Monday, March 9, 2020

PH perlu salin pemimpin dan ubah budaya berpolitik

PENDAPAT

Antara pemimpin lama dalam PH.
HARI ini ada dua peristiwa yang dinanti-nantikan, pengumuman barisan kabinet oleh Muhyiddin Yassin dan himpunan Pakatan Harapan (PH) pada sebelah malamnya. Kedua peristiwa ini sedang ditunggu penuh minat dan sedikit suspense. 

Melalui posting ini saya tidak mahu lagi mengulas dan membuat spekulasi mengenai kabinet Muhyiddin. Biarlah siapa yang beliau nak namakan sebagai TPM dan menteri-menteri, itu adalah haknya secara mutlak. Apabila beliau sudah selesai menyusun kabinetnya, terbaik buat semua terima dan menilai di sepanjang kabinet itu bekerja nanti.


Adapun himpunan PH malam ini ia agak penting, kerana inilah himpunan melibatkan seluruh pemimpin termasuk para wakil rakyat oposisi yang pertama selepas kerajaan PH hilang seminggu lalu. Tentu ada sesuatu diharapkan kepada himpunan malam ini walaupun ia bukan ajaib.
Rakyat yang berada di sebelah PH dan belum puas menikmati apa-apa yang dibawa oleh kerajaan PH, mereka amat kecewa dengan tragedi yang berlaku. Mereka berasa mandat yang mereka berikan seakan disia-siakan dan tentu berharap kerajaan yang hilang itu dikembalikan semula secepat mungkin. Salah satu cara untuk mengembalikan semula kerajaan itu selepas pintu Istana tertutup, ialah undi di parlimen.

Hak mereka juga untuk melakukan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin itu. Dengan jumlah angka yang didakwa itu, ia boleh dilakukan dan mencapai matlamatnya. Banyak teknik dan peluang untuk melakukan undi tidak percaya kepada Muhyiddin di parlimen.

Soalnya apakah 112 ahli parlimen yang didakwa membuat pengakuan bersumpah (SD) menyokong PH itu akan konsisten dan benar? Selalu kita didendangkan dengan angka-angka yang kononnya cukup, dan mampu bagi mengadakan undi tidak percaya, tetapi selalunya ia berakhir dengan kegagalan dan kekecewaan, menjadikan apa didendangkan itu lagu palsu. Hal ini sudah kerap kali berlaku sebelum ini menyebabkan orang ramai serik.

Wakil rakyat bukan plastik atau pun pokok kayu kering, mereka benda (makhluk) hidup dan bersifat dinamik. Mereka tidak istiqamah dengan pegangan dan pandangan mereka. Pendirian mereka berubah-ubah ikut keadaan dan keperluan batin mereka. Mereka naif dengan prinsip. Lagi pun sudah jadi sifat orang politik mereka seperti chameleon.

Atas sifat itu maka harapan untuk menggugurkan Muhyiddin di parlimen menerusi undi tidak percaya, bagi saya kurang menyakinkan akan kejayaannya. Selepas ini, sehingga tiba sidang parlimen Mei nanti beliau akan mendapat sokongan melebihi daripada cukup. Sebagai PM yang tidak cukup nombor (PMTCN) beliau akan berikhtiar dengan apa cara pun untuk mencukup nombor dan mempertahankan kedudukannya. Beliau akan jadi Perdana Menteri cukup nombor selepas ini.

Perubahan.

Berbalik kepada apa yang hendak saya kuliyyahkah di sini, PH dan semua orang kena berikan peluang kepada Muhyiddin. Apapun dan siapa pun yang jadi PM, menteri yang kita harap mereka dapat membela rakyat dan membangun negara. Begitu juga Muhyiddin dan para menterinya. Soal mereka khianat itu bab itu lain, ia dihalalkan dalam politik Barat yang kita amalkan. Masakan mereka tidak memiliki secebis pun tanggungjawab kepada negara?

Kalau Muhyiddin dan barisan kabinetnya mampu, nah serahkan kepada mereka. Berilah peluang untuk mereka melakukan sesuatu, sekurang-kurangnya membaiki dan membetulkan apa yang mereka nampak pincang selama ini. Dakwaan dan persepsi yang mereka taburkan kononnya kerajaan PH sebelum ini bukan kerajaan Islam dan menindas Melayu, kerajaan tunggangan DAP harus mereka buktikan dengan menyelamatkan Melayu dan Islam itu. Kita mahu tengok apakah usaha dan juga pembelaan mereka kelak. Kita mahu tengok apakah perubahan dan perbezaan kerajaan baru itu dengan kerajaan 22 bulan lalu.

Misalnya kita mahu tengok apakah akan digubal undang-undang bernuansa kepada Islam. Apakah Hukum Hudud yang diimpikan oleh Pas selama ini akan dilaksanakan, sekurang-kurangnya akan ada pindaan undang-undang ke arah mewujudkan kanun berkenaan kalau pun bukan dilaksanakan lagi. Apakah segala macam kegiatan maksiat dan subahat baik dalam pendidikan, ekonomi, perdagangan dan sebagainya akan dihapuskan. Bagi permulaan saya tidak mahu tengok kilang Carlsberg di Shah Alam ditutup, tetapi mahu tengok apakah pakaian Pramugari yang nampak paha itu akan ditutup.

Selagi beliau (kerajaan) tidak melakukan perkara jelek, dan bertentangan dengan budaya bangsa dan rukun-rukun agama, biarkan beliau buat apa yang dicita-citakan dan dijanjikan itu.

Sebaliknya apa yang PH kena lakukan kini, selain menjadi penegur konstraktif kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin itu, mereka kena melakukan anjakan, merubah dan memberi nafas baru kepada senario politik masa depan. Kita memerlukan spektrum baru dalam politik di negara ini tidak kekal dengan keadaan kini. Yang saya maksudkan, PH perlu membina naratif politik baru.

Salah satu perubahan segera dibuat ialah merubah bentuk dan menukar pemimpin. PH tidak boleh terus berharap dan menumpang keramat dan tuah pemimpin pemimpin yang ada kini. Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu, Govind Singh Deo, dan mereka sewaktu dengannya, eloklah berundur.

Mereka tidak perlu terus menjadi pokok bunut berhantu dalam PH yang orang tidak pernah pun takut kepada mereka. Mereka jangan berada di hadapan lagi, tetapi sudah layak berada di belakang pentas. Kalau boleh berambuskan mereka sekiranya mereka masih enggan mahu berihat.

PH perlu membuat naratif baru, mengemukakan anak-anak muda berkaliber untuk mengemudikan politik PH. Semua anak-anak muda yang dikenali mempunyai bakat dan keterampilan perlu bersatu dan bergabung tenaga dan idea untuk menggerakkan PH. Mereka tidak perlu lagi berharap kepada tokoh-tokoh lama yang politiknya sudah usang dan klise.

Sebaik-baiknya pemimpin yang berusia 70 tahun ke atas berihatlah. Mereka yang muda, berusia di bawah 55 perlu berada di hadapan. Barisan pemimpin muda ini perlu membawa cara berpolitik sesuai dengan zamannya dan era akan datang. Dengan pengetahuan dan kepakaran mereka ada serta kemunculan pelbagai vehicle baru, cara mereka berpolitik juga tidak lagi klise seperti hari ini. Mereka boleh membentangkan teknik dan idea baru untuk politik negara.

Yang paling penting kenapa mereka diperlukan, kita mahu tengok perubahan variasi politik kita kerana mereka adalah generasi pasca Merdeka yang mempunyai sikap dan pemikiran berbeza dengan pemimpin tua yang ada hari ini yang begitu jumud dengan idealisme kebangsaan, kepuakan dan juga berpolitik tanpa ada etika yang mana mereka sudah jauh terpesong dalam membawa amalan politik kita.

Perubahan ini boleh dimulakan sekarang ini. Dan pemimpin-pemimpin "pokok bunut keramat" hendaklah memberi sokongan dan kepercayaan mereka. Mereka hanya layak jadi penasihat sahaja. Jika ini dapat dilakukan kita akan mempunyai pemain politik baru yang lebih kompeten. Ia juga berlainan kerana mereka, pemimpin muda adalah rakyat Malaysia yang lebih terbuka, rasional dalam berfikir dan juga akan memberi tafsiran baru kepada politik nusa bangsa. Trims. [wm.kl.11:03 am 09/03/2020]

No comments: