KENYATAAN MEDIA
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub meminta Kerajaan Malaysia menjelaskan kepada rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa terdapat syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.
Katanya masyarakat umum tahu Korea Utara adalah negara penyangak (rogue state) dimana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.
Beliau mendedahkan barangan berkenaan ada dijual di sebuah bangunan di kawasan Little India, Kuala Lumpur.
Gesaan berupa pendedahan oleh Salahuddin ini satu lagi tekanan ke atas Najib Razak pada saat hubungan Malaysia - Korea Utara tegang waktu ini.
Salahuddin membuat gesaan demikian menerusi kenyataan medianya yang dikirimkan ke blog ini lewat petang ini. Berikut adalah kenyataan penuh:
MALAYSIA TERLIBAT MENJUAL SENJATA DARI KOREA UTARA - NAJIB PERLU JAWAB SEGERA.
1. Pihak berkuasa Kerajaan Malaysia perlu memberikan penjelasan kepada rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa bahawa terdapatnya syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.
2. Masyarakat antarabangsa umumnya sedia maklum bahawa Korea Utara adalah di antara negara penyangak (rogue state) di mana hubungan diplomatik dan hubungan dagang harus ditangani dengan teliti dan cermat sesuai dengan beberapa konvensyen dan peraturan antarabangsa.
3. Apabila berlaku "Krisis Kuala Lumpur - Pyongyang" ketika ini akibat pembunuhan politik abang tiri Presiden Korea Utara, ada pihak termasuk Reuters telah dapat menimbulkan beberapa penemuan menarik yang semacam tersembunyi daripada pegetahuan umum sebelum ini seperti kemudahan Imigresen tanpa visa oleh rakyat Korea Utara ke negara ini.
4. Terdapat syarikat yang beroperasi menjual senjata buatan Korea Utara yang juga dimiliki oleh orang kuat sebuah parti politik di negara ini. Dikatakan Korea Utara dapat mewujudkan pusat penjualan senjata mereka di sebuah bangunan di- Little India, Kuala Lumpur.
5. Perdana Menteri seharusnya memberikan penjelasan tentang keterlibatan penjualan senjata dari Korea Utara oleh "Global Communications Company (Golcom)" yang kemudiannya menukar identiti kepada "International Golden Services (IGS)." Di bawah dagu dan hidung pentadbiran Perdana Menteri mana mungkin Najib boleh menafikan bahawa Malaysia telah menjadi destinasi penjualan senjata haram oleh negara Korea Utara yang bertentangan dengan "United Nation Arms Embargo." Ini sudah membawa masalah dan reputasi Malaysia di mata badan dunia tersebut.
6. Dalam ertikata lain, kita sendiri yang membuka ruang untuk orang memasang jebak atau perangkap yang hari ini rakyat dan pegawai kita di Pyongyang yang menjadi taruhan. Rakyat pula diminta bersembahyang hajat untuk menutup segalanya?
"AmanahDemiNegara"
SALAHUDDIN HAJI AYUBTimbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
12 Mac 2017. [wm.kl. 6:20 pm 12/03/17]
No comments:
Post a Comment