Sunday, March 19, 2017

Dia ditolak jadi pemegang legasi ayahnya

ULASAN 

Inikah ahli parlimen P Mas?
Apabila ahli parlimen (Apar) Pasir Mas kalah dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Yang diPertua Pas Pengkalan Chepa, ramai yang teruja dengan memberi ulasan negatif atas kekalahan itu. Berbagai-bagai terjemahan dan tafsiran dibuat atas kekecundangan itu. Ada yang memberi gambaran Apar itu ditolak di kampungnya sendiri.

Ada juga yang menyifatkan kekalahan itu, ahli-ahli Pas di Pengkalan Chepa tidak mudah tersihir dengan salasilah ahli parlimen itu dari keturunan tokoh spiritual Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dia adalah satu-satu anak Nik Aziz yang begitu ghairah bermain politik dan ghairah pula untuk mengambil tempat ayahnya dalam persada politik seakan-akan mahu mengikuti jejak langkah ayahnya.

Apabila dilihat bakatnya dalam siasah menampakkan ianya tidak secemerlang ayahnya, menyebabkan ada yang bercanda imam tidak dapat diwarisi daripada seorang ayah yang beriman dan bertakwa.

Yang lain mengejek kekalahan itu bahawa taraf keulamaan ahli parlimen itu masih belum cukup masak dan mantap sebab itu dia kalah. Ini semua dinilai dari kedudukannya sebagai salah seorang ahli Majlis Syura Ulama, merupakan ahli majlis badan tertinggi dalam hirearki Pas yang tidak sepatutnya dimalukan demikian rupa.

Kemenangan lawannya, Dr Izani Husin pula digambarkan bahawa Pas masih memerlukan profesional dan sedia menolak golongan yang mengecap dirinya sebagai ulama semacamnya. Zahiriahnya dia kelihatan lebih waruk dari Izani.

Apakah ahli-ahli Pas Pengkalan Chepa khususnya sudah memahami kelemahan dan kekurangan parti itu tanpa ahli profesional parti itu menghadapi masalah dan tidak boleh bergantung harap kepada golongan ustaz seperti species ahli parlimen Pasir Mas itu?
 
Saya tidak bercadang untuk membuat sorotan kekalahan ahli parlimen itu sejenis dengan ulasan yang bertaburan di media sosial, mengejek kekalahan Apar itu dan memperli secukup-cukupnya. Bagi saya kekalahan Apar itu sebahagian daripada cabaran peribadinya untuk merangkak lebih jauh lagi dalam politik. Kekalahan itu juga menjadi dia mulai tahu tinggi rendah langit. Mungkin ini tidak disedari kebanyakan para penconting media sosial.

Orang boleh persenda tetapi jangan terlepas pandang apa yang sedang diatur dan dirancang olehnya. Lihat apa yang ada dalam kilasnya jangan lihat apa yang tertempel di kopiahnya.

Mengenai ahli parlimen ini, tidak perlu kekalahannya itu disorak dan diraikan. Sebalik apa yang perlu dikaji kenapa beliau mencabar Dr Izani untuk jawatan itu? Ini persoalan yang perlu ditanya dan dikaji. Dan menjawab persoalan ini baharu dikatakan bisa berpolitik. Bagi saya dia tidak sahaja-sahaja bermain dengan pertandingan itu melainkan ada tolakan nafsu besar di belakangnya. Ada motif tersirat.

Ahli parlimen itu, sejak pergaulanya lebih luas dan merasai enak hidup dengan mendapat segala kemudahan (prioriti), dapat naik jet peribadi untuk meninjau kawasan hutan (balak) dan pernah bercita-cita untuk ke Kutub Utara, tentu dia ada gagasan lebih jauh dalam politiknya. Makanya pertandingan itu adalah percubaan untuk dia mencapai cita-citanya. Dia bukan tentu terhenti dan berpuas hati setakat menjadi ahli parlimen sahaja. Tidak salah baginya mencuba dan kekalahan bukan sesuatu yang perlu disendu sendankan.

Apakah usaha sebagai penerus legasi ayahnya atau tidak, itu persoalan lain?

 Memerhati pergerakan mata angin politiknya wajar dia merebut jawatan itu demi menempatkan dirinya dalam suatu posisi dalam Pas kawasan Pengkalan Chepa. Cuma apa mengejutkan dan mungkin tidak pernah hadir dalam tidurnya sebagai mimpi, akan kalah dengan begitu besar. Beliau hanya mendapat 15 % daripada jumlah perwakilan yang mengundi, (246) mendapat 39 undi berbanding lawan 209. Ini sesuatu yang mengejutkan. Kalau bertanding dalam pilihan raya jumlah undi itu cukup untuk menghilangkan deposit.

Kerana itulah orang gelak kepada kekalahannya. Sebagai seorang Ketua Pemuda Pas Malaysia, ahli jawatan kuasa MSU, dikatakan broker projek  ta'awun Pas - Umno dan ahli Parlimen boleh kalah begitu sahaja. Mungkin kedudukan sebagai ahli parlimen bukan perbandingan kerana orang yang dilawannya, Dr Izani juga adalah setaraf dengannya.

Nik Omar dikatakan lebih memiliki saksiah Tokguru.
Beberapa kesimpulan dapat dibuat ekoran kekalahan itu. Antaranya, apakah dia terlindung dengan kehebatan abangnya, Nik Omar Nik Aziz tokoh yang dilihat lebih akurat sebagai mewarisi sifat dan fiil politik Nik Aziz. Nik Omar seorang berlemah lembut dan tidak ghairah dan memasang cita-cita besar dalam politik. Bererti dalam Pas Pengkalan Chepa, mereka lebih enak menerima Nik Omar bukan adiknya itu. Politik naungan ketiak bunda tidak menjanjikan masa depan.

Kekalahan itu juga terjemahan bahawa Pas tidak meyenangi cara ahli parlimen Pasir Mas itu berpolitik. Kenyataan-kenyataan politik yang dikeluarnya yang tidak menunjukkan kualiti dan cetek ditolak. Banyak kenyataan dibuatnya menggambarkan kecetakan dia berpolitik dan mantik politiknya juga sangat jauh dari kehebatan mantik politik ayahnya.

Demikian penampilan di dalam parlimen, yang banyak diam dari bersuara sedikit sebanyak membolehkan orang menilai sejauh mana keupayaanya. Orang akan bertanya setiap kali parlimen bersidang apakah cadangan dan persoalan yang dibawanya. Dengan hanya mengeluarkan sindiran dan menyinis orang dalam kuliyyah agama tidak mencukupi untuk digelar sebagai ahli politik berjaya.

Saya menurunkan dua contoh sahaja untuk menunjukkan kecetakan nilai politiknya. Pertama solusinya untuk menyelesaikan masalah kesesakan di jalan raya pada musim Raya di Kelantan, beliau suruh pemandu banyak berdoa dan membaca Quran. Kedua mengatakan gejala rasuah yang diwarisi Najib Razak hari ini adalah pesaka dari Dr Mahathir. Kedua kenyataan itu cukup menggambarkan tinggi rendah otak politik ahli parlimen itu. Berdoa kepada Tuhan bukan solusi secara pratikal. Ini pun beliau tidak faham.Darjah dan method pemikirannya sangat dangkal.

Bila mengenangkan ini, saya teringat perbualan saya dengan Dr Izani Husin suatu masa dulu. Kata Dr Izani, "anak Tokguru itu tidak tahu apa-apa pun dalam politik, ama (saya)lah yang duk buat atau ajarnya selama ini". Kata-kata Dr Izani itu secara tidak langsung ahli parlimen itu masih benak dan jahil dengan politik. Berpandukan itu maka tidak patut kalau dia cuba hendak singkir Dr Izani yang menjadi guru politiknya dan perbuatan itu dianggap melawan taukeh. Perbuatan melawan taukeh dalam adat Melayu sesuatu perbuatan yang keji dan derhaka.

Jadi apabila dia melawan, apakah dia melupai jasa-jasa dan pertolongan Izani dalam membentuk dia sebagai seorang ahli politik? Sepatut beliau tidak melawan Dr Izani. Alang-alang untuk kalah besar patut dia melawan Yang Di Pertuanya sendiri Mohd Amar Nik Abdullah. Berbaloi kalau kalah dengan TMB. Seperti mana kalau kita jatuh kerana ditebok (tanduk) haiwan, lebih baik ditanduk babi daripada ditanduk kucing.

Persoalannya kenapa dia mencuba juga? Sebenarnya dia terdesak. Dia mahu mencuri satu posisi dalam Pas Pengkalan Chepa. Dia sudah insaf di Pasir Mas itu adalah sementara sahaja, bak dia menumpang di daerah orang. Di Pasir Mas dia hanya dagang lalu semata-mata yang boleh dihalau bila-bila masa oleh penduduk Pasir Mas. Apar itu tahu akan kedudukannya di situ umpama embun di hujung rumput sahaja.

Selama ayahnya masih ada orang Pasir Mas akan malu mata untuk mengusik dan menegurnya. Tetapi bila si ayah sudah tidak ada, orang tidak mengenang apa-apa lagi, bukan sahaja malu untuk menegur, menyekeh kepalanya pun orang akan berani. Itu adalah fitrah politik. Apa lagi dia tidak berjaya menunjukkan gerak kerja bagus dan mengadakan hubungan baik dengan masyarakat Pasir Mas. Prestasinya sebagai wakil rakyat sering dipertikaikan.

Kalau setakat memaparkna potret di tiang-tiang lampu di Pasir Mas dan membersihkan tahi kucing di pasar baharu Pasir Mas setahun sekali, ia tidak memandai. Kesan kehamisan tahi kucing itu masih menyucup ke dalam lubang hidung orang ramai.

Atas faktor dan realiti itu maka dia harus kembali ke kampungnya sambil berharap dia dapat mewarisi lambang politik si ayah. Maka dia kena mencari tempat di Pengkalan Chepa. Pertandingan itu bukan sahaja setakat mahu mendapat ruang di kampung halaman sendiri, tetapi ia juga bertolak dari agnda yang besar yang mungkin tidak dapat diduga oleh ramai orang. Tindakan itu adalah untuk membina masa depan lebih menyakinkan. Ahli parlimen itu bernafsu sebenarnya.

Dia sudah membaca apa yang berlaku dalam Piraum akan datang. Kedudukannya di Parlimen Pasir Mas tidak berapa mendamaikannya lagi. Sudah ada orang mengintai kerusi berkenaan. Jadi sebelum apa-apa persiapan perlu dibuat dengan mencuri tempat di Pengkalan Chepa menerusi percubaan yang sengit itu. Kata orang sebelum hujan turun sediakan payung, sebelum bah besar menerpa siapkan sampan.

Kenapa dia bertanding merebut tempat disandang oleh Dr Izani? Dr Izani adalah ahli parlimen Pengkalan Chepa, kerusi yang menjadi lagenda ayahnya sejak berpuluh tahun. Apabila menentang Dr Izani ada maksud bahawa beliau ingin bernaung di situ. Ada maksud juga kenapa dia berhajat dengan kerusi Pengkalan Chepa. Saya pernah melukiskan peta perjalanan politiknya suatu masa dulu, di mana ia boleh bergerak mengikut "situs" yang dicetak oleh ayahnya jika kena cara dan diizinkan.

Ayahanya sebelum jadi MB, jadi ahli parlimen Pengkalan Chepa beberapa penggal. Kemudian turun ke kerusi Dun dan menjadi MB. Beliau mungkin ada menyimpan cita-cita demikian atau berasa logik dengan pelan yang pernah saya lukiskan dulu. Namun untuk mencapai maksud itu bukan semudah itu. Apa lagi dalam pemikiran dan pendekatan politiknya jauh berbeza dengan ayahnya. Yang jelas ayahnya sangat berhati-hati dengan Umno tetapi beliau sangat mempercayai Umno. Suatu kontradik yang besar.

Secara peribadi saya melihat ahli parlimen ini berbeza segala-gala selepas menjadi wakil rakyat dengan sebelum memegang jawatan itu. 

Kenapa beliau tidak terus mengidamkan kerusi Chempaka? Walhal dia sudah pun menjadi ahli parlimen, di mana sebahagian sirah ayahnya sudah dilalui? Mungkin dia juga bermaksud untuk bertanding di Chempaka, merasai kehangatan punggung ayahnya di kerusi itu dalam DUN Kelantan. Tetapi itu juga bukan mudah. Maka dia perlu mendapat tempat dahulu dalam Pas Pengkalan Chepa. Tanpa mendapat tempat, sukar untuk dia mengarahkan dirinya bertanding di situ nanti.

Semasa kerusi Chempaka itu kosong ekoran kematian ayahnya, sudah ada desas desus dan asakan kecil agar beliau diturunkan di situ. Namun asakan itu tidak dipedulikan. Dia sudah kalah dalam percaturan awalnya. Menyedari bahawa tidak ada siapa mempedulikan kehendaknya, itulah maka beliau sedia melakukan "hara kiri" dengan mencabar Dr Izani.

Apa yang kita nampak semua usaha dilakukan ahli parlimen itu demi mengejar cita-cita lebih besar. Ada dua cita-cita besarnya, selain untuk menjejaki langkah politik ayahnya, mencapai dikedudukan sebagai MB, ialah untuk mempersatukan Pas dengan Umno. Kerusi MB adalah penting untuk mencapai matlamat itu. Cita-cita untuk itu adalah gagasannya sehingga ia sanggup memuji politik anjuran Dr Haron Din berbanding politik ala bapaknya sendiri.

Beliau mungkin membuat perhitungan, apabila menang kerusi Timbalan YDP Pas, beliau akan melonjak pula ke kerusi Yang Dipertua. Tuntutan utama beliau nanti tentulah kerusi Chempaka. Apabila menang di situ maka bolehlah beliau memasang angan dan mimpi untuk menjawat MB seperti mana beliau memasang mimpi untuk ke Khutub Utara.

Tampaknya, usaha itu kini terberai. Cakar harimau yang dimilikinya tidak berbisa. Beliau kalah dan kekalahan itu memberi masa depan yang gelap kepadanya. Paling buruk sekali kekalahan itu menyebabkan dunia melihat kehebatannya sebagai anak kepada orang hebat tidak ke mana-mana. Kekalahan Apar Pasir Mas itu menunjukkan beliau tidak dihingin untuk menjadi pemegang legasi Nik Abdul Aziz Nik Mat sang tokoh sukaramai itu. Persepsi itulah yang sangat-sangat memalukannya. [wm.kl.10:41 am 19/03/17]

16 comments:

Unknown said...

Itu pun kalau kemaluan dia masih ada, rasanya dah di sentap mappudulung. Inilah akibatnya tak nak baca sejarah ayah, lebih minat dengan "Hikayat Lebai Malang".

Mali Bin Muyung said...

Syukur alhamdulillah. Ada masa untuk cerminkan diri.

Hafizuddin said...

Moga ada rahmat yg tetsirat...

Nur Haikal Levine said...

Kena tempias umno

beejay said...

Allah tidak membenarkan dia utk terus tolol dlm politik

Unknown said...

Secebis rasa malu patut ada dlm diri beliau dgn kekalahan tersebut sebab org kg sendiri pun tak nak.. ada betulnya juga dulu diterima di pasir mas sebab mengenangkan jasa dan rasa hormat masyarakat kepada ayahnya sahaja..

ct.eilaiza said...

Kan dia prnh kata 'baik kena tipu berkali2 dari menipu berkali2'. Kata2 hikmat apar pasir mas. Politik x pok. Btul kata tn mso, apar ni masih mentah dlm percaturan politik.

Pak Zawi said...

Dia tidak mendengar nasihat ayahnya supaya menjauhi UMNO.

Unknown said...

Wajib beliau muhasabah dirinya dengan kekalahan ini,,ubah sikap dan perangai jangan jadi jahil dalam beragama dan berpolitik dan jangan sombong sesama manusia.......!!

Unknown said...

Sayang 3700 ratus kali sayang.....
Budak baik.. diasuh berpolitik tapi pijak kepala.....
Darah panas... cepat sangat termakan umpan sang haloba......

Lan said...

Liabiliti pada PAS d masa akan datang

Unknown said...

Mungkin juga matlamat nya bertanding di situ ialah utk menyahkan golongan professional?

matakanan said...

percubaan menarik yang di lakukan oleh ulama pas... ini ujian kepada akar umbi pas..dek kerana ulama itu berat pada umno beliau di tolok..dan pada derhaka pada guru politik..niat tak kesampaian untuk menyahkan golongan profesional.

Unknown said...

Sapo ni abduh..? Ambo x kenal...
Abe mat sabu ambo kenal...

Unknown said...

Memang betul tu liabiti buat masa depan

KUBU BESAR PALO said...

Malang buat pejuang yang tidak matang berjuang mulut bibir yang membawa malang olih itu belajar sejauh mungkin untuk meraih hati hati penguins