PANDANGAN
BESOK sekali lagi Raja-Raja Melayu akan berangkat ke Istana Negara menjelang pemilihan perdanamenteri baru. Begitulah menurut maklumat media. Pertemuan itu mungkin ada kaitan dengan perkembangan hari ini, setelah para wakil rakyat selesai membuat pemilihan perdana menteri.
Raja-Raja Melayu sebelum ini dipanggil untuk bertemu di Istana Negara semasa kemelut politik dan masa pembentukan kerajaan sebelum ini.
Apakah pertemuan itu nanti bagi membincang dan bermuzakarah mengenai hal sama, jawatan perdana menteri kemudian merintis perdamaian sementara politik?
Walaupun keputusan tidak diumum dengan rasmi, tetapi ia menunjukkan calon daripada Umno ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob telah dipilih sebagai perdana menteri. Ini berpandukan kepada carta keputusan pengundian apabila beliau mendapat sokongan 114 wakil rakyat berbanding dengan seorang lagi calon Anwar Ibrahim yang dikatakan mendapat 105 sokongan.
Kemungkinan ini diperkuatkan lagi apabila hari ini kesemua 114 orang wakil rakyat yang membuat SD menyokong Ismail Sabri dipanggil ke Istana Negara untuk mengesahkan sokongan mereka. Adapun tidak seorang pun wakil rakyat daripada pembangkang diundang.
Apa yang boleh ditafsirkan dengan keberangkatan Duli-Duli Tuanku Raja-Raja esok, perkara utama mungkin Yang di-Pertuan Agong mahu memaklumkan secara rasmi kepada Raja-Raja Melayu hasil sokongan daripada wakil rakyat kepada Ismail Sabri itu.
Walaupun baginda boleh membuat keputusan bersendirian mengikut kehendak Perlembagaan, tetapi sebagai tertib dan adat, baginda memanggil Timbalan Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja sebagai kekanda tua baginda bersama. Tujuan juga mahu mempamerkan apa-apa keputusan dipersetujui semua pihak.
Perlu difahamkan sebelum ini, semasa Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menerima mengadap ketua-ketua parti semalam 18 Ogos. Dalam pertemuan itu baginda ada bertitah agar dicari satu konsensus sesama parti-parti politik memandangkan kemelut politik telah mengganggu urusan pentadbiran negara.
Perkara ini dijelaskan dalam kenyataannya bersama timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah yang turut sama dalam majlis itu.
Memetik kenyataan itu, “Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya semua Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang berlaku dengan kadar segera,”Kenyataan itu juga menyebut baginda berdua, menzahirkan pandangan itu memandangkan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika kita masih diancam pandemik COVID-19
Memahami pandangan dizahirkan kedua baginda itu menunjukkan baginda gusar dengan keadaan negara muasir ini dan satu penyelesaian tuntas hendaklah dicapai segera.
Pandangan itu seharusnya diambil perhatian oleh semua ahli-ahli politik yang sedang berebut kuasa ketika ini. Penzahiran itu ia juga menunjukkan keprihatinan besar oleh baginda. Permainan politik merebut kuasa juga hendaklah ditamatkan sebaik sahaja perdana menteri baru sah dilantik. Dan perkara itu seperti dipersetujukan oleh semua pihak yang menghadap Yang di-Pertuan Agong tempoh hari.
Dengan mengambil kira hasrat dan intipati itu, mungkin pertemuan sesama Raja-Raja esok akan besar kemungkinan membincang perkara itu dan berusaha agar wujud satu persefahaman dari kalangan ahli politik. Untuk tujuan itu mungkin satu mekanisme dicari bagi merealisasikan apa yang terpancar dari sanubari Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya itu.
Seluruh rakyat kini tertumpu kepada pertemuan Raja-Raja esok. Apa diharap pertemuan esok akan memandu ahli politik bergerak ke arah perwujudan perpaduan atau pun perdamaian bersifat sementara sementara parlimen dibubarkan. Dan hasil perbincangannya nanti biarlah ke arah menamatkan permasalahan yang berlaku kini.
No comments:
Post a Comment