Suasana semasa tidak memihak kepada Pas Kelantan?
(Bahagian Kedua dan Akhir)
MSO
ARUS dan perkembangan politik hari ini menunjukkan bahawa Pas Terengganu berada dalam keadaan lebih cerah untuk merampas balik negeri minyak itu berbanding dengan Pas Kelantan hendak mengekalkan Serambi Makkahnya. Perkembangan mutkhir ini di Terengganu benar-benar memberi advantage kepada Pas.
Tragedi apa yang dinamakan rusuhan (oleh polis) mengundang simpati besar rakyat Terengganu kepada Pas. Rusuhan di Batu Buruk itu bukan berlaku secara nature, melainkan ia adalah takdir politik yang menguntungkan Pas sekiranya Pas bijak menggunakannya. Kejadian itu memberi petanda betapa gelisah dan resahnya Umno Terengganu.
Peristiwa itu tidak dicipta kalau bukan untuk melemah dan menghalang kebangkitan pengaruh Pas Terengganu. Polis dan Umno bersekongkol untuk mempertahankan Terengganu. Kenapa? Mempertahankan Terengganu adalah kerja wajib dalam konteks politik peribadi Abdullah Ahmad Badawi kerana beliaulah bertanggungjawab merampas negeri itu daripada Pas sebaik menjadi PM pada 2004.
Terengganu adalah negeri menjadi mercutanda politik Abdullah di negara ini. Bukan itu saja banyak kepentingan-kepentingan berupa kewangan dan ekonomi Perdana Menteri itu di Terengganu menyebabkan beliau harus pertahankan negeri itu. Tentunya beliau tidak mahu perancangan yang dibina di Terengganu menerusi orang bernama Patrick Lim terbangkalai begitu saja!
Peluru hidup
Terengganu adalah legasi kuasa kepada Abdullah dan ianya akan dipertahankan dengan apa cara sekalipun. Setelah merasakan keadaanya sudah panas, sebab itulah tragedi rusuhan melepaskan peluru hidup itu dicipta dan dilakukan sebagai satu bentuk dan isu untuk mempertahankan Terengganu daripada tumpas.
Berlainan dengan Kelantan. Walaupun gambaran politik Kelantan sungguh meriah dan ceria (dilihat kepada pemasangan bendera dan ceramah) namun tidak ada apa-apa momentun pada masa ini yang boleh membantu Pas mempertahankan Kelantan dengan mudah.
Suasana di Kelantan berlainan dengan di Terengganu. Kalau di Terengganu rakyat mulai kurang senang dengan kepimpinan Menteri Besar, Idris Jusoh yang dikatakan mengutamakan kroni, menumpukan pembangunan di Besut, melakukan kezaliman kepada rakyat dan lain-lain, sebaliknya di Kelantan meskipun selera bukan begitu tetapi sudah ada tanda-tanda yang rakyat mulai keliru dengan pembawaan dan hala tuju sesetengah pemimpin “versi baru” Pas di Kelantan.
Keadaan ini menyebabkan sudah ada sunggutan dan cakap-cakap tentang ini. Selain itu, hakikat yang Datuk Nik Abdul Azuiz Nik Mat sudah berada di ‘pita merah politinya’ juga secara tidak langsung memberi kelebihan tersendiri kepada Umno kali ini. Hari ini Nik Aziz tidak lagi berada dalam kedudukan seperti tahun-tahun 90-an di mana pengaruhnya luas dan rakyat Kelantan benar-benar kagum dengan keperibadiannya.
Walaupun pengaruh dan penghormatan orang masih sama, namun dengan kedudukan di hujung senja itu beliau tidak lagi menjadi daya tarik utama khususnya kepada pengundi muda. Ini menimbulkan masalah kepada Pas kerana kekuatan Pas Kelantan itu didokong pengaruh peribadi Nik Aziz selaku ulama dan tok guru.
Setara Nik Aziz
Adalah diramalkan kira-kira 10 – 15 % pengaruh Pas Kelantan didokong atau dibantu oleh pengaruh peribadi Mursyidul Am Pas itu. Selain batang tubuh Nik Aziz, Pas Kelantan tidak ada apa-apa lagi yang hendak ditawarkan kepada rakyat. Dari sudut kepimpinan Pas Kelantan tidak memiliki sesiapa yang setara dengan Menteri Besar itu.
Perkara ini jelas, semua pemimpin “versi baru” Pas Kelantan ketika ini sedang menumpang “tui” beliau. Hal ini dapat ditenguk kepada banting-banting iklan politik yang dipasang di sekitar Kota Bharu semuanya menempel bersama Nik Aziz. Seolah kalau tidak diletakkan gambar Nik Aziz bersama orang tidak akan hadir pada sesuatu majlis yang dianjur atau melibatkan pemimpin berkenaan.
Begitu juga di Kelantan kini belum ada gelombang yang benar-benar menyentuh perasaan rakyat dan bakal menjadi pemangkin kepada Pas. Kalau pun ada sedikit ialah tentang beberapa projek sosial di bidang pertanian seperti menanam pokok depu, pokok karas dan sebagainya serta bantuan untuk warga emas - skim Kifallah. Itupun sudah dijejaki oleh Umno yang turut melancarkan penanaman ubi kayu (cassava) dan melancarkan skim Insuran Merdeka yang lebih mahal berbanding skim Kifallah.
Pas Kelantan kena sedar hakikat ini dan perlu mengambil langkah awal. Dalam suasana Pas sendiri tidak begitu optimis ini mereka janganlah pula menganggap kata-kata dan ucapan Abdullah itu sebagai memihak kepada mereka. Suka tidak suka orang Pas Kelantan termasuk pemimpinnya kena menerima apa yang pernah saya katakan sebelum ini; bahawa Abdullah Ahmad Badawi kini telah menjadikan Kelantan sebagai negeri sasarannya untuk melebarkan propinsi taklukannya pada pilihan raya akan datang.
Sebenarnya Abdullah memasang angan-angan itu secara diam tanpa menghebuhkannya. Selepas ini beliau akan kerap lagi mengunjungi Kelantan dan akan mengulangi hal yang sama, “kita akan membangun Kelantan walaupun ia terletak di tangan pembangkang.”
Percaya dan yakinlah kenyataan itu adalah lagu untuk mendodoikan Pas agar terus lena dan keasyikan dengan mimpi-mimpi indah. Kita tidak mahu menyaksikan pada pilihan raya ke- 12 kelak Kelantan akan bertukar dengan Terengganu, Terengganu jatuh ke tangan Pas, Kelantan pula jatuh ke tanagn Umno. [wm.kl - rencana ini lewat dimasukan]
No comments:
Post a Comment