Friday, October 4, 2019

Akhirnya Salahuddin laksanakan kata, tenggelamkan bot asing

SUSUPAN PETANG

Salahuddin membunyikan siren menandakan
proses pelupusan bot bermula.
SEBAGAI menteri baru dalam kerajaan baru saya dan orang ramai memerhati penuh minat apa-apa dilakukan menteri serta pendekatan pentadbiran yang diambilnya.

Salah seorang menteri yang jadi perhatian saya ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub. Kedudukan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dalam kerajaan penting kerana kementerian yang dipikulnya adalah kementerian kanan, mempunyai lebih 10 stakeholder.

Kedudukan itu sudah pasti beliau akan diberi perhatian utama. Keupayaan dan komitmen Salahuddin akan ditinjau dari segenap sudut, perwatakan, kenyataan dan idea-idea yang dilontarkan dan juga pencapaiannya.

Sebuah bot yang terlibat dilupuskan
tenggelam perlahan-lahan. Foto JS.
Jawatan itu sekaligus dijadikan kayu ukur kepada keupayaan beliau sebagai pemimpin (menteri).

Apa didepani Salahuddin itu tidak dapat dielakkan, dan beliau tidak terkecuali daripada disuluh segenap penjuru. Itulah cabaran Salahuddin secara peribadi dan terhadap tugas yang diberikan kepadanya.

Justeru apabila beliau tampil membuat beberapa kenyataan berkaitan dengan dasar dan hala tuju kementeriannya serta tindakan bakal diambil, ia akan direkod dan diperhatikan.

Setiap kata-kata dan janjinya ditunggu apakah ia relevan, bernas serta membuah hasil berkenyataan atau pun sebagai retorik. Beliau juga akan dibandingkan dengan menteri-menteri yang memegang portfolio itu sebelum ini. Inilah cabaran kepada menteri baru seperti beliau.

Banyak kenyataan dan janji.
Sepanjang tempoh 15 bulan menjadi menteri, banyak kenyataan berupa janji dan pelan dibuat Salahuddin untuk dilaksanakan. Semua itu dibuat atas nawaitu satu, untuk membaiki nasib petani, nelayan dan peladang dibawahnya. Salahuddin pernah menangis mengenangkan nasib rakyat dibawahnya. Kandati pun tangisan itu digelak tetapi itulah sebenarnya yang berenang dalam sanubarinya; beliau takut dan bimbang tidak dapat memikul amanah yang diberikan kepadanya.

Sepanjang tempoh itu juga, saya perhati Salahuddin seperti keletihan dan tidak ada masa rehat, terleka dengan kerja. Satu ketika tampak sekali keluyuran wajahnya. Dia seakan tertekan dengan beban kerjanya. Ini tidak dapat diuruskan kerana beliau belum bijak membahagi masa dan bekerjasama secara sistematik.

Klihat halikopter Polis Merin sedang
membuat pemantauan.
Beberapa bulan kemudian selepas dapat mengadaptasikan dirinya dengan tugas dan tanggungjawab di kementeriannya, selepas dipersenda dan dikritik dengan penuh sinis barulah beliau nampak tenang dan sedikit sumringah. Beberapa idea dan program diaturkan berjalan baik dan diterima rakyat.

Dua dari lima buah bot asing yang akan
ditenggelamkan, ia sudah dikepung.
Petani, nelayan dan peladang juga mulai merasa perubahan yang dibuat oleh kementerian berkenaan. Sambil memahami akan suasana terjempik oleh peninggalan kerajaan lalu, masyarakat petani, nelayan dan peladang mulai berasakan mereka dibela dan dan tidak diabai. Ada islah dibawah Salahuddin. Beberapa polisi dan perancangan baharu memberi keyakinan kepada petani, nelayan dan peladang yang masih dikategorikan "massmarh" - masyarakat marhaen.

Dalam banyak janji dan kenyataan sebagai pembela rakyat itu, saya memegang kepada satu kenyataannya yang agak kontras dengan sahsiahnya, yakni untuk meletup atau memusnahkan bot-bot asing yang mencerobohi perairan negara yang mana memberi kesan (kerugian) kepada nelayan kita.

Nelayan dari Marang sudah mengepong bot asing
yang menceroboh. 
Pencerobohan ini dilihat Salahuddin sebagai masalah dan ancaman besar kepada kehidupan kaum nelayan. Justeru mengambil tindakan meletup bot-bot nelayan asing menjadi agenda beliau tersebut yang ditunggui.

Beliau serius dalam hal ini dan telah membuat kenyataan untuk melakukan tindakan tegas ke atas pencerobohan ini dengan meletupkan mana-mana bot asing yang dirampas.

Kenyataan Salahuddin itu bagi saya sesuatu yang berani sekaligus menunjukkan ketegasan dan keprihatinannya membela masyarakat dibawah tanggungjawabnya. Kerana ia kontras dengan sifat sentimentalnya menyebabkan saya kurang yakin dan menanti janjinya.

Sebenarnya saya sedikit terkejut dan tertanya-tanya dengan kenyataan itu. Apa Salahuddin akan berani untuk melakukannya atau kenyataan itu tidak lebih daripada satu retorika politik sahaja? Seperti saya katakan tindakan itu bertentangan dengan sifat lemah lembutnya. Sejak itu saya menunggu akan realiti itu, dan sesekali takala terserempak dengannya bertanya khabar akan hal itu, "bila nak letup bot asing?" Beliau seakan terganggu dengan pertanyaan saya itu yang humor itu, menjawab tunggu.
Tampaknya beliau serius dengan idea dan tindakannya itu apabila untuk kali kedua beliau mengulangi dalam parlimen menyatakan ketegasannya itu. Ketika berucap dalam satu sesi parlimen beliau tegaskan tidak akan membiarkan nelayan asing menceroboh perairan kita dengan mengambil tindakan meletupkan mana-mana bot yang dirampas sebagai pengajaran. "Saya akan bertegas dalam hal ini demi membela nasib nelayan kita, saya akan letupkan bot-bot nelayan asing," begitu kira-kira kenyataannya.
Kenyataan kedua di parlimen itu saya kira ia kenyataan rasmi dan serius yang ditunggu saya dan nelayan khasnya akan pelaksanaannya. Sehari ke sehari menunggu saat macam mana bot-bot asing itu akan diletupkan. Saya mahu lihat apa yang dilakukan oleh pihak Kelautan Indonesia melakukan ledakan ke atas bot asing yang menceroboh perairan negara itu.

Mulanya saya diberitahu leputan itu akan dilaksanakan pada 29 September, dan dijanjikan akan diberi tahu mengenai hal itu. Dari itu saya terus menunggu.

Salahuddin membuat permisi
sebelum menaiki kapal.
Hinggalah ke tanggal melewati tarikh dijanjikan itu saya tidak mendapat apa-apa maklumat dengan rancangan untuk "meletup" bot-bot asing itu. Saya kira, ah, rancangan itu sudah "bangkut" dan tidak jadi dan ia hanya tinggal sebuah impian sahaja. Lawatan Perdana Menteri ke Vietnam sebuah negara yang mana nelayannya dikaitkan dengan pencerobohan, dikiranya menyebabkan rancangan hendak letupkan bot itu sudah dilupakan.

Saat saya sudah sedikit kecewa menanti detik itu, tiba-tiba Salahuddin memberi tahu saya yang upacara menenggelamkan bot asing akan dilakukan pada 3 Oktober. Lokasinya di perairan Pulau Kapas Kuala Terengganu. Sambil memberi tahu, beliau mengundang saya, untuk sama-sama menyaksikan. Katanya, upacara itu akan disaksikan oleh para petugas media, dan saya sebagai "blogger" perlu berada di sana, katanya.

Tiga pegawai DOF yang menemani
saya di atas bot pancung.
Walaupun jemputan kurang 24 jam tetapi saya sedia memenuhinya. Saya mahu menyaksi sendiri bagaimana bot-bot "lanun" yang dianggap golongan pengkhianat dan pencuri hasil negara dimusnahkan. Saya membayangkan letupan bot itu sama nilainya dengan pembakaran dadah bernilai ratusan juta yang dirampas. Simbol kepada penenggelaman itu adalah mempamerkan sikap tegas dan berani dalam membanteras kegiatan haram.

Hadir.
Alhamdulilah saya hadir. Setelah menghadiri ke upacara memusnahkan bot asing itu ternyata ia dibuat persiapan begitu rapi sekali dan penuh simbolik. Semua pegawai tinggi Kementerian bermula daripada Ketua Setiausaha, Mohd Salehhuddin Mat Hassan, Timbalan KSU, Salim Parlan, Ketua Pengarah Perikanan Munir Mohd Nawi, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pengerusi LKIM Faiz Fadzil, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Zawawi hadir sama. Ohya ikut sama hadir Exco Pertanian Terengganu Dr Azman. Semua warga MOA yang diketuainya Salahuddin turun untuk menyaksikan dan melaksanakan pemusnahan itu.

Ertinya melihat kepada seluruh warganegara MOA yang hadir ialah adalah satu even penting MOA yang mana aspirasi dan keinginan menteri sendiri. Dan Salahuddin mendapat dukungan padu daripada jabatan dan agensi bersangkutan.

Dalam acara simbolik itu semalam, sebanyak lima buah bot asing telah ditenggelamkan. Upacara menenggelamkan dibuat demikian rupa. Menteri dan para pegawai tingginya dibawa ke kawasan penenggelaman itu, kira-kira 5 nautika daripada Pulau Kapas. Semua mereka bertolak dengan menaikkan tiga kapal dengan diiringi empat bot, berarak bagaikan kapal perang. Lima buah bot asing yang dirampas sudah ditempatkan dilokasi berkenaan, sedia dilingkung oleh bot-bot kecil nelayan yang siap dipasang bendera Jabatan Perikanan dan negeri. Nelayan itu katanya dari Marang.

Pergerakan bermula dari Jeti Duyong Marina Resort, pelayaran ke perairan Pulau Kapas memakan masa hampir satu jam. Setiba di lokasi itu tiga kapal dan empat bot membuat barisan menghala ke arah bot-bot asing yang "ditawan" oleh nelayan. Berdepan persis mahu bertarung.

Dari atas kapal Salahuddin membunyikan siren laksana nafiri perang sebagai tanda proses penenggelam bot itu dimulakan. Sebaik terdengar letupan (dipercayai mercun bebola) Salahuddin membunyikan nafiri perang itu diikut dengan pegawai lain menjadikan suasana seperti di dalam stadium masa piala dunia, riuh dengan wuwuzela.

Bot yang sudah disediakan untuk tenggelam, perlahan-lahan dimasuki air, kemudian tidak sampai sepuluh minit bahagian kepala meloyah ke dasar laut kemudian diikuti semua badan bot ghuyup dan tenggelam. Bot pertama tenggelam jam 10:05 pagi. Air berpusar dan berbuih serpihan kecil berkecaian. Menteri dan para pegawai dan setiap yang hadir bersorak kegembiraan tanda berjaya.

Di atas udara pula sebuah helikopter berlegar memerhati dan membuat tinjauan. Saya percaya di atas helikopter itu sesi rakaman peristiwa itu dilakukan.

Sebaik bot pertama sudah lenyap dan terbenam di dasar laut diulangi aksi tadi ke atas bot yang kedua, dan begitulah seterusnya kelima-lima bot-bot "lanun" itu tenggelam ghaib.

Apa yang berlaku semalam (3 Oktober) pengalaman baru buat saya dan juga buat Menteri serta sebahagian kakitangan yang lain. Salahuddin saya lihat berpuas hati dengan apa yang berlaku. Setidak-tidaknya beliau dapat mengotakan janjinya menunjukkan ketegasan dan keprihatinan kepada nasib nelayan. Satu sidang media khas diadakan di atas kapal, Salahuddin dilingkungi oleh para wartawan, tetapi sayang saya tidak dapat mengikutnya kerana berada di bot lain, dan tidak sedia untuk meloncat ke atas kapal dinaikinya semasa dipelawa.

Sementara itu dikesempatan lain saya diberi taklimat  proses menenggelamkan bot-bot itu membawa dua natijah dan tujuan. Selain menunjukkan ketegasan kerajaan Malaysia, tidak berkompromi dengan apa juga kejahatan dan tindakan merugikan negara, bot-bot yang ditenggalamkan itu bertindak menjadi tukun, habitat baru untuk ikan. Selepas empat bulan kawasan atau bot itu akan bertindak menjadi habitat baru ikan. Situasi inilah akan memberi manfaat kepada nelayan yang dijangka akan dapat menambahkan hasil tangkapan.

Sebagai rekod urusan penenggelaman lima bot asing semalam dilakukan oleh Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin Malaysia (PMM).

Sesungguhnya keseriusan dan tindakan MOA itu sesuatu yang baik dan ia memberi signifikan besar kerana memandangkan gejala pencerobohan nelayan asing menyebabkan berlaku ketirisan pendapatan negara sebanyak RM6 billion setahun. Kerugian itu dari segi kerugian hasil tangkapan, sebaliknya kerugian lebih besar apabila ia turut sama merosak dan memusnahkan ekosistem laut, habitat semula jadi ikan.

Penantian saya kepada sebuah komitmen Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sudah terpenuhi. Ternyata Salahuddin melakukan sesuatu demi nelayan khasnya dan "massmarh" amnya. Selepas bertindak menenangkan lautan, saya kini menunggu Salahuddin bertindak ke atas kartel yang selalu dibari-barikan menyerabut dan mencabar tanggungjawabnya.

Didoakan semoga beliau akan terus melakukan dan bertindak seterusnya ke arah menjadikan MOA sebagai sebuah kementerian membangunkan negara sejajar dengan aspirasi rakyat. [wm.kl.11:29 am 04/10/19]

No comments: