Saturday, December 22, 2018

Penjelasan Anwar buka apa yang terlibat di hati

REAKSI

Sepatutnya selepas jabat salam ini tiada lagi
keraguan yang timbul.
PENJELASAN dan sokongan Anwar Ibrahim dengan tindakan anaknya Nurul Izzah yang melepaskan semua jawatan dalam politik dan tidak sedia untuk memegang jawatan kerajaan atas apa jua kapasiti, membuka bekung keraguan dan kecelaruan banyak orang berhubung tindakan tiba-tiba Nurul Izzah itu. 

Kenyataan Anwar itu, ia bagaikan bau yang tidak boleh disembunyikan lagi. Macam buah durian yang merkah, tiada penebat yang sakti mampu membatasinya baunya. Baunya melarat menyumbat lubang hidung. Begitulah penjelasan Anwar berhubungan aksi Izzah itu yang persis terbuka (ikhlas) tetapi kurang bijak kerana memberi klu kepada umum memahami apa yang sedang berlaku. 

Apakah Anwar bermaksud begitu?  

Begitu juga dengan persoalan yang berbuku dengan tindakan Nurul Izzah melepaskan jawatan dan menolak pelantikan termasuk dibuat oleh ayahnya sendiri, sebagai Pengerusi Keadilan Negeri Pulau Pinang. Apabila jawatan yang diberikan bapaknya sendiri ditolak, ia menunjukkan Izzah politician besi yang berprinsip dan serius. Betul kata Anwar yang anaknya itu ada prinsip dan konsisten.  

Itulah yang cuba digambarkan Nurul Izzah dalam mengoyahkan minda permerhati politik dengan apa dilakukannya seperti mana diterjemahkan oleh Anwar. Tetapi ulasan dan cerita Anwar terhadap pendirian anak sulungnya itu, ia menyerlahkan apa yang berlaku sebenarnya. Mereka yang reti membaca kilau dalam kilat kini sudah menyedari apa yang ada di bawah air dalam kolam politik Keadilan. 

Ia adalah rancangan bersama si ayah dan sianak. Sebaris kenyataan Anwar ini; "Saya telah berbincang bersama Nurul Izzah dengan panjang lebar tentang niat beliau untuk melepaskan kesemua jawatan yang disandang.” Kenyataan dan pengakuan ini menjelaskan hakikat itu.

Saya sendiri juga awalnya musykil dan tertanya-tanya dengan tindakan Izzah itu dan menghantarkan satu mesej melalui catatan berharap beliau, bersabar serta memahami kerenah politik. Politik harus difahami sebaik-baiknya agar ia tidak berlaku salah tindakan yang menghasilkan kesan buruk.

Saya hairan lantas bertanya apa gerangan begitu. Apakah yang membuatkan beliau geram, marah dan kecewa. Dan apakah yang beliau ingin dari “drama” politik itu, mahu kahwin atau mahukan jawatan lebih tinggi atau mahu segerakan mengangkat ayahnya jadi PM. 

Lewat tulisan itu, saya memberikan bayangan tindakannya itu tidak baik dan boleh menimbulkan implikasi lain. Maka saya mengangkat dan “medewikan” beliau sebagai seorang pemimpin masa depan, dengan memberi ingatan akan keperluan dan kepentingannya dalam politik hari ini, terutamanya bagi memastikan perjalanan bapaknya ke Putrajaya selamat dan jaya. Bukan saja untuk ayahnya tetapi dia juga, sebab dia menjadi impian ramai. Ulanglah baca catatan saya dalam posting sebelumnya. 

Mulai faham. 

Namun apabila meneliti dan menghadam setiap apa yang dibentang dan hendak dihuraikan oleh Anwar mengenai tindakan Izzah itu, menjadi saya faham, dan kesal pula dengan kesilapan saya “lembab” dalam memahami aksi dan keliru membaca tindakan politik Izah itu. Tetapi setelah kurang 48 jam beliau (Izzah) keluar minum kopi dengan dua jejaka, Rafizi dan Khairy ia mula memberi fahaman kepada saya, bahawa tindakan Izzah itu ada maksudnya. Ia adalah drama.  Ada cerita lain dan ada motif tersendiri. Bahawa ia masih berada dalam kerangka dan plot politik. 

Pertemuan yang boleh dianggap “rare” itu menjadikan orang mula berfikir. Ia pula ditambah dengan tidak semena-mena keluar hasil tinjauan populariti terhadap Dr Mahathir yang dikeluarkan Rafizi dimana populariti PM itu kini merosot 20%.

Sebagai tambahan kepada fahaman saya itu ia ditokok dengan percakapan saya dengan orang dalam, pakar strategis Keadilan. Beliau seakan hairan dengan saya kenapa tidak dapat memahami tindakan Izzah. “MSO lambat sikit membaca makna politik,” katanya. Beliau merujuk kepada tulisan saya yang membela dan simpatis kepada Nurul Izzah dalam blog. 

“Apa ia suatu game ke?” Tanya saya. “Dan dituju kepada sesiapa?” Panjang saya lagi. Dia mengangguk sambil bertanya, “MSO agak siapa?” Maksudnya tindakan Izzah itu dituju kepada siapa? Mulanya saya menelah, Azmin, dia mecebit mulut kemudian tersenyum dan gelak bila saya tambah; “Izzah tuju kepada Dr Mahathir?” Dia mengangguk.

Selepas beliau memberi penjelasan, yang tindakan Izzah itu adalah permainan yang dirancang menjadikan saya lebih faham bercampur kesal. Penjelasan itu bak kata orang bagaikan memberi lampu suluh di malam hari kepada saya.  Tetapi ia menyenakkan hati saya. Kenapa begitu? 

Kenyataan Anwar.

Menurut Anwar seperti mana dilaporkan, anaknya mengambil tindakan drastik alias dramatik itu kerana dia (Izzah) sudah mual dan muak serta kecewa dengan segelintir pemimpin yang mementingkan diri, banyak berpolitik sehingga mengabaikan kerja-kerja demi rakyat. Tindakan mengecewakan dia ialah, mereka yang keluar parti kerana mengusung suatu agenda. 

"... yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak 9 bulan yang lalu membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

"Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelik," 

Demikianlah hurai Anwar dalam suatu kenyataan yang dipetik dari laporan sebuah portal. 

Frasa itu Anwar ingin terjemahkan aksi anaknya itu marah kepada tindakan beberapa orang wakil rakyat yang keluar parti dan merancag akan menyertai parti lain. Seperti kita ketahui semua wakil rakyat itu daripada Umno bukannya Keadilan atau dari mana-mana parti komponen PH. Ini memelikkan saya kenapa Izzah sangat terkesan dengan tindakan wakil rakyat (MP) Umno itu? Sepatutnya beliau tidak jadi semual dan semuak itu. 

Jikalau difahami frasa kedua kenyataan Anwar itu pula, ia memberi kefahaman jelas kepada kita yang Izzah benci dan kecewa bukan kerana mereka mengabaikan kerja untuk rakyat, atau keluar meninggalkan Umno tetapi dibimbang tindakan mereka itu mengagalkan harapan bapaknya untuk jadi PM.

Kata Anwar tindakan mereka itu untuk “memanfatkan rencana jelek politik.” Ini menjelaskan maksud dan tujuan sebenar. Inilah intipati kebimbangan dan menjadi bayangan menakut Izzah, menjadikan dia mual dan muak. Adalah naif sebagai seorang presiden tidak menegur Izzah lebih awal daripada mengambil tindakan itu sedangkan ia memberi implikasi negatif kepadanya sendiri.  Kan Anwar kata dia sudah berbincang awal dengan Izzah? 

Bukan sukar untuk memahami dan mencari apakah makna rencana jelek itu. Rencana jelek itu bermaksud wakil rakyat yang keluar Umno itu akan menyertai Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir dan bilamana kedudukan Dr Mahathir kukuh ia dikira PM itu akan memungkiri apa yang sudah dikonsensuskan untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar. Inilah kebimbangan dan ketakutan. Inilah yang mengalergikkan Nurul Izzah sehingga mual dan muak.

Apabila kita faham ini maka jelas tindakan Izzah itu dibuat bukan kerana rakyat tetapi kerana bapaknya. Beliau bukan bimbangkan kerja rakyat terabai, tetapi terkilan dan kesal kalau agenda bapaknya tertinggal.

Kesimpulannya, apa yang Izzah lakukan kemudian diikuti oleh beberapa pemimpin lain yang turut menyentuh Dr Mahathir adalah untuk mendesak Dr Mahathir. Itu sahaja maksudnya. Bukan kerana banyak agenda reformasi tidak dilaksanakan, tetapi mereka takut atau agenda peribadi terlepas. 

Memercik ke muka.

Menyimpulkan apa yang dilakukan Izzah itu ia seperti melontar batu ke dalam kolam. Tujuannya untuk menduga sedalam mana kolam itu dan ingin mengetahui apa-apa yang ada didalamnya. Ternyata setelah dilontar batu, apa diharapkan kurang berhasil, sebalik kesan diterima, air memercit ke mukanya sendiri termasuk turut terkena ke muka Anwar sama. 

Saya ingin tegaskan sekali di sini kepada setiap mereka yang meragui kepada janji Dr Mahathir untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar, percayalah dalam keadaan hari ini Dr Mahathir tidak boleh berbuat apa-apa untuk tidak melaksanakan apa yang dikonsensusnya itu. Dr Mahathir kini bukan Dr Mahathir di era Umno dahulu. Dr Mahathir kini berada di era Bersatu (PH), dimana kedudukannya tidak sekukuh dahulu. Dengan situasi hari ini, Dr Mahathir silap kalau dia ingin bertindak seperti dahulu. 

Dr Mahathir sendiri harus tahu kunci yang merantai dirinya oleh PH bagi mengelakkan kemungkinan dia mengamuk dan mungkir sangat kuat dan gagah. Walaupun ada wakil rakyat Umno kelaur meninggalkan parti dan bersamanya mereka tidak mampu untuk mengopek kunci dan membuka rantai PH yang membelit diri Dr Mahathir. Percayalah selagi komponen PH, Keadilan, DAP dan Amanah utuh dan setia, Dr Mahathir walaupun dengan bantuan mana-mana pihak tidak bisa membuat onar.

Iya, orang mengatakan politik itu serba mungkin dan beranggapan Dr Mahathir tidak pernah berhenti ingin berkuasa, kita setuju dengan tanggapan itu, tetapi perlu diingat tanggapan dan sifat politik begitu bukan sahaja ada kepada Dr Mahathir tetapi ia juga ada kepada orang lain termasuk juga Anwar Ibrahim sendiri. 

Yang saya ingin tegaskan di sini Anwar tidak perlu takut dan gusar dengan Dr Mahathir beliau akan selamat sampai ke Putrajaya dengan syarat beliau memastikan rakyat tidak alergik seperti Izzah, “mual dan muak” kepadanya.

Di sini hendak ditegas dan ditanya, kalau bukan Anwar siapa lagi berhak dan layak jadi PM selepas Dr Mahathir? Untuk Anwar dan pencinta Anwar termasuk saya, usah bimbang dan mereka berbagai teori sehinggakan teori yang kita cipta itu melemaskan kita sendiri. Yakinlah, tidak lari gunug dikejar, hilang kabus nampaklah ia.  Dan kalau orang yang ditakuti Anwar itu Azmin, ternyata Anwar sudah hilang kewarasan. [wm.kl.6:34 pm 22/12/18]

No comments: