Friday, November 16, 2007

Berita Semasa

Razaleigh Anggap Himpunan 100,000 Wajar dan Munasabah.

MSO

TENGKU RAZALEIGH Hamzah menganggap tindakan 26 badan-badan NGO dan parti politik yang bergabung dalam Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan himpunan 100,000 rakyat, 10 November lalu sebagai satu tindakan wajar, munasabah dan mengikuti prosedur yang dibenarkan.

Menurut ahli Parlimen Gua Musang itu, kerajaan harus sedar kenapa rakyat berarak ke istana ialah kerana semua jalan atau saluran bagi rakyat mengemukakan bantahan terhadap perjalanan pilihan raya di negara ini didakwa tidak adil telah ditutupdan Perdana Menteri sendiri tidak mahu melayani permintaan dan desakan mereka.

Dalam pertemuan dengannya, Rabu lalu, beliau berkata penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong itu amalan yang diterima pakai dan pernah digunakan Umno sebelum ini dan bukan sesuatu yang ganjil.

Katanya, pada tahun 1946 Umno sendiri mengepalai perarakan mendesak Istana supaya tidak menerima gagasan Malayan Union yang hendak ditubuhkan.

"Jadi adalah tidak hairan dan mengejutkan kalau saluran sama digunakan rakyat pada 10 November lalu kerana ia pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu juga kesal dengan tindakan dan keengganan kerajaan untuk memberikan permit kepada himpunan berkenaan. "Kenapa takut hendak berikan permit, walhal perlembagaan memberi jaminan kepada mereka untuk berhimpun," ujarnya.

Tambahnya sepatutnya pihak polis dan kerajaan menyedari dalam gabungan Bersih itu terdapat juga pertubuhan dan badan-badan yang didaftarkan atau sah di mana mereka berhak untuk mengadakan perhimpunan.

Ditanya apakah hasrat rakyat untuk memulih dan membersih pilihan raya di negara ini seperti mana terkandung dalam memorandum itu yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu, kata Tengku Razaleigh ia terserah kepada sultan atau raja.

Apa yang harus difaham katanya, raja-raja tidak mempunyai kuasa eksekutif seperti mana dimiliki perdana menteri, namun raja boleh serahkan perkara itu kepada perdana menteri.

"Sebagai raja yang berjiwa rakyat, saya percaya Yang di-Pertuan Agong akan menimbang memorandum berkenaan lagi pun ianya adalah untuk kebaikan bersama," tekannya penuh harapan.

Mengenai tuduhan Perdana Menteri ke atas pembangkang mengadakan himpunan itu sebagai usaha hendak mengheret raja-raja ke kancah politik, Tengku Razaleigh dengan tegas menolak tanggapan itu dengan mengatakan, saya tidak berfikir begitu.

"Saya tidak nampak himpunan itu hendak membabitkan raja. Apa yang berlaku mereka hanya menyerahkan memorandum itu kepada Sultan, itu saja. Lagipun itu (saluran) dibenarkan oleh perlembagaan negara,"

"Raja sebagai payung rakyat seharusnya menjadi tempat rakyat tumpang berteduh dan berlindung serta mengharapkan apa-apa pembelaan daripada baginda raja," sambungnya lagi.

Dalam pada itu Tengku Razaleigh juga menyifatkan himpunan 10 November lalu yang bertemakan warna kuning itu sebagai berjaya dan sewajarnya pihak kerajaan termasuk PM mengambil perhatian berat mengenainya.

"Eloklah Perdana Menteri meneliti tuntutan berkenaan sebaik-baiknya," katanya. [wm.kl. 11:30 pm 16/11/07]

No comments: