MSO
SELAMAT datang dan 'ahlan wasahlan diucapkan kepada tokoh-tokoh politik yang dijangka akan bertandang dan untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang. Hendaknya kedatangan mereka bukan kerana mencari tapak politik peribadi, melainkan atas nawaitu satu yang suci lagi bersih untuk menguatkan parti dan memperjuangkan Islam hakiki.
Misalnya mereka bukan saja harus pandai berbudi, tetapi perlu juga mengenali apa itu budu! Budi dan budulah akan mengeratkan kehadiran seseorang luar (politik) ke negeri Kelantan.
Selain itu mereka juga harus bukan saja melihat sikap lemah lembut Puteri Saadong, tetapi harus juga ada semangat Tok Janggut. Sekali lagi kedua sifat dan sikap ini harus ada kalau ingin berlama di Kelantan! Mereka juga bukan saja harus segak dengan kot dan baju Melayu tetapi sesekali perlu juga berkain palikat dan bersemutar dengan kain batik lepas bersembang di warung-warung kopi.
Menjadi hamba
Bagi orang Kelantan pula mereka mempunyai keunikan tersendiri dan ini hendaklah difahami benar-benar. Dan dalam banyak keunikan itu ialah mengenai sifatnya. Mudah mesra, setiakawan dan rela menjadi hamba. Sebab itulah di zaman Mohd Asri Muda dulu sering menyebut orang Kelantan kalau dia sayang kepada seseorang, ayam yang sedang mengeram pun akan disembelih untuk dijamu makan.
Sebaliknya bila dia sudah benci, usahkan bayang jumpa dengan tahinya pun akan dipukul dan dimaki hamun. Marahnya tidak mudah beradu ia menjadi dendam, dan kalau kena cara bukan saja di pimpin dan diiringkan, belakangnya pun ditahan untuk digendung! Buruk benarlah sikap orang Kelantan.
Khabarnya ada sekurang-kurang dua tokoh politik dari luar Kelantan yang sudah hampir pasti akan bertandang untuk dan bertanding di Kelatan pada pilihan raya akan datang di samping mengekalkan seorang tokoh yang sudah sedia ada. Mereka dihantar bukan saja-saja datang untuk mencari tempat dan ruang, seperti kata tadi atas niat hendak membantu perjuangan Pas Kelantan khususnya dan Malaysia amnya.
Dalam hubungan ini tentulah membantu memperkasakan Pas Kelantan, memberi idea dan juga teknik dan cara bagaimana untuk menyemaikan benih-benih Islam dan Melayu di Kelantan agar terus subur dan Kelantan kekal sebagai serambi Makkah walaupun sekarang dunia dilanda globalisasi.
Rasanya tidak perlu sesiapa mencurigai akan kedatangan mereka itu. Terimalah dengan sebaik mungkin seperti tamu datang ditanakkan nasi, musafir lalu di hamparkan sejadah dan bersolatlah bersama-sama. Walaupun Kelantan sudah cukup banyak tokoh-tokohnya namun kehadiran tokoh luar diharap akan dapat memberi kelainan dan semangat baru terutamanya dalam mengubah pendekatan, pemikiran dan budaya bekerja yang lebih mapan lagi.
Membantu kerajaan
Dua tokoh yang diura-ura itu ialah Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas dan Saifuddin Nasution Ismail, yang pada mana ini Pengarah Strategi dan Politik PKR. Nasharuddin tokoh 'futuristik' Pas dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Rantau Panjang bagi menggantikan Abdul Fatah Haron yang dikatakan akan bertanding di kerusi DUN Bukit Tuku. Penurunan Abdul Fatah itu adalah sebagai persiapan untuk membantu kerajaan Pas (sekiranya menang) selepas pilihan raya kelak. Fatah akan dilantik sebagai salah seorang Exco Kerajaan Kelantan.
Manakala Saifuddin Nasution pula akan bertanding di Parlimen Machang. Masih belum tentu apakah bekas Adun Lunas, Kedah itu bertanding menggunakan lambang PKR ataupun bulan. Seandainya Machang dijadikan kerusi pertukuran dengan Kota Bharu, milik PKR yang kini khabarnya akan diserahkan semula kepada Pas disebabkan ketidakmampuan PKR di Kota Bharu, maka sudah pasti Saifuddin akan bertanding atas tikit PKR.
Pun begitu tidak timbul masalah kalau Saifuddin bertanding menggunakan tikit dan lambang Pas. Saifuddin tidak asing dengan Pas bahkan di zaman remajanya dulu beliau adalah anak muda yang cenderung kepada perjuangan Pas. Langkah Saifuddin tersasau sedikit apabila beliau begitu taksub dengan kehebatan syarahan bekas Naib Presiden Pas Nakhaei Ahmad sehinggakan bila Nakhaei menukar kiblat Saifuddin turut sama tergeser arah!
Apapun persoalan itu tidak timbul di sini. Perkara paling peting ialah rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu harus memahami kenapa mereka itu sanggup berkorban untuk bertarung di Kelantan dan diharapkan membawa risalah Islam di negeri itu. Mereka dihadirkan bukan kerana kepentingan peribadi mereka semata untuk menjadi ahli Parlimen, tetapi kerana ada sesuatu yang besar diharapkan daripada mereka beruda khusunya menyuburkan bobot politik Kelantan.
Kedua mereka adalah antara tokoh yang dikenali mempunyai idea dan wawasan perjuangan yang jelas dan mantap. Keduanya juga komited dengan Islam dan mempunyai sahsiah yang anggun dan bersih. Adalah sangat sesuai kalau mereka dipajakkan untuk Kelantan berapa tempoh. Hal ini terbukti, misalnya Nasaharuddin terpilih untuk menjadi Timbaan Presiden dalam usia belia di mana apa yang dicapaikan itu sebagai rekod kepada Pas. Belum ada Timbalan Presiden Pas semudah itu sebelum ini.
Sokongan dan semangat
Perubahan pemikiran dan pendekatan yang agak terbuka dan meletakkan Pas sebagai parti yang dinamik serta kurang ekstrim, sedikit sebanyak adalah hasil dari watak dan perwatakan Timbalan Presiden Pas itu. Contohnya kewujudan bangunan Pas di Jalan Raja Laut adalah atas sokongan dan semangat yang dilonjakkan oleh beliau. Kesediaan kaum bukan Melayu mendekati dan untuk mengenali Pas juga ialah kerana perwatakan Timbalan Presiden Pas itu.
Selain itu paling afdal ialah Nasharuddin adalah anak muda yang mempunyai sahsiah, ciri-ciri dan perwatakan, baik dalam percakapan, berfikir, bergaul yang sesuai dengan Pas sebagai parti Islam yang amat menekan kepada soal akhlak dan moral. Beliau juga mesra alam. Belum pernah terdengar Nasharuddin tidak tepat dalam janjinya ataupun bersikap lepas tangan dan suka menunding jari kepada orang lain bila ditekan masalah.
Demikian juga dengan perwatakannya yang optimistik dan berfikir secara bersistem serta penampilan bergaya oleh Saifuddin mencerminkan beliau seorang tokoh muda yang mempunyai wawasan dan concern dengan perjuangan. Watak-watak atau peribadi kedua tokoh itu amat sesuai dan ditagihkan dalam mengisi dan menambahkan rangkaian pemimpin yang sedaya dan setaraf mereka yang kini sudah ada di Kelantan seperti Mohd Amar Arshad, Takiyuddin Hassan dan lain.
Makanya rakyat dan pengundi di kedua kawasan itu wajar memberi kepercayaan dan menanti kehadiran mereka. Kehadiran mereka merupakan satu tuah dan rezeki politik yang sukar untuk dibayar dan dinilai. Apa lagi dalam Pas Rantau Panjang yang kekurangan tokoh yang bertaraf nasional dan profesional, memperolehi Nasharuddin kelak sebagai permata yang di letakkan atas dulang.
Bayangkan bagaimana kalau keduanya ditakdir berada dalam Parlimen selepas pilihan raya akan datang; Saifuddin yang terkenal sebagai seorang ahli politik yang sarat dengan statistik dan fakta, sementara Nasahruddin pula sarat dengan falsafah dan pratikal politik Islam dan hafiz mengenai syariah Islam, akan dapat memberi dan membawa satu maknikam besar kepada parlimen dan juga negara.
Sahsiah pemimpin
Nasharuddin yang pernah menjadi anggita Paelimen Yan, Kedah tahun 1999 telah membuktikan keupayaan beliau dan berjaya membawa sahsiah sebagai seorang pemimpin baru Pas di dalam parlimen dalam bentuk Islam yang moderate tanpa meninggalkan taradsi Islam yang menjadi pacang dan konsep perjuangan dan rupa diri Pas selama ini.
Saifuddin pula ketika menjadi Adun Lunas, Kedah bagaimana beliau telah menjadikan Menteri Besar Kedah ketika itu Syed Razak Syed Zain tidak senang duduk, dan menyebabkan anggota kerajaan menjadi panas punggung untuk berhadapan dan menjawab persoalan yang dibangkit oleh belau.
Sosok dan tokoh semacam mereka berdua inilah yang perlu ada dan perlu diberi ruang untuk menjadi jurucakap dan pembimbing bangsa. Mudahan sahaja kehadiran mereka menjadi kenyataan dan kehadiran itu juga akan membawa perubahan dan keberkatan.
Ingin dipesani sekiranya akhi-akhi berdua sudah singgah dan bermalam di bumi Kelantan hendaknya biarlah tidur sampai ke subuh, dan sesudah subuh jangan pula bersegera untuk pulang ke daerah kelahiran atas alasan untuk mengurai rindu kepada ibu dan ayah seperti berlaku sebelum ini. Ada kalanya berminggu-minggu meninggalkan kawasan. Apa yang pernah dilakukan dagang masa lalu tidak akan diulangi oleh tetamu baru ini! [wm.kl 10:55 03/10/07]
No comments:
Post a Comment