Sunday, October 6, 2019

Kongres Maruah Melayu gagal ubah magnitude politik negara

ULASAN

Sebahagian peserta kongres maruah Melayu.
MUNGKIN kerana nawaitu dan niat pihak penganjur atau mereka yang berada di belakang penganjur Kongres Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung hari ini tidak ikhlas, maka kongres itu tidak menjadi.

Ia tidak memberi impak besar yang boleh merubah "magnitude" politik negara seperti diharapkan. Kongres itu berlalu begitu sahaja mungkin sama dengan himpunan perpaduan ummah Pam - Umno di PWTC baru-baru ini, yang berlalu bagaikan angin lalu.

Awalnya ada juga yang cemas dengan kongres berkenaan. Saya sendiri mengira ia boleh memberi sesuatu impak boleh menggugat kelestarian dalam Pakatan Harapan (PH).

Maklumlah kerana tidak semua individu atau pemimpin dalam gabungan itu dijemput atau dilibatkan. Ia semacam satu strategi untuk memecah belahkan PH khasnya dari kalangan Melayu dengan bukan Melayu khasnya Cina. Agenda tersembunyi daripada kongres itu ialah untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri.

Ini dapat dikatakan begitu kerana ia digerakkan oleh individu yang benci dan hasad dengan Anwar Ibrahim. Individu itulah yang mengatur dan menjadi pemudah cara mengundang Dr Mahathir untuk mencapai maksudnya. Individu itu adalah orang politik munafik dan oportunis yang berkolaborasi dengan akademis yang sudah lama dikenali pencemuh Anwar.

Di samping itu kongres itu juga mahu menunjuk atau menjualkan kononnya Melayu kuat, dan dalam sudut lain mahu menyeru ummah Melayu agar bersatu. Kononnya Melayu kini sedang dilanda masalah dan dituduh ada pihak yang cuba mengubah kontrak sosial yang dipraktikan. Sebab itu ia menggunakan perkataan "Maruah".

Mengapa begitu, kurang impak? Walhal kongres itu sudah dihadiri oleh orang-orang "gede" yang sebelum ini bertentangan ideologi politik antara satu sama lain; Abdul Hadi Awang, daripada Pam, dan Annuar Musa, sebagai mewakili parti masing-masing. Kehadiran Hadi dan Annuar alias Pam dan Umno itu sesuatu mengejutkan kerana pemberi ucap tamanya ialah Mahathir. Kehadiran itu menunjukkan Melayu sudah dapat duduk bersama demi kepentingan bersama. Hoi.
Bagaimanapun ia tidak cukup dan semacam kongres itu anti klimek apabila presiden dan timbalan presiden Umno begitu juga presiden Pam tidak hadir.  Individu dalam Pam yang dilihat akrab dan jinak dengan Umno juga tidak hadir.

Tidak cukup itu, kongres itu juga dimeriahi dengan kehadiran Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, yang sejak mereka bercerai dengan Pam tidak pernah bersua muka dari dekat dengan kawannya Abdul Hadi. Tetapi kongres hari ini memberi ruang untuk mereka bersapa dan bersalaman.

Lagi, kemeriahan itu disulami oleh Mohamed Azmin Ali timbalan Presiden PKR. Walaupun beliau masih berbolot dengan isu video lucah Haziq tetapi beliau hadir juga tanpa memikirkan kebusukannya boleh meruap dalam kongres itu.

Lain-lain individu yang pada mulanya dijangka tidak hadir, tetapi hadir termasuk Mustapa Mohamed, Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan seorang Mufti yang baru hendak berjinak dengan kitab dan hadis politik juga kelihatan. Sepatutnya dengan kehadiran dan himpunan orang itu semua menjadi kongres itu hebat dan maruah Melayu terbela.

Namun tidak begitu jadinya. Kongres itu gagal memberi sesuatu impak dan kesan diharapkan. Sebaliknya kongres itu seperti berjalan tempang dan mereka yang hadir pula seakan tertampang (terleset) dengan kuah hanyir motif kongres berkenaan.

Ia bermula dengan niat tidak betul pihak penganjur yang cuba bermain politik dengan menggunakan medium pendidikan. Apabila ia berselindung di sebalik IPTA, sebagai penganjur bersama dikira ia dapat mengelirukan orang ramai untuk tidak mengesani apakah motif jahatnya.

Awal-awal lagi saya sudah dapat menghidu tujuan disebalik diadakan kongres berkenaan. Ternyata apa yang disuluh itu benar. Kemudian kongres itu menjadi hambar dengan ucaptama oleh Mahathir yang mengecewakan sebahagian yang hadir. Mahathir gagal menyampaikan apa yang mereka ingin daripada kongres itu, sebalik merendah-rendah dan "mengutuk" Melayu. Ada yang menyifatkan Mahathir sudah kehabisan modal dan bebelannya kepada Melayu adalah bebel lama yang sudah lapuk.

Kenapa jadi begitu? Seperti dinyatakan tadi, kongres itu tidak ikhlas dan berniat jahat. Jika ia ikhlas dan benar untuk membela maruah Melayu, kongres itu tidak sahaja mengundang sekelompok Melayu, sebaliknya semua orang-orang Melayu. Itulah motif kongres itu disamping terus mendolor Mahathir agar memegang jawatan PM sehingga ke akhir penggal demi memenuhi kepentingan mereka.

Sebelum berlangsungnya kongres itu saya sudah menulis beberapa status dalam FB memperkatakan mengenainya. Sila rujuk:

(Status 1)
KONGRES MARUAH MELAYU, ZAINAL KLING PERLU BERI PENJELASAN
Menurut pihak yang menganjurkan kongres Maruah Melayu ia diadakan bukan bermotif politik dan juga tidak memperalatkan universiti. Comel kalau begitu. Tampak seperti ia untuk mencari resolusi bagaimana untuk menjaga maruah Melayu agar tetap utuh.
Presiden Pam Abdul Hadi Awang dilaporkan akan hadir pada kongres berkenaan. Jawaban dan kesudian Hadi itu menunjukkan beliau juga dijemput untuk hadir kongres berkenaan bersama Dr Mahathir. Dr Mahathir awal-awal lagi menyatakan dia akan hadir dan menyampaikan ucaptama. Pemimpin Bersatu juga menyeru agar ahli dan penyokongnya hadir beramai-ramai.
Kesudian Hadi hadir menjelaskan kongres itu seperti terbuka untuk Melayu. Apa yang hendak diketahui di sini, apakah parti-parti lain dalam PH selain Bersatu, penganjur juga turut menjemput Parti Keadilan, Amanah dan Umno sama?
Kalau mengikut adat semestinya PKR dan Amanah serta Umno kena diundang sama sebab parti-parti itu juga mewakili orang Melayu, terutamanya Umno? Apakah dalam mata pihak penganjur Melayu dalam parti-parti itu tidak setulen Melayu dalam Bersatu dan Pam?
Apabila Umno sudah menuduh kongres itu memperalatkan universiti, kerana ia membabitkan empat IPTA, semacam Umno dikecualikan dari kongres berkenaan?
Maksud untuk membela maruah Melayu melalui kongres itu tidak akan tercapai kalau penganjur mengecualikan parti-parti disebutkan tadi. Sebaliknya kalau penganjur turut sama menjemput parti-parti itu, maka ketua parti atau presidennya hendaklah hadir sama. Anwar Ibrahim perlu hadir sebab beliau presiden PKR, Mat Sabu perlu hadir sebab dia presiden Amanah begitu juga Zahid Hamidi kena hadir sebab dia presiden Umno.
Sekiranya kongres itu hanya menjemput Bersatu dan Pam sahaja, maka jelas kongres yang diadakan itu ada undang disebalik batu ada motif busuk yang lebih busuk daripada tahi berak cerah.
Diharap Ketua Sekretariat Zainal Kling beri penjelasan atas kemusykilan ini. Trims.

(Status ii) 30/9/19
Antara lain tujuan diadakan kongres Maruah Melayu adalah untuk menjawab mereka yang mencabar Melayu, begitu kata pemain dan dalang utama disebalik kongres itu Zainal Kling.
Soal apa dibincang dalam kongres itu tidak penting kerana kebiasaanya resolusi disediakan awal awal lagi. Perbincangan dan perbahasan kertas kerja adalah formaliti sahaja.
Berdasarkan sumber saya perolehi boleh mengagak apakah resolusi bakal dibentang sebagai hasil kongres itu. Daripada beberapa terasnya tiga adalah untuk mempertahankan kepentingan individu tertentu dengan menggunakan kongres itu sebagai alat. Trims.


(Status iii) 30/9
Kongres Maruah Melayu 6 Oktober katanya dianjurkan oleh IPTA Universiti Teknologi Mara (UITM) Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persatuan Peguam Muslim.
Agak² berapa peruntukan kongres berkenaan. Dari manakah peruntukan itu diperolehi atau ada pihak yang sponsor?
Jika ia dikeluarkan dari wang IPTA berkenaan amat tidak patut. Kosnya tentu bukan sedikit. Sepatutnya peruntukkan digunakan untuk kepentingan pendidikan bukan kongres seperti itu.
Mungkin Dr Maszlee Malik boleh tolong jelaskan. Kerajaan PH sepatutnya tidak salah gunakan wang untuk kepentingan pendidikan bagi tujuan bermotif politik. Kerajaan PH tidak perlu meniru kerajaan lampau. Trims.

(Status iv) 30/9
UNTUK APA DAN KEPENTINGAN SIAPA KONGRES MARUAH MELAYU?
Oh rupa-rupa orang bertanggungjawab mengadakan Kongres Melayu ialah Zainal Kling. Mungkin ramai yang kenal Zainal Kling, sebagai seorang profesor dan akademis negara. Tetapi tidak pernah tahu macam mana pendirian politik beliau ini serta menilai hati budinya.
Di zaman Dr Mahathir menjadi PM fasal pertama, dialah juga orang terlibat menganjurkan pembacaan puisi di rumah Pena 24 jam. Semua penyair kecil besar, bilis dan jerung datang. Di majlis itu saya masih ingat dia mencadangkan agar diadakan manifesto rakyat tujuan memberi kesedaran kepada rakyat agar menumbangkan kerajaan Dr Mahathir yang bobrok ketika itu.
Al hasil selepas Abdullah Badawi naik jadi PM dia dilantik jadi NC di Universiti Sultan Idris. Dia menerima habuahnnya.
Dan kini apabila Dr Mahathir jadi PM sekali lagi, dia juga bertindak jadi Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu yang hendak diadakan 6 Oktober ini, yang mana kongres itu akan dirasmi dan diberi ucaptama oleh Dr Mahathir, orang yang suatu masa dahulu beliau tentang. Fikirlah, kenapa tempua bersarang rendah.
Dua persoalan saya di sini, siapa Zainal Kling ini apakah dia seorang akademis yang bersifat albab, jujur dan ikhlas ataupun jenis pacat atau tumbuhan parasit. Oportunis.
Kedua, apakah tujuan dan maksud kongres itu diadakan. Apakah ia diadakan untuk kepentingan Melayu, atau kepada politik individu lain? Ikhlaskah kongres itu diadakan untuk membela maruah Melayu. Atau kongres itu sebenarnya mencemarkan maruah Melayu dan bakal menimbulkan kesan negatif daripadanya.
Saya tetap keliru dengan tindak tanduk profesor seorang ini. Kita jejaki sehingga ke 6 Oktober. Kita cuba cungkil apakah rahsia disebalik kongres itu dan selain beliau siapa dalangnya? Saya akan mengesahkan maklumat yang sampai kepada saya yang kongres itu digerakkan atas kehendak individu politik demi kepentingannya, bukan kepentingan bangsa sangat. Cis kalau benar begitu. Trims.
2/10
(Status v) 
Kongres Maruah Melayu Hanya Munafik.
Ezam Md Noor mengecam kongres Maruah Melayu yang akan diadakan 6 Oktober nanti kerana ia bersifat munafik.
Katanya walau negara sudah merdeka 62 tahun masih ada kongres seperti itu, dan beliau menyifatkan kongres itu menunjukkan kegagalan Dr Mahathir Mohamad dalam membela martabat Melayu.
Daripada meneruskan kongres itu, kata Ezam lebih baik Dr Mahathir mengambil dua langkah segera yang lebih penting.
Pertama, buang menteri-menteri yang mempunyai perangai sibuk mengumpul harta buat anak-pinak dan kroni.
Kedua, buang menteri yang terang-terang melakuan perbuatan tidak bermaruah, ditayang di seluruh dunia, namun terus menjadi menteri kerana dilindungi perdana menteri.
Walau Ezam tidak siapa² tetapi pandangannya tepat. Trims.
Dan status terbaharu saya ialah pada hari ini, disaat kongres itu sedang berlangsung;

(Status vi) 06/10/19
KONGRES GENTEL TELUR
Para anak cucu cicit dan ciak Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Mat Jenin dan species sama sepertinya hari ini berkumpul dan berhimpun di sebuah stadium untuk berkongres bagi membincang maruah mereka yang sudah tercemar dan rosak.
Maka hadir dan seronoklah para anak cucu, cicit dan ciak itu. Mereka menyanyi dan mendendangkan lagu lama untuk hiburan sendiri, bak lagu petani di musim kemarau atau lagu nelayan yang tidak bisa turun ke laut kerana gelombang. Sambil menyanyi mereka berselimut dengan sarung palikat sambil tangan mengentel telor.
Mereka tidak disedar yang maruah mereka sudah lama rosak dan dilacurkan oleh para desperado politik, oportunis bangsa dan sang diktator demokrasi. Sekalian itu adalah mereka yang jadi terompah kayu, keldai pengangkut atau kuda dan gajah tunggangan. Cis. Trims.
Jadi kesimpulannya kongres yang berlangsung hari ini bukan sahaja tidak berjaya mencapai maksud yang diharapkan tetapi ia turut mencemar mereka lain yang hadir, khasnya para pemimpin politik, Abdul Hadi, Mohamad Sabu, Mustapa Mohamed, Azmin Ali dan lain-lain. Tidak pasal-pasal yang hadir itu turut "teleset" kotoran dan najis hasad dengki orang yang menganjur dan menjadi dalangnya.

Saya tutup catatan ini dengan membuat kesimpulan begini, kongres itu mahu dijadikan perangkap memerangkap individu tertentu, tetapi malangnya ia perangkap itu memerangkap diri sendiri. Maka jadilah kongres hari ini tempat Melayu "menggentel telor". [wm.kl.8:15 pm 06/10/19]

No comments: