Tuesday, November 6, 2007

Ulasan Semasa

Retorik Seorang Pemimpin
Najib Menjaja Pemikiran Sebagai PM

MSO

APAKAH bangsa Melayu sebagai bangsa yang kuat berkhayal atau berangan-angan? Atau bangsa Melayu suka memikir sesuatu yang jauh diluar minda dan persekitaran hidupnya dan menyepak jauh apa yang sudah ada di kaki? Atau bangsa Melayu suatu bangsa yang suka mengejar sesuatu sehingga menyicirkan sesuatu yang sedang dikendung!

Mungkin iya, kerana banyak watak-watak mitos dalam Melayu seperti Pak Pandir, Mat Jenin, Pak Kadok ataupun Lebai Malang. Semua watak ini terbit kerana ada kaitan dengan sifat, sikap dan juga perilaku bangsa Melayu?

Mengenang ini, saya terhimbau kepada kata bidalan dan pesanan yang sering diucapkan oleh arwah ayah saya kepada saya. Katanya; jangan tinggalkan kura-kura di kaki kerana ingin mengejar burung terbang. Apa yang Allahyarham ingin maksudkan ialah jangan terlalu ghairah mengejar sesuatu sehingga meninggalkan apa yang sedia ada.

Apabila saya membaca secara ringkas isi kandungan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak semasa merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri malam tadi, itulah apa yang terpampang di dalam tempurung kepala saya. Apakah bangsa Melayu bangsa satu bangsa yang suka mengejar burung dan meninggalkan kura-kura?

Sudut lebih jauh

Dalam ucapan kali ini nampaknya Najib meletakkan perspektifnya ke sudut lebih jauh daripada pemimpin lain. Kali ini TPM itu mahu mengangkasakan bangsa selepas berusaha untuk meng'glokal'kan bangsa sebelum ini. Hebat!

Mengikut kamus Najib, bangsa angkasa atau space nation adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tinggi, mempunyai tamadun yang hebat. Untuk itu katanya bangsa Melayu perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran menguasai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita-cita tinggi angkasa.

Kita tidak menolak apa juga usaha dan perancangan untuk memajukan bangsa. Islam sendiri menyuruh bangsanya progresif dan dinamik. Islam agama pegangan bangsa Melayu itu sendiri dinamik. Tetapi kita tidak diajar mengalpakan kepada hukum-hukumnya. Betapa bijak dan jauhnya pandangan kita namun kita tidak berkuasa berfikir mengatasi ilmu Tuhan.

Bukan saja untuk menjadi bangsa angkasa, tetapi jauh lebih itu Islam telah mengagaskan misalnya menjadi bangsa syurga. Warsatu ambia'. Bangsa syurga adalah bangsa yang terbaik daripada seribu bangsa yang hebat di dunia ini. Tetapi apa yang perlu difikir apakah kita mampu berbuat demikian dan apakah wajar semasa agenda-agenda yang lebih realistik daripada itu masih belum beres lagi.

Banyak agenda Melayu yang sebelum ini digarapkan sendiri oleh pemimpinnya masih belum terlaksana termasuk yang direncanakan Najib baik semasa menjadi TPM dan semasa menjadi Ketua Pemuda Umno dulu. Ia masih berselerekkan di kaki. Betapa kalau agenda ini ditunaikan dulu, barulah ia bergajak kepada mengejar agenda atau cita-cita lebih besar seperti mahu menjadi bangsa angkasa itu ia lebih dirasakan munsabah lagi.

Sebab itu saya kira dalam soal berfikir utuk memaju bangsa ini Najib berjalan dengan mendongak ke langit. Beliau berjalan tidak mendongak ke bawa. Barangkali di sinilah egonya anak bangsawan yang ingin menjadi angaksawan! Kalau beliau mendongak ke bawah dan seorang pemimpin yang istiqamah dan komited untuk memajukan bangsanya beliau akan melihat beberapa agenda bangsa yang masih kusut masai untuk diselesaikan.

Tamadun di bumi

Tamadun angkasa yang beliau maksudkan itu tidak akan tercapai selagi tamadun di bumi nyata ini pun masih belum dicapai lagi! Kita dituntut memperolehi apa yang ada di langit terlebih dahulu sebelum berusaha untuk mendapat apa yang berada diatas.

Antara agenda penting dan masih belum diselesaikan ialah;

1. Mengenai kedudukan ekonomi bangsa Melayu yang semkain hari semakin terpinggir.

2. Mengenai Bahasa Melayu yang semakin terhapus.

3. Mengenai hak keistimewaan bangsa Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan juga sudah hancur.

4. Mengenai kedudukan agama Islam yang semakin tercemar.

Itulah antara agenda Melayu dan perjuangannya yang masih belum selesai. Hari ini rakyat masih menjerit dan merintih menuntut segala agenda itu diselesaikan. Taraf hidup orang Melayu masih jauh daripada boleh dibanggakan. Kehidupan orang Melayu semakin miskin berbanding dengan kehidupan dan kemewahan bangsa lain. Setengah orang Melayu lebih hina dan miskin daripada pendatang Indonesia atau Bangladesh.

Begitu juga dengan bahasa Melayu. Hari ini bangsa Melayu sudah tidak ada bahasa lagi. Bahasanya tidak diiktiraf dan dinafikan sendiri oleh kerajaan. Bahasa Melayu menjadi bahasa persalinan, di gunakan ketika ianya perlu sahaja dan bukan bahasa pakaian seharian lagi.

Demikian juga dengan hak-hak keistimewaan Melayu yang sepatutnya dinikmati secara beterusan tetapi kini setengahnya sudah pun tidak ada. Misalnya hak mendapat biasiswa di kalangan pelajar sudah tidak ada lagi. Biasiswa sudah diganti dengan wang pinjaman (PTPTN) yang amat membebankan ibubapa dan pelajar.

Beransur hilang

Hari ini bangsa Melayu tidak boleh berbangga menjadi bangsa Melayu kerana ciri-ciri dan intipati keistimewaan itu sudah tidak ada lagi. Apa yang dikatakan oleh Hang Tuah “tidak Melayu hilang di dunia” sudah tidak benar dan tepat lagi. Melayu sudah mulai beransur hilang di dunia fana ini.

(Kelenyapan itu semakin cepat lagi apabila bangsa Melayu menjadi bangsa angkasa).

Kedudukan agama Islam hari ini juga makin tercabar. Hukum-hukum Islam dilanggari secara berleluasa. Islam cuba diremehkan menjadi satu ritual bukan lagi satu peraturan hidup yang murni dan mutlak. Sudah ada orang yang mengakui Islam menerima doa-doa daripada Sami Buddha, Sami Hindu atau pun Pendeta Kristian untuk kesejehtaraan ibubapanya.

Itulah agenda yang berselerak di kaki orang Melayu yang sudah lama jatuh ke bumi. Agenda ini sangat mendesak. Jadi sebelum kita berfikir merentasi angkasa lepas elok kalau isu-isu ini diselesai dan ditunaikan dulu. Kita tidak patut bercakap hal-hal yang berada di balik dinding reraliti.

Isu-isu atau agenda berselerakan itu juga mengukur sejauh mana kekuatan fizikal dan mental kita. Kalau isu itu tidak boleh diselesaikan dengan tuntas, apa guna kita berfikir perkara yang lebih besar dan jauh daripada itu. Jangan berbuat sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata dan cuba mengajar rakyat kembali kepada alam tahyul, kurafat dan misteri.

Justeru pada hemat saya, apabila Najib menuangkan segala pemikiran hebat dan global itu ia bukan sesuatu yang pratikal untuk dicapai tetapi melainkan ia adalah sebahagian daripada kempen untuk meletakkan dirinya atas papan iklan (bilboard) untuk menjadi Perdana Menteri.

Setidak-tidaknya bila beliau bercakap soal-soal di luar saraf minda ahli biasa Umno beliau akan dilihat apabila menjadi PM kelak lebih hebat daripada Abdullah. Bukankah hari ini Najib sedang bergerak ke arah untuk meremeh dan memperlecehkan Abdullah! [wm.kl. 9.30 am 06/10/07]

No comments: