Wednesday, February 26, 2020

Untuk bina semula kerajaan PH tiada jalan lain, bergabung

JELANG MALAM

KEPUTUSAN hasil daripada temuduga (pengundian) dari kalangan 221 ahli parlimen yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di Istana Negara sudah pun selesai dan diketahui. Yang diPertuan Agong telah pun memperolehi keputusan. Esok Yang diPertuan Agong akan membuat tindakan selanjut berdasarkan keputusan tersebut.

Daripada analis keputusan itu, dengan berasaskan kepada beberapa pergerakan politik sebaik pengundian itu selesai, ia memberi petanda tidak ada mana-mana pihak yang mendapat simple majoriti 1(12) untuk membolehkan bentuk kerajaan.
Anwar Ibrahim sebelum mengadakan sidang akhbar lewat petang tadi menjelaskan soal angka sudah tidak relevan lagi dan begitu juga dengan kenyataan-kenyataan berkaitan yang dibuat oleh berbagai pihak selepas itu. Kenyataan Anwar itu cukup saya fahami.

Sikap Anwar itu menjelaskan beliau tidak mendapat undi secukupnya untuk diberi peluang membentuk kerajaan.

Begitu juga apabila Mahathir Mohamad membuat perutusan khas menerusi RTM berupa rayuan dan pujukan, memohon maaf kepada rakyat atas apa yang berlaku, menunjukkan beliau juga tidak mendapat angka yang cukup. Menerusi perutusan khas penuh apologetik itu diam-diam beliau masih berhajat untuk jadi perdana menteri.

BN dan Pas petang semalam lagi sudah menyedari yang mereka tidak mempunyai harapan untuk tubuh kerajaan kerana masalah angka tidak cukup. Sebab itu mereka membuat keputusan meminta agar parlimen dibubarkan. Serentak itu juga BN - Pas menarik sokongan kepada Dr Mahathir.

Dari analisis saya Anwar mendapat sokongan 92 undi, manakala Mahathir 58 dan BN-Pas pula 61 undi. Anwar mendapat undi solid daripada parti-parti PH. Mahathir yang sepatut memperolehi 64 undi mendapat 58 undi sahaja ini bermakna 6 undi tidak mengundinya. Angka inu agak memalukan beliau dan kerana angka inilah beliau membuat perutusan khas.

BN dan Pas yang sepatutnya mendapat undi penuh 63, kurang 2 undi. Ertinya ada dua ahli parlimen dari kumpulan itu tidak menyokong mereka.

Dari 221 yang berhak mengundi, difahamkan terdapat 10 yang tidak mengundi. Apakah mereka ini berkecuali atau undinya rosak?

Dari segi peratusan dan jumlah undi tertinggi berpihak kepada PH, ini bermakna Anwar layak diisytiharkan menang. PH memerlukan 20 undi untuk mendapat majoriti mudah, 112.

Yang diPertuan Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberi kepada mana-mana kumpulan membentuk kerajaan. Bagaimana pun berdasarkan kedudukan itu, besar kemungkinan baginda boleh memilih untuk membubarkan parlimen.

Apa menyebabkan Mahathir maupun Anwar tidak cukup undi adalah kerana perbalahan sesama sendiri. Padan muka. Dan kerajaan PH yang lenyap itu boleh dibangunkan kembali sekiranya Anwar dan Mahathir sedia untuk duduk bersama. Trims.

No comments: