Wednesday, October 10, 2007

Susupan Pagi

Tahniah Dr Sheikh Muszaphar dan Tahniah Malaysia

MSO

SEBELUM ini bila disebut angkasa lepas kita hanya kenal dan teringat nama Mejar Yuri Gagarin. Segala selain daripada itu kita tidak faham dan mengerti banyak mengenai angkasa lepas. Nama Yuri Gagarin angkasawan Russia mencatat sebagai manusia pertama menjejaki kaki ke angkasa tanggal 12 April 1961.

Sejak itu gahlah nama Mejar Yuri Gagarin dan Russia sebagai orang dan negara yang mendahului negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat. Nama Yurin Gagarin disebut dan gambarnya yang lengkap berpakaian baju angkasa menghiasi buku-buku sejarah di sekolah termasuk di negara kita.

Selama 48 tahu lalu kebanyakan kita tahu mengenai angkasa itu sebagai dunia kedua selepas dunia fana ini. Kita hanya faham corak dan gaya kehidupan di sana berbeza daripada apa yang kita lalui di sini. Setengah kita pula tidak mempercayai manusia boleh bergerak dan hidup di angkasa yang mereka sifatkan di angkasa itu sebagai sebahagian siramultaha – alam ghiab.

Mungkin waktu itu untuk memasang angan-angan pun untuk ke sana tidak pernah wujud dalam diri kita. Tetapi peredaran masa dan zaman, hasil kemajuan negara dan kegigihan pemimpin negara akhirnya membawa kita turut berfikir lebih serius ke arah itu.

Ilham Mahathir

Cita-cita untuk mengikuti jejak Russia atau Mejar Yurin Gagarin mula tumbuh dalam jiwa pemimpin kita yang berpandangan jauh. Projek untuk menawan angkasa yang dikenali Projek Angkasa mulai diritis sejak tahun 2003 ia merupakan ilham bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Mungkin bagi sesetengah orang melihat projek ini sebagai satu pembaziran kerana ia memerlukan biaya yang banyak. Selalunya orang yang berfikiran sempit dan prejudis dengan hal-hal kemajuan tidak bersetuju dengan projek berkenaan sehingga ada yang menyinis projek itu sebagai melancung ke angkasa. Biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Sebaliknya mereka yang berfikiran jauh dan mempunyai semangat untuk bersaing dan meletakkan darjat bangsa di tempat tinggi dan setanding dengan negara maju lain akan menerima dan berbangga dengan projek berkenaan.

Kemampuan bangsa dan negara kita untuk turut sama berada di sana membuat kajian mengenai alam angkasa dan dunia sains, menjadikan negara kita akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Atau setidak-tidaknya kita tidak akan menjadi orang buta yang mentafsir gajah mengikut firasat sendiri apabila orang bercakap mengenai dunia angkasa lepas.

InsyaAllah jam 9.21 malam ini, 10 Oktober 2007 seorang rakyat Malaysia berbanga Melayu Dr Sheikh Muszaphar Sukor akan mewakili kita semua untuk memulakan penerokaan dan melakari sejarah baru negara apabila beliau akan berlepas ke Setesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 333 kilometer dari muka bumi.

Sheikh Muszaphar, 35 seorang doktor bedah ortopedik di HUKM akan berlepas bersama Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan Yuri Malenchenko dari tapak pelancaran Baikonour Cosmodrome.

Dr Sheikh Muszaphar akan berada di angkasa selama 10 hari dan akan kembali ke bumi pada 21 Oktober.

Sama-samala kita doakan semoga segala perjalanan dan proses perlepasan akan berjalan lancar dan selamat. Syabas kepada Malaysia, syabas kepada bangsa Melayu dan syabas kepada Sheikh Muszhapar. [wm.kl 8:45 am 10/10/07]

No comments: