Wednesday, March 8, 2017

Renung jatuh bangun parti agama (Pas) Selangor

RENUNGAN SORE

Mari kita tinjau perjuangan parti agama (Pas) di Selangor khususnya penglibatan mereka dalam pilihan raya serta pencapaian dan prestasinya.

Parti itu mula mengambil bahagian dengan menyertai pilihan raya buat pertama kali dalam tahun 1959. Penyertaan parti itu dalam pilihan raya tersebut tidak membawa apa-apa hasil. Kosong. Mungkin juga ada calonnya yang yang wang pertaruhan. Bolehlah ia dianggap penyertaanya untuk merasai suasana pilihan raya dan untuk menimba ilmu.

Penyertaan parti itu dalam pilihan raya pada tahun 1964, juga tidak memenangi apa-apa kerusi, begitu juga pada tahun 1969.

Pada tahun 1978 dan 1982 parti agama itu tidak menyertai pilihan raya kerana pada masa itu Pas bekerjasama dengan Umno menyertai Barisan Nasional (BN).
Dalam pilihan raya tahun 1986 sesudah Pas ditendang keluar dari BN, parti itu mula merasai kemenangan dengan mendapat 5 kerusi. Ertinya sesudah 27 tahun penglibatan Pas di Selangor baharu ia dapat bersuara dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor buat pertama kali. RALAT: TAHUN 1986 PAS MASIH BELUM MENANG, SEBALIKNYA DAP YANG MENANG 5 KERUSI. 

Boleh juga difahami kejayaan Pas selepas 26 tahun itu adalah hasil duduk serumah dengan Umno menerusi BN dimana pengalaman itu memberi ilmu dan pengajaran kepada Pas macam mana untuk mencari pengaruh di Selangor. Sikap Pas yang pandai mengambil kesempatan ini harus dipuji dan sepatutnya ia diteruskan.

Sesuatu yang Pas Selangor tidak dapat lupakan jasa pemimpin terdahulu membentuk kerjasama sehingga membawanya menyertai BN ternyata memberi tuah dan untung kepada parti tersebut.

Bagaimana pun pada pilihanm raya 1990 dan 1995 yakni sepuluh tahun kemudian Pas gagal mendapat apa-apa kerusi. Kosong. Pas baharu mendapat semula kerusi selepas tahun 1999, sewaktu meletus gerakan Reformasi. Pas menang empat kerusi Dun. Kemenangan itu bolehlah dianggap kerana faktor Anwar Ibrahim.

Dalam pilihan raya 2004, Pas kembali berada dalam keadaan kosong, apabila tidak memenangi sebarang kerusi pada tahun itu.

Pas kembali menyerlah semula selepas 4 tahun kemudian apabila Pas mengambil pendekatan bermaufakat dengan parti-parti pembangkang, PKR dan DAP menerusi pakatan tidak rasmi Barisan Alternatif (BA). Ketika ini juga hasil pendekatan dan maslahah politik anjuran Nik Abdul Aziz Nik Mat orang-orang bukan Islam, Cina dan India meminati Pas, pendekatan sedarhana dan rasionalnya.

Pada pilihan raya tahun itu (2008) Pas mendapat 8 kerusi, dan beberapa kerusi Parlimen, satu pencapaian yang cukup memberangsangkan. Pencapaian itu menyebabkan pemerhati yang sebelum ini memandang kecil kepada Pas mula membuka mata melihat Pas berpotensi untuk pergi lebih jauh lagi hatta menjadi pengganti kepada Umno termasuk di Selangor.

Dan pencapaian Pas tambah memberangsangkan lagi, bahkan rekod baginya apabila pada tahun 2013 Pas yang bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) bersama PKR, dan DAP berjaya memenangi di 15 kerusi Dun dan dua kerusi Parlimen.

Paling manis bagi Pas kemenangan itu membolehkan ia membentuk kerajaan Selangor bersama PKR dan DAP, di mana lima orang Adunnya dilantik menjadi Anggota Exco. Pas juga mendapat manfaat apabila dilantik menganggotai agensi dan syarikat GLC Kerajaan.

Jika dianalisa pencapaian Pas itu menjelaskan, ia mula mendapat nikmat perjuangan apabila ia berkerjasama dengan parti pembangkang lain atau apabila sedia untuk sekongkol dengan Umno dalam BN. Tanpa bergabung dengan pembangkang Pas tidak akan dapat mencatat rekod cemerlang di Selangor.

Politiknya berasakan bangsa dan agama yang sempit dan ekstrem tidak cukup kekuatan untuk mengumpul undi bagi menguasai mana-mana Dun di Selangor.

Dalam pilihan raya akan datang (Piraum ke-14), Pas dikatakan bercadang untuk bertanding bersendirian dengan membentuk Blok Ketiga, (mungkin termasuk di Selangor juga) apabila tidak bersedia untuk bekerjsama dengan DAP, dan Amanah yang kini membentuk Pakatan Harapan yang berkerjasama dengan PKR dan PPBM.

Apakah tindakan Pas itu suatu tindakan politik yang matang dan bijak dan akan berjaya, ataupun ia akan mengembalikan semula kedudukan Pas seperti 27 tahun lampau sebelum 1986 dimana Pas tidak akan memenagi sebarang kerusi pun di Selangor, hanya setakat berjaya meletakan calonnya untuk mencabar lawan di semua kerusi Dun dan Parlimen? Kalau itulah keadaanya ternyata Pas menyurut ke belakangan.

Untuk ketika ini sukar difahamkan. Apa yang boleh dikatakan kalau Pas tetap berdegil dan akur dengan permainan politik para "mullahnya" yang ego dan "cerdik sseorang" kini, tampakanya ke arah itulah Pas Selangor, kembali kepada asal menjadi dagang merempak di watan sendiri. Wassalam Mso. [wm.kl.7:25 pm 08/03/17]

No comments: