Tuesday, August 3, 2021

Mahiaddin sudah jatuh cuma belum disah oleh parlimen?

 ULASAN 

Himpunan ahli Parlimen. Foto:MG
SIDANG khas parlimen selama lima hari bermula 26 - 29 Julai dan 2 Ogos tidak berjaya menumbangkan Mahiaddin Md Yassin sebagai perdana menteri. Walaupun pembangkang berusaha untuk menjatuhkan perdana menteri ke-8 menerusi sidang itu ia, ia tidak berhasil. Orang ramai juga hampa untuk melihat berlaku perubahan. 

Speaker Azhar Azizan adik Idrus Harun memainkan peranan yang cukup ampuh untuk melindungi Mahiaddin dengan mengelak daripada berlaku sesuatu pengundian bagi menentukan keabsahan kerajaan PN di persidangan itu.

Kebebasan yang sepatutnya diperolehi oleh ahli parlimen, tidak diberikan sepenuhnya. Semua usul dikemukakan pembangkang agar dimasukan dalam urusan mesyuarat dinafikan. Speaker adik kepada Peguam Negara itu berjaya menunjukkan beliau berkhidmat kepada Mahiaddin dengan cukup baik bukannya kepada rumah parlimen. 

Lantaran itu ramai yang kecewa dan kesal dengan cara adik Idrus Harun mengendalikan persidangan, bahkan beliau dianggap speaker paling spoi berbanding speaker-speaker sebelum ini. Professionalisme nya sebagai pengamal undang-undang gagal diserlah dari atas kerusi spekaer. 

Namun begitu sidang khas itu memberi petunjuk keadaan tidak kondusif buat Mahiaddin. Mahiaddin tidak boleh menarik nafas panjang untuk mengakui yang beliau akan kekal memegang jawatan sehingga tamat penggal parlimen ke-14. Perjalanannya sebagai PM bersimpang siur dan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Mahiadddin kini seperti sedang berjalan di titian Siratalmustaqim dan dikejar bayangan maut? 

Seluruh rakyat dan pemerhati politik dari dalam dan luar negeri dapat membuat penilaian sendiri kepada apa yang berlaku dan ditunjukkan dalam sidang itu dan juga yang berlaku diluar. Apa yang berlaku meninggalkan kesan boleh mencemarkan sistem demokrasi negara ini. Yang jelasnya sudah terang dan nyata bahawa Mahiaddin kini diselamatkan oleh Speaker, bukannya majoriti daripada parlimen.

Kekuatan dan kewibawaan perdana menteri yang dilindungi speaker bukan kekuatan mutlak. Ia adalah kekuatan palsu. Situasi ini menjadikan Mahiaddin senantiasa berdebar dan cemas bila setiap kali persidangan dewan rakyat hendak diadakan. Sedangkan hal itu tidak mudah untuk beliau atasi kerana persidangan itu tuntutan Perlembagaan yang tidak boleh diabaikan. Berapa kali dan berapa banyak lagi Mahiaddin hendak langgar dan "rukah" perlembagaan? 

Sungguh pun beliau masih belum tumbang dan mengaku kalah, bukti dan dalil menunjukan beliau sudah "sahih" tidak mendapat sokongan banyak sekali. Penangguhan parlimen 2 Ogos itu yang dibuat atas alasan Covid-19 adalah kemuncak kepada gemetar ketakutan dialami Mahiaddin. Penangguhan itu adalah tali hayat terakhir untuk Mahiaddin memastikan beliau masih perdana menteri. Tampaknya secara sembunyi Ketua Pengarah Kesihatan Noorhisham Abdullah juga bersubahat sama dalam melindungi Mahiaddin.  

Tidak dapat dibayangkan kalau persidangan 2 Ogos itu diteruskan, mungkin Mahiaddin kini tidak lagi perdana menteri atau sebaliknya? 

Kesimpulannya penangguhan sidang yang berselindung menggunakan pandemik Covid itu bukan sahaja menghina parlimen tetapi gagal menyelamatkan maruah Mahiaddin sebagai seorang ahli politik. Ahli Parlimen Pagoh itu belum selamat lagi dan tidak boleh mengaku beliau mempunyai sokongan cukup dan selesa menjabat jawatan PM. Dan celakanya penangguhan itu tidak menghentikan gerakan dan usaha untuk menumbangkannya. 

Himpunan ahli parlimen di Dataran Merdeka, yang didakwa disertai 107 ahli parlimen membuktikan sokongan kepada Mahiaddin sudah tidak ada. Angka 107 itu yang diumumkan Anwar pastilah ahli parlimen yang menyatakan penolakan mereka kepada Mahiaddin. Kehadiran mereka itu sebagai bukti atau "SD". Dipercaya angka diberikan itu melebihi hingga 110 ahli.

Mereka seperti ahli parlimen Gua Musang, (Tengku Razaleigh), Bagan Datuk (Zahid Hamidi), Pekan (Najib Razak), Pontian (Ahmad Mazlan), Machang (Ahmad Jazlan Yaakob), dimana mereka dengan berterus terang menolak Mahiaddin. Walaupun mereka masih menyokong kerajaan PN, tetapi dengan penolakan terhadap Mahiaddin itu, boleh menggenapkan jumlah untuk menjatuhkan Mahiaddin jika diadakan pengundian.  

Apabila ahli-ahli parlimen itu dicampur dengan jumlah 107 seperti disebut Anwar, ia sudah cukup untuk menumbnangkan Mahaiddin. Diyakini bukan sahaja setakat lima ahli parlimen berkenaan, tetapi masih ada sekurang-kurang empat atau lima orang lagi ahli Parlimen Umno mengambil sikap sama dan mereka akan mengundi menolak Mahiaddin jika diadakan dalam dewan.

Himpunan ahli parlimen semalam pastinya membuat jantung Mahiaddin berdenyut kencang apabila ia turut sama dihadiri oleh Dr Mahathir Mohamad dan Mohd Shafie Apdal. Kehadiran ketua-ketua parti itu menolak tanggapan dan kesangsian sebelum ini yang mereka tidak bersama ketua pembangkang. Kehadiran itu mengesahkan bahawa mereka juga menolak Mahiaddin.  

Kehadiran ahli parlimen dari Pejuang dan Warisan semalam juga memberi gambaran dan semangat baharu kepada pembangkang. Kalau mereka gagal menjatuhkan Mahiaddin dan merampas kerajaan PN menerusi parlimen, peluang mereka untuk mengambil kerajaan dalam Piraum ke-15 nanti sangat cerah. 

Kejayaan himpunan ahli parlimen semalam memberi petunjuk baru politik pembangkan menjelang pilihan raya akan datang. Selain itu kejayaan himpunan semalam juga menjadikan Mahiaddin terus tidak senang duduk. Dan implikasi lain dengan himpunan itu menggambarkan betapa buruknya demokrasi di Malaysia. Himpunan ahli parlimen tidak sama nilai dan perhatian diberikan umum seperti himpunan anak muda atau pun Hartal doktor kontrak. 

Himpunan ahli parlimen itu boleh memberi petunjuk betapa kacau dan harunya politik negara ini dan perdana menteri Mahiaddin sedang berdepan dengan ketidak yakinan umum. Dari sudut lain penghalangan ahli Parlimen untuk memasuki ke bangunan itu dilihat satu pencabulan prinsip demokrasi dan ia sangat memalukan. Dunia luar akan melihat politik Malaysia sudah dikongkong oleh pemerintah tidak ada kebebasan lagi dan prinsip demokrasi tidak dihormati.  Kejadian tidak membenarkan ahli parlimen memasuki ke "rumah" mereka itu adalah pertama kali berlaku di negara ini.  

Selain itu apa yang berlaku baik di dewan dan di luar dewan memberi gambaran dan bukti yang makin nyata kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menilai dan menghitung apakah Mahiaddin sebenarnya masih benar mempunyai nombor atau sebaliknya. 

Tidak dapat tidak, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan mendiamkan diri daripada mengambil kira dan menganalisa apa yang berlaku itu kerana ia memberi kesan kepada negara. Selagi kerajaan PN pimpinan Mahiaddin tidak dapat menstabilkan keadaan politik, ia akan membawa kesan kepada ekonomi khasnya dan membawa kelemahan kepada pentadbiran negara. 

Seperti mana kata ketua pembangkang, ahli-ahli parlimen akan minta untuk menghadap Al Sultan Abdullah dalam masa terdekat. Tentulah dalam perjumpaan nanti pembangkang akan memberi pandangan untuk dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan mungkin banginda akan memberi pandangan tertentu berdasarkan kedudukan dan tanggungjawab baginda. 

Apa yang menjadi harapan kita, hendaknya nasihat atau pandangan Yang diPertuan Agong nanti akan diambil sebagai panduan dan iktibar oleh mereka demi kestabilan politik dan negara. [wm.kl. 10:29 am 03/08.2021]

No comments: