahore dan Ghareeb Nawaz.

Kueh mueh Pakistan.
Keunikan di kawasan itu bukan kerana tumbuh banyak restoran tetapi ia menjadi kawasan tumpuan apabila turut sama tumbuh sekurang-kurang dua kedai runcit di situ menyediakan pelbagai rempah ratus Pakistan.

Sebuah kedai bunga (florist) juga terdapat disitu. Kewujudan florist ini menandakan kawasan itu ramai dikunjungi warga Pakistan.

Ayam panggang Pakistan.
Melengkapkan kawasan itu sebagai "Lembah Pakistan" disediakan juga hotel bajet. Terdapat empat buah hotel bajet ditempatkan tingkat atas restoran. Penyediaan itu menjelaskan kawasan itu sudah menjadi tumpuan pelancong khasnya dari Pakistan.

Mengenai penyediaan makanan dan lauk pauk di restoran berkenaan semuanya citarasa Pakistan. Hampir 100 peratus tukang masak daripada Pakistan. Pelbagai jenis nasi disedia dengan dengan lauk pauk, masakan Pakistan. Ada berbagai jenis nasi beriani, kari kambing, ayam dan paling istimewa sop kaki kambing. Manakala minumannya susu lembu dan tea pala.

Selain itu disediakan juga kebab daging dan juga ayam panggang disamping pelbagai roti disediakan, capati, perata, roti tempang dan sebagainya.

Memandangkan kawasan itu semakin menjadi tumpuan ramai, elok kalau ia DBKL menaik tarafkan kawasan itu menjadikan ia sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Untuk itu sepanjang kaki lima di kiri kanan jalan itu boleh dipasang mozek atau pun dibina perhiaskan dengan neon. Mungkin tidak sepanjang jalan itu, tetapi cukup kalau sepanjang 500 meter di kiri kanan jalan itu sahaja.

Jika jalan ini dihiasai dengan neon ia akan lebih
menarik dan ceria.
Pengindahan itu selain menarik perhatian ia secara tidak langsung juga dapat melindungi keadaan sesetengah rumah kedai yang sudah roboh dan dijadikan sarang penagihan dadah.

Kemeriahan di Lembah Pakistan.
Sebenarnya juga kewujudan para peniaga restoran Pakistan itu dan kesanggupan warga Pakistan menyewakan bangunan kedai di situ telah membantu pihak DBKL mengatasi masalah yang timbul di sebalik rumah kedai robek dan terbiar itu. Jika ada pengindahan daripada DBKL atau pihak-pihak tertentu mungkin keadaan di sekitar itu yang dapat menghindarkan kegiatan yang tidak baik.

Dan untuk menyemarakkan lagi kawasan itu mungkin pihak berkuasa dapat jadikan ia sebagai satu lagi kawasan destinasi pelancongan malam di Kuala Lumpur khasnya untuk warga Pakistan dan juga masyarakat Malaysia yang berminat dengan masakan Pakistan. [wm.kl.11:34 pm 25/12/18]

No comments: