Sunday, August 15, 2021

Hentilah peralatkan Mahiaddin, biarlah beliau rehat

ULASAN 

PELARIAN Mahiaddin Md Yassin sudah memasuki selekoh terakhir dan akan menuju ke garis penamat. Kurang 24 jam lagi beliau akan mencecah finish line ribbon. Berapakah masa catatan yang akan dibuatnya, masih ditunggu dengan penuh minat dan debaran. Jurumasa sedang merekodnya. Apakah beliau akan memecah rekod dunia atau negara sebagai PM terpendek atau pun mencipta rekod peribadi?  

Rekod sendiri yang tersendiri sudah pasti berjaya dicatatnya.

Selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan menteri kabinet di Putrajaya disebelah pagi semalam dan dengan pimpinan partinya di rumahnya disebelah petang, kian marak spekulasi beliau akan berundur. Kononnya sudah ada mata yang melihat atau ternampak beliau sudah masuk ke selekoh 100 meter. Sudah hampir sangat ke garisan penamat. 
Pertemuan dengan menteri kabinet petang semalam adalah perjumpaan terakhir, perjumpaan "sayonara." Begitu juga dengan mesyuarat partinya mungkin juga terakhir. Mesyuarat itu khabarnya dipengerusikan oleh timbalannya Ahmad Faizal Azumu. Apabila beliau tidak lagi mempengerusi mesyuarat, bermakna beliau telah menyerahkan tugas kepada timbalannya, beliau sudah hilang selera untuk mengendalikannya. 

Tiada pilihan lain lagi baginya melainkan terpaksa menghabiskan "pelarian" dalam keadaan trajis seperti itu. Penolakan pelan tawaran bipartisan menjadi klimaks kepada usahanya untuk selamatkan diri dan kedudukan. Tawaran pelan kerjasama itu adalah usaha terakhir yang sangat berani dibuatnya. Risiko daripada penolakan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan apa yang difaham kini.
 
Beliau dikatakan sudah menulis surat peletakan jawatan? Esok akan menghadap Yang diPertuan Agong untuk menyerahkannya. Perkara ini disahkan oleh seorang menteri lewat tengah hari tadi? Sememangnya itulah prosedur yang sepatutnya. Selepas menyerahkan surat peletakan jawatan, paling awal tengah hari, beliau akan mengadakan perutusan mungkin yang terakhir, atau sebaliknya?

Di sini saya tidak mahu bercakap sesuatu yang dalam genggam Tuhan dan takdir. Politik itu tetap sebagai seni serba mungkin.  

Saya masih bersikap skeptikal dengan apa yang akan berlaku terhadap Mahiaddin. Walaupun disebut sendiri oleh seorang menteri beliau akan letak jawatan. Ini kerana sudah barang tentu masih ada usaha terakhir oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalangnya meletak jawatan. 

Usaha itu bukan lagi untuk kepentingan dan kebahagiaan Mahiaddin, tetapi untuk diri mereka sendiri. Kerana peletakan jawatan Mahiaddin menyebabkan yang lain juga akan ikut meletak jawatan, kerajaan PN yang digahkan sebagai kerajaan Melayu Islam juga akan tumbang. Yang terkorban dan menjadi mangsa atas keputusan ahli Parlimen Pagoh itu bukan sahaja beliau tetapi yang lain juga.

Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Jaafar Kamaruddin, Takiyuddin Hassan, Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob ikut sama "syahid". 

Sekiranya Mahiaddin sudah membuat keputusan itu, bagi saya biarlah beliau meneruskannya. Jangan diganggu dan dihalang lagi. Jangan kerana kita hendak mempertahan dan menjaga kepentingan kita, kita menyusahkan dirinya. Fahamilah penderitaan, maruah dan perasaan Mahiaddin dan keluarganya. Biarlah perdana menteri ke-8 itu berihat dan hidup secara alami dengan keluarganya. Cukuplah, selama 18 bulan lalu kita menyeksanya.  

Usaha diteruskan.

Saya difahamkan sejak semalam berbagai pihak berusaha dan memujuk Mahiaddin agar tidak meletak jawatan. Baik daripada dalam partinya, para menteri kabinet daripada Umno, Pas, McA, MiC dan lain-lain. Semua berusaha, dan pertemuan serta perbincangan secara maya atau fizikal dijalankan untuk memastikan Mahiaddin tidak berundur. Usaha itu dilakukan dan berlaku hingga ke hari ini dan dipercaya awal pagi esok.

Pagi ini pun dilaporkan ahli parlimen Bersatu mengadakan pertemuan. Sudah tentu pertemuan dan mesyuarat itu membincangkan berhubung dengan cadangan peletakan jawatan Mahiaddin atau pun alternatif lain. Dalam pertemuan yang sedang berlangsung sekarang, mesti ada cadangan dan juga alasan diberikan supaya Mahiaddin tidak berundur. Mereka juga memberi jaminan-jaminan di luar kotak untuk kelangsungan kekuasaanya.

Dalam pada itu berbagai rumours berhubung hal itu. Ada berbagai cadangan katanya dikemukakan termasuk yang tidak terfikir. Sekiranya Mahiaddin sudah nekad dengan keputusan itu, ada cadangan agar semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Mahiaddin mencadangkan nama Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. Walaupun perbuatan itu songsang dan melanggar perlembagaan, tetapi itu cadangan alternatif untuk mengelakkan perdana menteri jatuh kepada pembangkang (PH).

Selain itu ada juga cadangan agar Dr Mahathir diangkat sebagai perdana menteri semula. Semua itu merupakan cadangan tidak masuk book, tetapi dilontarkan kerana motif tertentu dan khianat. Yang penting para parasit yang selama ini menghisap darah mentah Mahiaddin terus boleh survive.

Kenapakah dalam kemelut dan keributan itu tidak difikirkan sesuatu yang boleh menjernihkan suasana. Misalnya Mahiaddin boleh lakukan tindakan terpuji semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong nanti tidak membuka mulut membuat apa-apa cadangan yang boleh menyebabkan beliau dilihat berpihak dan tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku. 

Kita ada Perlembagaan, ada peraturan turut dan ikutlah Perlemnbagaan. Dan jikalau Mahiaddin gentleman, ada integriti, ada sisa ketulusan mengapa tidak kalau beliau mengembalikan secara simbolik kerajaan PH yang hilang dahulu dengan menerima blok terbanyak waktu ini (PH dengan suara 92) untuk membentuk kerajaan baru. Kenapa tidak ada yang menasihat penyelesaian sebegitu?

Sekali lagi kepada parasit baik dalam Bersatu, dalam Umno atau diluar sana, berupa NGO yang selama ini menjadi pengadu domba yang menunggang agama dan bangsa, yang bertindak sebagai propagadis, berhentilah ganggu Mahiaddin. Kalau anda ingin hidup usahalah sendiri jangan terus-terusan menumpang atas usaha dan pengaruh orang lain. 

Mahiaddin akan dilihat jujur dan mulia kalau beliau sedia menerima PH dengan memberi sokongan kepadanya membentuk kerajaan. Kalau kita tergamak dan sanggup menawar dan mengajak mereka untuk bersama kita, kenapa tidak untuk menyambut mereka (PH) sebagai tebusan atas perbuatan sebelum ini. 

Hidup kalau pun tidak mahu berbuat pahala ingatlah akan kebenaran dosa. [wm.kl.11: 40  am 15/08/21]

No comments: