Monday, February 24, 2020

Mahathir tidak lagi perdana menteri

TERKINI  

Pening Mahathir hilang, tetapi pening rakyat masih
mendengung kepala.
AKHIRNYA apa yang diingini sejak beberapa minggu lalu dan kemuncak semalam, Dr Mahathir Mohamad telah meletak jawatan sebagai perdana menteri. Tindakan Mahathir ini sedikit mengejutkan kerana ia seperti memilih jalan selamat untuk dirinya peribadi.

Walaupun beliau telah meletak jawatan, tetapi urusan penyerahan jawatan perdana menteri tidak langsung diberikan kepada Anwar Ibrahim sosok yang ditunggu selama ini.  Ertinya kedudukan jawatan perdana menteri waktu ini tergantung. Apakah Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memangku sebagai perdana menteri atau tidak?

Krisis politik dan rampasan kuasa masih belum selesai dan bertitik jelas. Persoalan sekarang ini apakah kedudukan negara kini yang sudah ketiadaan perdana menteri?

Seperkara yang berada di hadapan kita kini, Anwar masih belum cukup korum untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Kedudukan Anwar menjadi kian rumit apabila gabungan PH kehilangan banyak kerusi apabila 11 orang ahli parlimen yang bersama Azmin Ali telah bertindak keluar parti termasuk Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat daripada PKR.

Begitu juga 26 orang ahli Bersatu telah keluar daripada gagasan Pakatan Harapan.

Kedudukan jawatan perdana menteri, masih menjadi tanda tanya. Mengenang apa yang berlaku kini, ia tidak ubah seperti pemergian Mahathir bukan meninggalkan kesenangan dan suasana kondusif tetapi lebih merumitkan lagi.

Bagi saya nasib malang menimpa negara hari ini walaupun Mahathir sudah tidak lagi menjadi perdana menteri, ia tetapi tanggungjawab kesalahan itu di atas bahu Mahathir. Sekian. [wm.2:31 pm 24/02/2020].

No comments: