ULAS KABINET
Ismail Sabri ketika mengumumkan barisan kabinet semalam. |
Sebelum ini orang mengira kabinet itu ada perubahan dan tidak dianggotai oleh orang sama. Sebagai kabinet dibentuk selepas menghuyupkan kabinet lama tentulah kabinet baru itu lebih berenergi.
Apa lagi sebelum dibentuk kabinet Ismail Sabri menjemput ketua-ketua parti pembangkang dalam PH, Anwar Ibrahim (Keadilan), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu ()Amanah).
Pertemuan itu disambut dengan gembira oleh orang ramai kerana menganggap kita akan memasuki era politik berbaik-baik. Pertemuan itu tentu ada sesuatu yang disuntik diberikan mereka dan dipakai oleh Ismail sesuai dengan hasrat Raja-Raja yang mahu melihat negara dibina bersama. Dan jika tidak ada mengapa masakan Ismail sedia untuk berjumpa dengan ketiga-tiga pemimpin oposisi itu.
Pertemuan itu semacam memberi aspirasi kepada ahli Parlimen Bera itu bagi melakukan anjakan dan perubahan di waktu negara diancam pandemik ini. Setidak-tidaknya beliau tidak membentuk kabinet serupa dengan kabinet bekas perdana menteri Mahiaddin Yassin lalu saiznya diluar munasabah.
Nampaknya apa diharap dan ditunggu itu tidak menjadi kenyataan. Penantian yang sedikit menghairah itu berakhir dengan hampa apabila kabinet diumum semalam tidak ada perubahan besar, jauh sekali mempunyai keistimewaan. Kabinet Ismail Sabri sama sahaja dengan kabinet Mahiaddin selama 17 bulan lalu.
Tanpa perubahan ketara inilah menyebabkan rakyat di luar sana tertanya-tanya untuk apa Mahiaddin dijatuhkan sedang yang naik orang yang sama tetapi tidak serupa. Tindakan itu tidak beza dengan apa disebut sebagai tukar botol sahaja sedangkan arak yang sama. Apa guna tebang lalang kalau yang tumbuhnya teberau.
Keterujaan orang menanti pembentukan kabinet itu sebenarnya hanya bagi mereka yang jahil politik. Bagi yang celik sudah dapat membacanya awal-awal lagi. Kenapa, sebab orang yang bertanggungjawab membentuk kabinet itu (perdana menteri), ada masalah dan berhadapan dengan kekangan, tidak mempunyai jumlah ahli parlimen ramai dan berkualiti. Ismail hanya disokong 114 ahli parlimen sahaja daripada 220.
Jadi beliau kena berligar dan mencari dan memilih daripada kalangan 114 orang ahli parlimen sahaja, sementara lebih 100 lagi kena diabaikan.
Kabinet Ismail Sabri mengandungi 32 menteri dan timbalan menteri seramai 37 timbalan menteri. Semua berjumlah 69.Berbanding dengan kabinet Mahiaddin sebelum ini ia berkurangan 1 sahaja. Kabinet Mahiaddin dahulu 32 menteri 38 timbalan menteri. Gara-gara itu kabinet Ismail dipersendakan sebagai kabinet 69. Kabinet tungging terbalik. Terbalik kuang.
Dari segi kedudukan mengikut parti, Umno-BN kini dapat dua tambahan menteri dan dua timbalan menteri, manakala PPBM pula kurang satu menteri dan satu timbalan. Keadaan dari segi angka ini tidak berubah.
Lantaran tidak ada perubahan drastik baik dari segi angka dan individunya, apa lagi gagasan dan komitmen dan iltizam maka menyebabkan kabinet ini sudah gelak, dipersenda-sendakan oleh orang ramai dengan berbagai sendaan dan lelucon.
Di media sosial pula netizen mempersendakan dengan macam-macam bentuk dan gelar. Ada yang menyifatkan kabinet itu "lori sampah yang bertukar driver", ada yang anggap "tong sampah yang ditukar warna", ada yang "mengupama kabinet dapur tempat simpan barangan lapok", ada yang menyifatkan pertukaran "budu dari botol leper kepada botol bontok", macam-macam, dan saya nak namakan "kabinet obesiti".
Semua konotasi itu menunjukkan orang ramai tidak mengalu-alukan kabinet berkenaan. Kabint itu jadi bahan lawak.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika mengulas kabinet itu mengatakan ia sebagai kitar semula kerana orang yang dibawa masuk mereka yang tidak berkeupayaan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
"Tetapi, langkah yang diambil (oleh Ismail Sabri) hanya dikitar semula menteri-menteri yang tidak menunjukkan keupayaan, menangani masalah ini secara berkesan," katanya ketika bersiaran langsung menerusi Face book.
Dr Mahathir Mohamad (OT96) pula meluahkan rasa kecewa dengan susunan kabinet itu kerana ia masih mengguna pakai orang-orang yang terlibat telah gagal. "Saya kecewalah dengan kerajaan ini kerana tak ada perubahan selain daripada (seperti) di bawah Muhyiddin dulu," katanya.
Sementara seorang ahli MKT Umno, Johari Abd Ghani melahirkan kekecewaan dengan kabinet itu sebab beliau berharap akan wujud kabinet dwiparti dalam suasana negara seperti hari ini.
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh dalam nada sinikal memberi respon kepada kabinet itu dengan berdoa agar menteri yang dilantik itu dibayar separuh gaji daripada sebelum ini. "Mari kita berdoa agar gaji mereka ini dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang dibayar kepada mereka di bawah Mahiaddin," katanya di Facebook.
Ada makna dan maksudnya kenapa penasihat Umno itu berdoa demikian, mungkin beliau sudah berbau yang negara sudah kehabisan wang untuk membayar gaji jemaah menteri yang begitu ramai. Dengan kabinet obesiti begitu apakah negara mampu menyediakan gaji dan elaun kepada para menteri.
Masalah Ismail.
Sebenarnya kita memahami masalah yang sedang terpikul di pundak Ismail Sabri. Beliau menghadapi masalah dalam membentuk kabinet itu secara bebas mengikut budibicaranya sebagai perdana menteri seperti mana perdana menteri sebelum ini. Hambatan inilah menyebabkan kabinetnya tidak ideal dan digelar dengan pelbagai nama dan diperolok-olokan dengan macam-macam anologi.
Seperkara yang jelas, beliau dalam keadaan terjepit untuk membuat keputusan menyenaraikan anggota kabinetnya. Dalam gabungan kerajaan kini, Umno dan BN (UBN), PPBM, GPS, Pas dan lain-lain, Umno adalah parti lebih kecil daripada PPBM. Ismail Sabri tidak boleh memandai-mandai bertindak sendiri, melainkan kena akur atas apa dituntut oleh PBBM yang mempunyai jumlah angka yang lebih.
PPBM yang mengepalai kerajaan PN sebelum ini mempunyai lebih 50 suara, dengan kekuatan itu bila-bila masa boleh membuat onar yang menyebabkan Ismail boleh bergerudum. Tentu beliau mahu mengelak kejadian itu dan mahu berbulan madu dengan jawatan tertinggi itu. Lantaran itulah maka beliau tidak dapat memilih atau mencerakinkan ahli parlimen berkualiti untuk dibariskan dalam kabinetnya.
Beliau mengambil risiko yang besar dalam hal ini, bak kata orang tangan berani mencincang maka bahu perlu sanggup memikul. Kata sudah terucap walaupun perahu boleh diundur.
Perlu difaham juga, beliau bukan sahaja berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan diluar jangka daripada PPBM, tetapi dalam Umno sendiri berpecah. Beliau tidak mendapat sokongan padu daripada Umno. Jadi kedudukan Ismail Sabri seperti sayang-sayang buah kepayang, ditelan pahit dibuang sayang.
Hendak tidak hendak beliau terpaksa mengambil kira pandangan semua tanpa mendahului kehendak dan aspirasi partinya. Kabinet yang terbentuk itu bukan kabinet Ismail tetapi kabinet bersama Mahiaddin, Mahiaddin masih hidup, bukankah dia berjanji akan come back ke JPM?
Namun dari sisi lain dalam keadaan terjepit begitu Ismail Sabri sempat juga mengatur strategi politiknya dengan kabinet itu. Orang-orang yang menongkat dan menjunjungnya ketika berlaku pergeseran pendapat dengan presiden Umno, diangkat menjadi anggota kabinet, sementara orang Zahid Hamidi dinafikan.
Mereka yang menjunjung dan menumpang tuinya seperti Shahidan Kassim, Mahadzir Khalid, Annuar Musa dibawa masuki ke dalam kabinet. Malahan Annuar diletakkan di Kementerian Komunikasi Multi Media (KKMM) satu kementerian strategis untuk dijadikan wahana kempen dalam perebutan dalam Umno kelak.
Manakala orang Zahid, Shamsul Anuar Nasarah, Azalina Othman Said yang vokal bersama Zahid dicicirkan. Bukan itu saja Timbalan Presiden Umno Mohammad Hassan juga tidak dipedulikan. Kabinet Ismail bukan kabinet untuk menyelesaikan Covid, mendamaikan politik atau menjana ekonomi tetapi mempersiapkan diri untuk bertempur dalam parti.
Gagal bawa politik baru.
Apapun paling didukacitakan apabila Ismail Sabri gagal membawa politik baru. Nyata beliau seorang yang tidak berani membuat perubahan yang diharapkan oleh rakyat banyak. Beliau tidak berani untuk membentuk kabinet unity dengan mengambil sama wakil-wakil daripada pembangkang. Sekiranya beliau berani, sudah pasti beliau akan disanjung dan mencatat sejarah tersendiri.
Disni Ismail tidak berjiwa besar sebagai perdana menteri. Sepatutnya beliau bijak mengambil kesempatan melakukan sesuatu itu dalam suasana negara seperti hari ini, dengan menunjukkan idealisme dan komitmennya kepada bangsa dan negara. Walhal Raja-Raja khasnya Yang diPertuan Agong dan timbalan sudah memberi lampu hijau agar negara ni diuruskan secara bersama. Pembentukan kabinetnya itu adalah mekanisme pertama untuk merealisasikan kehendak itu. Tetapi tidak dimanfaatnya. Sayang.
Seperti dikatakan tadi, amat susah dalam kedudukan yang runcing, diasak kiri dan kanan oleh rakan muafakat untuk melaksanakan politik profesional dan gentleman begitu. Namun setidak-tidak Ismail Sabri boleh membuat tawaran "ajak-ajak ayam" kepada pembangkang bagi menunjukkan gentleman dan jiwa besarnya. "Kemambaan" politiknya jelas.
Sudah tentu kalau ditawar jawatan dalam kabinet kepada Anwar, Guan Eng mereka tetap tidak mahu menerimanya dan lebih mudah membantu daripada luar. Situasi dan kondisi ini tidak dapat dibaca oleh Ismail Sabri. Mungkin beliau telah diludahi oleh Mahiaddin Yassin menyebabkan beliau terkaku. Lain kali jangan hulur telor untuk dipegang orang.
Dengan segala permasalahan yang berlaku kini, kritikan, rasa tidak puas hati terhadap pembentukan kabinet itu, Ismail Sabri dijangka akan menghadapi masalah. Beliau memberi tempoh 100 hari untuk ahli kabinetnya menunjukkan prestasi dan pencapaian masing-masing. Nadanya seakan keras dan tegas, mana-mana yang gagal mencapai sasaran itu mungkin akan dikenakan tindakan sampai dipecat.
Apakah kalau pencapaian kabinet itu tidak sampai 50% secara keseluruhannya maka Ismail Sabri sendiri juga kena ambil tanggung jawab sama meletak jawatan sebagai perdana menteri? Apakah begitu atau itu hanya retorik untuk mempedayakan rakyat semata-mata? [wm.kl.9:46 am 28/08/2021]
No comments:
Post a Comment