Tuesday, February 25, 2020

Gabungan Rakyat impian saya untuk Malaysia

JENGKAL MASA

KEMELUT yang membedal negara kini masih dalam usaha penyelesaian. Para berwajib sedang berusaha keras untuk mengatasi segera kemelut dan masalah yang berlaku kini. Apa yang terjadikan kini seperti sejenis virus cukup membahayakan.

Nasib dan masa depan negara perlu diselamatkan sebaik mungkin dan secepat yang mampu dari virus berkenaan. Untung rugi nasib negara berada dalam genggaman kita semua.

Hari ini, usaha itu sedang giat dijalankan. Serentak dengan itu juga lobi melobi, tawar menawar masih berjalan. Malaysia sudah menjadi sebuah pasar politik terbuka. Di mana-mana orang bercakap mengenai keadaan politik negara dan kerajaan yang hilang kini. Dalam Facebook, media sosial berbagai perasaan dihumbankan; geram, suka, sedih, pilu, loya, gembira, menyampah dipamerkan oleh netizen.

Jalan ke Istana Negara sudah jadi "lebuk". Para pemimpin parti dan ahli parlimen bersilih ganti masuk dan keluar. Semuanya datang dengan tujuan untuk mencari jawaban dan menyelesaikan masalah yang kita semua ciptakan kini. Semua datang dengan nawaitu untuk menyelamatkan keadaan dengan cara terbaik.

Sehingga saat ini usaha giat dijalankan. Khabarnya semua ketua-ketua parti dan individu berwajib dipanggil menghadap yang di-Pertuan Agong. Semua diminta pandangan dan nasihat. Agong juga jadi kalut dan suasana kini mencabar kewibawaannya. Walaupun Agong adalah person yang bertindak mengikut undang-undang namun beliau perlu menggunakan budi bicara dan pertimbangan kemanusiaan terjilah. Agong kini bertindak sebagai pendakwa, pembela dan juga hakim.

Dalam perkembangan lain semua ketua-ketua parti juga telah diminta untuk berjumpa dengan perdana menteri interim pada pagi ini. Ini satu perkembangan tetapi baik yang kita harapkan akan membawa solusi yang baik.

Masalah dan kemelut yang berklimek dengan projek rampasan kuasa kelmarin, tidak mudah untuk dihuraikan. Ia memerlukan kesabaran tinggi kita semua dalam menanti kesudahannya. Dan sebagai rakyat marhen yang tulus dan ikhlas kita semua perlu berdoa dan berserah sahaja. Insya-Allah tempat meminta dan bergantung harap.

Formula dan impian. 
Di sini saya ada sedikit formula berupa impian untuk menyelesaikan kemelut yang telah merosakkan negara ini. Apa sedang dihadapi kini mencari kumpulan mana yang berhak membentuk kerajaan. Sehinggakan sekarang tampaknya masih buntu, semua kumpulan besar PH dan BN tidak mempunyai angka mencukupi untuk menubuh kerajaan. Hendak tidak hendak semua pihak perlu mengubah sikap dan perlu bergabung di antara satu sama lain.

Walaupun pakatan dan gabungan baru cuba dibentuk, tetapi ia gagal. Gabungan yang sedia memerintah PH pula hilang angka apabila berlaku tindakan keluar parti dan keluar gabungan. Walhasil, semua gabungan tidak cukup dan tidak sempurna menjadi "tempang tepuk." Semua pihak tidak perlu lagi bermimpi untuk membentuk kerajaan secara berkumpulan dan pakatan satu pihak.

Seperti saya katakan tadi, semua pihak kena ubah sikap dan buang ego, kikis juga perasaan dan sifat bodoh sombong. Jalan terbaik ialah sedia untuk bergabung di antara satu sama lain. Lupa dendam dan kebencian buang permusuhan, Insya-Allah akan dapat selesaikan masalah. Apa yang kena diletak dihadapan ialah kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan diri, puak dan kaum. Para politician perlu mengasihani rakyat yang resah gelisah kini.

Apa yang saya hendak dicadangkan disini, sebuah gabungan rakyat perlu ditubuhkan bagi membentuk kerajaan bebas daripada dikuasai mana-mana kumpulan dibentuk. Dr Mahathir sebagai PM interim boleh jadi pemudah cara untuk membentuk kerajaan Gabungan Rakyat ini. Beliau boleh uruskan dengan kuasa yang diberikan kepadanya. Dr Mahathir juga perlu ada keikhlasan, kejujuran dan niat menyelesaikan masalah dan jangan mempamerkan sikap meragukan orang ramai.

Kerajaan perlu dibentuk yang saya maksudkan adalah kerajaan Gabungan Rakyat dan ia boleh dinamakan kabinet Malaysia. Maksudnya kerajaan atau kabinet itu bukan lagi bernama kerajaan PH, atau kerajaan BN atau kerajaan pakatan baru yang belum terlembaga itu. Dengan kuasa dan kepercayaan diberikan oleh Yang diPertuan Agong, Dr Mahathir boleh melakukannya. Dan semua pihak perlu memberi kepercayaan tanpa sangsi dan prejudis kepadanya.

Dalam kerajaan atau gabungan ini semua wakil-wakil parti berada dalam kerajaan. Kerajaan Gabungan Rakyat ini kerajaan tanpa pembangkang, atau kerajaan boleh membangkang sesama sendiri dengan bebas dan berdisiplin. Di parlimen tidak ada blok pembangkang dan kerajaan, tetapi hanya wujud sebagai ahli forum untuk bersidang, membahas isu yang dibawa.

Menerusi pembentukan gabungan rakyat ini Dr Mahathir boleh disahkan jadi PM dan diberikan masa untuk jadi PM sehingga selama mana yang beliau ingini. Dan ketua-ketua parti yang ada di Malaysia hendaklah dibawa masuk ke dalam kabinet. Senioriti dalam kabinet nanti dilihat kepada jumlah kerusi dimiliki partinya dan juga kebolehan dan wibawa pemimpin itu sendiri.

Ertinya dalam Gabungan Rakyat dan kabinet Malaysia ini, ada Anwar Ibrahim (PKR), Ahmad Zahid Hamidi (Umno), Lim Guan Eng (DAP), Abdul Hadi Awang (Pas), Mohamad Sabu (Amanah), Shafie Apdal (Warisan), wakil daripada Sarawak (GPS) dan Azmin Ali (Bebas).

Sekiranya ini boleh berlaku, maka akan wujudlah gabungan rakyat yang boleh digelarkan sebagai kabinet baru milik rakyat. Hanya dengan cara ini sahaja boleh menyelesaikan masalah yang "bergelumut" kini. Apakah ia boleh, inilah persoalan yang bukan mudah untuk dijawab. Dengan mengenali perangai orang politik, ia bukan mudah, tetapi itu harapan dan impian kita (saya). [wm.kl.1:33 pm 25/02/2020]

No comments: