Saturday, October 12, 2019

Amanah selepas kemenangan

ULASAN 
(Bhg Pertama)

Kobaran semangat ahli Amanah. Hiasan.
DIAWAL penubuhannya dahulu Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat sebagai parti masa depan menjadi parti alternatif kepada Parti Agama Malaysia (Pam). Itu pun tujuan penubuhan Amanah yang dibangunkan oleh golongan profesional dalam Pam, selain daripada mahu menjadikan wadah meneruskan perjuangan setelah meninggalkan Pam.

Mereka keluar parti dan menggagaskan Gerak
an Harapan Baru (GHB) yang kemudian menjadi parti politik.

Mereka, khasnya golongan cerdik pandai yang sebelum ini berminat dengam perjuangan Pam setelah mereka melihat Umno gagal memperjuangkan aspirasi rakyat dan kelihatan parti itu lebih kepada jadi "Kelab Bangsawan", berharap Amanah akan mengambil peranan digantungkan kepada Pam itu. Ramai pegawai kerajaan, pegawai tentera atau ahli perniagaan, yang sudah pencen memberi perhatian kepada Amanah.

Mereka mula memberi fokus kepada Amanah setelah lebih setengah abad Umno bersama BN menguasai Malaysia. Kewujudan Amanah dikira sebagai tepat pada masanya. Lantas meletakkan Amanah sebagai parti Islam progresif dan menempati kehendak citarasa rakyat negara ini yang beraliran sunnah wal jamaah.

Mana-mana mereka yang elergik dengan cara Pam memainkan isu agama sebagai modal politik, meneruskan stail politik konvensional, bersikap memperdagangkan ayat-ayat Tuhan dan kata-kata dan kelakuan (perwatakan) Nabi berharap Amanah akan perbetulkan keadaan itu, menjadi pengislah.

Mulanya berjalan lancar.
Di peringkat awal, sebelum Piraum -- pilihan raya umum ke 14, Amanah berjalan di atas landasan yang digariskan. Ia mencerminkan parti memenuhi kehendak ramai. Penampilan dan publisiti dijalankan menyakinkan.

Sebagai sekutu dalam Pakatan Harapan (PH), bersama PKR dan DAP, Amanahla dikira parti lebih Islami diharap memperjuangkan Islam yang akan menegak dan mempraktikan nilai-nilai Islam. Dalam kata lain roh Islam dalam PH itu terletak kepada Amanah.

Lantaran itu tajaan untuk menubuh Amanah berkembang pesat. Dalam masa sekelip mata sahaja Amanah diterima dan ditubuh di seluruh negara. Amanah menumpang pengaruh dan populariti pemimpinnya untuk menarik perhatian umum. Perkembangan itu sesuatu membangga dan menyakinkan.

Sebaliknya setelah selesai Piraum ke 14, apabila PH berjaya membentuk kerajaan, keadaan mulai berubah. Dalam masa sama kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Amanah sangat tinggi bagaimana pun sedikit "melentur" dan menggendur apabila Amanah menjadi kerajaan. Keupayaan dan wibawa pemimpin Amanah dalam kerajaan mulai dipersoalkan. Orang ramai mula mengukur parti itu dengan kewibawaan dan kemampuan pemimpinnya.
Lima orang menteri dan lima orang timbalan menteri yang berada dalam kabinet, menjadi pembuat dasar dan polisi kerajaan bersama Dr Mahathir Mohamad. Mereka diharap dapat memainkan peranan itu. Apa-apa pandangan serong atau sekular mengenai Islam oleh Dr Mahathir dapat diperbetulkan oleh Amanah. Mereka juga diharap berani untuk menegur Dr Mahathir seperti mana mereka berada di pentas pembangkang sebelum ini. Peranan itu sesuai dengan politik baru, reform yang dipelopori oleh PH.
Atas harapan itu mereka yang sebelum ini memerhati perjalanan Amanah mulai mendekati parti itu. Manakala mereka yang sudah sedia dekat dengan Amanah kerana tidak boleh menerima Pam sudah mula memasuki dan menjadi ahli Amanah. Secara diam-diam mereka menunjukkan minat kepada Amanah. Mulanya menampilkan diri sebagai "harum manis", yang mana kulitnya hijau tetapi isi Oren, akhirnya mereka menjadi Oren yang isi dan kulitnya sama warna, Oren.

Perhatian juga dari outsider, orang-orang luar termasuk dari ahli dan penyokong Umno. Mereka yang selamanya hidup mencari untung melalui kuasa dan ehsan politik mula mendaftar diri atau dibawa masuk ke dalam Amanah. Mereka mula mencari pintu dan lubang untuk memasuki Amanah, bahkan ada yang mulai berangan-angan untuk menjadi juara.

Kehadiran dan sokongan mereka diperlukan bagi menguatkan parti, tetapi perlu diwaspada kerana sifat mereka yang oportunis. Kebolosan pintu Amanah ini bakal menimbulkan masalah, jika tidak diawasi sebaik mungkin.

Seharusnya, apabila jadi kerajaan Amanah diurus dengan lebih kemas, sistematik dan mantap lagi. Penerimaan ahli, penubuhan cawangan perlu diperbanyakkan. Perjalanan parti sepatutnya diurus dengan profesional sesuai dengan pengharapan umum kepadanya.

Amanah perlu mengambil kesempatan atas kekecewaan dan kecelaruan penyokong Umno yang mulai gelisah dengan kehilangan kerajaan selama 61 tahun yang banyak membantu mereka itu. Begitu juga dengan penyokong Pam yang tidak lagi betah dengan politik takfirin  Pam, politik taksub Pam, perlu dielak memasuki Amanah bagi memperkemaskan parti itu. Mereka perlu menjadi mata rantaian memperkuatkan Amanah.

Begitu juga dengan golongan atas pagar yang tidak berparti serta generasi muda yang baru memasuki alam demokrasi dan pilihan raya. Mereka seharusnya menjadi golongan utama dibawa dan dipanggil menyertai Amanah. Golongan muda perlu dibentuk menjadi "ketumbukan" parti di masa depan, lima hingga 10 tahun mendatang.

Begitu juga dengan golongan cerdik pandai yang sudah meninggalkan bidang kerja masing-masing kerana pensiun, perlu dialu-alu dan diraikan. Kehadiran mereka boleh membantu memberi untuk input dalam hal ehwal pengurusan, pentadbiran dan diplomatik. Pengalaman mereka dalam pelbagai bidang profesional dan iktisad sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mereka inilah sepatutnya diletak sebagai adviser (penasihat) kepada bidang-bidang tertentu bukannya diambil dari kalangan siapa berjaya mencacak bendera paling tinggi, atau siapa yang rajin membawa pemimpin masuk kampung keluar kampung serta mengatur makan dan minum mereka.

Kalau pun mereka hendak diberi peranan, sebagai menghormati dan membalas budi baik, mereka boleh diletak ditempat sepatutnya bukan di meja membuat dasar, polisi atau terlibat dalam meluluskan apa-apa projek tender terus dibawah kementerian masing-masing.

Malangnya keadaan itu tidak berlaku. Kemenangan bukan menambah nilai buat Amanah tetapi memberi kesan negatif yang sama sekali kontras dengan apa yang sepatutnya berlaku. Mereka yang cuba menghulurkan diri untuk membantu Amanah tidak dipedulikan menyebabkan akhirnya mereka mengundur diri perlahan-lahan.  Di sinilah kelemahan atau pengabaian oleh para pemimpin Amanah.

Kelemahan parti.  
Kelemahan dan kucar kacir dalam parti sangat jelas terutamanya dari segi organisasi. Ini disebabkan kerana mereka yang sebelum ini bertanggungjawab kepada pengembangan parti menjadi sibuk. Ibu pejabat parti itu sendiri, seakan seperti pejabat peninggalan apabila lebih 60 peratus pegawai parti terpaksa meninggalkan ibu pejabat kerana mengikuti bos (menteri) memasuki pejabat baru di Putrajaya. Pegawai baru pula yang dilantik tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana tidak mendapat kerjasama, sebaiknya. Masalah kewangan juga terus menjadi kengkangan.

Kekosongan ditinggalkan pegawai itu terbiar tanpa di isi. Di sinilah kelekaan dan ketidakpedulian pihak pengurusan hatta majlis pimpinan tertinggi sendiri. Mereka menjadi kalut di pejabat baru dengan tugas-tugas baru lebih mencabar. Upacara selfie seperti masih belum berkesudahan.

Penubuhan dan pengembangan parti tidak berjalan dengan baik. Ia memberi kesan bukan sahaja di ibu pejabat parti tetapi sampai ke peringkat bawah, cawangan, kawasan dan negeri juga. Banyak cawangan yang sedang dalam proses penubuhan tidak diproses dengan sewajarnya ekoran kelemahan di Jabatan Pengurusan (Setiausaha Agong) ini menyebabkan kelulusan cawangan baru terbantut.

Begitu juga dengan keahlian. Kadar penambahan keahlian Amanah setelah menang relatif sekali kelemahannya dimana sepatutnya penambahan ini melonjak setelah kemenangan tetapi tidak begitu rupanya.  Natijah daripada itu kemenangan tidak memberi keuntungan kepada Amanah. Ini satu kerugian.

Kesan buruk atau kerana kealpaan untuk menguruskan parti itu sudah mula kelihatan. Apabila Amanah menjalankan mesyuarat pertama melibatkan pemilihan dalam parti ia menyerlahkan kepincangan dan kecacatan. Mendukacitakan khabar ada pertengkaran, perbalahan sehingga sampai ada untuk membubarkan cawangan.

Apa yang berlaku dalam Amanah tidak menggambarkan parti itu diuruskan oleh profesional dan sebagai parti Islamik. Ini memalu dan merugikan Amanah serta menghampakan orang ramai.

Mungkin kerana kesibukan dan terbelenggu dengan tugas dan tanggungjawab baru menyebabkan mereka bertanggungjawab menjaga dan menguruskan parti tidak ada masa. Tetapi itu bukan alasan. Sepatutnya Pimpinan Tertinggi parti itu bertindak untuk mengatasinya. Mungkin satu jawatankusa khas untuk memperkasa dan memperkemaskan parti perlu ditubuh di peringkat Pimpinan Tertinggi parti.

Presiden boleh mengarahkan agar ditubuhkan jawatankuasa itu. Keanggotaanya terdiri daripada Naib Presiden dan Pengerusi Negeri-Negeri yang mana Presiden atau Timbalan Presiden bertindak sebagai pengerusi. Setiausaha kepada Jawatankuasa ini carilah seorang yang kompeten dan bukan retorik. Hanya dengan adanya jawatankuasa khas memperkasakan parti ini, baru dapat memperkemaskan organisasi parti dan menambah keahlian.

Pimpinan Amanah dengan sokongan ahli seluruhnya perlu bertindak mengatasi masalah yang timbul ini kalau parti itu mahu hidup dan menjadi komponen penting dalam PH. Jika masalah ini dibiarkan berterusan tidak mustahil Amanah menjadi parti yang hanya seperti melukut di hujung gantang dalam PH. Malang lagi kalau parti ini bersifat seperti rumput di tepi jalan, hidup segan mati tidak mahu.

Amanah jangan berbangga dengan kemenangan serta kuasa dam kedudukan yang ada kini sebagai sebahagian kerajaan kerana ia boleh hilang sekelip mata sahaja jika tidak tahu menjaganya. Janganlah ditimpa hujan ditengah hari tak kala mengharap panas sampai ke petang.  [wm.kl.8:48 am 13/10/19]

No comments: