Skim Kifaalah dan Insuran Merdeka
MSO
UMNO atau Barisan Nasional (BN) Kelantan terus mengikuti jejak langkah Pas. Apa yang Pas bawa dan buatkan untuk rakyat Kelantan dalam usaha memancing undi, Umno juga ikut sama membuntutinya. Nampaknya pemimpin Umno senantiasa memerhati ke arah mana langkah Pas, mereka bersedia mengikuti dan membatasinya.
Sikap ini menunjukkan seolah-olah Umno lebih bijak daripada Pas. Tetapi dari satu sudut Umno ternyata lebih munafik daripada Pas dalam membantu rakyat. Umno tampil membantu rakyat selepas Pas kalut membantu akyat. Sekiranya Pas tidak membantu rakyat, mereka tidak akan bersusah payah untuk menolong rakyat.
Banyak perkara yang Pas buat kemudian diikuti satu persatu oleh Umno. Ada kalanya idea yang Pas kemukakan diceduk dan didakwa mereka yang punya. Sikap ini sepertilah kancil yang berak atas busu kononnya nak tunjuk tahinya besar kepada sang gajah!
Antara perkara atau program yang dilaksanakan oleh Pas dan diikuti oleh Umno ialah memberi bantuan kepada orang miskin. Bila orang Pas memberi bantuan kepada rakyat yang menghadapi bencana alam seperti kebakaran, rumah dilanda ribut, ahli keluarga ditimpa masalah Umno juga turut memberi bantuan.
Songkok buruk
Begitu juga soal-soal kebajikan lain. Bila Pas menziarahi orang sakit atau menziarahi jenazah, orang Umno juga sibuk-sibuk cari songkok buruknya untuk sama-sama menziarahi jenazah. Pas semabahyang jenazah, mereka ikut juga sembahyang jenazah. Setengah tidak tahu malu langusng, dan sanggup pula duduk bersebelahan dengan pemimpin Pas yang dimaki hamun selama ini untuk sama-sama sembahyang jenazah.
Kalau ada apa-apa bencana alam di ceruk mana saja, pemimpin Umno akan sampai. Ada kalanya pemimpin Kerajaan Pas belum sampai lagi mereka sudah tercokol di tempat itu. Tidak kurang juga berlaku pertembungan, di mana antara pemimpin Pas dan Umno berebut tangga untuk naik menjenguk mangsa kemalangan itu.
Misalnya satu hari ketika berlaku kebakaran di sebuah rumah penduduk di Kampung Kasa Pasir Mas, kedua pemimpin Pas dan Umno sama-sama tiba. Pas diwakili oleh Exconya yang hiperaktif dan peka rakyat bernama Husam Musa, manakala Umno pula diwakili oleh Pengerusinya Annuar Musa. (Ai kebetulan pula nama bapa mereka sama ya, harap-harap perangai tidak sama!).
Husam yang baru balik dari Terengganu walaupun sudah tiba di kawasan kejadian tidak terus ke tempat kebakaran tetapi berhenti di sebuah warung kopi, kemudian ke masjid kerana waktu Asar telah masuk. Sekejap kemudian kereta Annur Musa masuk ke tempat kejadian. Sesudah solat Asar, Husam tidak terus masuk kerana takut berlaku kesesakan kerana lorong ke tempat kejadian sempit. Kerana lama sangat menunggu Annuar keluar akhirnya Husam masuk juga, akhirnya mereka bertembung di jalan.
Begitulah keadaan yang berlaku. Semua berebut hendak membantu rakyat. Tetapi suasana dan keadaan itu tidak berlaku sebelum ini. Sudah banyak kemalangan dan orang menghadapi bencana alam di Kelantan sejak tahun 1826 lagi, tetapi sikap pemimpin terutamanya Umno tidak sepeka itu. Yang rajin dan ralik menjenguk rakyat ialah para Exco dan wakil rakyat Pas saja.
Hari ini pendeknya apa saja dibuat oleh Pas, akan diikuti dan dituri satu persatu oleh Umno. Keaktifan pemimpin Pas dalam membantu rakyat menyebabkan pemimpin Umno juga tidak lena tidur. Inilah barang kali rahmat dan hikmatnya atas kepekaan pemimpin Pas dalam membantu rakyat. Makanya kalau rakyat Kelantan mahu mereka diperdulikan oleh Pas dan Umno mereka harus kekalkan Pas, kerana bila Pas berbuat sesuatu baru Umno mengikutinya.
Pujian melangit
Begitu juga tentang skim Kifalaah yang diperkenalkan Pas untuk membantu warga emas dan keluarganya apabila berlaku kematian. Menerusi skim berkenaan Kerajaan Pas Kelantan menghulurkan bantuan segera sebanyak RM2,500. Skim berkenaan mendapat sambutan menggalakan termasuk dari penyokong Umno dan pujian melangit daripada rakyat Kelantan.
Untuk menyaingi itu Umno juga turut melancarkan skim insurannya sendiri yang dinamakan Insuran Merdeka. Skim itu dilancarkan sempena kemerdekaan baru-baru ini. Kerana ingin menqadakan kelewatannya dalam membantu rakyat, nilai skim Umno itu tinggi sedikit berbanding dengan skim Kifaalah iaitu sebanyak RM1,000 di mana nilainya RM3,000.
Baguslah rakyat Kelantan mendapat manfaat daripada keduanya. Bagaimana pun sebagai idea cedukan daripada Pas skim itu ada perbezaannya. Walaupun nilai skim insuran Umno lebih tinggi, namun dari segi keikhlasannya, ternyata Pas lebih ikhlas dan jujur daripada Umno. Dari segi origanliti ternyata skim Kifalaah lebih asli berbanding Insuran Merdeka yang tidak bebas itu.
Pas memberi bantuan itu kepada semua warga emas tanpa mengira fahaman idealogi politik dan bangsa. Cina, India, Siam dan Orang Asli semua dapat. Sebalik skim insuran Umno itu diberi hanya kepada mereka yang mendaftar sebagai ahli Umno saja. Mereka yang enggan menjadi ahli Umno tidak layak menerimanya. Inilah perbezaan pendekatan dan taktik antara Umno dengan Pas. Maknanya belang Umno amat ketara menggunakan skim berkenaan untuk meraih sokongan rakyat dan bukan bertolak dari lubuk hati yang tulus.
Begitu juga dengan beberapa projek dan program lain yang diperkenalkan Pas, turut sama dibuat oleh Umno. Bila Pas melancarkan pojek tanam pokok debu dan karas untuk dijadikan minyak wangi (attar), Umno lancar projek tanam ubi kayu. Bila Pas buat surat khbar Umno juga turut sama buat surat khabar (al Haq). Cuma satu saja lagi yang Umno tidak ikut ialah projek pelihara kambing jamnapari. Belum terdengar lagi Umno bercakap fasal hendak pelihara kambing setakat ini.
Pas telah pun melancarkan projek kambingnya menerusi Jihad Ternak di Rong Chenak, To Uban. Hari ini ladang seluas 200 hekar itu sudah mempunyai 2,700 ekor kambing dan hari-hari melahirkan anak. Anak kambing pertama yang diberi nama Shah oleh Husam juga sudah mula pandai mencium buntut. Kenapa sebab musababnya Umno tidak ikut buat projek kambing tidak diketahui. Mungkin Umno tahu projek berkenaan ada masalah, maka mereka tunggu dulu sebelum memulakannya.
Langkah Umno itu menggambarkan mereka kekeringan idea jadi terpaksa memngimport idea Pas. Apa pun, biarlah yang penting rakyat mendapat kemudahan dan manfaat daripadanya. Pas maupun Umno boleh mengharapkan rakyat membalas perbuatan baik mereka, tetapi rakyat tetap akan menilai siapa yang lebih ikhlas dan utama dalam menjaga kepentingan mereka.
Perlu diingat hanya kebajian yang dihulur dengan penuh keikhlasan dan kejujuran saja yang dijadikan batu timbang oleh Allah untuk memberatkan seseorang itu ke arah syurga di akhirat kelak! Walahualam. [wm.kl 9:11 am 18/10/07]
No comments:
Post a Comment