Wednesday, October 24, 2007

Pemakluman

Seronok Kerana Selesai Siapkan Buku Baru!
Dua Minggu Lagi Beredar di Pasaran

TEPAT jam 1:35 petang tadi saya selesai menulis dan menyiapkan buku terbaru yang diberi judul "Siapa Berhak Ganti Pak Lah?" Kalau tidak ada aral melintang dua minggu lagi buku berkenaan akan beredar di pasaran. Walaupun dalam serba kepayahan dan terpaksa membahagi masa kerana sekali sekala kena tenguk juga urusan penerbitan Siasah, tetapi digagahi diri untuk menjayakannya.

Buku ini adalah yang pertama untuk tahun ini. Terasa kalau dalam setahun tidak menerbitkan buku semacam hidup tidak lengkap. Semacam ada sesuatu yang tertinggal dan ia perlu dilengkapi.

Allahmudlilah, buku yang ke 47 (kalau tidak silap) sempena dengan usia kelahiran, dikerjakan dalam masa cukup terhad dan agak tertekan. Sudah tentulah banyak kesilapan (ejaan), struktur ayat dan sebagainya di mana ia sudah menjadi satu kesilapan yang sukar untuk dielakkan. Al maklumlah terbit dan menulis secara one man show tanpa pembaca proof, editor dan pengurus penerbitan tentulah tidak berapa sempurna. Bukan itu saja penulis 'secara bersendirian' ini ada kalanya kena pikul dan jaja buku sendiri!

Itulah profesion dan perjuangan sejak lebih 20 tahun lalu. Sedih dan pilu untuk diceritakan kehidupan seorang penulis seperti saya yang semuanya kena buat sendiri. Banyak pancarobanya dan itu tidak termasuklah tuduhan dan anggapan oleh orang politik yang kurang senang dengan buku berkenaan. Ah itu sudah perkara biasa!

Buku berkenaan sebenarnya kompilasi tulisan dan artikel saya yang terpilih yang disiarkan dikolum "Antara Kita" di web Malaysia-today dan juga di dalam blog ini. Semua adalah tulisan saya asli dan bukan cedukan daripada tulisan dan catatan rakan penulis lain. Kebanyakan artikel disiarkan di sepanjang tahun ini. Kesemuanya masih relevan dengan isu-isu yang dibangkitkan pada ketika ini.

Dengan selesainya penulisan dan kini sedang dalam proses penerbitan (cetak), ia memberi sesuatu kepuasan. Begitulah apa yang dirasai oleh penulis. Kepuasan ialah apabila buku sudah selesai ditulis dan dicetak, kegembiraan apabila ada orang membacanya dan memberi komen secara jujur dan sedihnya apabila ada yang menuduh kita diupah oleh orang tertentu!

Kepada anda budiman yang berminat bolehlah dapatkan di kedai-kedai buku terpilih di sekitar Kuala Lumpur atau mengisi borang tempahan yang akan disiarkan dalam akhbar Siasah minggu hadapan. Harganya RM15 sahaja dan tebalnya 200 muka surat. Salam hormat. [wm.kl 6.30 pm 24/10/07]

No comments: