Monday, March 27, 2017

Apakah Muhyiddin akan berhenti di tengah jalan?

SESUDAH SUBUH

Muhyiddin Yassin
Saya berharap biarlah hanya saya seorang yang tidak berapa faham dengan cara Muhyiddin Yassin bermain politik. Ketidakfahaman saya ini biarlah menjadi kes terpencil.

Masih nampak jelas bekas TPM itu terus kekok untuk meserasikan diri dengan kelompok pembangkang. Mungkin keseronokan dan kegahan dia menjadi timbalan perdana menteri dahulu masih diingati dan dikenang. Perasaan itu masih terbawa-bawa dalam dirinya.

Walaupun sudah bergelar sebagai presiden PPBM tetapi beliau seolah-olah belum memahami tugas dan tanggungjawab beliau sebagai presiden sebuah parti pembangkang yang bergabung dengan beberapa buah parti pembangkang lain yang dalamnya ada berbagai jenis parti. Muhyiddin mungkin terlupa dan berasakan partinya satu-satu pembangkang untuk berdepan dengan Umno.


Semangat kepembangkangannya, menentang Umno belum terserlah seperti mana Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir. Sumpah setia kepada Umno masih subur dalam dirinya.

Kenyataanya yang memberi gambaran bahawa PPBM patut menguasai pembangkang atas alasan parti itu parti Melayu satu pernyataan yang tidak bijak dalam saat seperti hari ini dan boleh menyinggung pembangkang yang lain. Kenyataan itu sekaligus menggambar ketebalan nasionalismenya.

Kenyataan itu menjelaskan Muhyiddin terlupa bahawa partinya baharu berbanding dengan parti lain. Jika ia diibarat anak ayam baharu menetas ia masih belum tumbuh bulu dan sebahagian cengkerang telor masih melekat pada badannya. Maksudnya wap Umno masih berbau.

Kenyataan Muhyiddin itu saya pasti menimbulkan persoalan dalam hati kepada parti lain. Mungkin Parti Amanah Negara boleh menerima pernyataan itu berdasarkan ketokohan yang ada kepada Dr Mahathir selaku penasihatnya dan juga kerajinan bekas PM itu menggerakkan partinya dan melihat sambutan rakyat kepadanya.

Tetapi bukan kepada PKR dan DAP. PKR tentu kurang senang kalau PPBM mahu mengambil alih "Melayu" dalam pembangkang. Apa lagi DAP akan terkejut kalau soal ethnik dibangkit dan dijadikan modal untuk PPBM menguasai politik pembangkang untuk menjadi ketuanya. Walaupun DAP parti Cina tetapi parti itu tidak pula berasa dia harus menjadi juara bangsa Cina dan tidak pernah DAP membangkitkan niat itu dalam pembangkang walaupun hakikatnya begitu? Di sinilah bezanya cara DAP berpolitik berbanding Muhyiddin.

Bagi saya kenyataan atau cadangan Muhyiddin itu kurang tepat dan ia tidak mencerminkan semangat sepasukan pembangkang yang jitu. Beliau sepatutnya mengenepikan soal siapa patut jadi ketua dan menguasai Melayu dalam pembangkang. Yang terbaik beliau harus mengikuti senioriti dalam pembangkang dan tidak menimbulkan soal kaum dan bangsa.

Apa yang patut ditumpu ialah memperkuatkan persepakatan pembangkang. Ini lebih aulianya. Beliau sendiri perlu lebih kerap berada sepentas dengan PKR, Amanah dan DAP dan bukannya terus berjinak-jinak dengan parti agama (Pas). Muhyiddin perlu melupai parti itu, yang menjadi jinak-jinak merparti dengannya yang mana jika ia disembelih dagingnya meloyakan Amanah dan DAP.

Demikian juga cadangan untuk menukar nama Pakatan Harapan kepada Barisan Rakyat, saya fikir sesuatu yang tidak perlu diutamakan pun. Cadangan itu bukan suatu tindakan mengemaskan pembangkang tetapi mencetuskan polemik baharu di mana ia menyerlahkan suasana buruk yang memberi modal kepada UBN.

Berapa kali pembangkang mahu menukar nama kelompok mereka. Kekerapan menukar nama itu juga menyebabkan orang ramai konfius dan hilang rasa konfident. Seolah-olah pembangkang masih tercri-cari wajah (identiti) yang hendak dipakai. Penukaran itu juga nanti akan diejek-ejek oleh UBN. Nama tidak begitu penting tetapi yang perlu diutamakan kesepaduan.

Dua perkara besar yang perlu difikir oleh PPBM dan parti pembangkang lain ialah, pertama memutuskan logo yang hendak diguna nanti. Walaupun permohonan untuk meregistarkan logo dibuat dengan ROS saya fikir ia mustahil akan luluskan. Maka parti-parti pembangkang harus menyediakan pelan tindakan ke atas kemustahilan itu. Alternatif terbaik jika ia gagal,  ambillah logo Mata (PKR) sebagai logo untuk dijadikan simbol dalam pilihan raya.

Kedua ialah selesaikan pembahagian kerusi atau menetapkan kuota kepada parti-parti gabungan untuk bertanding dalam Piraum akan datang. Ketiga kena menyiapkan naskah tawaran, (manifesto) untuk dikemukakan kepada rakyat kemudian dirumuskan. Ini perkara yang perlu diutamakan daripada membuat kenyataan untuk menjadikan juara dalam pembangkang dimana kita faham apa motif disebalik itu ialah kerana ingin menjadi PM. Soal siapa PM kemudiankan jangan terikut dengan desakan UBN.

Soal siapa PM jangan tumpukan sangat yang paling afdal pastikan dahulu kemenangan pembangkang. Mengenai PM ini sesiapa pun boleh dan mereka jauh akan lebih baik daripada Najib Razak nanti, kalaupun tidak Dr Mahathir ataupun Anwar Ibrahim.

Muhyiddin atau Dr Mahathir sendiri tidak boleh mengambil kesempatan atas kepercayaan dan layanan baik PKR dan DAP serta Amanah kepadanya untuk menjadi "taukeh". Mereka harus lebih insaf dan menghormati parti-parti pembangkang awal. Dr Mahathir mungkin pakar dalam politik dan pilihan raya, tetapi dia tidak pakar dan kurang pengalaman sebagai ketua gabungan pembangkang kerana belum pernah memimpin pembangkang sebelum ini.

Dalam konteks ini, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Saifuddin Nasution Ismail, Johari Abdul, Lim Kit Siang, Guang Eng, Syed Husin Ali, atau Husam Musa, Mohd Hatta Ramli dan lain-lain lebih pakar daripada Dr Mahathir apa lagi Muhyiddin. Dalam hal ini Dr Mahathir dan Muhyiddin kena serahkan kepada mereka dan kena belajar dengan mereka. Tektik dan strategi pembangkang jauh bezanya dengan tektik dan strategi parti memerintah.

Dalam politik tua tidak bererti tahu segala, muda bukan bermakna jahil belaka.

Memerhati gelagat Muhyiddin hari ini timbul kebimbangan kepada saya, yang perjuangannya dalam oposisi tidak akan ke mana, saya meramalkan dia akan berhenti di tengah jalan kerana keletihan tidak mampu menuruti perjalanan ditempa pembangkang yang berlenggang lengguk yang penuh onak dan duri. [wm.kl.7:48 am 27/03/17/

9 comments:

bat8 said...

Tuan MSO...politik Muhyidin hari ini menunjukkan satu perkara ia itu beliau xmampu berpilitik di luar UMNO. Itu sahaja.

Kedua ia mengambarkan beliau bukan ahli politik tulin. Karisma dan kebolehan beliau berpolitik amat terhad.

abrarmujahideen said...

Pakatan Harapan Rakyat akronim Pakatan Harapan...Harapan Rakyat..

Unknown said...

I'm malay first...itu kata2 muhyiddin semasa dlm umno dahulu...prinsip yg diketahui semua org dan itu tidak pelik bila timbul idea tersebut dr muhyiddin..dia lama dlm umno dan beliau mesti arif bagaimana sempadan komuniti melayu dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik umno...dgn majoriti melayu yg masih skeptikal dgn idea berkongsi kuasa dgn bangsa lain...muhyiddin mungkin bacaan politiknya kearah untuk meyakinkan melayu dgn mengetuai pakatan harapan

aminsihat said...

Dr Mahathir dan Muhyiddin sememangnya sangat sayangkan UMNO dan BN. Dalam masa yang sama mereka berdua sangat bencikan Dato' Seri Najib yang menjadi ketua yang paling berkuasa di dalam UMNO dan BN. Tidak ada cara lain untuk menjatuhkan Dato, Seri Najib melainkan dengan meruntuhkan UMNO dan BN. Oleh sebab itu PPBM ditubuhkan untuk menggantikan UMNO dan berpakat dengan PH untuk meruntuhkan BN. Sekiranya mereka berjaya menjatuhkan UMNO dan BN pada PRU 14 nanti, tidak mustahil Dr Mahathir dan Muhyiddin akan menukar PPBM dan PH kepada UMNO dan PH sebagaimana Dr Mahathir pernah menukar UMNO(lama) kepada UMNO(baru).

MNM said...

ini masalh penulis bagi saya. berfikiran masih seperti pembangkang. Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin berfikiran bukan seperti pembangkang. tidak dinafikan pemimpin2 pembangkang ini mmg berpengalaman sebagai pembangkang, tapi selama mana mahu terus jadi pembangkang? sbb itu perlu utk kita tidak lagi berfikiran spt itu sbb kita mahu menjatuhkan UBN dan menjadi pemerintah bukan lagi pembangkang. (just my 2 cents oppinion).

mohd sayuti omar said...

Saya tak dapat tangkap komen MNM ini? Mungkin kerana saya hanya berfikiran 2 sen. Komen2 di atas jelas bagi saya. Bukankah dengan masih mengharap orang tak sudi agar bersama itu sehingga buang masa dianggap satu tindakan bijak? Saya tidak menolak cara Dr M, tetapi rasa muak dengan cara Muhyiddin Yassin. Saya menimbulkan ini bukan dari perspektif penulis, tetapi dikaut dari bawahan.

mahligaiseni said...

Salam.
Hadapi detik-detik sukar ini dengan baik, termasuklah mengelakkan tegang. Tangani suasana perbezaan pendapat dengan penuh hikmah. Pamerkan ketinggian budi dan kewibawaan mengatasi perbezaan pendapat. Siapa pun lawan, apa-apa pun masalah, dan sebesar mana pun cabaran, ingatlah bahawa semuanya merupakan asam garam perjuangan. Maka itu janganlah tergelincir daripada landasan yang betul.
Wassalam.

Mat Safian said...

Setuju dgn artikel ni. Mahyuddin baru saja membuktikan dia bukan calon terbaik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang!!

Unknown said...

TSMY lembik orgnya. aura pun, tak brp nak ada. payahlah..nak jadi pejuang tulin memimpin Malaysia dan Dunia.

TSMY ni...sekadar jadi pemimpin kawasan/bahagian/cabang yang ramai melayu nya..bolehlah.