Sunday, October 7, 2007

Padang Ke Dalam

Jadikan BN Sebagai Sebuah Parti Untuk Hapuskan Melayu?

MSO

ISU-ISU berhubung kepentingan kaum Cina negara ini terus dibangkit dari masa ke semasa. Ia pula semacam bersambungan dan tidak mudah mati. Ia dibangkitkan bergilir-gilir atau secara sepakat oleh parti-parti Cina, MCA dan Gerakan dan sesekali disokong secara senyap dan secara understanding oleh DAP.

Pembangkitan ini menerusi forum atau persidangan parti seolah mekanisma yang diwujudkan (Barisan Nasional) bagi mencari persefahaman dan perpaduan tidak boleh dipakai. Seolah tidak ada kepercayaan atas ketelusan kerajaan yang ditulangi Melayu dalam menjaga kepentingan kaum lain di negara ini.

Semasa kongres parti MCA tidak lama dulu beberapa isu berhubung kepentingan langsung dengan kaum itu dibangkitkan oleh para perwakilan serta turut sama disentuh oleh presiden parti menerusi ucapan dasarnya. Setengah isu itu ada menyentuh kepekaan dan tanggungjawab kerajaan.

Desakan

Antara isu yang ditimbulkan itu ialah mengenai bahasa Mandarin yang ingin dimartabatkan setanding dengan bahasa Malaysia (Melayu). Parti itu mendesak agar soalan peperiksaan UPSR diadakan dalam bahasa Mandarin. Desakan itu menjelaskan betapa MCA mengambil berat terhadap bahasa ibunda mereka.

Manakala Presiden MCA, Ong Ka Ting pula semasa ucapan dasarnya meminta dan merayu agar projek di bawah syarikat GLC turut diberikan (dibuka tander) kepada bukan Bumiputera. Alasan yang diberikan kontraktor Cina juga ingin merasai nikmat DEB setelah 50 tahun negara merdeka.

Kenyataan itu seolah orang Cina selama ini dinafikan hak mereka untuk sama-sama menikmati hasil kemerdekaan negara. Seolah-olah segala macam kekayaan dan nikmat kemerdekaan ditelan oleh bangsa Melayu saja.

Jika dilihat kesemua tuntutan dan desakan itu, roh dan natijahnya tidak menggambarkan ianya untuk kepentingan nasional melainkan untuk kepentingan satu kaum saja. Tuntutan-tuntutan seperti itu muncul dari masa ke semasa dan sangat menganggui pemikiran kerajaan. Sebab kalau orang luar mendengarnya seolah Melayu negara ini begitu mewah sementara kaum lain (Cina) begitu miskin dan dianak tirikan.

Terbaru, isu yang mengenai kepentingan kaum Cina ditimbulkan pula oleh Gerakan. Dalam Persidangan Perwakilan Nasional parti itu yang berlangsung dua tiga hari lepas telah mengemukakan 11 resolusi antara lain ialah meminta kerajaan memberi bantun penuh kepada sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Tuntutan

Sebenarnya tuntutan itu tidak pernah berhenti. Ia seolah orang Cina tidak faham mengenai perbezaan dan kepentingan sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan dengan Sekolah Kebangsaan. Mereka seakan dengki apabila sekolah Kebangsaan mendapat bantuan penuh manakala sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan sebaliknya.

Mereka seolah buat-buat tidak faham tentang dasar pendidikan negara ini dan dalam menyalurkan bantun ke sekolah-sekolah berkenaan. Mereka seolah buat tidak tahu bahawa sekolah Kebangsaan itu adalah kepunyaan semua kaum di negara ini dan bukan khusus kepada satu kaum saja seperti sekolah Jenis-Jenis Kebangsaan yang khusus kepada Cina dan India saja. Perlu diingat tidak ada sekolah Jenis Kebangsaan Melayu!

Jika mereka memahami hakikat itu mereka tidak payah berusah untuk mendapatkan hak yang sama lagi. Sebaliknya kalau kerajaan memenuhi tuntutan itu, ini bermakna kerajaan pula sudah bersikap tidak adil kerana mengistimewakan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan itu kerana ia dimonopoli satu kaum saja.

Tuntutan dan desakan itu menjelaskan bahawa kaum Cina mementingkan kaumnya saja dan tidak cuba berkorban untuk mewujudkan perpaduan nasional dan memahami dasar pendidikan negara.

Liberal

Begitu juga dalam bidang ekonomi dan peluang-peluang perniagaan. Parti orang Cina itu masih mendesak agar kerajaan mewujudkan suasana liberal dalam perniagaan. Apakah maksud suasana liberal itu? Ia adalah bermaksud memberi peluang kepada bangsa itu seperti mana diberikan kepada bangsa Melayu. Tampaknya orang Cina masih lagi berusaha dan mempertikaikan apa yang telah dipersertujui sebelum ini.

Jelas berdasarkan hakikat itu kaum Cina tidak pernah diam daripada terus memperjuangkan kepentingan kaumnya. Kita tidak salahkan keadaan ini, tetapi janganlah apabila Melayu menerusi Umno memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya, bangsa lain menjadi gelisah dan irihati.

Apapun perkara yang dilihat besar dan merupakan satu idea yang begitu halus boleh membahayakan politik dan kepentingan Melayu ialah cadangan yang dilontarkan oleh Ketua
Pemuda Gerakan, Mah Siew Kong yang mencadangkan agar 14 parti-parti dalam BN digabungkan menjadi sebuah parti. Alasan beliau bagi mewujudkan perpaduan nasional.

Gabungan

Apakah tujuan Siew Kong melontarkan idea demikian? Apakah beliau merasakan BN gagal mewujudkan perpaduan nasional dan mereka tidak mendapat sepenuhnya dari maufakat itu? Ini bertentangan dengan dakwaan pemimpin komponen itu yang sangat mengagungkan gabungan itu sebagai terbaik dan berjaya mewujudkan perpaduan nasional.

Harus difahami oleh para pemimpin parti Melayu bahawa secara senyap dan penuh sistemetik ada usaha oleh pihak tertentu mahu menghapuskan perkataan Melayu. Golongan ini tidak mahu perkataan Melayu wujud di mana-mana institusi atau diletakkan pada status tertinggi.

Mereka mahu menghapuskan perkataan Melayu itu kerana apabila ianya sudah hilang maka akan lenyaplah juga semangat dan wajah Melayu. Mereka ini sangat suka kalau Melayu ini ditukar menjadi Malaysia kerana mereka bisa menyelit di dalam nama baru bersifat nasional itu.

Perjuangan menghilang dan menghapuskan perkataan Melayu (bangsa) ini bukan saja dari Gerakan dan MCA tetapi ia juga turut sama direstui oleh DAP. Sebab itulah apabila ada menteri berketurunan mamak membuat pertukaran bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia mereka diam dan tidak mempertikaikan kerana ia memberi kebaikan kepada mereka.

Mereka tahu pertukaran itu akan mengikis identiti dan semangat Melayu dan lama kelamaan ianya akan hilang. Pertukaran atau penghapusan perkataan Melayu – semangat, budaya dan tradisi sungguh mengutungkan mereka, mereka akan merasakan tidak lagi berhadapan dengan benteng Melayu yang selama ini seolah menyekat langkah mereka.

Tidak ingat

Apa yang nampak apabila diwujudkan parti bernama BN, maka akan hilang parti yang menggunakan perkataan Melayu iaitu Umno. Lama kelamaan orang tidak akan ingat lagi kepada Melayu dan semuanya berfikir secara Malaysia.
Itulah tujuan disebalik cadangan itu.

Betapa kalau Umno sudah tidak ada. Maka akan hilanglah perkataan Melayu dan akan hilanglah parti Melayu. Perlu diingat Umno adalah satu-satunya parti Melayu tulen yang memperjuangkan Melayu dan nasionalisme.

Walaupun Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) didominasi oleh Melayu namun ia tidak setulen Umno dalam memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Melayu. Pas lebih mirip kepada perjuangan sejagat Islam, manakala PKR pula parti berbilang kaum dan memperjuangan aspirasi dan agenda semua kaum.

Pas dan PKR tidak boleh dianggap sebagai parti Melayu. Suka tidak suka, kalau orang Melayu mahu melihat orang Melayu mempunyai parti untuk bangsanya,Umno adalah sebagai landasannya.

Suka tidak suka, benci atau tidak Umno adalah parti Melayu. Umno memperjuangkan Melayu berdasarkan, matlamat penubuhannya untuk membela dan menjaga kepentingan Melayu. Soal hari ini Umno tidak boleh diharap atau menyeleweng itu soal lain dan ianya disebabkan pemimpinnya yang sudah beluk dan tidak memiliki semangat Melayu tulen. Pemimpin berjiwa Melayu seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Sanusi Junid telah dikhianti oleh orang-orang Melayu Umno sendiri.

Bersendirian

Cadangan itu amat-amat bahaya kalau ia diterima dan menjadi kenyataan. Harus diingat di dalam komponen BN hari ini Umno hanya bersendirian berbanding dengan Cina yang mempunyai tiga parti, MCA, Gerakan dan SUPP. Begitu juga India, selain MIC kaum itu bernaungan di bawah PPP yang didominasikan oleh kaum India.

Sebenanrya di dalam BN hari ini Umno sudah menjadi yatim setelah Pas ditendang keluar dari BN tahun 1974. Apakah dengan keadaan yatim itu Umno mampu berhadapan dengan usikan dan gurauan kawan-kawannya itu yang ada kalanya agak melampau?

Pada hemat saya cadangan Ketua Pemuda Gerakan itu sesuatu yang serius dan membahayakan. Justeru pemimpin Umno terutamanya Pemuda harus bertindak seperti jauhari mengenal manikam di sebalik cadangan itu. Ia bukan boleh dianggap seagai satu idea semata-mata. Pemuda Umno harus menyelami maksud cadangan itu. Orang seperti Khairy Jamaluddin yang bakal mewarisi Pemuda harus sedar dan bingkas segera dalam menilai perkara ini.

Begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas, hendaklah melihat cadangan itu bukan untuk tujuan seperti dimaksudkan sebaliknya ia ada niat tersembunyi. Sallahuddin Ayub harus berani memberi pandangan dan menjelaskan apakah maksud cadangan Ketua Pemuda Gerakan itu.

Apa kata dalam memberi reaksi kepada cadangan itu Pemuda Pas dan Umno sepakat pula membuat cadangan agar kedua parti itu Pas dan Umno bergabung untuk mewujudkan sebuah parti Melayu terbesar di negara ini. Kita mahu tengok apakah ulasan dan respons pihak-pihak tertentu atas cadangan itu kelak. [wm.kl 10:15 06/10/07]

No comments: