Thursday, March 5, 2020

Siapa piliihan Muhyiddin untuk jadi TPM?

SPEKULASI

BANYAK pihak kini menaruh kebimbangan kepada Muhyiddin Yassin sejauh manakah ahli Parlimen Pagoh itu dapat mempertahankan kerajaan "Pakatan Nasional" (PN) yang ditubuh seminggu lalu secara pintu belakang itu.

Masing-masing meletakkan kebimbangan kerajaan PN tidak akan bertahan lama dengan perbezaan sokongan hanya dua atau tiga kerusi. Apa lagi katanya ada kekeliruan mengenai jumlah angka yang diperolehi Muhyiddin dan diperakui oleh Yang diPertuan Agong itu.

Pandangan dan wujud kesangsian itu bukan sahaja daripada oposisi yang cemburu kepadanya, tetapi dari dalaman sendiri. Sesungguhnya kerajaan pimpinan Muhyiddin itu dalam keadaan tidak menentu. Kerajaan itu bagaikan telur di hujung tanduk.

Misalnya Setiausaha Agung Umno Annuar Musa memberi peringatan kalau tidak kena gaya, kerajaan boleh jatuh lebih awal daripada kerajaan PH. Tidak pasti kenapa Annuar berkata demikian, tetapi sebagai orang dalaman beliau tentu tahu masalah yang bakal atau sedang dihadapi Muhyiddin. Tahu apakah pergolakan yang berlaku dalam gabungan digelar pengkhianat itu.

Kebimbangan kepada kerajaan itu juga dilontarkan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad. Beliau memberi 10 langkah perlu diatasi dan dielakkan Muhyiddin sekiranya mahu kerajaan baru itu kekal. Jika 10 perkara itu tidak dilaksana atau gagal dilaksanakan, menyebabkan kerajaan baru itu akan kalah di parlimen bila diadakan undi tidak percaya.

10 perkara itu adalah:

1. Perikatan Nasional tidak akan mengulangi kesilapan UMNO dan PH.

2. Perikatan Nasional tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

3. Perikatan Nasional tidak akan melantik ahli Parlimen yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

4. Kerajaan Perikatan Nasional akan melantik seorang pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berpengalaman dalam pendakwaan dan undang-undang, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Peguam Negara/Pendakwa Raya.

5. Kerajaan Perikatan Nasional akan melantik seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berpengalaman, berdedikasi dan berintegriti untuk menjadi Ketua Pesuruhjayanya.

6. Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi Peguam Negara/Pendakwa Raya dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.

7. Kerajaan Perikatan Nasional juga sekali-kali tidak akan mempengaruhi atau menekan Pendakwa Raya supaya menghentikan pendakwaan atau menarik balik pertuduhan terhadap ahli Kabinet, ahli Parlimen atau penyokongnya.

8. Kerajaan Perikatan Nasional juga sekali-kali tidak akan campur tangan atau cuba mempengaruhi mahkamah dalam menjalankan tugas kehakimannya.

9. Kerajaan Perikatan Nasional tidak akan meminta pengampunan ke atas sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh mahkamah terhadap ahli Kabinet, ahli Parlimen atau penyokongnya. Tetapi hak mereka berbuat demikian tidak dihalang.

10.Kerajaan Perikatan Nasional akan menumpukan perhatian sepenuhnya untuk memperbaiki ekonomi negara, taraf kehidupan rakyat dan pentadbiran negara.

Walaupun 10 langkah tersebut tepat, tetapi ia sesuatu sukar dilaksanakan. Ada munasabahnya dan kemungkinan kalau gagal dilaksanakan kerajaan pimpinan Muhyiddin akan jadi kerajaan paling singkat dibentuk tumbang dalam masa singkat.

Persoalan dan kemelut awal dihadapi Muhyiddin apabila sampai kini beliau gagal menamakan ahli Parlimen yang akan menjadi timbalannya. Kabinetnya juga masih lagi belum dibentuk. Pembentukan kabinet ini boleh dilakukan apabila sudah ada calon TPM.  Muhyiddin dilihat berdilema dengan perkara ini. 

Wujud beberapa nama akan dilantik sebagai perdana menteri. Nama-nama itu mewakili kumpulan dan puak tertentu di mana jika diperhatikan tidak ada satu pun nama atau calon yang mendapat sokongan padu kesemua gabungan digelar pengkhianat itu.

Beliau mungkin mengambil masa untuk memilih orang paling sesuai. Tetapi beliau tidak boleh terlalu lengah, seperti mana kata Yang diPertuan Agong, pelantikan beliau sebagai PM tidak boleh dilengahkan maka begitu juga dengan pembentukan kabinet, Muhyiddin tidak boleh lengahkan.

Mengenai siapa dia akan dilantik sebagai TPM, ada beberapa nama disebut-sebut. Antaranya Zahid Hamid. Desakan agar Zahid dikembalikan ke jawatan semasa kerajaan UBN dahulu sangat kuat oleh kumpulan Umno. Atas alasan Umno mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan "khianat" itu, maka Zahid adalah layak menyandang jawatan itu.

Selain Zahid, Hishammudin Hussein juga turut sama dihulur Umno.  Hishammuddin dikira layak kerana ahli parlimen Sembrong ini merupakan arkitek bersama Azmin untuk meruntuhkan kerajaan PH. Tanpa kerjasama Hishammuddin dengan Azmin mungkin kerajaan PH tidak tumbang. 

Jelas apabila Umno mencadangkan dua nama, dalam Umno sendiri tidak sekata dan berbalah. Pihak yang mahukan Zahid adalah Umno original, sementara pihak yang mahukan Hishamuddin, daripada Umno tidak original, yang didukung oleh ahli-ahli parlimen yang melompat meninggalkan Umno. Mereka yang telah meninggalkan Umno untuk bermuafakat dengan Bersatu. Yang mahukan Zahid menuduh dan mempersoal ke mana Hishammuddin 22 bulan lampau?

Selain daripada Umno, mereka bersekutu dengan Muhyiddin untuk melakukan pengkhianatan juga dipanggang untuk jadi PM, iaitu Azmin Ali. Azmin yang sanggup dan tergamak gagalkan hasrat Anwar untuk jadi PM ke 8, juga bercita-cita untuk jadi timbalan perdana menteri. Bahkan kenapa beliau sampai tergamak menikam bossnya sendiri kerana bernafsu kuda untuk mengejar jawatan itu.

Azmin mengidam dan mengimpikan jawatan itu lebih awal lagi. Semasa beliau masih dalam PKR lagi beliau sudah menjual dirinya sebagai TPM. Azmin menjaja cerita yang beliau akan mengangkat sumpah sebagai TPM menggantikan Dr Wan Azizah selepas Idulfitri tahun lepas lagi. Tetapi Allah tidak mengizinkan. Video lucah Haziq mengganggu impiannya itu.

Selain Azmin, ada satu lagi nama yang berpotensi untuk dilantik jadi PM, ialah Abdul HAdi Awang. Walaupun Hadi Awang beberapa kali memberi tahu dia tidak berminat, jawatan bukan sesuatu yang dikejarnya, tetapi selepas Pas berjaya merampas kuasa bersama Umno dan Bersatu nada Hadi sudah berlainan.

Beliau mencadangkan agar Muhyiddin melantik orang berintegriti. Apabila beliau memberi cadangan sebegitu secara diam-diam beliau mahu menunjukkan dirinya sebagai orang berintegriti? Tampaknya Hadi tidak sedia untuk sokong Zahid yang berhadapan dengan lebih 80 pertuduhan di mahkamah dan sedang dibicarakan.  

Selain Hadi, ada satu nama baru yang disebut boleh dipertimbangkan untuk jadi TPM, yakni ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Razaleigh cuba diapungkan untuk jadi TPM senilai dengan Hadi. Mereka berdua boleh jadi TPM alternatif. Sekiranya soal integriti diambil kira secara jujur, Tengku Razaleigh lebih layak dan sesuai berbanding dengan Zahid waima Hishammuddin.

Untuk mengambil kira Tengku Razaleigh sebagai calon juga logik kerana dia waktu ini penasihat diraja  Umno. Pengalaman dan kesetiaan kepada perjuangan bangsa turut boleh diberi markah untuk Razaleigh jadi TPM. Saya yakin kalau ditawar beliau sedia untuk berada di bawah Muhyiddin dengan tujuan untuk menenang dan menyelamatkan keadaan.

Menghitung keadaan ini sekiranya PM ke 8 itu pening kepala untuk memilih TPM, beliau boleh pendekkan senarai dengan meletakkan Razaleigh dan Hadi sahaja. Kedudukan Razaleigh ini boleh menjadi calon alternatif bagi mengelakkan perbalahan.  Saya kira ketua-ketua parti dalam gabungan itu dapat menerima Tengku Razaleigh. Lagi pun Abdul Hadi dan Pas sebelum ini menamakan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri. 

Kesimpulannya kini,  ada enam orang ditawarkan untuk jadi TPM. Ahmad Zahid, Hishammuddin, Azmin Ali, Abdul Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Shafei Afdal. Siapakah antara nama-nama ini akan dipilih masih jadi tanda tanya. Atau selepas ini ada pula calon baru? Barangkali Muhyiddin sedang merenung ke dalam mangkuk sakti peninggalan Nujum Pak Belakang untuk melihat wajah dan rupa siapa akan menjelma dalam mangkuk itu. 

Cuma apa yang kita harapkan semoga Muhyiddin tidak tersalah buat pilihan, jangan kerana terlalu memilih hendak pilih tebu terpilih teberau. Nyanya Din.  [wm.kl. 12:36 pm 05/03/2020]

No comments: