Saturday, November 24, 2007

Ulasan Semasa

Heboh Kamaruddin Jaaffar Akan Turun Ke DUN

MSO

BEBERAPA kali saya ditanya mengenai desas desus kononnya ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaaffar (KJ) dikatakan akan dibawah bertanding di kerusi DUN Pasir Pekan pada pilihan raya umum akan datang. Pertanyaan itu datang bukan saja dari kalangan Umno, pemerhati dan penulis tetapi juga ada di kalangan Pas sendiri. Mulanya saya mengabaikan saja persoalan itu kerana saya kira saya lebih banyak tahu apa yang berlaku Kelantan.

Tetapi apabila kerap sangat ia muncul dan menyinggahi telinga saya, elok rasanya kalau saya memberi respons atau pun merisik keadaan sebenarnya. Setidak-tidaknya pandangan dan jawaban ini memberi kelegaan atau sebaliknya kepada orang-orang terbabit dengan isu ini.

Ada logik dan ketepatannya kalau Setiausaha Agung Pas itu dibawa turun ke DUN. Ia juga bukan sesuatu yang menghairankan, kerana lama sebelum ini saya pernah mencadangkan namanya agar dibawah turun ke DUN.

Dalam buku saya "Debaran Pilihan Raya ke-11 terbitan Tinta Merah, Kuala Lumpur, 2004 ada saya menyebut antara nama-nama (pemimpin baru Pas) yang perlu dibawa turun ke DUN bagi membantu pentadbiran Tok Guruku Nik Aziz ialah Kamaruddin Jaaffar, (foto) Mohd Amar Abdullah dan Husam Musa. Mereka perlu dibawa turun bagi memenuhi kekosongan dan juga menyelesaikan gangguan oleh kumpulan Tiga Abdul ke atas Nik Aziz.

Seorang lagi nama yang saya turut menyebut ialah nama bekas ahli Parlimen Jeli, Nasir@Apandi Mohmmad.

Saya ada hujah dan alasan sendiri kenapa saya menyebut (sebenarnya mencadang kepada Pesuruhjaya Pas) agar menurunkan nama-nama itu. Misalnya nama Kamarudin sebab saya melihat watak dan juga track recordnya sebagai Setisuasaha Agung Abim sebelum ini. Lebih dari itu ialah mengenai
hubungan beliau dengan Anwar Ibrahim serta latar belakang beliau dalam pentadbiran sebagai ahli Diplomatik dan bekas Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba.

Saya mengira pengalaman luas beliau itu sedikit sebanyak akan dapat memberi suntikan semangat dan maklumat kepada Nik Aziz sebagai MB. Kegemaran KJ suka membaca dan tidak suka memakai baju belang atau baju merah petak-petak juga amat seusai kalau beliau menjadi pembantu Tok Guru kerana ia tidak begitu nampak kontras dengan pakaian Nik Aziz.

Menyinggungkan orang

Ini ditambah dengan karektor dan keperibadiannya yang lemah lembut mudah tersenyum walaupun kadang-kadang boleh tersasau mengeluarkan ucapan menyinggungkan orang, dikira amatlah cocok. KJ dianggap sebagai tokoh mini korporat yang berjiwa rakyat dan mudah menghulurkan tangan dan seorang mesra alam.

Bagaimana pun daripada empat nama yang saya kemukakan itu, hanya dua nama sahaja yang terpilih dan dua lagi tercicir. Salah satunya nama KJ. Kurang pasti pula saya apakah itu atas kehendak KJ sendiri atau tidak, kerana kita sedia maklum perangai KJ yang tidak suka menonjol dan lebih insaf kepada dirinya sendiri. Khabarnya untuk beliau menerima lantikan sebagai Setiausaha Agung Pas itu pun difikir banyak kali.

Husam sendiri pada mulanya keberatan untuk dibawa turun bertanding di DUN. Beliau lebih seronok dan lebih berperanan berada di Parlimen. Nanum selepas diyakinkan dan beliau sendiri meminta jaminan (daripada saya) kalau diturun ke negeri nanti beliau akan diberi tugas yang setanding ahli Parlimen baru beliau bersetuju. Saya tidak hendak mendabik dada sedikit sebanyak saya turut memainkan peranan untuk meletakkan Husam di tempat yang be
liau sandarkan hari ini.

Berbalik kepada desas desus tadi, apakah ianya masih berakar umbi kepada cadangan saya dulu ataupun memang suatu agenda baru mengenainya, walahualam! Ataupun mungkin juga orang yang dilantik menjadi pembantu kepada MB kini tidak dapat berfungsi dengan baik? Atau mereka tidak dapat menjejaki ciri-ciri dan sifat Tok Guru selaku pemimpin yang warak dan zuhud?

Cuma di sini apa yang boleh dikatakan (sebagai menjawab dan memberi ulasan berhubung persoalan ini) bahawa KJ masih relevan kalau diturunkan ke DUN untuk menjadi pembantu kepada Menteri Besar Kelantan. Bahkan kedudukan serta keampuhannya di dalam Pas selaku Setiausaha Agung lebih melayakkan lagi. Jika dilihat kepada undi yang diperolehi di kalangan perwakilan muktamar dari Kelantan dalam pemilihan parti tahun 2005 dulu KJ ternyata mendahului calon-calon lain di Kelantan termasuk Husam sendiri.

Harus difaham di Kelantan pada masa ini, Pas memerlukan seorang pemimpin bukan saja tahu lebih kurang mengenai ekonomi tetapi yang penting pandai mengambil hati rakyat. Bukan saja yang arif mencipta populariti tetapi mestilah juga yang berkata benar dan tahu menghormati orang lain. Rakyat Kelantan tidak mudah terpesona dengan layangan kertas bertanda ringgit, tetapi rakyat Kelantan akan
terkulai layu dalam jabatan salam mesra pemimpin.

Sekiranya KJ benar akan diturunkan ke tempat Ahmad Yaacob ia tidak menjadi masalah. Ahmad Yaacob yang menjadi TMB boleh menerima perubahan kerusi itu. Sikap rendah diri KJ di Tumpat sendiri tidak akan mengilankan Ahmad Yaaocb kalau persalinan itu dibuat.

Saya juga boleh memberi jaminan cadangan itu akan mendapat sokongan semua lapisan ahli dan penyokong Pas di Kelantan.

Bagaimana pun saya yakin kalau ini menjadi cadangan, KJ tidak mudah untuk menerimanya. Beliau akan memberi seribu alasan untuk menolaknya. Beliau mungkin tidak sedia untuk mencederakan hati mereka yang sedang mengimpikan untuk menjadi pembantu Tok Guru di masa akan datang.

Bagaiamana pun suatu perkara yang KJ kena faham apabila beliau sudah mencecah kaki ke medan perjuangan, sebahagian dirinya adalah hak rakyat dan parti. Kalau parti membuat pilihan dan mengarahkannya beliau tidak ada sebab dan alasan lagi untuk menolaknya.

Kepada mereka yang sering menanyai persoalan mengenai KJ ini harap berpuas hati dengan ulasan dan huraian saya ini! [wm.kl. 10:30 24/11/07]

No comments: